Categories
NASIONAL

Laporan isu gangguan air di Klang selesai sebulan lagi

CYBERJAYA, 21 MEI: Siasatan berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka selesai dalam masa sebulan lagi, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, satu jawatankuasa teknikal peringkat tinggi yang dianggotai lima pakar termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya ditubuhkan minggu lalu bagi meneliti punca kejadian itu.

“Kami ingin melihat sekiranya ada pencerobohan yang berkaitan dengan paip air kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Iftar bersama kakitangan SPAN dan media di sini hari ini.

Baru-baru ini hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

Charles berkata SPAN akan meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak bertanggungjawab setelah laporan selesai.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak enam negeri telah mengadakan dialog dengan SPAN berhubung isu kenaikan kadar tarif air.

Beliau berkata SPAN berpendapat sebarang kenaikan tarif mesti seiring dengan peningkatan kualiti air yang diberikan kepada rakyat.

Mengenai isu pencemaran di Loji Rawatan Air Ayer Ganda di Perak, beliau berkata loji itu yang masih ditutup hanya akan dibuka sekiranya air mentah bebas dari sebarang pencemaran.

“Meskipun ada desakan membenarkan pengguna menggunakan air dari Loji Ayer Ganda untuk tujuan selain makan dan minum, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur yang mengundang risiko kesihatan,” katanya.

Charles juga menyarankan semua operator air sentiasa menguji sampel air mentah di kawasan yang berisiko berlakunya pencemaran secara kerap.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

577 kawasan di KL, Selangor alami gangguan bekalan air

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), pada 24 April.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, pelaksanaan kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

“Kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

“Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Santiago berkata, Air Selangor akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terbabit.

“Antaranya adalah memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya.

Santiago berkata bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

“Air Selangor menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata pengguna adalah dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara itu dan disarankan menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Charles Santiago pengerusi baru SPAN

CYBERJAYA, 1 NOV: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menerusi kenyataan dikeluarkan SPAN.

Suruhanjaya itu berkata, pelantikan Charles bagi menggantikan pengerusi terdahulu, Datuk Liang Teck Meng yang meletakkan jawatannya, pada 27 April lalu.

“Pelantikan ini diharap dapat menyuntik iltizam bagi melaksanakan tanggungjawab dan objektif SPAN dalam merealisasikan polisi industri perkhidmatan air negara.

“Ini termasuk memandu SPAN bagi memastikan sistem kawal selia dinamik dan progresif untuk menggalakkan pembangunan serta mengurus impak industri perkhidmatan air terhadap masyarakat juga persekitarannya,” katanya.

Pada masa sama, SPAN turut mengucapkan terima kasih kepada Teck Meng atas sumbangan, pengalaman dan idea bernasnya ke arah mencapai aspirasi, visi serta misi suruhanjaya terbabit.

SPAN dipertanggungjawabkan mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang berkuat kuasa, pada 1 Januari 2008.

Ia berperanan menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air serta perkhidmatan pembetungan, di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya juga Labuan.

Categories
SELANGOR

SPAN gagal, Teck Meng harus letak jawatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Liang Teck Meng harus meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ekoran kegagalannya menjalankan tanggungjawab memenuhi misi dan visi suruhanjaya berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Ng Tien Chee berkata, Teck Meng perlu bertangunggjawab atas kegagalan membaiki perkhidmatan air di seluruh negara, terutama Selangor.

“SPAN ditubuhkan dengan misi mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan adil, berkesan dan telus di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

“Ia juga bagi menyokong visi ke arah perkhidmatan air lestari, boleh dipercayai dan mampu dimiliki semua rakyat tetapi mereka gagal sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sejak Teck Meng mengambil alih jawatan itu pada 1 November 2016, ternyata tiada peningkatan dalam industri air di seluruh negara dan SPAN gagal mengawal selia kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Katanya, masalah di LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 500,000 akaun di Lembah Klang, pada 6 Mac lalu dengan tiga pam di kawasan itu tidak dibaiki sejak 2016 menunjukkan kegagalan SPAN mengawal selia industri perkhidmatan air secara efektif.

