Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM siasat aset hampir RM1 bilion dimiliki Ku Nan

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengarahkan pegawainya memulakan siasatan ke atas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung pendedahan aset miliknya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Latheefa berkata pendedahan yang dibuat Tengku Adnan atau dipanggil Ku Nan berhubung asetnya semasa membela diri dalam perbicaraan kes rasuahnya merupakan perkara serius.

“Saya telah mengarahkan untuk memulakan siasatan. Isunya bukan mengenai pendedahan aset itu, tetapi mengenai bagaimana dia memperoleh aset berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Semalam, dalam prosiding membela diri bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong, Tengku Adnan memberitahu mahkamah, beliau telah mengisytiharkan asetnya berjumlah hampir RM1 bilion kepada tiga perdana menteri semasa beliau menyertai Kabinet bermula 2001, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Tengku Adnan mengesahkan bahawa beliau telah mengisytiharkan asetnya berjumlah RM938,643,566.16 kepada Dr Mahathir pada 2001, aset berjumlah RM711,325,822.00 kepada Abdullah pada tahun 2006; dan RM691,770,649.00 serta RM782,748,061.00 kepada Najib, pada 2013 dan 2016.

Latheefa dalam pada itu enggan mengulas berhubung spekulasi bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakaman suara: Najib, isteri dipanggil dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 28 JAN: Polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Bukit Aman minggu lalu untuk bantu siasatan kes rakaman suara yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata pihaknya akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan kes terbabit dalam masa terdekat, lapor Berita Harian.

“Kita sudah panggil ahli parlimen Baling minggu lalu. Saksi lain menyusul (dipanggil memberi keterangan) dalam masa terdekat,” kata Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Pada 15 Januari, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berhubung kes terbabit. Turut memberi keterangan Timbalan Ketua Suruhanjaya itu Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik suara dalam rakaman diketahui minggu ini – KPN

IPOH, 21 JAN: Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, dijangka diketahui minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia akan memanggil individu berkenaan untuk memberi kenyataan sebaik sahaja nama mereka diketahui.

“Mereka yang didakwa suara di dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan, “katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (tengah) ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada 8 Januari lepas, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.

Pada 14 Januari lepas, SPRM membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu Latheefa.

Menurut Latheefa laporan polis itu dibuat bagi memberi satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Komplot cemar reputasi, SPRM buat laporan polis

PUTRAJAYA, 14 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu termasuk peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej suruhanjaya itu dan Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Laporan polis itu dibuat oleh Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Sasha Lyna Abdul Latif, di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Sasha Lyna yang ditemui media selepas itu berkata komplot jenayah itu dilakukan dengan menyebarkan pelbagai tohmahan melalui media sosial dengan niat mencemar integriti serta maruah SPRM dan Latheefa.

“Saya telah menyerahkan maklumat dan bukti yang kami terima kepada pihak polis dan juga menyerahkan identiti (mereka) yang menjadi dalang kepada komplot ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan kes itu sedang dalam siasatan polis.

Menurut Sasha Lyna, komplot itu muncul selepas SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd dalam satu sidang media pada 8 Januari lepas.

“Kami percaya ini juga adalah satu intimidasi kepada Ketua Pesuruhjaya (Latheefa) atas apa yang dilakukan pada sidang media itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Semalam, Latheefa dalam kenyataannya berkata laporan polis itu dibuat bagi menghantar satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot itu bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Latheefa berkata beliau akan meneruskan tugasnya untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah walaupun berdepan dengan cabaran seperti serangan peribadi dan ugutan terhadapnya.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan tiga anggota polis diserang pegawai SPRM disiasat – Latheefa

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat laporan mengenai tiga anggota polis yang mendakwa mereka diserang pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan berhubung kes pemerasan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata dakwaan itu akan diteliti secara serius dan kerjasama penuh diberikan kepada polis berhubung laporan berkenaan.

“Tiada toleransi bagi apa jenis serangan dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan satu laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM terbabit yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan itu adalah palsu.

Latheefa menegaskan SPRM meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek.

Jelasnya dalam kes penahanan itu, anggota polis terbabit sedang disiasat SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

Katanya ia merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

Tiga anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun sebelum ini membuat laporan polis mendakwa mereka ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 24 dan 26 Disember lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM sedia tempatkan pegawai di pejabat MB, Ketua Menteri

PUTRAJAYA, 7 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menempatkan pegawai di semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi membantu memperkasakan integriti serta memastikan perkara berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung di peringkat kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Beliau berkata usaha untuk menempatkan pegawai SPRM di semua pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya, namum ia masih bergantung kepada permohonan dari pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Sebelum ini ada beberapa negeri memohon secara rasmi termasuk Johor dan Perak, cuma dari segi proses itu perlu melibatkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2019 di pasar awam Presint 8, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Seri Zakaria Jaafar.

