Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Boleh mendaki hutan simpan Selangor mulai 5 Februari

SHAH ALAM, 31 JAN: Aktiviti pendakian hutan simpan kekal (HSK) di Selangor dibenarkan semula mulai 5 Februari.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menerusi Facebook memaklumkan hanya aktiviti di Gunung Nuang sahaja belum dibenarkan kerana masih dalam tindakan penyelenggaraan berikutan musim tengkujuh.

Menurut agensi itu, aktiviti pendakian perlu dilakukan dengan kebenaran (permit memasuki hutan simpan (pendakian – Borang 6).

Kawasan dibenarkan bagi aktiviti pendakian di Hutan Selangor Tengah iaitu Gunung Hitam, Bukit Cenuang, Air Terjun Sungai Lepoh, Bukit Saga, Bukit Apek, Bukit Broga, Bukit Kembara, Air Terjun Ulu Perdik, Air Terjun Sungai Pisang, Air Terjun Sofea Jane dan Air Terjun Lubuk Tedung.

Bagi Hutan Hulu Selangor pula meliputi Gunung Ulu Semangko, Bukit Choroko, Bukit Kutu, Air Terjun Lata Medang, Air Terjun Lata Macau, Air Terjun Setinggi dan Air Terjun Lubuk Kawah.

Pada 1 Disember 2021, semua aktiviti pendakian HSK Selangor ditutup sementara. Individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Categories
SELANGOR

MPP bantu hubungan mesra Kerajaan Negeri dan penduduk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 OK : Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang aktif menjadi salah satu faktor hubungan erat diantara Kerajaan Negeri dan juga penduduk, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, MPP turut memainkan peranan untuk mengenalpasti tuntutan dan isu yang dibangkitkan penduduk kerana mereka bertemu secara langsung.

“Ahli-ahli MPP ini tidak bergaji dan tidak mempunyai elaun tetap, namun sumbangan mereka di dalam mengaktifkan komuniti membantu serta mengekalkan Shah Alam menjadi bandaraya terbaik.

“Tanggungjawab yang ditunjukkan oleh ahli MPP kepada penduduk dan masyarakat ini amat membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Karnival Sukan Bendang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Mengulas lanjut mengenai karnival berkenaan, Amirudin berkata, usaha MBSA bersama MPP perlu dipuji atas semangat cintakan alam sekitar.

“Program sebegini dapat memupuk semangat cintakan kehijauan di kalangan penduduk, tidak semestinya acara sukan hanya diadakan di padang sahaja, namun Shah Alam bertuah kerana mempunyai taman seperti Taman Botani sekali gus membolehkan penduduknya berkumpul dalam suasana aman.

“Selain mengeratkan hubungan silaturrahim, ia juga dapat membina budaya sayangkan kehijauan yang sedia ada di Shah Alam,” katanya.