Tien Chee berkata, Teck Meng juga gagal menasihatkan Kerajaan Persekutuan mengambil alih Splash seperti termaktub di bawah Seksyen 114 WSIA untuk melengkapkan penstrukturan semula perkhidmatan air.

“Ia membuktikan SPAN dan Kerajaan Persekutuan lebih berminat menggunakan isu air sebagai strategi politik menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha merampas Selangor.

“Menurut WSIA, SPAN boleh menasihati atau mengesyorkan kepada menteri untuk membatalkan lesen individu di bawah beberapa keadaan dan dalam kes ini, jelas Splash gagal mematuhi syarat perlesenan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Buat sambungan haram, ladang ternak ayam diserbu

OLEH HAFIZAN TAIB

JERAM, 15 MAC: Sebuah ladang ternakan ayam yang melakukan sambungan air secara haram menerima padah apabila premis terbabit diserbu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan air Negara (SPAN), di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu dilakukan selepas mendapat maklumat dan siasatan berkenannya yang mempercayai pengurusan ladang terbabit melakukan kerja melanggari peraturan, lebih setahun lalu.

Ketua Komunikaksi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pintasan tidak sah disyaki dilakukan pengurusan ladang terbabit menyebabkan pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM129,000 atau 56,000 meter padu air.

“Dalam tempoh dinyatakan itu, Air Selangor hanya mengenakan caj RM36 sebulan.

“Mereka mempunyai paip air sah tetapi membuat sambungan melalui paip pintas daripada paip utama Air Selangor ke ladang ternakan dengan semua air digunakan dimasukkan ke dalam tangki simpanan untuk cucian dan lainnya,” katanya kepada media selepas operasi di kawasan itu.

WhatsApp Image 2017-03-15 at 3.27.42 PMSementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Bahagian Pengurusan Korporat SPAN, Hisyam Samad berkata, penyambungan haram ke ladang itu jelas berlaku berdasarkan operasi penguatkuasaan dan hasil siasatan dijalankan.

Katanya, di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (akta 655), tiada sesiapa selain pemegang lesen boleh membuat sambungan ke sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Jika didapati bersalah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) akta sama,” katanya.

Siasatan SPAN mendapati, premis terbabit mempunyai akaun bekalan air sah berdaftar dengan Air Selangor atas satu nama individu dan digunakan hanya untuk kegunaan rumah pekerja.

Manakala, sambungan bekalan air secara tidak sah digunakan untuk menampung kegunaan operasi harian ladang berkenaan.

-AA-

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan

CYBERJAYA, 15 DIS: Kawasan Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan air sementara ekoran penyenggaraan juga pemasangan sistem perlindungan arka di pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor, pada 19 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Dato’ Mohd Ridhuan Ismail berkata, kerja dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dijadualkan setiap tiga tahun untuk mencegah kerosakan atau gangguan bekalan elektrik tidak terancang di loji rawatan air (LRA).

Katanya, kerja henti tugas itu akan bermula pada jam 6 pagi hingga 10 malam, sekali gus menjejaskan pengoperasian di LRA utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

“Loji terlibat adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA SSP2 dan LRA SSP3 yang membekalkan air terawat 2,800 Juta Liter Sehari (JLH) kepada pengguna.

“Henti tugas sementara LRA Sungai Selangor ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 714,628 akaun atau 4,060,250 pengguna di 804 kawasan,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata, bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat selepas kerja penyenggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan dan LRA beroperasi semula.

Justeru, katanya, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air mencukupi bagi menghadapi gangguan bekalan air sementara itu.

“Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci berkenaan gangguan bekalan air ini boleh merujuk kepada laman sesawang www.syabas.com.my,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

SPAN serbu premis sambung paip haram

Oleh : NORHAYATI UMOR

SUNGAI BULOH, 13 JAN: Sebuah tapak pembinaan Transit Aliran Deras Mussa (MRT) yang melakukan sambungan secara tidak sah diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Dalam operasi mengejut itu, SPAN mendapati terdapat satu sambungan dibuat secara ‘short piece’ menggunakan paip jenis poli berukuran 20 milimeter (mm) pada tetiang meter premis itu.

Loh Pit Mui SPAN aEksekutif Kanan, Unit Komunikasi Korporat SPAN, Loh Pit Mui, berkata ia menyalurkan bekalan air ke kawasan kediaman sementara bagi pekerja di premis berkenaan untuk kegunaan harian.

“Sumber bekalan air adalah berpunca daripada paip utama SYABAS berukuran 150mm.

“Ujian klorin di tapak mengesahkan bekalan air yang diambil adalah air terawat yang disalurkan SYABAS,” katanya pada Operasi Penguatkuasaan Cegah Sambungan Haram, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dilakukan pihak SPAN.

“Di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat sambungan ke sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

SYABAS potong air haram (ASRI) (2)“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pit Mui berkata, operasi itu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, katanya, SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes disyaki melakukan kecurian kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian 03-83179333 atau emel [email protected]

-AA-

Categories
NASIONAL

El Nino: SPAN arah semua negeri pantau empangan, sedia alternatif

SHAH ALAM 11 JAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih belum menerima sebarang laporan kekurangan sumber air disebabkan oleh cuaca panas.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, berkata SPAN meminta supaya semua negeri melalui operator air memantau rapi kedudukan sumber di empangan dan sungai membekalkan sumber air mentah ke loji rawatan air di negeri masing-masing.

SPANKatanya, selain daripada sumber air di empangan dan sungai, Kerajaan Negeri juga diminta mengkaji sumber alternatif seperti air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber.
“Pengguna dinasihatkan berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada bertahan lebih lama,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, keadaan ini adalah disebabkan kejadian fenomena El Nino yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016.

Fenomena El Nino ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 peratus – 60 peratus.

“Walau pun cuaca panas mula dirasai, namun pada masa ini bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan masih lagi dalam
keadaan terkawal,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Perancangan teratur, tiada catuan air di Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 MAC: Persiapan awal yang dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak menimbulkan masalah catuan air di Selangor walaupun menghadapi musim panas ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Datuk Ismail Kassim berkata, program dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama Jabatan Metreologi Malaysia (MetMalaysia) berjalan lancar dan tiada perancangan catuan air setakat ini.

Datuk Ismail Kassim  SPAN“Luas sudah membuat kajian dan catatan bacaan air di empangan. Setakat ini dijangkakan tidak akan berlaku catuan air di Selangor.

“Projek Hybrid off River Augmentation System (Horas) dan beberapa projek lain juga menunjukkan kesan yang baik,” katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya menjangka tidak akan berlaku masalah dan keadaan adalah terkawal berdasarkan perancangan sehingga akhir Mac ini.

“Keadaaan di Selangor masih terkawal dengan bacaan di empangan juga tidak membimbangkan. Bagaimanapun, kita berhati-hati terhadap keadaan di luar jangka,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Cuaca kering: Negeri Sembilan & Johor berjaga-jaga kemungkinan catuan

SHAH ALAM 3 MAC: Cuaca panas dan kering memaksa Negeri Sembilan dan Johor kini diletak dalam keadaan berjaga-jaga selepas paras air di empangan dan sungai di negeri menyusut.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, berkata situasi itu memaksa kemungkinan catuan air membabitkan kawasan tertentu di Johor dilaksanakan.

spanBagi Negeri Sembilan, katanya, kerajaan negeri itu menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) sudah merangka pelan mitigasi jangka panjang yang dijangka mampu menyelesaikan masalah kekurangan sumber air di Empangan Gemencheh.

Antara langkah mitigasi diambil termasuk mendapatkan bekalan air terawat sebanyak 9 juta liter sehari (JLH) dari Melaka untuk Pekan Tampin dan Batang Melaka melalui sistem paip sedia ada.

