Categories
AGENDA NASIONAL

Ekonomi tunjuk tanda positif ke arah pemulihan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Ekonomi negara sudah mula menunjukkan petanda positif ke arah pemulihan berikutan pembukaan semula aktiviti perniagaan secara berperingkat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pada masa ini hampir semua sektor telahpun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan yang mana norma baharu sukar untuk diamalkan di tempat-tempat sedemikian.

“Kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes import ke dalam negara.

“Aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton,” kata Muhyiddin dalam satu perutusan khas mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang disiarkan di televisyen tempatan, malam ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember, 2020.

Bank Negara sebelum ini menyatakan bahawa ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk ‘V’ selepas mengalami impak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, bank pusat berkata keadaan masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.

Pada suku kedua tahun ini, Malaysia mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.1 peratus (Suku Kedua 2019: 4.9 peratus) apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan pandemik tersebut.

Selaras dengan itu, BNM telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini.

Ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.

Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020, yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM jangka harga pelitup muka turun lagi

SHAH ALAM, 28 OGOS: Harga pelitup muka dijangka lebih rendah jika rundingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan pengilang dan pembekal berjaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelitup muka adalah barang keperluan yang digunakan hampir setiap masa selaras pembudayaan norma baharu.

“Insya-Allah jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian,” katanya dalam perutusan khas malam ini yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

Berkuat kuasa 15 Ogos lalu, harga siling runcit pelitup muka tiga lapis ditetapkan RM1 seunit manakala 95 sen seunit bagi harga borong.

Bermula 1 Ogos, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan umum susulan penambahan kluster jangkitan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM umum PKP Pemulihan dilanjut hingga 31 Disember

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas malam ini yang disiarkan di stesen televisyen tempatan serta rangkaian media sosial.

“Ini bagi memastikan semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya menegaskan lanjutan PKPP  masih membolehkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Arahan tersebut dilonggarkan pada 4 Mei dengan mengumumkan PKP Bersyarat dan kemudian beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesyorkan PKPP yang tamat pada 31 Ogos dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan melaksana pendekatan bersasar jika berlaku peningkatan kes jangkitan di lokaliti tertentu.

“Negara kita masih berhadapan cabaran getir dalam menangani penularan wabak Covid-19, mengambil kira virus ini masih menular secara aktif di seluruh dunia pada skala besar.

“Risiko ini perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan Najib bersalah gugat kerjasama PN?

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebarang keputusan mahkamah kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok meletakkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam risiko politik.

Berdasarkan sumber dan penganalisis, jika keputusan bersalah disabitkan, sokongan kepada perdana menteri melonjak tetapi ia merenggang hubungannya dengan Umno, parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN), lapor Reuters.

Keputusan berkenaan juga meningkatkan kewibawaan Muhyiddin di mata umum tetapi ia melemahkan gabungan PN sekali gus berpotensi mencetuskan pilihan raya.

Pembebasan Najib pula boleh mengubah sentimen rakyat terhadap perdana menteri dan mendorong pembangkang untuk mencabar kerajaan bermajoriti dua kerusi parlimen.

“Keputusan bersalah tidak dapat diterima Umno dan melemahkan pentadbiran Muhyiddin atau berpotensi mencetuskan pilihan raya awal,” kata Adib Zalkapli, pengarah perunding risiko politik BowerGroupAsia.

Sumber terdekat pula mendakwa kem Najib mungkin menarik sokongan kepada perdana menteri manakala sumber terdekat kepada Muhyiddin menyifatkan ia “ancaman besar”.

Buat pertama kali dalam sejarah tanah air, Umno dan parti komponennya tewas pada pilihan raya 2018 susulan kemarahan rakyat terhadap tuduhan rasuah besar-besaran membabitkan pemimpin kerajaan.

Namun, Umno kembali berkuasa melalui gabungan diketuai Muhyiddin pada Mac lalu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan pergolakan dengan pemimpin parti gabungan yang menjatuhkan Najib.

Esok bakal menentukan nasib Najib yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd sama ada bersalah atau sebaliknya.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang wajibkan pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, kata perdana menteri.

