Categories
NASIONAL

Samseng Umno Dicabar Bertanggungjawab Serang Mahasiswa

SHAH ALAM,19 APR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar Umno supaya tampil bertanggungjawab terhadap kejadian serangan  sekumpulan pelajar yang membuat keputusan nekad untuk berkhemah di Dataran Merdeka dalam protes mereka terhadap PTPTN dan tuntutan pendidikan percuma.

Ketua Penyelaras SAMM,Badrul Hisham Shaharin berkata sepatutnya Umno tampil berhujah dengan kumpulan pelajar ini bukan menjawab dengan keganasan fizikal.

“Regim takut menggunakan polis kerana pilihanraya yang terlalu hampir, kerana imej kekasaran polis terhadap kumpulan pelajar ini pasti akan memberi kesan besar terhadap undi rakyat.

“Hanya DBKL digunakan malangnya DBKL tidak mampu berdepan semangat kental kumpulan pelajar ini yang walaupun beberapa kali ‘diserbu’ DBKL tetapi terus bertahan,” tegas Badrul atau Chegu Bard dalam kenyataan medianya.

Tambah Chegu Bard, kumpulan yang mulanya kecil mula membesar, ramai teman muda lain mula sama mendirikan khemah berkampung bersolidariti bersama menemani pelajar ini.

Kumpulan pelajar ini yang mula meraih perhatian dalam dan luar negara terus cuba diburukkan imej mereka sebagai alat politik pihak tertentu oleh media dan pemimpin regim.

“Bukan sekadar itu pelajar ini juga telah berjaya menjawab kekeliruan yang cuba dibuat termasuk oleh Menteri, malah mereka sedia mencabar Menteri dan pimpinan parti politik penguasa regim untuk berdebat terbuka. Ini semua meletakkan regim dalam keadaan serba salah,” ujarnya.

Chegu Bard berkata lagi,mati akal dengan perkembangan ini semalam awal pagi tadi gangster telah digunakan oleh pihak yang tertekan untuk menyerang tapak perkhemahan pelajar tersebut. Dalam serangan itu ada yang cedera, barang – barang mereka dirosakkan dan diberitakan ada pelajar yang hilang diculik.

Penggunaan gangster ini menjadi taktik yang semakin biasa digunakan setelah kalah berhujah dan seperti biasa juga polis akan terus lambat bertindak. Dalam serangan di Dataran Merdeka, Polis yang berada di tempat kejadian dilaporkan oleh saksi hanya memerhatikan sahaja kejadian.

“Yakinlah seperti peristiwa lain termasuk serangan gangster secara fizikal dan bersifat perkauman masih belum ada tindakan walaupun ditampilkan bukti bergambar jelas.

“Malah lebih malang lagi kumpulan penyerang di Jalan Kebun dapat pula berada dalam majlis bersama PM baru – baru ini,” kata Chegu Bard.

Jelas beliau lagi, Regim Mubarak ketika hujung usianya juga menggunakan gangster memukul dan menyerang demonstran dan kemudian bersembunyi disebalik hujah kononya serangan dibuat oleh rakyat yang marah.

“SAMM menyeru seluruh anak muda supaya membuat pertimbangan terhadap kejadian ini dan menolak Umno dan Barisan Nasional yangs emakin hilang rasional mereka.

“SAMM juga menyeru rakyat untuk tampil sama memberikan bantuan kepada teman – teman pelajar yang berjuang ke arah pendidikan percuma dalam negara,” jelas Chegu Bard.

Categories
NASIONAL

SAMM: Umno-BN Bersifat Munafik Dalam Isu Israel

SHAH ALAM,27 MAC : Parlimen digesa meluluskan usul tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan menggubal undang-undang melarang  hubungan dagang secara dengan Israel termasuk larangan penggunaan pelabuhan atau sebarang kemudahan negara untuk sebarang kepentingan dengan Israel.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),Badrul Hisham Shaharin berkata, Parlimen seharusnya meluluskan usul mengiktiraf parti politik Hamas atau mana ? mana parti politik yang dipilih oleh majoriti rakyat Palestin untuk mentadbir negara mereka.

“SAMM mencabar ahli parlimen BN khususnya Umno untuk sepakat menyokong usul tersebut. Jika tidak, sahlah regim penguasa yang mempunyai jumlah majoriti dalam parlimen Malaysia cuma bersikap ?munafik? dalam isu menentang Israel ini,” kata Badrul Hisham atau Chegu Bard dalam kenyataan medianya.

Tambah Chegu Bard lagi, pimpinan Umno-BN selama ini hanya mendabik dada kononnya mereka adalah pejuang Palestin dengan menjadi penentang Israel dan menjadikan isu hubungan Israel ini sebagai modal politik menyerang musuh politik mereka.