“Bagi tujuan itu, SAINS akan memasang paip bersaiz 900 milimeter sepanjang 5.25 kilometer (km) untuk menyambung ke sistem agihan sedia ada daripada LRA Gemencheh.

“Kerja-kerja pemasangan paip ini akan dimulakan dan dijangka mengambil masa tiga bulan,” katanya dalam kenyataan media.

Selain itu, katanya, SAINS akan membekalkan air terawat sebanyak 18 JLH ke kawasan terjejas daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sawah Raja sedia ada di Rembau serta membina stesen pam dan paip sepanjang 15 km untuk mengepam air mentah dengan kapasiti 54 JLH daripada Sungai Jelai di Johol ke Empangan Gemencheh.

“Kerja-kerja pembinaan sudah pun bermula dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh masa 10 bulan iaitu sebelum Disember tahun ini,” katanya.

Bagi Johor pula, antara sungai yang mencatatkan paras merosot dan menghampiri paras kritikal ialah Sungai Sembrong Kiri di Kluang, yang membekalkan air mentah ke LRA Sembrong Timur seterusnya membekalkan air terawat ke Daerah Kluang.

“Pada masa ini, pengeluaran LRA Sembrong Timur berkurangan daripada 32 JLH kepada 26 JLH,” katanya.

Ismail berkata, operator air negeri iaitu SAJ Holdings (SAJH) juga terus memantau rapi keadaan bekalan air dan berusaha mengagihkan semula bekalan daripada sistem agihan lain yang berhampiran.

“Sekiranya keadaan benar-benar mendesak, catuan air akan dipertimbangkan,” katanya sambil menambah beberapa empangan di Johor juga turut menyusut, antaranya Empangan Sungai Lebam.

Beliau berkata, bagi mengatasi kekurangan sumber air bagi jangka masa panjang di negeri itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sedang membina Empangan Sungai Kahang.

EZY

Categories
SELANGOR

Kolam pancing sambung air tidak sah, SYABAS rugi RM30,000

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 10 JULAI: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melakukan serbuan mengejut di sebuah kolam pancing ikan, di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif Projek dan NRW, Yusof Badawi, yang mengetuai operasi serbuan berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan membuat satu penyambungan yang dibuat secara pintasan ke atas paip utama SYABAS.

_MG_7511Katanya, premis itu mempunyai akaun bekalan air, namun sambungan paip jenis ‘High Density Poly Ethylene’ (HDPE) yang dibuat tidak melalui sebarang meter air.

“Ujian klorin dilakukan mengesahkan bekalan diterima adalah air terawat SYABAS berdasarkan kepada warna air itu.

“Bekalan air melalui sambungan tidak sah ini kita syaki digunakan untuk tujuan kerja pembinaan kolam baru premis,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Pengarah Komunikasi Korporat SPAN, Carol Pelly.

Terdahulu, beliau mengetuai beberapa penguatkuasa membuat pemotongan terhadap sambungan itu, selain mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan bagi menuntut ganti rugi kehilangan SYABAS.

syabas“Kita menganggarkan kerugian air terawat berjumlah lebih kurang 14,392 meter padu iaitu bernilai lebih kurang RM30,000,” katanya lagi.

Individu atau pihak yang didapati membuat sambungan ke salur utama, selain daripada pemegang lesen adalah melakukan salah di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 123(3) dakta sama.

_MG_7484Sejak awal 2014 tahun hingga 8 Julai lalu, SYABAS merekodkan 1,868 aduan kes curi air dan 176 daripadanya diklasifikasikan sahih.

Anggaran kehilangan air daripada kes berkenaan adalah 2.2 juta meter padu dengan nilai RM5.2 juta.

 

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Makluman terkini status gangguan bekalan air tidak berjadual di lima wilayah Selangor & KL

27 Jun 2014 – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 26 Jun 2014 berhubung dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual yang berlaku di lima wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur disebabkan oleh bekalan air terawat yang diterima SYABAS tidak boleh menampung permintaan.