“Perincian mengenai perkara itu akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau turut menegur orang ramai yang dilihat semakin mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) terutama dalam pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang bukan sahaja berjabat tangan malah berpeluk ketika berjumpa sahabat handai dan sanak-saudara.

“Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan tetapi jangan lupa kita masih berada dalam fasa pemulihan Covid-19, jadi amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun tidak baik untuk mengelak dijangkiti virus,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata sepanjang fasa PKPP, semua pihak adalah petugas hadapan yang perlu menasihati antara satu sama lain.

“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka jaga penjarakan sosial, membasuh tangan, elakkan tempat sesak dan jangan berjabat tangan.

“Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan tiga bulan Jubli Emas Rukun Negara dilancar

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Sambutan Jubli Emas Rukun Negara selama tiga bulan akan dilancarkan hari ini, sebagai usaha kerajaan meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar, ditambah lagi dengan pandemik Covid-19, perpaduan dan bersatu padu memainkan peranan penting dalam menangani cabaran tersebut, kerana Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkesan, akibat penularan tersebut.

Telah terbukti rakyat Malaysia dari segenap golongan masyarakat telah bersatu padu dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan meratakan lengkungan jangkitan virus itu apabila tiada kes jangkitan baru tempatan dilaporkan semalam.

Sambutan jubli emas itu akan bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan melancarkan sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Dalam suasana kebiasaan baharu susulan pandemik Covid-19, sambutan jubli emas Rukun Negara pada tahun ini, tetap istimewa dalam usaha menyemarakkan semangat cintakan falsafah negara itu, sebagai tunjang perpaduan dan keharmonian nasional.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini yang mengehadkan hanya 250 orang dalam sesuatu acara, bukan halangan untuk orang ramai turut serta menyaksikan sambutan majlis penting itu yang akan disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan amanat pada pukul 3 petang, yang dilihat penting dalam mendepani cabaran semasa hari ini, bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara, bersesuaian dengan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan kepercayaan.

Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri dijangka melafazkan ikrar Rukun Negara bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, beserta enam pelajar sekolah yang mewakili ahli kelab Rukun Negara.

Selepas itu, Muhyiddin akan melancarkan logo rasmi sambutan jubli emas Rukun Negara itu yang julung kali dicipta, hasil kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Penerangan dan Kumpulan Media Karangkraf.

Turut menarik, Perdana Menteri juga akan melancarkan setem khas bertemakan ‘Lima Puluh Tahun’, dengan lima reka bentuk setem yang menampilkan setiap prinsip Rukun Negara, logo sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Bunga Raya.

Kesemua setem khas itu akan dijual oleh Pos Malaysia bermula Ogos depan.

Perdana Menteri kemudian akan melawat galeri pameran bertema Rukun Negara, yang memaparkan bahan-bahan dan gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara.

Memeriahkan lagi acara, lagu Rukun Negara yang digubah Datuk Mokzani Ismail, akan dinyanyikan oleh penyanyi terkenal kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah bersama Roy.

Datuk Syafinaz Selamat bersama dua lagi penyanyi yang sedang meningkat naik, Afieq dan Wani pula akan menyampaikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil ciptaan Datuk Wah Idris.

Program yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara itu, turut mengatur pelbagai program bermula 9 Julai hingga Hari Malaysia pada 16 September.

Antara program yang dirancang adalah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Treasure Hunt, Pengisahan Negara, Ted Talk Kenegaraan, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Bicycleton.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Kumpulan Muhyiddin tawar jawatan, wang demi raih sokongan

SHAH ALAM, 16 JUN: Kalangan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan dan wang bagi menambah sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa mereka yang menolak tawaran berdepan ugutan termasuk digugur dari parti secara tidak sah dan kehilangan pelbagai peruntukan.

“Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima ‘cash is king’ (duit adalah raja), mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu,.

“Inilah mereka yang mendirikan kerajaan sekarang,” kata Mahathir dalam catatan bertajuk ‘Kerajaan Muhyiddin’ melalui blognya hari ini. Beliau turut mengucapkan syabas kepada individu yang menolak tawaran sedemikian.

