Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Enam pentadbir dibenar solat jemaah, tiada aktiviti di rumah ibadat

SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor menetapkan hanya enam pentadbir masjid dan surau dibenarkan solat berjemaah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat mulai hari ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan ketetapan berkenaan berkuat kuasa sepanjang PKP sehingga satu tempoh ditetapkan dari semasa ke semasa.

Senarai bilangan ahli jemaah di masjid dan surau seperti berikut:

Mohd Zawawi menambah semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau ditangguhkan, namun kuliah atau tazkirah dibenarkan secara dalam talian dari kediaman penceramah.

Menurutnya, pengurusan solat jenazah bukan Covid-19 pula dibenarkan di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah atau kaum kerabat terdekat tidak lebih 15 orang tidak termasuk pentadbir yang menguruskan jenazah.

“Pentadbir perlu terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-panggilan, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Masjid dan surau boleh mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada mana-mana ahli kariah terjejas dengan PKP tetapi keutamaan dalam bentuk wang tunai yang disalur terus ke akaun penerima,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawi benar solat Jumaat, fardu separuh daripada kapasiti masjid, surau

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat fardu kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid, dewan solat utama, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa esok.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataannya hari ini, berkata aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat juga dibenarkan diadakan selama 30 minit di masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Semua ketetapan ini berkuat kuasa bermula dengan solat Jumaat pada 5 Feb tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Mohd Ajib berkata perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat berjemaah berkenaan adalah bagi semua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perluasan itu adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Mohd Ajib turut mengajak umat Islam untuk berdoa dan bermunajat agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat, fardu di negeri PKP terhad ahli jawatankuasa masjid

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Solat Jumaat dan solat fardu di beberapa negeri yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari, dilaksanakan hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau.

Bagi negeri-negeri yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) pula, kelulusan adalah mengikut had jemaah serta keluasan ruang solat dengan mengambil kira penjarakan fizikal, sekurang-kurangnya satu meter.

Di Selangor, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau ditangguhkan sepanjang pelaksanaan PKP, namun hanya lima petugas masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah pada setiap waktu.

Bagi majlis akad nikah, ia akan dijalankan secara sidang video membabitkan pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan tarikh janji temu akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah atau di masjid pengurusan.

Situasi sama di Sabah yang turut menangguhkan aktiviti solat Jumaat di masjid dan surau sepanjang tempoh PKP, bagaimanapun ahli kariah wajib melaksanakan solat fardu Zohor bagi menggantikan solat Jumaat di rumah masing-masing.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan, namun dengan kapasiti terhad iaitu lima orang sahaja dan terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau terbabit.

Di Johor, pelaksanaan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan di semua surau dan masjid dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 12 orang sahaja sepanjang PKP.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook baginda bertitah bagaimanapun, 12 jemaah tersebut adalah terdiri daripada pegawai masjid dan surau serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

Mengenai majlis akad nikah, baginda bertitah ia hanya dibenarkan di Pejabat Kadi Daerah dan terhad kepada pasangan pengantin dan wali dari daerah yang sama sahaja, serta telah memperoleh kebenaran berkahwin sebelum dari tarikh PKP.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata beberapa aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan dalam tempoh PKP antaranya, solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta akad nikah.

Namun, terdapat beberapa perkara dibenarkan bagi meneruskan fungsi masjid dan surau iaitu azan dan solat fardu yang terhad kepada lima individu membabitkan imam, bilal, siak serta dua ahli jawatankuasa masjid, serta solat Jumaat yang hanya membabitkan 15 individu iaitu imam, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

Di Kelantan, hanya 50 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu di semua masjid bandar dan jajahan serta mukim negeri ini berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan had bilangan jemaah berkenaan perlu mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap waktu.

Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla di seluruh negeri juga ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB.

Di Kedah, semua masjid dan surau dibenarkan dibuka sejam sebelum solat fardu, manakala bagi solat Jumaat sejam setengah lebih awal sepanjang pelaksanaan PKPB di negeri itu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan keluasan ruang solat, dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Bagi zon jingga pula, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan ruang solat utama masjid dan surau, juga dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Sementara itu, Negeri Sembilan membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat fardu dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini sehingga 26 Januari nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata SOP kali ini sama seperti PKPB dahulu iaitu antaranya jemaah perlu membawa sejadah mereka sendiri, memakai pelitup muka dan perlu mengambil wuduk di rumah selain had keluasan mereka melakukan ibadah itu adalah dalam ruang utama masjid sahaja.