Shamsun berkata ketika ini kerajaan bersetuju untuk memberi tambahan 100 orang setiap tahun, dan beliau berharap jumlah anggota SPRM dapat mencapai angka 5,000 pegawai, supaya segala fungsi di bawah akta suruhanjaya itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mengenai HARA 2019, Shamshun berkata majlis yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini bertujuan melibatkan semua pihak dalam usaha mencegah kegiatan rasuah serta mewujudkan satu budaya di kalangan masyarakat untuk menyatakan tidak dalam apa jua keadaan berhubung pemberian dan penerimaan rasuah.

Beliau berkata tahun ini golongan peniaga kecil dan penjaja menjadi fokus, supaya mereka bersedia dengan pelaksanaan undang-undang liabiliti korporat yang akan mula berkuatkuasa Jun 2020.

Shamshun berkata SPRM akan menggunakan segala platform untuk menyebarkan mesej pencegahan rasuah supaya harapan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah, dapat dicapai.

“Di SPRM, fokus kita masih pada penjawat awam kerana bilangan yang ditangkap pada tahun-tahun lepas majoritinya adalah di kalangan penjawat awam. Di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, antara langkah diambil kerajaan adalah memperkasakan dan mempertingkatkan integriti di kalangan penjawat awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

16 laporan urus niaga pertukaran tanah Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima 16 laporan berhubung urus niaga pertukaran tanah (land swap) membabitkan Kementerian Pertahanan, sejak 25 tahun lepas.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata SPRM bagaimanapun memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Perlu difahami bahawa isu ‘land swap’ ini melibatkan senarai yang panjang, lebih daripada 25 tahun, kami memerlukan lebih banyak masa, di samping menghadapi pelbagai kesulitan dalam mendapatkan bukti serta pengesanan.

“Kita sedang bercakap tentang tempoh 25 tahun yang melibatkan menteri yang berbeza dan ia tidak semudah seperti menyerahkan laporan audit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-11 di sini, hari ini.

Latheefa menegaskan perkataan ‘land swap’ itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu perkara yang salah tetapi tujuan sesuatu pertukaran itu dibuat perlu dikenal pasti.

“Kita perlu tahu kenapa perjanjian itu dibuat dan kita sedang melakukan siasatan. Saya percaya tidak semua kes akan dibawa untuk pendakwaan dan kita perlu memberi sedikit masa,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan susulan laporan Kementerian Pertahanan berhubung isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang sehingga kini belum diterima.

“Kes ini masih dijalankan, kami pastinya akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja kami selesai,” katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut.

Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan akhir membabitkan pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan SPRM berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: SPRM buka bilik gerakan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan jika berlaku sebarang perbuatan rasuah atau salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu ditempatkan di Kompleks Pejabat SPRM Johor, Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi, Johor Bahru.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan menerusi e-mel dan hantar ke [email protected] atau menghubungi talian 07-213 600/07-213 6170 atau 019-654 4680 atau faks 07-2356982,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM menasihatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan, SPRM turut akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan PRK yang berlangsung bebas daripada aktiviti rasuah.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas.

Ia diadakan selepas penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebahagian individu telah beri respon berhubung kompaun 1MDB

PUTRAJAYA, 2 NOV: Sebahagian daripada individu dan entiti yang diberikan kompaun berkaitan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah memberikan respon meminta diberikan masa, pengecualian ataupun bersedia bekerjasama dalam mendedahkan penerima akhir wang tersebut, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“(Mereka) sama ada meminta pengecualian, penyelesaian, cara pembayaran ataupun mereka bersedia untuk bekerjasama untuk memberitahu kami, siapa sebenarnya yang menggunakan wang tersebut. Kami gembira untuk mendapat maklumat supaya kami boleh meneruskan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya selepas Malam Apresiasi Media di sini malam tadi.

Beliau berkata ada antara mereka (penerima kompaun) menghantar surat representasi yang menyatakan ingin membayar, tetapi tidak dapat mampu bayar jumlah yang dituntut dalam kompaun tersebut.

Katanya ada juga yang sedia untuk membayar, tetapi mereka bukan penerima terakhir.

“Jadi jika mereka bersedia beri kita kerjasama untuk memaklumkan siapa yang menerima akhirnya duit tersebut secara salah, jadi kami akan pergi kepada orang tersebut,” katanya.

Latheefa berkata, ada sebilangan mereka telah membuat laporan polis dan kini SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya menyiasat perkara itu lebih lanjut.

Mengenai isu penyeludupan rentas sempadan, Latheefa berkata siasatan masih diteruskan dan ia bergantung kepada kerjasama pihak polis dan kastam.

