Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pengangguran dalam kalangan miskin bandar di KL meningkat – Unicef

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengangguran dalam kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah di bandaraya Kuala Lumpur meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada tahun lepas, demikian menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Unicef dalam kenyataan semalam memaklumkan kajian oleh Unicef dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember tahun lepas menunjukkan bahawa situasi sosioekonomi bagi kira-kira separuh daripada jumlah isi rumah yang dikaji terus merosot.

Berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua keluarga meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus pada Disember 2020 manakala satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur.

“Pengangguran dalam kalangan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjadi ketua keluarga juga meningkat masing-masing kepada 13.4 peratus dan 50 peratus.

“Kadar kemiskinan dalam kalangan kesemua keluarga ini kekal tinggi pada 42 peratus meskipun mendapat bantuan kerajaan bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh tersebut dan kemiskinan lebih ketara dalam kalangan wanita dan OKU yang menjadi ketua keluarga (55 peratus) dengan satu daripada dua dan enam daripada 10 keluarga hidup dalam kemiskinan,” menurut kenyataan itu.

Unicef berkata kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga yang diketuai wanita meningkat daripada 47 peratus pada September 2020 kepada 61 peratus pada Disember 2020 dan trend sama berlaku dalam kalangan keluarga yang diketuai OKU dengan lebih separuh (55 peratus) adalah miskin tegar manakala hampir semua hidup dalam kemiskinan relatif (98 peratus).

Wakil Unicef di Malaysia merangkap Wakil Khas agensi badan dunia itu ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata data terkini daripada Families on the Edge itu mencadangkan bahawa meskipun keadaan sesetengah keluarga sudah mulai pulih, yang lain terus merosot dan pada awal pelaksanaan PKP 2.0, hampir mencapai tahap paling teruk.

“Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial untuk golongan yang paling rentan termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup yang disasarkan terutama untuk mereka yang bekerja sendiri.

“Kami telah memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga yang memerlukan,” katanya

Menurut Wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi, dinamik sosial kesemua keluarga ini akan berubah apabila mereka melakukan yang terbaik dalam mendepani situasi ekonomi yang semakin memburuk.

“Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran; secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.

“Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan tentunya individu yang menjaga mereka,” katanya.

Bahagian 3 laporan Families on the Edge adalah berdasarkan pengumpulan data pusingan ketiga yang menggambarkan status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Bahagian keempat dan terakhir akan dikeluarkan pada April 2021.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PELANCONGAN

Selangor catat pelawat domestik tertinggi 2019, belanja RM15.5 bilion

PUTRAJAYA, 1 OKT: Selangor mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi pelawat domestik iaitu sebanyak RM15.5 bilion pada 2019, menurut laporan Survei Pelancongan Domestik Mengikut Negeri 2019.

Ia diikuti Kuala Lumpur iaitu sebanyak RM12.1 bilion, Sarawak RM8.7 bilion, Sabah RM8.1 bilion dan Perak RM7.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan semalam berkata lima negeri tersebut menyumbang 50.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2019.

Bagi jumlah kedatangan pelawat domestik, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33.6 juta orang, diikuti Kuala Lumpur 22.6 juta, Sabah 22 juta, Perak 21.1 juta dan Sarawak 19.8 juta, katanya.

“Daripada segi trend perjalanan bermalam, tujuan lawatan iaitu mengunjungi saudara-mara dan rakan-taulan merekodkan angka tertinggi bagi semua negeri,” katanya.

Mohd Uzir berkata, Melaka mencatatkan peratusan perjalanan tertinggi bagi tujuan percutian, iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan perjalanan, diikuti Pulau Pinang sebanyak 28.2 peratus, Pahang 26.6 peratus dan Sabah 21.5 peratus.

“Berdasarkan pilihan untuk jenis penginapan, majoriti pelancong memilih penginapan yang tidak berbayar seperti rumah saudara dan sahabat handai, kecuali bercuti di Melaka, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan jumlah pelawat domestik yang tinggi bagi kategori umur antara 25 hingga 39 tahun.

Bagi kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik pula beliau berkata, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan merekodkan peratusan tertinggi bagi pelawat domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3, 000 sebulan.

Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan peratusan pelawat domestik tertinggi daripada kalangan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan, manakala Melaka adalah negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelawat domestik bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan, katanya.

-BERNAMA