Di Melaka, hanya 45 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau dan masjid sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula hari ini hingga 26 Januari depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat berkata jumlah itu membabitkan kalangan kariah, pegawai, ahli jawatankuasa serta petugas masjid atau surau terlibat.

“Ruang solat utama masjid atau surau hendaklah ditutup sepenuhnya selepas pelaksanaan solat Jumaat.

“Bagi solat fardu lima waktu berjemaah pula, hanya lima orang yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hanya warganegara dan penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau atau masjid di negeri itu.

Selain itu, pengurusan dan solat jenazah boleh dibuat di masjid dengan kehadiran tidak melebihi 40 orang melibatkan pegawai masjid, petugas dan waris.

Pengurusan masjid juga hendaklah menyediakan ruang khas, tempat wuduk dan tandas bagi musafir yang singgah menunaikan solat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jais benar solat Jumaat, fardu di masjid dan surau mulai 4 Januari

SHAH ALAM, 6 JAN: Semua masjid dan surau seluruh Selangor dibenar melaksanakan solat Jumaat serta fardu secara berjemaah berkuat kuasa 4 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap kelonggaran itu dapat dimanfaat sebaiknya oleh kariah untuk beribadah dengan aman.

“DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap agar orang ramai mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Jais,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan.

Menurutnya, baginda turut berdukacita dengan tanggapan segelintir masyarakat yang menyatakan langkah penutupan masjid dan surau telah menghalang umat Islam untuk beribadah.

“Secara faktanya masjid dan surau terus dibuka dengan diberi surat kelonggaran secara berperingkat berdasarkan situasi semasa Covid-19 dan ia akan dan kerap berubah mengikut keadaan setempat.

“Keprihatinan DYMM Sultan kepada kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat di Selangor amatlah tinggi dan baginda tidak mahu masjid dan surau menjadi tempat cetusan penularan baharu yang akan menambah bilangan kluster sedia ada,” jelasnya.

Ketetapan solat Jumaat dan fardu berjemaah adalah seperti berikut:

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benarkan solat Jumaat, fardu berjemaah di tiga daerah

SHAH ALAM, 10 DIS: Semua masjid dan surau di tiga daerah negeri ini dibenar melaksanakan solat Jumaat serta fardu berjemaah berkuat kuasa serta-merta.

Pelaksanaan meliputi 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dengan penjarakan 1.5 meter.

Bagaimanapun, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ketetapan baharu itu tidak termasuk mukim Kuala Selangor berikutan situasi terkini penularan Covid-19.

“Kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan fardu ini hanya untuk warganegara sahaja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program pengimarahan seperti kuliah maghrib, subuh dan dhuha serta bacaan yassin turut dibenarkan, dengan syarat penceramah dari zon hijau sahaja.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan umat Islam seluruh negeri untuk meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Penguatkuasaan SOP tegas oleh pentadbir masjid dan surau, pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir serta munajat yang diamalkan pasti membantu mempercepat ketetapan sama di seluruh negeri,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor kecuali tiga daerah dilanjutkan sehingga 20 Disember.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais tangguh solat Jumaat, fardu di masjid, surau

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat keputusan menangguhkan semua solat Jumaat, fardu berjemaah dan aktiviti di masjid dan surau di negeri ini mulai esok susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan memastikan pentadbir rumah ibadat berkenaan dapat memberi kelangsungan keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan kepada kariah masing-masing.

“Penangguhan ini akan melibatkan sebanyak 425 masjid, 278 surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

“…Pentadbir masjid dan surau seluruh negeri hendaklah memastikan solat fardu Jumaat tidak dilaksanakan sepanjang penangguhan ini sebaliknya digantikan dengan solat Zohor di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan penangguhan semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha ditangguhkan sementara berkuat kuasa waktu Subuh pagi esok.

Menurut Mohd Shahzihan hanya solat fardu lima waktu dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dengan jemaaah tidak melebihi lima orang dan azan dilaungkan setiap waktu.

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor benar pertambahan jemaah ikut saiz masjid, surau

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad berkata ruang solat perlu mematuhi penjarakan sosial 1.5 meter selain jemaah perlu mendaftar dan mengikut giliran.

“Bagi solat fardu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kehadiran jemaah wanita pula hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka semula mulai 3 Julai lalu untuk solat Jumaat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan 1,000 orang.

Kehadiran jemaah semua masjid lain pula ditetapkan maksimum 500 orang tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat berkenaan.

Bagi surau yang ada kebenaran mengadakan solat Jumaat, bilangan maksimum 40 orang. Syarat sama terpakai untuk solat fardu berjemaah bagi surau lain. Jumlah tersebut tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.