Categories
AGENDA NASIONAL

PM dikuarantin, pegawai hadir mesyuarat positif Covid-19

SHAH ALAM, 22 MEI: Perdana Menteri kini menjalani kuarantin mulai hari ini setelah salah seorang pegawai yang hadir ke mesyuarat pasca kabinet pada Rabu lalu disahkan positif Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjalani ujian saringan pagi tadi dan disahkan negatif.

“Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), perdana menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga diarahkan agar menjalani ujian sama dan kuarantin di rumah masing-masing bermula hari ini dalam tempoh sama,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan setiap mesyuarat di pejabat perdana menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM ucap takziah kematian Koperal Safwan

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.

Muhyiddin menerusi akaun Facebook menzahirkan rasa sedih dengan berita berkenaan dan menganggapnya satu kehilangan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada kepada keluarga Allahyarham dan PDRM. Saya berharap tragedi ini tidak mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners (barisan hadapan) yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya sambil turut menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Dalam kejadian 2.11 pagi, Allahyarham Safwan 31, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas di Kajang.

Susulan itu, kenderaan terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Kakitangan awam digalak kerja dari rumah

 

SHAH ALAM, 1 MEI: Kakitangan awam digalakkan bekerja di rumah apabila sektor awam mula dibenarkan beroperasi mulai Isnin kecuali urusan kerja yang memerlukan berada di pejabat, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mencadangkan amalan penggiliran pekerja dan waktu bekerja anjal termasuk bermesyuarat dalam talian bagi mengatasi isu penjagaan anak-anak di rumah.

“Ini normal baharu yang kita mesti amalkan. Mana-mana tugas boleh dibuat di rumah, buat di rumah. Ini lebih baik dan mungkin susun jadual hari bekerja secara selang seli. Hari ini masuk pejabat, esok bekerja dari rumah,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja di Putajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata sektor swasta juga disaran melaksanakan waktu bekerja anjal iaitu tidak semua staf masuk bekerja pada waktu sama bagi mengelak kesesakan.

“Jadi sedikit sebanyak kita boleh elak semua orang daripada berkejar-kejar untuk masuk pejabat pada waktu sama,” katanya.

Beliau juga mengingatkan majikan untuk memeriksa suhu badan pekerja dan menasihati pekerja pulang atau ke klinik jika suhu tinggi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan kekal larangan balik kampung rentas negeri untuk Aidilfitri

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan kekal tidak membenarkan perjalanan rentas negeri untuk balik kampung sempena perayaan Aidilfitri, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei mengekalkan larangan sedemikian kecuali atas urusan tertentu.

“Kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini

Beliau berkata aktiviti keagamaan seperti perarakan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan.

Senarai lengkap aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara yang disemak dari masa ke semasa bergantung perkembangan kes jangkitan Covid-19.

Kerajaan hari ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin dengan amalan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan ketat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan kelompok besar kekal dilarang, riadah dibenarkan

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan kekal tidak membenarkan kegiatan sukan membabitkan kelompok besar tetapi memberi kelonggaran kepada riadah tertentu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua acara sukan melibatkan sentuhan sama ada di dewan atau stadium termasuk bola sepak, ragbi dan renang kekal dilarang.

“Jadi, saudara saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini .

Selain itu, Muhyiddin berkata majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa masih tidak dibenarkan.

“Konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Senarai lengkap aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara yang disemak dari masa ke semasa bergantung perkembangan kes jangkitan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Hampir semua aktiviti ekonomi, sosial dibenar mulai Isnin

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin ini, kata perdana menteri.

Namun, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kegiatan sedemikian perlu dilakukan secara berhati-hati termasuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan ketat.

“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini.

Beliau berkata keputusan dibuat berikutan ramai mahu kembali bekerja atau berniaga berikutan mereka terputus mata pencarian dalam tempoh hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini penting kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian. Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.

Namun, beliau berkata beberapa jenis perniagaan kekal dilarang termasuk panggung wayang, pusat karaoke dan refleksologi, pusat hiburan, taman tema, bazar Ramadan dan Aidilfitri, karnival jualan serta semua bentuk persidangan dan pameran.

Perdana menteri mengakui ramai juga bimbang jika PKP ditamatkan kerana virus Covid-19 masih ada serta tetap terdapat risiko peningkatan kadar jangkitan.

“Saya telah bincang perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri. Kita mesti cari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM bayangkan PKP ‘mungkin berbulan’, ‘mungkin tidak balik beraya’

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perdana menteri hari ini memberi bayangan sambutan Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei depan mungkin berlangsung dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kehidupan mungkin tidak kembali seperti sedia kala selagi virus masih ada selain mengingatkan rakyat terus mengekalkan amalan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan perhimpunan atau tempat sesak.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi, kita tidak boleh ke bazar untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih.

“Jadi bertarawihlah di rumah bersama keluarga, mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Pakej Prihatin Tambahan pastikan PKS dapat manfaat penuh

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang diumumkan hari ini bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tetapi turut memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya.

Sehubungan itu, ketika membentangkannya di sini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mengambil inisiatif dengan mengumumkan beberapa penambahbaikan.

Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada sifar peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

“Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah sifar peratus,” katanya.

Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan dengan pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan tersebut, jelas perdana menteri.

Selain daripada itu, kerajaan juga akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra pada 6 April 2020. Foto BERNAMA

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti Mara, Petronas, PNB, Plus dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS,” kata Muhyiddin.

Atas prinsip perkongsian bebanan, beliau turut menggesa pemilik premis swasta untuk memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiga bulan selepas PKP berakhir.

