Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Categories
NASIONAL

Himpunan Anti-Lynas Seluruh Negara, 13 April

SHAH ALAM,30 MAC : Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau merancang satu himpunan besar-besaran di seluruh negara, termasuk di Selangor bagi membantah projek memproses nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, 13 April ini.

Himpunan yang diadakan secara serentak itu akan bermula selepas solat Jumaat, mengikut lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak.

Pengerusi Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau , Zulkefly Mohamad Omar berkata himpunan utamanya akan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di mana sebelum itu para peserta akan berarak dari Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Bagi pihak solidariti hijau,kita bersetuju untuk mengadakan demo ini di seluruh negara di mana Shah Alam dan Dataran Shah Alam dijadikan sebagai tempat utama kita,selepas Jumaat bagi menyatakan bahawa kita bergabung dan bersatu hati mengatakan bahawa Kerajaan Malaysia mesti atau meminta Kerajaan Australia memindahkan semua peralatan mereka ke negara mereka sendiri,” katanya.

Pengerusi Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau , Zulkefly Mohamad Omar berkata walaupun Australia yang mempunyai sebuah keluasan seperti benua yang mempunyai kawasan yang luas seperti padang pasir dan sebagainya namun yang peliknya kerajaan Malaysia sanggup menerima kehadiran projek ini yang memberi ancaman kepada keselamatan rakyat negara ini.

” Saya kira projek ini tidak memberikan impak ekonominya kerana Kerajaan Malaysia telah mengecualikan cukai selama 12 tahun,walaupun dalam laporan Lynas mengatakan bahawa mereka boleh mendapat pendapatan sehingga RM8 bilion setahun tetapi Kerajaan Malaysia pada hari ini telah mengecualikan cukai selama 12 tahun, itu yang menjadi keraguan jika ada perjanjian antara kedua belah pihak yang berat sebelah kepada pihak tertentu dan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan,” jelasnya lagi semasa diwawancara di Pejabat Perhubungan PAS di sini.

Zulkefly berkata lagi,perhimpunan di Shah Alam ini amat penting dan menyeru semua pihak pelbagai fahaman parti untuk turut hadir bagi menyatakan kesatuan menentang projek ini yang merupakan isu nasional dan semua.

” Bagi Selangor dan Wilayah mereka akan berhimpun di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan ini mungkin perhimpunan yang paling besar yang merupakan perhimpunan pertama kalinya secara besar-besaran di luar Kuantan,bagi membuktikan bukan rakyat Kuantan sahaja yang sensitif tetapi seluruh rakyat Malaysia sensitif,” jelasnya.

Pada 26 Februari lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum menggesa kerajaan menghentikan projek Lynas.