Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan: Jangan kongsi video haiwan liar elak ancaman pemburu haram

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video penemuan haiwan liar menerusi media sosial bagi mengelak ancaman pemburu haram.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata video tersebut sebaliknya perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar menerusi media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi tersebut namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Malam tadi, satu video berdurasi 33 saat tular menerusi media sosial yang memaparkan kemunculan seekor harimau dijumpai seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki tersebut mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak dan kemudian melintas di laluan yang digunakan penduduk kampung.

Loo berkata pihaknya setakat ini belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung penemuan harimau tersebut.

“Individu yang terserempak dengan harimau sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia bertindak agresif. Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada Perhilitan untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Veteran tentera, polis dilantik renjer, kekang aktiviti buru hidupan liar

KUALA LUMPUR, 22 JAN:- Seramai 800 individu termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli hari ini dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu terdiri daripada 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15  Veteran Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Adalah diharapkan dengan pelantikan Renjer Hidupan Liar di bawah Program BP3 ini dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BP3 adalah program membenteras jenayah melibatkan hidupan liar di bawah Perhilitan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020.

Ia melibatkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau serta Sungkai.

Ali berkata kepakaran VET dan OA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan panas dengan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Katanya, penglibatan VET dan OA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Ali memaklumkan program BP3 itu turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO)

Beliau berkata antara NGO terlibat termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia.

Ali berkata program berkenaan merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 Sept 2019 dan strategi terbaharu dalam meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan dan pemburuan serta pembalakan haram.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Harimau kumbang jantan serang anggota Perhilitan ditembak mati

IPOH, 10 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terpaksa menembak seekor harimau kumbang jantan yang menyerang kakitangan agensi terbabit di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini semalam.

Perhilitan memaklumkan tindakan pantas melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau itu sebagai langkah mempertahankan keselamatan petugas yang telah diserang berhampiran kawasan semak di kebun getah, kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya ketika kejadian berlaku, anggota berkenaan sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki Orang Asli berusia 18 tahun cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

“Empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemui Tok Batin Pos Perwor di lapangan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan menunjukkan lokasi kejadian serta turut membawa perangkap bersesuaian bagi menangkap hidupan liar tersebut.

“Setelah ditunjukkan lokasi kejadian, mereka mula menjejaki kesan-kesan yang ada dan telah menemukan beberapa kesan tapak dipercayai harimau dan kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang berkenaan didapati ia dalam lingkungan usia sembilan dan 10 tahun dan terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan paha harimau kumbang berkenaan semasa pergelutan dengan mangsa Orang Asli.

“Turut ditemukan pada karkas atau bangkai, seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang. Kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia.

“Sehubungan itu, Perhilitan  menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk proses bedah siasat.

“Penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan rampas 12 ekor tarantula pelbagai spesies

SEREMBAN, 23 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merampas 12 ekor pelbagai spesies tarantula (kumpulan labah-labah yang besar dan berbulu) hasil pemeriksaan penguatkuasaan ke atas sebuah premis di sini, pada 6 Okt lepas.

Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata hidupan liar berkenaan disimpan si pemiliknya tanpa sebarang dokumen penyimpanan sah yang dikeluarkan pihak Perhilitan Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, laporan polis kemudian dibuat petugas agensi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.

“Kesemua barang rampasan itu dibawa ke pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara sehingga maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA

 

Anggota penguat kuasa Perhilitan membuat pemeriksaan di sebuah premis terletak sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan pada 6 Oktober 2021. Foto Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia
Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada laporan harimau kumbang berkeliaran di Semenyih – Perhilitan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Tiada laporan dibuat mana-mana pihak berhubung seekor harimau kumbang yang dilihat berlegar di sebuah kawasan didakwa Semenyih yang videonya tular, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhassan berkata setakat ini, pihaknya belum dapat mengesahkan kesahihan video berkenaan kerana terdapat pihak mendakwa lokasi video itu adalah di Negeri Sembilan atau Melaka.

“Bagaimanapun, pada masa sama pihak Perhilitan Selangor akan memantau kawasan yang dikatakan dilihat harimau kumbang berkenaan berkeliaran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi memberitahu sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan mengenai video berkenaan.

Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat menunjukkan kelibat seekor harimau kumbang berlegar di sebuah kawasan didakwa di Beranang, Semenyih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemburu haram: Cadangan denda RM1 juta, penjara 15 tahun

SEPANG, 19 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram melibatkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata cadangan meningkatkan hukuman itu daripada denda maksimum RM500,000 dan penjara lima tahun sekarang akan melibatkan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Jika tiada apa-apa halangan, kita akan bawa masuk pindaan akta (ke Parlimen) pada hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang bertujuan melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), Mohd Rahim Rani.