Jelasnya, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa PKS akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa berkenaan bagi April hingga Jun 2020.

Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh berkenaan.

Sementara itu, kerajaan turut membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020.

Pengurangan bayaran levi ini bagaimanapun tidak terpakai kepada pembantu rumah.

“Saya juga faham kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian majikan untuk mengekalkan pekerja dalam keadaan yang agak terdesak pada waktu ini,” kata Muhyiddin.

Dalam hal ini, kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP.

Katanya, majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan nasihat berkaitan sebarang permasalahan untuk penyelesaian dan sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini.

“Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela. Saya juga tahu kesukaran yang dihadapi oleh pihak syarikat untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP ini,” ujarnya.

Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP.

Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019.

Bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan, kata perdana menteri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPN: Individu tercicir nama boleh buat permohonan baharu

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Orang ramai yang layak untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi nama tiada dalam rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), boleh membuat permohonan baharu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka yang berkenaan boleh berbuat demikian dengan mengisi borang secara dalam talian di laman sesawang www.hasil.gov.my.

“Isi maklumat yang diminta dengan jujur, tekan butang hantar dan tunggu bayaran dimasukkan dalam akaun anda.

“Bagi warga emas yang mungkin tak berapa cekap menggunakan handphone, mintalah bantuan anak atau cucu untuk isi maklumat yang diperlukan,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Seramai 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang menerima bantuan bagi fasa pertama BPN melibatkan pembayaran berjumlah RM5.63 billion bermula hari ini.

Pada 27 Mac lalu, perdana menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 billion bagi manfaat rakyat semasa menghadapi cabaran wabak Covid-19.

Menerusi pakej berkenaan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sebanyak RM2 bilion pula untuk memperkukuh ekonomi negara dan RM20 bilion seperti telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tambahan RM7.9 bilion subsidi upah manfaat 4.8 juta pekerja

SHAH ALAM, 6 APRIL: Perdana menteri mengumumkan tambahan RM7.9 bilion bagi program subsidi upah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM13.8 bilion.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan tambahan itu membabitkan syarikat dan pekerja tempatan bergaji RM4,000 dan ke bawah.

“Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Majikan yang memilih bantuan ini disyarat mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya ketika mengumumkan Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin di Putrajaya hari ini.

Katanya, bantuan tiga bulan itu dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Bantuan subsidi upah seperti berikut:

1. Bagi syarikat lebih 200 pekerja, subsidi upah sebanyak RM600 seorang dikekalkan, namun bilangan maksimum pekerja yang layak menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 kepada 200 orang

2. Bagi syarikat bilangan pekerja 76 hingga 200 orang, subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja

3. Bagi syarikat bilangan pekerja sehingga 75 orang, subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja

Pada 27 Mac lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM5.9 bilion bagi program berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: PM minta rakyat terus cekal, patuhi PKP

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya terus cekal, kuat dan bersemangat selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi bersama-sama mengatasi wabak Covid-19.

Beliau yakin dugaan yang dibawa virus itu bukanlah sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh semua rakyat di negara ini.

“Kepada semua rakyat Malaysia, kita perlu ingat bahawa kita tidak mampu berdaya tahan secara individu, dan (tetapi) secara bersama-sama kita cukup kuat untuk mendepaninya dalam tempoh tidak menentu ini.

“Mari kita perkukuhkan azam kita dan kekal komited dalam perjuangan kita untuk memerangi Covid-19. Mari kita kekal berada di landasan dan mematuhi semua arahan dilaksanakan di bawah PKP.

“Ia adalah sukar, tetapi bukannya mustahil. Kekal kuat, kekal sihat, insya-Allah kita akan berjaya. Ingatlah, selepas hujan, matahari muncul semula. Dan hari-hari yang lebih baik dalam kembali semula,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra pada 6 April 2020. Foto BERNAMA

Muhyiddin berkata demikan semasa mengumumkan pakej rangsangan tambahan bernilai RM10 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meringankan beban mereka ketika ini.

PKP fasa pertama dilaksana kerajaan sejak 18 hingga 31 Mac dan fasa kedua pula mulai 1 sehingga 14 April ini dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau memahami bebanan yang ditanggung rakyat setelah tiga minggu berkurung di rumah dalam mematuhi PKP.

Beliau menyedari rakyat terhalang dalam melakukan rutin harian selain ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian, pelbagai aktiviti kreatif dan telatah dikongsikan rakyat di media sosial bagi menghilangkan rasa bosan ketika berada di rumah.

“Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu. Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang,” katanya.

Jelasnya, rakyat mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian ini, justeru beliau yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani manusia dengan sesuatu yang tidak boleh ditanggung.

Mengakhiri ucapannya, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakej Prihatin: RM25 juta bantu golongan mudah terjejas

PUTRAJAYA, 27 MAC: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan RM25 juta kepada golongan mudah terjejas, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan berkenaan termasuk warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya, gelandangan serta orang asal.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka,” katanya ketika mengumumkan pakej berkenaan yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan manfaat ‘mySalam’ kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI), kerana jangkitan Covid-19.

“Pada masa ini, mySalam menyediakan manfaat kepada golongan B40 yang dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19. Pesakit boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan turut membenarkan pengeluaran pra-persaraan daripada akaun B Skim Persaraan Swasta, sehingga RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh April hingga Disember, tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa, bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan, dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

“Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Bagi unit sewa untuk milik pula, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan, bagi pembayaran balik pembiayaan bermula April hingga September ini, melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah, jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bagi Perumahan Awam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa, dan beliau menyeru kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan lain, supaya memberikan pengecualian sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.

-BERNAMA