Categories
NASIONAL

Kerajaan pandang serius isu pencemaran alam sekitar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan memandang serius terhadap isu pencemaran alam sekitar yang menggugat ekosistem dan keselamatan masyarakat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kesalahan.

“Saya ambil maklum situsi kini di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Kerajaan pandang serius isu pencemaran alam.

“Kerajaan perlu siasat dan ambil tindakan segera untuk menjamin keselamatan lingkungan,” tulisnya di Twitter, petang tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai diminta mengikuti maklumat terkini kejadian melalui sumber yang sahih serta mematuhi arahan agensi berkuasa.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan bagi mendakwa suspek utama sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Kertas siasatan berhubung perkara itu sudah disiapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta pertimbangan dan mendapatkan izin mendakwa.

“Kertas pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sisa kimia: Sekurang-kurangnya 20 pelajar lagi dirawat

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.

Tinjauan Bernama di dewan itu mendapati kesemua pelajar berkenaan tiba dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, maklumat tepat mengenai jumlah pelajar dan sekolah terlibat belum disahkan dan pihak media kini menunggu maklumat rasmi daripada pihak bertanggungjawab.

Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Setakat 11 pagi ini, perkarangan dewan dibanjiri ibu bapa pelajar terlibat bagi mendapatkan maklumat tahap kesihatan terkini anak mereka dan sehingga kini kebanyakan mereka masih menunggu maklumat lanjut mengenai tahap kesihatan anak yang menerima rawatan awal di dewan berkenaan dari pihak kesihatan dan pihak berkuasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin, menerusi kenyataan berkata,13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan ditetapkan, dipercayai ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Seorang suri rumah, Aida Abdullah, 40, berkata dia dimaklumkan anak perempuannya, Nur Alisa Alia Mohd Amir, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, Pasir Gudang mengalami sesak nafas, letih dan muntah, menerusi kumpulan WhatsApp sekolah, kira-kira 10 pagi tadi.

“Saya terus bergegas ke sekolah, namun, dimaklumkan anak saya sudah dibawa ke dewan ini. Setakat ini saya belum lagi melihat keadaan anak saya,” katanya yang tinggal di Jalan Kelisa, Taman Scientex.

Aida turut mengakui terdapat bau tidak menyenangkan dialaminya di kawasan rumah, semalam, namun, tidak menjejaskan mereka sekeluarga.

“Pagi tadi juga anak saya sihat sahaja dan pergi ke sekolah seperti biasa sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.

Lega Anak Galang, 58, dari Jalan Kijang, perumahan sama berkata dia menerima panggilan dari pihak sekolah sama memaklumkan anaknya, Naziralida, 16, turut mengalami simptom sama.

“Saya masih belum berjumpa anak saya… saya berdoa keadaannya baik,” katanya yang menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah dan bergegas ke dewan berkenaan bersama isteri.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Taman Scientex, Aida Mohd Fazli, 16, yang ditemui di kawasan itu berkata dia mengalami pedih mata ketika berada di dalam kelas, pagi ini.

“Sekarang saya sudah berasa okay. Doktor yang merawat mengesahkan saya tidak mengalami sakit yang serius dan boleh pulang ke rumah untuk rehat secukupnya,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mangsa pencemaran toksik meningkat 207

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Jumlah mangsa pencemaran ekoran pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim meningkat mendadak kepada 207 orang setakat 11 malam semalam susulan berlaku insiden gelombang kedua.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, gelombang kedua itu membabitkan majoriti kes pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih.

Beliau berkata, setakat jam 11 malam tadi, 29 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan manakala 77 mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan 35 daripada mereka ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

“Daripada jumlah 35 mangsa ditahan itu, empat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Selepas 16 pesakit daripada gelombang pertama telah dibenar pulang, jumlah terkini yang masih berada di HSI adalah 44 orang (enam di ICU dan 38 orang di wad HSI),” katanya.

Beliau berkata, daripada 44 orang di HSI, 11 adalah dewasa dan 33 adalah murid sekolah.

Mangsa pencemaran tersebut dilaporkan mengalami pedih mata, loya, muntah, pening, sakit dada dan sesak nafas.

Kedua-dua SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih kini ditutup semula.

Sementara itu, Dr Selahuddin menasihati murid dan penduduk tempatan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia tersebut.

Selain itu, orang ramai diminta menggunakan air terawat untuk aktiviti harian.

“Kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan,” katanya.

Selain itu, beliau meminta orang ramai jangan mendekati atau melakukan aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tahan tiga suspek buang bahan kimia

PASIR GUDANG, 11 MAC: Polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan tiga suspek yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di sini, sehingga mengakibatkan pencemaran gas metana, pada 7 Mac lalu.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, tiga lelaki berusia 50-an, termasuk dua pemilik kilang, ditahan dalam operasi khas semalam dan hari ini.

“Seorang pemilik kilang memproses barangan lusuh bersama pekerjanya ditahan di kawasan kilangnya di Taman Pasir Putih di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

“Seorang lagi pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan di Kulai dekat sini, jam 7 malam tadi,” katanya menurut laporan BH Online.

Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan yakin mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka minggu ini.

Terdahulu, seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarah mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 82 mangsa dirawat di hospital dan klinik ekoran pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab, kira-kira jam 2 pagi Khamis lalu.