Kebelakangan ini, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin melantik ramai pemimpin politik bagi mengisi hampir 40 jawatan pengerusi pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC), antaranya Kesedar, Majlis Amanah Rakyat, Risda, Felda dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Pemimpin politik turut dilantik mengisi jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Melaka.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Hampir semua aktiviti sosial dibenarkan mulai Rabu ini

SHAH ALAM, 7 JUN: Hampir semua aktiviti sosial meliputi pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat mulai 10 Jun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun semua aktiviti dan pembukaan premis perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Aktiviti komersial membabitkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan termasuk lawatan ke muzium, busking dalaman, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi seperti kolam pancing dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di media utama.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat diganti dengan PKP Pemulihan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai pelancongan dikecualikan hingga Jun 2021

PUTRAJAYA, 5 JUN: Cukai pelancongan akan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun depan sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengakui bahawa ia merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19, beliau berkata pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan turut akan dilanjutkan mulai 1 September ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Selain itu, katanya, penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang perlu dibayar oleh perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan bagi tempoh 1 April sehingga 30 September dilanjutkan tiga bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember.

“Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Sementara itu, mengenai industri kreatif, hiburan dan acara pula, Muhyiddin berkata beliau turut mendengar keluhan daripada karyawan, pengarah filem, kru produksi dan pengurus acara.

“Sehubungan itu, beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dan pihak swasta,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus

SHAH ALAM, 5 JUN: Kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau 860,000 orang tahun ini berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga Mac lalu, angka berkenaan diunjur pada paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang.

“Mengambil kira situasi yang mencabar ini, ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan Covid-19 masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara hari ini.

Beliau berkata lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja mula bekerja sehingga 2 Jun berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu.

Muhyiddin berkata pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar negatif tiga peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa dan kemelesetan ini kali pertama sejak 1930an.

Pada 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan pembukaan beberapa sektor bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara dengan syarat pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjana: RM35 bilion rangsang ekonomi, perkasa rakyat

SHAH ALAM, 5 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion, dengan RM 10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’, terdapat 40 inisiatif disediakan dengan tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi.

Antara inisiatif yang bakal dinikmati rakyat ialah:

1) Geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa menghantar semula anak-anak ke taska

2) E-Baucar untuk khidmat pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian

3) Insentif cukai pendapatan individu untuk yuran taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000

Notis “Jarak Sosial” ditampal di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika tinjauan pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

4) Program MY30 dengan bayaran RM30 sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang mulai 15 Jun hingga hujung 2020

5) Insentif sekali bayar RM300 untuk lebih 300,000 ibu tunggal dan orang kelainan upaya yang bakal disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha

6) Peruntukkan RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)

7) Perkhidmatan internet dengan kapasiti 1GB secara percuma untuk semua pengguna dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga 31 Disember 2020

8) Peruntukkan RM70 juta bagi pemberian kod promosi dan baucar potongan harga melalui landasan e-dagang menerusi kempen “Shop Malaysia Online”

9) Pengkreditan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna menerusi program ePenjana bernilai RM750 juta bermula Julai yang akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia

10) Pelanjutan dan penyeragaman waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar atau UTC di seluruh negara berkua tkuasa 1 Julai 2020

11) Pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas jualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport untuk tempoh 15 Jun hingga 31 Disember 2020

12) Pengecualian cukai pendapatan sehingga RM5,000 kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer riba atau tablet daripada majikan

Categories
AGENDA NASIONAL

Internet percuma 1GB dilanjut hingga hujung tahun

PUTRAJAYA, 5 JUN: Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi menyediakan kemudahan internet berkapasiti 1GB secara percuma kepada semua pengguna, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi hari ini, beliau berkata inisiatif tersebut disediakan sehingga 31 Disember ini yang antara lain membolehkan pengguna melayari laman sesawang pendidikan dan aplikasi persidangan video.

“Selain itu, semua pengguna akan mendapat akses secara percuma tanpa had di laman sesawang kerajaan dan aplikasi Covid-19 kerajaan khususnya MySejahtera,” katanya.

Pada 1 April lalu, semua pelanggan pascabayar dan prabayar syarikat telekomunikasi menerima internet percuma 1GB sehari, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Perkhidmatan yang juga sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat boleh digunakan antara 8 pagi dan 6 petang.