Categories
SELANGOR

Isu Air : 80 NGO Sokong Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 24 OKT : Kira-kira 80 Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka Solidariti Hijau daripada seluruh negara menyerahkan memorandum sokongan terhadap Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu air.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil NGO, Zulkefly Mohamad Omar kepada Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Menurut Zulkefly, kandungan memorandum itu menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang meringankan bebanan rakyat.

“Usaha Kerajaan Negeri ini perlu dialu-alukan dan dijadikan tanda aras dalam memberikan kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Ujar beliau, air adalah hak rakyat yang perlu dipertahankan dengan tidak boleh dikomersilkan yang hanya berasaskan keuntungan.

Katanya, sumber air perlu dilindungi daripada pencemaran alam akibat aktiviti seperti pembalakan yang berleluasa yang akan mencemarkan sumber air yang boleh mengancam kesihatan hidupan.

“Kita menggesa agar penjagaaan sumber air ini juga turut dibantu oleh Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat seharusnya juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri dan memberikan kerjasama yang akan memudahkan rakyat dengan tidak isu air ini tidak dipolitikkan,” katanya.

Sementara itu Abdul Khalid berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi NGO-NGO itu yang prihatin terhadap isu air agar dapat ditangani dengan cara terbaik oleh Kerajaan Negeri.

“Isu air ini dilihat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini dan juga Kerajaan Pusat dengan tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita mesti tidak menjadikan air itu alat untuk perniagaan, dan kini Kerajaan Negeri sedang membetulkan usaha itu,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kenyataan Pengerusi PSC Lynas Berat Sebelah

SHAH ALAM, 18 MEI: Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Khas Lynas (PSC) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kilang nadir bumi Lynas adalah yang terselamat di dunia dan berada 6 km dari penempatan penduduk bercanggah dengan Laporan Jabatan Alam Sekitar.

Pengerusi Green Clean World (GCW), Zulkefly Mohamad Omar berkata, merujuk kepada laporan itu, terdapat lima buah kampung penempatan dan 11 syarikat yang lokasinya 1 ? 3 km dari kilang itu.

“Manakala dalam jarak 3km-5km terdapat penempatan penduduk sepanjang pantai ke Kuala Terengganu, (lebuhraya) Kuantan-Pelabuhan Bypass (dan kawasan) Sg.Tunggak,? Zulkefly berkata di dalam satu kenyataan media.

Terdapat juga penduduk di sepanjang jalan dari pekan ke pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur dan Pantai Cherating, kata Zulkefly yang juga AJK PAS Pusat.

Maklumat ini terdapat di dalam Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15hb Febuari 2008.

Statistik pada tahun 2000 juga menunjukkan seramai 5,973 orang menetap di kawasan antara 1km – 3km, yang mana 87 peratus daripada mereka adalah Melayu.

Bagi menyangkal dakwaan bahawa loji tersebut adalah terselamat di dunia, Zulkefly berkata ia mampu menurunkan kualiti udara, air Sungai Balok, air bawah tanah dan tanah kawasan tersebut jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan.

Beliau berkata potensi kebocoran dari tempat simpanan sisa dan langkah-langkah melindungi tanah dan air bawah tanah yang tidak mencukupi mampu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“Bagaimanakah kenyataan bahawa Kilang Lynas adalah Kilang Memproses Nadir Bumi yang terselamat di dunia jika langkah-langkah pencegahan malah kemudahan ?state-of-the-art? yang terdapat di kilang itu masih belum dibuktikan lagi?” ujar beliau.

Tambah beliau, kenyataan yang tidak betul dan berat sebelah Khaled itu menunjukkan yang niat sebenar Umno dan Barisan Nasional dalam penubuhan PSC Lynas adalah untuk menghalalkan kilang Lynas untuk kepentingan diri mereka.

“Malah kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa PSC Lynas itu untuk memimpin Jawatankuasa itu dengan telus dan adil kini dipersoal,” katanya.

Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Categories
NASIONAL

Najib Akan di Hakimi di Persidangan Alam Sekitar Di Brazil

SHAH ALAM, 30 MAC: Sebuah NGO yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng bercadang untuk berdepan dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Razak di sidang Earth Summit 2012 pada Jun nanti di Rio de Janeiro, Brazil jika isu tersebut tidak diselesai segera.

