Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan tandatangan watikah bubar DUN Johor

JOHOR BAHRU, 22 JAN: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“(Menurut) Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene di sini pada 5 petang.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pertemuan itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Ibrahim murka pemburuan haram makin berleluasa di Johor

JOHOR BAHRU, 9 OGOS: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka kerana aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri itu dengan yang terbaharu dipercayai malam tadi.

Baginda yang turut menzahirkan kekecewaan kerana tiada tindakan diambil sekalipun pernah beberapa kali membangkitkan tentang isu pemburuan haram itu sebelum ini, mahu pihak berkenaan menyiasat kejadian tersebut.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi.

“Kesemua pemburu ini dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah baginda menerima maklumat berserta gambar mengenai aktiviti pemburuan haram berskala besar itu dan mahu dalang di sebalik kegiatan berkenaan serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

“Berdasarkan maklumat awal, antara lokasi pemburuan haram ialah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda juga mahu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti jika terdapat penglibatan ‘orang dalam’ daripada Perhilitan dan polis yang membantu kegiatan haram itu.

“Saya mahu polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan. Mengapa ramai sangat memiliki senapang patah? Sudah tentu ia untuk memburu,” titah baginda.

Titah Sultan Ibrahim, aktiviti pemburuan tidak dibenarkan di negeri itu kecuali untuk mengawal binatang liar di ladang atau kawasan pertanian.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

RTS: Sultan Johor berkenan serah tanah di Bukit Chagar

JOHOR BAHRU, 4 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyerahkan tanah milik baginda di Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa sebarang kos jika tanah itu terbabit untuk projek Sistem Rapid Transit (RTS).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Noah berkata, Sultan Ibrahim bertitah dengan syarat, projek RTS itu mesti diteruskan segera kerana baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang alik ke Singapura.

Beliau berkata, Sultan Johor berasa kecewa di atas satu berita yang mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik baginda di Bukit Chagar itu.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik baginda yang akan terbabit untuk projek RTS.

“Namun begitu, Sultan Johor bertitah bahawa jika benar tanah milik baginda tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS, maka baginda tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terbabit kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

“Dengan syarat, projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook Sultan Johor, hari ini.

Jaba berkata, sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Sultan Johor dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menuntut kembali tanahnya di Bukit Chagar, Johor Bahru jika benar telah ditukar hak milik kepada Sultan Johor tanpa melalui proses yang betul.

Perdana Menteri berkata, jika tanah berkenaan telah dibeli oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu membelinya semula kerana ia milik Kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, yang mendakwa kononnya tanah itu telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Laporan itu juga mendakwa, Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik terbabit pada 28 Jan lepas.

Lokasi dimaksudkan adalah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh Kerajaan Negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

-BERNAMA