Categories
AGENDA NASIONAL

Bas percuma dibenar bawa pejalan kaki dari Tambak Johor ke Woodlands

JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Perkhidmatan bas percuma yang disediakan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi membawa pejalan kaki rentas sempadan di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), di Tambak Johor dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohd Solihan Badri berkata penambahbaikan itu hasil persetujuan pihak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dengan Pihak Berkuasa Imigesen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) Woodlands, hari ini.

“Sejak tiga hari sempadan dibuka (mulai 17 Ogos), PAJ menyediakan bas percuma ini, namun, perlu membuat pusingan U di tengah sempadan antara kedua-dua negara.

“Kini, bas tidak perlu membuat pusingan U di tengah sempadan dan dibenarkan membuat pusingan U di ICA Woodlands,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, PAJ menerusi kenyataan memaklumkan operasi bas percuma itu akan melibatkan 11 perjalanan bermula 7.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dengan kekerapan setiap sejam.

PAJ menasihati pengguna agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia semasa menggunakan perkhidmatan bas berkenaan.

Pengguna juga tidak dibenarkan menahan bas di pertengahan jalan dan disarankan supaya turun atau menaiki bas di tempat yang ditetapkan, menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pejalan kaki yang merentas sempadan perlu menaiki bas yang disediakan di tengah garisan sempadan Tambak Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia, Singapura setuju teruskan projek RTS

JOHOR BAHRU, 30 JULAI: Malaysia dan Singapura bakal “bertemu” atas Tambak Johor pagi ini bagi menyatakan “secara simbolik” persetujuan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, sama-sama menjadi “saksi” simbolik persetujuan itu.

Pada pertemuan ringkas itu juga, Malaysia akan diwakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sementara itu, Singapura bakal diwakili Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ia juga dianggap bersejarah dan simbolik memandangkan ini adalah pertemuan pertama kali antara Muhyiddin dan Lee di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai antara laluan darat “tersibuk di dunia” dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Ini juga pertama kali Muhyiddin “bersemuka” dengan Lee sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sementara Lee baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lepas, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.

Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju “untuk buat kali terakhirnya” meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu, melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia itu, kini dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telahpun dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan dijangka siap akhir hujung 2026.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi pintu masuk Tambak Johor dihadkan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi berkaitan lain di pintu masuk bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor akan dihadkan dari 7 pagi hingga 7 malam, mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mengawal pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo ke negara ini.

Bagaimanapun katanya operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar berjalan seperti biasa iaitu 24 jam, termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

“Ini supaya kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata tiada kemasukan besar-besaran oleh rakyat Malaysia di pintu masuk dari Singapura.

“Individu yang masuk melalui pintu masuk Johor wajib menjalani kuarantin. Sehingga kini, kerajaan menyediakan 6,000 bilik untuk tujuan kuarantin wajib di 22 pusat kuarantin di Johor.

“Bagaimanapun kita bersedia jika berlaku kepulangan rakyat Malaysia secara beramai-ramai dari Singapura yang mana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah menambah 4,000 lagi bilik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 23.4 juta daripada 32.4 juta topeng muka percuma diperuntukkan kerajaan diagihkan ke seluruh negara, selebihnya dijangka selesai diedarkan minggu ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Larangan ke Singapura, Thailand termasuk pekerja

KUALA LUMPUR 17 MAC: Larangan berulang-alik setiap hari dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Thailand bermula esok, ketua pengarah Imigresen.

Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata keputusan itu selari dengan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac ini, di seluruh negara, lapor BH ONLINE.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah mengumumkan perkara itu malam tadi, Jabatan Imigresen Malaysia akan mengambil langkah sewajarnya mengikut keputusan dibuat.

“Bermula esok, semua rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Thailand dilarang memasuki negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.