Abdul Kadir berkata kes pemburuan haram semenjak 10 tahun lepas membabitkan orang tengah warga tempatan, manakala pemburu haram pula kebanyakannya ‘orang luar’ dari Vietnam, Thailand dan Kemboja yang biasanya masuk ke hutan selama 90 hari untuk memasang jerat.

“Masalahnya orang tengah itu adalah orang Malaysia yang menyusun atur kemasukan mereka dari sempadan,” katanya.

Abdul Kadir berkata sebanyak 12 operasi berkaitan pemburuan haram telah dijalankan tahun ini sehingga Ogos lepas dan 43 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah membabitkan 86 pesalah serta nilai sitaan sebanyak RM1.37 juta.

Daripada 86 pesalah itu, ia membabitkan 62 warga tempatan, Indonesia (9), Kemboja (7) dan masing-masing empat individu dari Vietnam dan Sudan, katanya.

Dalam tempoh OBK dilaksanakan antara 3 Sept tahun lalu dan Ogos tahun ini, Abdul Kadir berkata antaranya sebanyak 543 jerat telah dimusnahkan, 76 khemah pendatang tanpa izin dikesan dan 16 kes tebangan pokok karas dikesan.

Menurutnya, satu kejayaan pelaksanaan OBK ialah penahanan seorang suspek yang sangat dikehendaki dan aktif dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar lain di Jerantut, Pahang, pada 10 Julai lalu.

“Dia akan potong gading gajah dan hantar ke negara jiran. Suspek ditahan di Jerantut tapi dia banyak bergerak di Kelantan dan Perak,” katanya, serta menambah bahawa suspek adalah warga tempatan yang dipercayai telah ‘menumbangkan’ 10 ekor gajah.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli bagi menjadi ‘mata dan telinga’ untuk menyalurkan maklumat berhubung pemburuan haram.

Menurutnya, tindakan pemburu haram memasuki hutan simpan adalah satu kesalahan dan kini terdapat pula kes ‘menanda pokok’ di lokasi hutan simpan dipercayai untuk jualan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Ibrahim murka pemburuan haram makin berleluasa di Johor

JOHOR BAHRU, 9 OGOS: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka kerana aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri itu dengan yang terbaharu dipercayai malam tadi.

Baginda yang turut menzahirkan kekecewaan kerana tiada tindakan diambil sekalipun pernah beberapa kali membangkitkan tentang isu pemburuan haram itu sebelum ini, mahu pihak berkenaan menyiasat kejadian tersebut.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi.

“Kesemua pemburu ini dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah baginda menerima maklumat berserta gambar mengenai aktiviti pemburuan haram berskala besar itu dan mahu dalang di sebalik kegiatan berkenaan serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

“Berdasarkan maklumat awal, antara lokasi pemburuan haram ialah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda juga mahu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti jika terdapat penglibatan ‘orang dalam’ daripada Perhilitan dan polis yang membantu kegiatan haram itu.

“Saya mahu polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan. Mengapa ramai sangat memiliki senapang patah? Sudah tentu ia untuk memburu,” titah baginda.

Titah Sultan Ibrahim, aktiviti pemburuan tidak dibenarkan di negeri itu kecuali untuk mengawal binatang liar di ladang atau kawasan pertanian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan tahan lelaki bela haiwan spesies dilindungi

JOHOR BAHRU, 5 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menahan seorang lelaki yang didapati memelihara seekor anak beruang matahari dan beberapa spesies burung yang dilindungi tanpa permit, melalui satu operasi, di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, berdasarkan maklumat diterima pihaknya, empat pegawai Perhilitan bertindak menyerbu sebuah permis perniagaan di Jalan Padi Makmur, Bandar Baru Uda, 4.30 petang semalam lalu menemui seekor anak beruang matahari atau beruang madu.

“Hasil pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun disyaki pemilik premis berkenaan didapati memelihara haiwan yang dilindungi tanpa dokumen sah di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Dia kemudian ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Salman berkata, selain anak beruang betina berkenaan, turut ditemui adalah sembilan ekor burung daripada spesies Rose Ring Paraket, seekor Sulfur Creasted Culcatoo (Cacature galerita) dan seekor Blue and Gold Macau (Ara ararauna).

Beliau berkata, kesemua haiwan yang dianggarkan bernilai RM37,000 itu dipercayai sudah dipelihara dalam tempoh setahun ini sebagai hobi lelaki terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penyanyi wanita simpan anak beruang matahari ditahan

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominumnya di Desa Pandan di sini, semalam.

Wanita berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 8 malam selepas pihak Perhilitan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya selepas menerima maklumat awam.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, ketika dihubungi, mengesahkan penahan wanita itu bagi membantu siasatan kes itu.

“Wanita itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen pemilikan beruang itu,” katanya.

Beliau berkata wanita itu disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dlindungi tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Video berdurasi lima saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di laman sosial hari ini. -BERNAMA