Seperti sedia maklum, permintaan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini telah meningkat akibat cuaca yang panas yang melanda negara ini. Dalam masa yang sama, rizab marjin air terawat yang mampu dihasilkan oleh loji-loji rawatan air sedia ada adalah rendah, iaitu kurang daripada 2%.

air pahangKekurangan bekalan air yang sedia ada diburukkan lagi dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini iaitu:

i) Gangguan bekalan elektrik yang berlaku Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) selama 2 jam iaitu dari jam 4 pagi hingga 6 pagi pada 24 Jun 2014. Sebagai makluman, secara puratanya LRA SSP1 mengeluarkan sebanyak 960 Juta Liter Sehari (JLH) air terawat.
Gangguan elektrik tersebut telah menjejaskan bekalan air ke Wilayah Klang / Shah Alam memandangkan tempoh yang diambil bagi mengoperasi semula loji ke tahap pengeluaran biasa mengambil masa.

ii) Kejadian paip di dasar laut (submarine) HDPE bersaiz 400 mm yang membekalkan air ke Pulau Ketam telah pecah. Kejadian paip pecah tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada seramai 4,800 pengguna di Pulau Ketam;

iii) Penurunan paras air Sungai Selangor yang menjejaskan pengeluaran LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada 25 Jun 2014. Daripada rekod, pengeluaran loji pada hari tersebut telah berkurangan kepada 670 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa sebanyak 770 JLH. Pengurangan tersebut telah menjejaskan bekalan air ke Wilayah Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling.
Semua pihak yang bertanggung jawab termasuk Operator LRA SSP1 dan SSP3 iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi gangguan bekalan air dan tekanan air rendah tidak berjadual tersebut.

Sehingga kini, bekalan elektrik ke LRA SSP1 telah pulih seperti biasa dan loji tersebut telah beroperasi seperti biasa.

Bagi gangguan bekalan air di Pulau Ketam, SPAN difahamkan bahawa SYABAS telah mengenalpasti kedudukan kasar kebocoran paip.

Walau bagaimanapun, lokasi sebenar masih belum dikesan memandangkan kerosakan paip berlaku di dasar laut. Keadaan di dasar laut akan menyukarkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. SYABAS akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja membaiki dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan sumber air yang cukup di Sungai Selangor, Kerajaan Negeri Selangor selaku pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan kecukupan air mentah di negeri Selangor sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan aliran air Sungai Selangor yang merupakan sumber air mentah bagi LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 melalui pengepaman air daripada kolam-kolam takungan di sekitar Bestari Jaya.

Melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 27 Jun 2014, satu pelarasan yang lebih rapi akan diadakan oleh semua pihak termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Operator Empangan Sg. Selangor, Empangan Sg. Tinggi serta LRA SSP1 dan SSP3 iaitu SPLASH dan Operator LRA SSP2 iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) bagi memastikan pengepaman yang maksimum dapat dibuat daripada kolam-kolam takungan.

Melalui pengepaman daripada kolam-kolam takungan tersebut akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi. Pada 27 Jun 2014, peratus simpanan di Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi masing-masing adalah 42.45% dan 64.57%.

Pada masa ini, SPAN dimaklumkan bahawa kebanyakan kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah telah mula pulih secara berperingkat. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan terutamanya di penghujung sistem dan lokasi tinggi masih belum mendapat bekalan air.

SYABAS sedang menghantar bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan tersebut. SYABAS juga turut menghantar bantuan 2 botol air minum 5 liter kepada setiap keluarga di Pulau Ketam.

Sehubungan itu, SPAN ingin sekali lagi memohon kerjasama semua pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya supaya berhemat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembaziran dalam keadaan cuaca yang panas serta kedudukan paras air di empangan-empangan yang masih rendah pada ketika ini.

Sebarang penjimatan ini boleh membantu dan mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan gangguan berkenaan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)