“Ia satu operasi yang berterusan dan polis telah membuat tangkapan dan pertukaran. Kami harap lebih ramai orang akan tampil untuk bantu siasatan dalam mencegah bolos sempadan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MB: Pegawai SPRM ditahan, kerjasama integriti ‘terganggu’

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan integriti pentadbiran terjamin ‘terganggu’ ekoran pegawai yang terbabit ditahan bersabit kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

azmin012Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pertemuan yang diatur tiga minggu lalu terpaksa ditangguhkan kepada tarikh lain bagi mengelak salah faham sesetengah pihak.

Katanya, pertemuan itu bertujuan memberi ruang kepada Adun untuk berbincang langkah terbaik memastikan integriti terjamin.

“Bagi memastikan nilai murni dipertahankan dalam semua pentadbiran, Kerajaan Negeri mahu menjalin kerjasama dengan SPRM dan pihak mereka setuju untuk turun ke Selangor.

“Namun, ia terbatal kerana SPRM diburu, dikejar dan ditahan. Untuk mengelakkan salah faham, pertemuan itu ditangguhkan kerana pegawai yang memberi taklimat berkemungkinan ada dalam lokap,” katanya ketika sesi penggulungan isu integriti yang dibangkitkan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata Kerajaan Negeri dalam perbincangan untuk menubuhkan sebuah institusi integriti.

Katanya, cadangan itu kini giat dibincangkan bersama Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) bagi melaksanakan enakmen kawal urus integriti.

“Kita bercadang mengangkat sebuah pejabat integriti untuk diinstitusikan. Ketika ini, C4 sebagai badan bukan kerajaan (NGO) berbincang melaksanakan satu enakmen dan mengemukakan cadangan balas berkenaanlangkah perlu diambil.

“Ia adalah enakmen yang memberi mandat perundangan urusan integriti dalam Kerajaan Negeri. Kita juga sedang berbincang dengan Majlis Peguam Negara untuk melaksanakannya bersama mereka.

“Kita juga sedang meneliti jika negeri lain sudah mewujudkan cadangan ini dan boleh diambil contoh.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif. Contohnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama 11 anak syarikatnya menandatangani Ikrar Integriti Korporat bersama SPRM dan Transparancy International,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Majlis Peringatan Teoh Beng Hock 24 Julai

 teoh beng hock mak kakak

SHAH ALAM 2 JUL : Sempena ulang tahun keempat kematian Teoh Beck Hock, parti DAP mempelawa orang ramai untuk menyertai Majlis Memperingati Mendiang yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Anggota Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah yang juga Adun Seri Kembangan, majlis tersebut akan diadakan di Nirvana Memorial Park, Semenyih pada jam 8.30 pagi.

“Ini juga sebagai satu mesej bahawa sehingga hari ini keluarga mendiang dan rakyat Malaysia masih menunggu-nunggu penjelasan penuh pihak SPRM ( Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Kerajaan BN (Barisan Nasional) berhubung kematian seorang saksi di bawah pengawasan ketat.

“Kami juga percaya kematian mendiang bukanlah kerana membunuh diri dan terdapat pihak-pihak yang menyembunyikan kebenaran daripada rakyat,” jelas Ean Yong dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di lobi Annex bangunan Annex pagi tadi turut dihadiri Adun Bukit Gasing, R.Rajiv dan Adun Teratai, Tiew Way Keng.

Dalam pada itu, DAP turut menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengarahkan siasatan semula kes kematian Beng Hock supaya mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan saja keadilan untuk Beng Hock tidak dapat ditegakkan.  Lebih membimbangkan, terdapat juga kes-kes kematian dalam lokap yang masih tidak dapat dihentikan pihak berkuasa berkaitan.

“Dengan itu kami juga menggesa agar Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan agar kejadian sama tidak berulang,” tegas Ean Yong lagi.

Beng Hock merupakan seorang bekas pembantu Ean Yong yang ditemui mati di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam di sini pada bulan Julai 2009.

Pada malam sebelum beliau ditemui mati, Beng Hock hadir sebagai saksi di dalam satu kes siasatan SPRM di pejabat agensi itu yang terletak di tingkat atas bangunan tersebut.

Siasatan kerajaan persekutuan dalam kematian Beng Hock mendapati tiada unsur jenayah di dalam kematian itu. Siasatan itu juga mendapati Beng Hock tidak membunuh diri.

Sementara itu, antara tahanan polis yang mati pada tahun ini ialah Karuna Nithi di balai polis Tampin, Melaka pada 2 Jun, James Ramesh (Pulau Pinang, 26 Mei) dan N. Dharmendran (Kuala Lumpur, 21 Mei).