“Selama ini Umno-BN cuba menipu rakyat dalam hubungan Malaysia Israel namun apabila Ahli Parlimen Bakri ,Er Teck Hwa, dengan sokongan beberapa ahli parlimen lain membawa beberapa dokumen yang dibekalkan oleh SAMM kepadanya untuk dibuktikan dalam parlimen Malaysia mengenai kewujudan hubungan dagang Malaysia Israel maka Menteri berkenaan terperangkap untuk mengakuinya. Cuma penjelasan dangkal Menteri dalam persidangan lepas menyebabkan Teck Hwa bangun beberapa kali sehinggalah di perintah keluar dewan,” kata Chegu Bard.

Chegu Bard menjelaskan hubungan dagang Malaysia membantu ekonomi Israel terbukti apabila menurut laporan Kesatuan Eropah menyatakan dengan jelas Malaysia merupakan negara yang ke-15 menjadi rakan dagang bagi membantu ekonomi Israel.

Syarikat berpengkalan di Malaysia dan produk komoditi tempatan digunakan bagi membantu ekonomi Israel. Antaranya ialah IOI loaders Crocklaan Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat IOI Group yang merupakan syarikat yang punya kaitan rapat dengan Umno-BN.

Mewaholeo Industri Sdn Bhd pula mempunyai alamat perniagaan berdaftar di dalam negara. Walaupun mempunyai pegangan asing tetapi ia masih beroperasi sebagai sebuah syarikat tempatan. Ini hanya sebahagian dari banyak syarikat lain yang turut terlibat dalam penghantaran produk sawit tempatan bagi membantu ekonomi Israel.

Menurut laporan dalam laman web RSPO dalam perniagaan sawit IOI disebut dengan jelas punya rantaian perniagaan dengan Felda ? Johor Builkers Sdn Bhd. Dengan jelas penghantaran syarikat IOI ini menurut dokumen rasmi kerajaan menyatakan penghantaran terus ke Israel dan untuk syarikat Israel.

Tambah Chegu Bard, menurut beberapa carian lain pula penghantaran produk sawit Malaysia ke Israel bukan semata untuk pasaran tempatan Israel tetapi sebaliknya telah menjadikan Israel juga menjadi negara pengeluar produk hasil sawit yang diambil dari Malaysia dan diperniagakan semula.

“Ternyata dengan pendedahan ini regim penguasa sudah tidak boleh mengelak lagi. Regim cuba menggambarkan kononnya merekalah pejuang sejati isu Israel dan Palestin namun dalam sisi lain regim penguasa inilah menjadi penerus dan pelindung hayat Israel.

“Satu lagi pendedahan ialah mengenai beberapa syarikat tempatan mempunyai sijil halal Israel (Kosher) seperti Jakim. Untuk mendapat sijil halal ini kakitangan (Rabbai) agensi Israel wajib datang dan membuat pemeriksaan kebersihan dan seumpamanya. Ini bermaksud negara secara sedar membenarkan kakitangan Kerajaan Israel beroperasi di Malaysia,” katanya.

Chegu Bard berkata lagi,beliau mempunyai bukti bergambar bagaimana hampir setiap kali barangan khususnya makanan untuk dibuat penghantaran pegawai kerajaan Israel pasti berada dalam negara bagi memastikan ?keselamatan? dan taraf ?halal? barangan tersebut.

“Dalam negara terlalu banyak sangat isu seperti kenaikan harga, keselamatan (kes jenayah meningkat), beban pendidikan (pembiayaan pembelajaran) dan banyak lagi, namun kita sudah terlalu banyak menghabiskan masa membincangkan isu Israel ? palestin dan Malaysia ini yang sebenarnya masing masing cuba menunjuk hero dengan memutar belit perbagai perkara.

“Ayuh kita letakkan noktah dalam isu ini. Israel negara haram, regim penguasa dicabar mengambil sikap berani,” ujarnya.

Pelancaran ABU Di Johor Bermula Esok

SHAH ALAM, 25 FEB : Kerajaan Umno-BN diingatkan supaya menghormati lunas-lunas demokrasi, tidak mengeksploitasi serta meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, ugutan dan penerapan budaya samseng demi survival politik parti itu.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor), Ahmad Anwar Asyraf berkata, beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) yang dilancarkan sebelum ini di negeri-negeri lain, telah mencetuskan provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang melacurkan minda anak muda.

Menurutnya, segala ugutan, kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis SAMM dalam berjuang menentang rejim korup yang diamalkan Umno-BN.

“Menjelang program Pelancaran ABU Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini, beberapa aktivis telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang.

Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah,” tegasnya.

Tegasnya, SAMM Johor tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini.

Ini kerana jelasnya, anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

Beliau berkata, Umno-BN seharusnya bertindak mendidik anak muda di negara iniu untuk berpolitik secara matang dan penuh ilmiah sebagai pewaris masa depan negara, dan bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Tambahnya, program yang bakal berlangsung esok akan diadakan di premis persendirian serta merupakan platform terbaik bagi rakyat Johor untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini.

“ABU bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat.

Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim pemerintah,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program bagi mengelakkan insiden sama seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang berulang lagi.

Malahan jelasnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung.