Categories
NASIONAL

Jumlah pesakit akibat gas beracun ditahan di wad menurun

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di wad dua hospital akibat pencemaran gas beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang mencatatkan trend menurun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga jam 12 malam tadi, hanya 29 orang ditahan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sehingga 12 malam tadi, kita kendali 62 mangsa dalam wad di HSI dan HSA dengan kemasukan 29 mangsa yang baru, dan empat kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang diintubasi dan memerlukan rawatan bantuan penafasan.

“Walau bagaimanapun, tiada kes baru di ICU bagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM),” tulisnya di laman Twitter, pagi tadi.

Pada 12 Mac lalu, seramai 125 mangsa ditahan di wad kedua-dua hospital.

Kemudian, 15 Mac lalu pula merekodkan 75 mangsa ditahan, dan yang terakhir 12 malam tadi hanya 29 mangsa ditahan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Proses pembersihan 1.5km Sungai Kim Kim selesai

JOHOR BAHRU, 17 MAC: Proses pembersihan sepanjang 1.5 km Sungai Kim Kim yang dimulakan sejak Rabu lepas, ekoran pembuangan sisa kimia, sudah selesai hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, bagaimanapun, pemantauan terus dilakukan hari ini bagi meneliti sebarang langkah yang boleh dilakukan.

“Sungai Kim Kim sejauh 1.5 km yang tercemar sudah dibersihkan tetapi hari ini kita mahu tengok apa-apa lagi yang kita boleh ‘touch up’.

“Hari ini, kita boleh kata ia adalah hari pemantauan. Selepas pantau, barulah kita boleh tengok apa langkah seterusnya yang boleh dibuat,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana yang dibuka di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Menara Aqabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Yeo berkata, pada masa sama, seramai 30 pasukan melibatkan anggota JAS dan Jabatan Kimia digerakkan ke 30 sekolah di sekitar kawasan terjejas, hari ini, bagi memantau kualiti udara dengan menggunakan alat pengesan gas.

Beliau berkata kesemua 30 sekolah itu jaraknya tiga hingga sembilan kilometer dari Sungai Kim Kim. “Sebelum ini kita sudah buat (memantau kualiti udara) di tempat berbeza-beza…dan didapati kualiti adalah tahap selamat.

“Tetapi, liputan kita hari ini akan menjadi besar kerana pembersihan sungai sudah pun siap,” katanya dengan menambah hasil laporan penuh kualiti udara tersebut akan didedahkan esok. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: 143 orang masih terima rawatan di wad

JOHOR BAHRU, 17 MAC: Seramai 143 orang yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang masih menerima rawatan di wad hospital, setakat tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata kesemua mereka termasuk 36 orang yang dirujuk di hospital luar daerah ini dan 29 orang di hospital luar negeri Johor.

“Setakat 12 malam tadi, tujuh pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

“Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai pula adalah seramai 108 orang,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Dr Sahruddin, dalam pada itu, berkata seluas 1.3 kilometer (km) daripada 1.5 km kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan setakat 4 petang semalam.

Beliau berkata kerja pembersihan berjalan lancar setakat ini dengan kerja dilakukan tanpa henti sejak dimulakan Rabu lepas.

“Baki 200 meter lagi akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya satu hingga dua hari akan datang,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 550 metrik tan tanah dan enap cemar serta 700 metrik tan air tercemar sudah dikumpulkan setakat 4 petang semalam.

Katanya, orang ramai terus dinasihati supaya tidak menghampiri kawasan kejadian selain dalam masa sama mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti luar.

Sehingga kini, institusi pendidikan di Pasir Gudang masih lagi tidak beroperasi dan hanya akan memulakan sesi pembelajaran setelah diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa, katanya. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: Seorang wanita mangsa pencemaran sisa bahan kimia Sungai Kim Kim menerima rawatan di Medic Base Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.
Setakat ini mangsa yang menerima rawatan ekoran pencemaran tersebut adalah 4,035 orang.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Categories
NASIONAL

Tingkat penguatkuasaan pantau tahap pencemaran sungai

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan perlu mempertingkatkan lagi langkah penguatkuasaan mereka dalam memantau tahap pencemaran di semua sungai, di negeri ini.

Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia, Vincent Chow yang membuat gesaan demikian berkata, langkah pemerkasaan perlu kerana penguatkuasaan sedia ada kurang berkesan dalam menangani masalah berkenaan

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mendapat banyak aduan daripada masyarakat setempat berhubung pencemaran di kawasan mereka, namun tiada tindakan konkrit diambil pihak berkenaan dalam menyelesaikan isu terbabit.

“Kekurangan kehadiran mereka (penguat kuasa) untuk memantau pencemaran tidak hanya berlaku di Sungai Kim Kim, malah di sungai lain.

“Ini adalah satu kelemahan besar dan saya percaya kejadian ini merupakan tamparan kepada pihak-pihak terlibat bagi memperingkatkan keanggotaan mereka yang membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Chow berkata, bagi mengelak insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil serius setiap aduan yang dibuat penduduk berhubung pencemaran.

“Jika penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat aduan, bermakna perkara yang diadu memang berlaku.

“Pergi siasat dan adakan pertemuan dengan penduduk supaya kita tahu gambaran yang sebenar. Ini kerana ada perkara kita tidak boleh buat rumusan ringkas, sebaliknya perlu menyeluruh,” kata beliau. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua hari lagi untuk bersihkan Kim Kim

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Pasukan pembersihan mempunyai tempoh singkat iaitu dua hari sahaja lagi untuk memastikan proses pembersihan Sungai Kim Kim dapat diselesaikan tepat pada masanya.

Ini berikutan hujan diramalkan turun pada Selasa ini, yang dibimbangi boleh membantutkan usaha pembersihan sungai berkenaan, sekaligus menjadikan pencemaran di sungai itu lebih teruk lagi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, setakat ini, operasi pembersihan sungai yang tercemar itu berjalan lancar.

“Kita berharap hari ini, hari esok, dua hari adalah maksimum kita boleh bersihkan. Kalau tiada hujan, cuaca baik, kita boleh bersihkan dengan baik.

“Status pembersihan Sungai Kim Kim semalam berjalan dengan baik. (Ia) satu perkembangan yang baik. Gerakan pantas. Sepanjang satu kilometer telah dibersihkan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melawat Medic Base di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis berkata sekiranya berlaku hujan yang lebat, ia boleh membahayakan berikutan kebimbangan pencemaran boleh tersebar luas .

“Saya difahamkan bahawa kerja-kerja pembersihan akan disegerakan dalam tempoh dua hari ekoran daripada ramalan hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum ini,” kata beliau.

Setakat ini, indeks kualiti udara kini berada di bawah 3 ppm (partikal setiap juta) iaitu paras berjaga-jaga.

Sekiranya bacaan lebih, dikhuatiri boleh mengundang bahaya, kata Yahaya.

“Sekiranya terdapat bacaan yang merbahaya, pihak bomba akan berbincang dengan komander operasi iaitu ketua polis negeri dan akan dibawa ke pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Buat masa ini, difahamkan kira-kira 100 termasuk pegawai, anggota keselamatan, kakitangan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), kontraktor serta ]agensi lain yang turut terlibat dalam operasi pembersihan di sungai berkenaan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Operasi Kim Kim: 680 meter kawasan sudah dibersihkan

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Kerja pembersihan Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bertungkus lumus dalam memastikan pencemaran sisa toksik di sungai berkenaan dapat dikekang daripada merebak.

Mereka yang terbabit dalam operasi pembersihan ialah pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Nyah Cemar Kimia, Biologi, Radilogikal dan Nuklear (CBRN) yang ditubuhkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa syarikat swasta serta tiga kontraktor yang dilantik.

Mereka yang turun ke kawasan sungai berkenaan seawal 7 pagi dilihat bertungkus lumus menanda kawasan, memeriksa kadar pencemaran sungai dan udara, menyediakan peralatan yang digunakan sambil memakai pakaian dan kelengkapan yang secukupnya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sehingga petang tadi, pasukan pembersih telah berjaya membersih kawasan terjejas paling teruk iaitu sejauh 680 meter di Sungai Kim Kim iaitu di kawasan pembuangan berlaku.

Katanya, kontraktor yang dilantik akan terus melakukan kerja pembersihan selama 24 jam dan ada baki 900 meter lebih lagi yang perlu diselesaikan.

“Ini adalah merupakan perjalanan kerja yang baik dan kita kalau boleh ingin percepatkan namun pada masa yang sama akan membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan di jalankan,” katanya.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa saintifik diharapkan dapat mengumpul data akibat pencemaran sisa bahan kimia supaya dapat mengelak perkara yang sama berulang.

Sementara itu, salah seorang daripada kontraktor yang dilantik berkata seramai 60 orang bertugas 24 jam bagi memastikan pembersihan sungai dapat diselesaikan mengikut jadual.

Pembersihan bukan sahaja tertumpu kepada pencemaran semata-mata tetapi keseluruhan pembersihan termasuk dasar sungai.

Sementara itu, CBRN yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 33 anggota juga komited dalam menjalankan tugas pembersihan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pencemaran Kimia: Tiada tangkapan setakat ini – KPN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan insiden itu.

“Kita terima 51 laporan polis, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun),” katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai perkembangan kes pencemaran bahan kimia itu.

Beliau berkata, kira-kira 150 anggota termasuk daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi memantau dan mengawal kawasan pencemaran itu.

Kejadian pencemaran bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup itu dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang dilaporkan pada 7 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya menerima lebih 50 laporan polis berhubung himpunan Hari Wanita Sedunia pada Sabtu lepas dan sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Mereka tidak mengikut prosedur yang betul, disebabkan itu kita tak keluarkan kebenaran. Bila ada laporan polis kita siasat secepat mungkin untuk serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita siasat sebab tak bagi notis pun mereka teruskan…untuk kata kita jangan siasat sebagainya itu bukan tanggungjawab mereka…tapi tanggungjawab PDRM (Polis Diraja Malaysia) (untuk siasat),” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan gesaan pihak tertentu supaya polis menghentikan siasatan itu.

BERNAMA melaporkan enam individu telah hadir untuk memberi keterangan kepada polis baru-baru ini berhubung perhimpunan itu yang dilapor turut disertai penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Dataran Merdeka di sini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyaksikan majlis terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara Ahad ini.

– Bernama

Categories
NASIONAL

Dua pusat rawatan ditutup, diganti ke Stadium Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Dua pusat rawatan awal mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang ditutup, petang semalam ekoran keduanya berada di Zon Merah iaitu radius satu kilometer dari Sungai Kim Kim.

Dua pusat rawatan itu adalah Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata berikutan itu, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, memutuskan kedua-duanya ditutup, kira-kira 6 petang semalam lalu digantikan dengan pembukaan pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

“Stadium Tertutup Pasir Gudang terletak di zon hijau iaitu kawasan selamat dengan jaraknya lima kilometer dari kawasan tercemar dan dapat menampung ramai mangsa,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata sehingga semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai terdapat pencemaran air yang tersebar sehingga ke Sungai Tiram dan dakwaan pencemaran merebak ke Pelabuhan Johor.

Beliau turut menegaskan, bagi memastikan keadaan terus terkawal, orang awam terutamanya penduduk diminta supaya tidak datang ke kawasan tercemar bagi menyaksikan kerja-kerja pembersihan kerana kawasan berkenaan terdedah kepada bahaya jika tidak memakai pakaian bersesuaian.

“Orang ramai juga dinasihati segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas di pusat rawatan awal, di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, penting bagi orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerja pembersihan Sungai Kim Kim diteruskan hari ini

JOHOR BAHARU, 14 MAC: Kerja pembersihan sisa kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang diteruskan hari ini dengan kesemua pihak dan agensi terbabit memulakan kerja seawal 10.30 pagi.

Tinjauan di lokasi kejadian menyaksikan anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tiga kontraktor yang dilantik kerajaan negeri untuk kerja-kerja pembersihan sungai sibuk menjalankan operasi dengan sebuah jentolak turut digunakan untuk mengorek tanah di tebing sungai.

Sebelum ini, pasukan pembersihan melakukan kerja-kerja menanda dan mengenal pasti kawasan tercemar sepanjang 1.5 kilometer ke hulu Sungai Kim Kim.

Pasukan Hazmat JBPM dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) membuat pembersihan awal sisa tumpahan kimia di darat dan yang timbul di permukaan sungai dengan 2.43 tan bahan kimia bercampur tanah dibersihkan pada 7 Mac.

Insiden pencemaran sisa kimia yang dilaporkan berlaku sejak 7 Mac telah menyebabkan seramai 947 orang awam dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup sehingga kini.

Sementara itu, kenyataan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyatakan kerajaan pusat akan menanggung kos operasi pembersihan bahan kimia tersebut bersama-sama kerajaan negeri berdasarkan tuntutan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga mangsa yang terkesan berdasarkan senarai yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau pegawai daerah,” kata agensi itu.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian mengumumkan kelulusan peruntukan kecemasan RM6.4 juta bagi menjalankan operasi pembersihan serta bantuan kepada mangsa dan keluarga yag terlibat selain melancarkan operasi agensi-agensi yang terlibat.

Selain itu, Sultan Johor juga berkenan mengurniakan RM1 juta bagi memperhebat operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Pendakwaan suspek pencemaran Sungai Kim Kim ditangguh

JOHOR BAHRU, 14 MAC: Pendakwaan terhadap pengusaha kilang tayar kitar semula yang juga suspek utama kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, tidak dapat dilakukan hari ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Dr Sahruddin Jamal, kepada BH Online.

“Kertas siasatan mahkamah sudah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya tetapi pihak berkenaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menambah beberapa lagi maklumat.

“Pendakwaan masih boleh belum dibuat sehingga mendapatkan arahan lanjut dari pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret, di sini seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan berkenaan.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, sekiranya penelitian selesai dibuat, suspek yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat seawal hari ini.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ambil tindakan tegas terhadap individu cemar Sungai Kim Kim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuang sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pihaknya melahirkan simpati terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak, pelajar sekolah dan orang awam sekitar Pasir Gudang serta Masai, Johor kerana terpaksa menghidu bahan kimia dibuang individu tidak bertanggungjawab.

“Kami sedih melihat keadaan pelajar yang tular melalui media sosial Viral Media Johor apabila mereka terpaksa dibawa ke hospital akibat terhidu bahan kimia itu.

“Malah, kejadian ini amat serius kerana bahan kimia yang dilepaskan adalah sejenis racun yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Serantau Muslim turut difahamkan keadaan hospital berdekatan menjadi sesak kerana ambulans tidak henti-henti membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan segera, pada setiap masa.

“Kami mencadangkan supaya pihak berkuasa mengisyhtiharkan perintah berkurung dan membawa kesemua penduduk terjejas ke daerah yang selamat.

“Serantau Muslim bersedia membantu mangsa terjejas dengan menyediakan kit kesihatan seperti topeng muka dan pencuci tangan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sejumlah 506 orang dirawat akibat terhidu kimia itu dengan sembilan daripadanya ditahan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Terkini: 43 sekolah diarah tutup susulan insiden pencemaran

SHAH ALAM, 13 MAC: Susulan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sebanyak 43 sekolah diarah tutup, setakat 7 petang tadi.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, arahan sama turut dikeluarkan kepada Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang dan Kolej Komuniti Pasir Gudang ekoran pencemaran itu.

“Semua aktiviti pembelajaran dan pengajaran serta kokurikulum di hentikan sementara. Pelajar
dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sekolah yang ditutup adalah seperti berikut:

1 SMK TAMAN SCIENTEX

2 SMK TAMAN NUSA DAMAI

3 SMK PASIR GUDANG 2

4 SMK DATO PENGGAWA TIMUR

5 SMK PASI RGUDANG 3

6 SMK PASIR GUDANG

7 SMK BANDAR SERI ALAM

8 SMK TAMAN RINTING 2

9 SMK TAMAN MEGAH RIA

10 SMK SERI ALAM 2

11 KOLEJ VOKASIONAL PASIR GUDANG

12 SEKOLAH SENI MALAYSIA

13 SK TAMAN SCIENTEX

14 SK TAMAN RINTING

15 SK TAMAN BUKIT DAHLIA

16 SK PASIR GUDANG 4

17 SK TAMAN NUSA DAMAI

18 SK KOPOK

19 SK TAMAN CAHAYA MASAI

20 SK TAMAN RINTING 2

21 SK TAMAN CENDANA

22 SK TAMAN RINTING 3

23 SK MASAI

24 SJKT PASIR GUDANG

25 SK CAHAYA BARU

26 SJKC CHEE TONG

27 SJKC MASAI

28 SK SUNGAI TIRAM

29 SJKT MASAI

30 SK SERI KOTA PUTERI

31 SK PASIR GUDANG 2

32 SMK SUNGAI TIRAM

33 SMK TANJUJG PUTERI RESORT

34 SK TANJUNG PUTERI RESORT

35 SMK KOTA MASAI

36 SMK KOTA MASAI 2

37 SK PASIR PUTEH

38 SK PERIGI ACHEH

39 SK KOTA MASAI 3

40 SK TAMAN PASIR PUTIH

41 SMK PASIR PUTIH

42 SK KOTA MASAI

43 SK KOTA MASAI 2