” Sebelum ketua-ketua kerajaan sebelum mengadakan sidangnya ada mesyuarat-mesyurat di peringkat antarabangsa yang akan melobi berkaitan isu-isu rakyat berkenaan isu yang melibatkan alam sekitar dan pelbagai isu akan dibangkitkan.

“Kalau kerajaan Malaysia berdegil kita akan pergi ke  Rio de Janeiro bersama NGO lain dan kita akan sampaikan hasrat kita dan kita akan berdepan dengan Perdana Menteri di Rio de Janeiro,” kata Pengerusi Green Clean World , Zulkefly Mohamad Omar ,

Green Clean World merupakan sebuah pertubuhan yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng.

Earth Summit 2012 dijangka akan diadakan di Rio De Janeiro, Brazil 20 – 22 Jun 2012 ini.

Sebelum ini, Bruno Masel yang juga pemimpin kumpulah Hak Asasi Manusia pernah berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi Perdana Menteri bagi memperjuangkan hak orang Penan ketika Earth Summit sebelum ini.

Menurut Zulkefly yang juga Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia pembinaan kilang nadir bumi Lynas itu dijalankan secara tergesa-gesa dan diputuskan tempat itu tanpa kelulusan oleh badan tertentu sebelum ini.

” Kita tidak mahu kilang ini terus dibenarkan beroperasi dan saya melihat sebelas penambahbaikan yang diminta oleh AILB itu belum dipenuhi lagi, termasuk soal tempat di mana lokasi pembinaan itu berhampiran dengan penduduk dan kawasan itu begitu sensitif iaitu kawasan rendah dan selalu banjir,” katanya.

Categories
NASIONAL

Himpunan Anti-Lynas Seluruh Negara, 13 April

SHAH ALAM,30 MAC : Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau merancang satu himpunan besar-besaran di seluruh negara, termasuk di Selangor bagi membantah projek memproses nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang, 13 April ini.

Himpunan yang diadakan secara serentak itu akan bermula selepas solat Jumaat, mengikut lokasi-lokasi yang akan ditetapkan kelak.

Pengerusi Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau , Zulkefly Mohamad Omar berkata himpunan utamanya akan diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di mana sebelum itu para peserta akan berarak dari Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Bagi pihak solidariti hijau,kita bersetuju untuk mengadakan demo ini di seluruh negara di mana Shah Alam dan Dataran Shah Alam dijadikan sebagai tempat utama kita,selepas Jumaat bagi menyatakan bahawa kita bergabung dan bersatu hati mengatakan bahawa Kerajaan Malaysia mesti atau meminta Kerajaan Australia memindahkan semua peralatan mereka ke negara mereka sendiri,” katanya.

Pengerusi Solidariti Semalaysia Himpunan Hijau , Zulkefly Mohamad Omar berkata walaupun Australia yang mempunyai sebuah keluasan seperti benua yang mempunyai kawasan yang luas seperti padang pasir dan sebagainya namun yang peliknya kerajaan Malaysia sanggup menerima kehadiran projek ini yang memberi ancaman kepada keselamatan rakyat negara ini.

” Saya kira projek ini tidak memberikan impak ekonominya kerana Kerajaan Malaysia telah mengecualikan cukai selama 12 tahun,walaupun dalam laporan Lynas mengatakan bahawa mereka boleh mendapat pendapatan sehingga RM8 bilion setahun tetapi Kerajaan Malaysia pada hari ini telah mengecualikan cukai selama 12 tahun, itu yang menjadi keraguan jika ada perjanjian antara kedua belah pihak yang berat sebelah kepada pihak tertentu dan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan,” jelasnya lagi semasa diwawancara di Pejabat Perhubungan PAS di sini.

Zulkefly berkata lagi,perhimpunan di Shah Alam ini amat penting dan menyeru semua pihak pelbagai fahaman parti untuk turut hadir bagi menyatakan kesatuan menentang projek ini yang merupakan isu nasional dan semua.

” Bagi Selangor dan Wilayah mereka akan berhimpun di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan ini mungkin perhimpunan yang paling besar yang merupakan perhimpunan pertama kalinya secara besar-besaran di luar Kuantan,bagi membuktikan bukan rakyat Kuantan sahaja yang sensitif tetapi seluruh rakyat Malaysia sensitif,” jelasnya.

Pada 26 Februari lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum menggesa kerajaan menghentikan projek Lynas.