Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia, Singapura setuju teruskan projek RTS

JOHOR BAHRU, 30 JULAI: Malaysia dan Singapura bakal “bertemu” atas Tambak Johor pagi ini bagi menyatakan “secara simbolik” persetujuan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, sama-sama menjadi “saksi” simbolik persetujuan itu.

Pada pertemuan ringkas itu juga, Malaysia akan diwakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sementara itu, Singapura bakal diwakili Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ia juga dianggap bersejarah dan simbolik memandangkan ini adalah pertemuan pertama kali antara Muhyiddin dan Lee di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai antara laluan darat “tersibuk di dunia” dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Ini juga pertama kali Muhyiddin “bersemuka” dengan Lee sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sementara Lee baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lepas, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.

Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju “untuk buat kali terakhirnya” meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu, melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia itu, kini dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telahpun dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan dijangka siap akhir hujung 2026.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Enam bulan untuk kerajaan kaji manfaat RTS – Dr Mahathir

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Kerajaan akan menjalankan kajian selama enam bulan terhadap projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura untuk menentukan sama ada ia bermanfaat kepada negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan terdahulu telah memeterai perjanjian tertentu berhubung beberapa projek di Malaysia.

“Kami berpendapat kontrak itu terlalu mahal dan terdapat bukti berlakunya rasuah dan kami telah lama membuat keputusan iaitu sebelum kami menjadi kerajaan lagi untuk tidak meneruskan projek-projek ini.

“Bagaimanapun, dengan tidak meneruskan projek-projek ini atau membatalkannya akan melibatkan bayaran pampasan amat tinggi,” katanya pada majlis di Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo, Jepun hari ini.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sekarang memutuskan untuk mengurangkan kos projek berkenaan dan berunding semula dengan kontraktor, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan kerajaan berjaya mengurangkan RM21 bilion daripada kos asal.

“Sekarang kami juga ada projek lain, yang kami mungkin menangguhkannya, sama ada menangguhkan atau mengurangkan skop atau kosnya. Inilah yang kami sedang lakukan, tetapi kami melakukannya menerusi rundingan,” katanya.

Antara lain, beliau berkata Malaysia memerlukan dua tahun untuk membuat keputusan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Semua ini diselesaikan secara baik antara kerajaan Malaysia dan kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

RTS: Sultan Johor berkenan serah tanah di Bukit Chagar

JOHOR BAHRU, 4 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyerahkan tanah milik baginda di Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa sebarang kos jika tanah itu terbabit untuk projek Sistem Rapid Transit (RTS).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Noah berkata, Sultan Ibrahim bertitah dengan syarat, projek RTS itu mesti diteruskan segera kerana baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang alik ke Singapura.

Beliau berkata, Sultan Johor berasa kecewa di atas satu berita yang mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik baginda di Bukit Chagar itu.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik baginda yang akan terbabit untuk projek RTS.

“Namun begitu, Sultan Johor bertitah bahawa jika benar tanah milik baginda tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS, maka baginda tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terbabit kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

“Dengan syarat, projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook Sultan Johor, hari ini.

Jaba berkata, sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Sultan Johor dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menuntut kembali tanahnya di Bukit Chagar, Johor Bahru jika benar telah ditukar hak milik kepada Sultan Johor tanpa melalui proses yang betul.

Perdana Menteri berkata, jika tanah berkenaan telah dibeli oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu membelinya semula kerana ia milik Kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, yang mendakwa kononnya tanah itu telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Laporan itu juga mendakwa, Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik terbabit pada 28 Jan lepas.

Lokasi dimaksudkan adalah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh Kerajaan Negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan tuntut semula tanah RTS jika dipindah milik

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menuntut semula tanah yang digunakan untuk pembinaan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, jika benar ia telah dipindah milik kepada mana-mana pihak.

Perdana Menteri berkata sesiapa sahaja yang ingin membuat pengambilan tanah, perlu melalui proses sedia ada.

“Ya…kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan oleh mana-mana pihak, mereka mestilah melalui proses sedia ada, apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa pun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan satu daripada lima plot tanah untuk projek RTS dipindah milik kepada Sultan Johor, ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Ditanya sama ada tanah itu dibeli oleh baginda, beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mendapat sebarang laporan penuh mengenai perkara itu.

“Kita (kerajaan) dengar khabar-khabar angin daripada press (media) bahawa tanah ini telah diambil alih oleh Sultan Johor. Tentang bayaran kita tidak tahu,” katanya.

Kerajaan pada awal bulan April lepas memohon pelanjutan enam bulan sehingga September daripada Singapura, untuk membuat keputusan mengenai projek RTS.

Perjanjian dua hala mengenai projek itu ditandatangani pada Januari 2018 semasa pentadbiran BN sebelum ini.

Projek itu pada awalnya dijadualkan dibina tahun ini, dan dijangka siap pada Disember 2024.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia membeli semula tanah itu daripada Sultan Johor, Dr Mahathir menjawab: “Jika dia (Sultan Johor) telah bayar, tentu sekali kita perlu beli balik, tetapi jika dia belum bayar, kita tidak beli semula … itu tanah kita. Kita perlukan tanah itu untuk tujuan membina bangunan tertentu yang perlu,” katanya.

Perdana Menteri juga menolak tanggapan bahawa isu terbabit akan mengeruhkan lagi hubungan antara kerajaan persekutuan dan istana Johor.

“Tidak ada ketegangan, ketegangan apa?”, katanya.

Kepada persoalan sama ada pelanjutan tempoh enam bulan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan pemilikan tanah oleh Sultan Johor, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak fikir tuanku nak rampas tanah persekutuan. Kita nak buat tuntutan, kita nak tunjukkan sebenarnya (tanah) itu kita punya”.

Terdahulu Dr Mahathir menjelaskan kerajaan bersetuju untuk pelanjutan tempoh enam bulan bagi mengkaji semula sama ada projek RTS itu akan diteruskan, atau kerajaan mengemukakan cadangan lain.

“…tetapi yang jelas RTS tidak selesaikan masalah trafik dihadapi antara Singapura dengan Malaysia. Jika kita bina kereta api itu, ia tidak boleh membawa kesemua penumpang yang melalui dari, dan ke Singapura, dan tidak dapat membawa kesemua motosikal, kereta api ini terhad dalam kapasitinya,” katanya.

Projek Rangkaian RTS jika dilaksanakan akan meliputi laluan rel sepanjang 4 km menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura, dengan kapasiti membawa 10,000 penumpang sejam.

-BERNAMA