Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari dijadualkan

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijadualkan pada 26 Oktober ini telah dipercepatkan kepada 19 Oktober lepas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan berikutan komitmen dan usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan institusi kewangan yang terlibat.

“Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 melibatkan 7.5 juta penerima iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula pada 22 Okt,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 itu akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan itu, penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Kenyataan itu menambah bagi negeri-negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected],” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LHDN: Tarikh akhir rayuan BPN 31 Mei

CYBERJAYA, 28 MEI: Tarikh akhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ialah pada 31 Mei ini (2020), kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Rayuan BPN boleh dibuat dengan mengemukakan dokumen sokongan dengan hadir ke cawangan LHDNM atau mengemukakan e-mel ke [email protected],” menurut LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Pemohon boleh merujuk soalan lazim (FAQ) BPN yang dimuat naik pada portal rasmi BPN untuk mendapatkan maklumat lanjut atau klik pada capaian pantas;

https://bpn.hasil.gov.my/Download/Faq/SoalanLazim(FAQ)_Permohonan_Baharu_Rayuan_Bantuan_Prihatin_Nasional(Kemaskini100520206pm).pdf

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui;

1) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara);

2) HASiL Live Chat;

3) Borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas;

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;

4) Media sosial rasmi; https://www.facebook.com/LHDNM atau https://twitter.com/LHDNMofficial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bayaran BPN dilanjut sehingga 22 Mei

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Tempoh pembayaran bantuan prihatin nasional (BPN) fasa kedua yang dijadualkan berakhir pada hujung minggu lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 22 Mei, 2020, disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini, seramai 7.61 juta penerima BPN fasa kedua menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion, mewakili pencapaian 93 peratus daripada peruntukan untuk fasa tersebut.

“Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telahpun bermula pada 15 Mei, 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta,” katanya semasa membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana, hari ini.

Susulan lanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei, 2020,” katanya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan diterima manakala 3.9 juta permohonan diluluskan, peningkatan daripada 3.7 juta pada minggu sebelumnya dengan jumlah pembayaran melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

Sementara itu, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada 7.0 peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta.

Menurutnya, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20 peratus daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding 1.2 juta pencarum pada bulan April.

Di bawah Subsidi Upah pula, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM2.24 bilion diluluskan bagi 267,752 majikan sehingga 17 Mei, mewakili dua juta pekerja.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata setakat 17 Mei, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS.

Berkaitan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) beliau berkata permintaan terhadap dana itu sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

“Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan diluluskan ini,” katanya.

Daripada jumlah diluluskan ini, beliau berkata sejumlah RM5.75 bilion disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bayaran BPN secara tunai dilaksanakan sehingga 31 Disember

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melaksanakan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara tunai kepada penerima tidak mempunyai akaun bank atau gagal kredit bermula 17 April 2020 sehingga 31 Dis 2020.

Menurut BSN, penerima BPN kategori ini boleh hadir ke cawangan BSN yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Bagaimanapun, jelas BSN penerima dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu melalui laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri – http://www.hasil.gov.my atau Bantuan Sara Hidup (BSH) –https://bsh.hasil.gov.my dan Kementerian Kewangan Malaysia – https://www.treasury.gov.my sebelum hadir di mana-mana cawangan BSN.

BSN juga sedang giat memantau dan melakukan yang terbaik bagi memastikan proses pembayaran BPN berjalan lancar, katanya.

“Untuk memastikan proses pembayaran BPN dijalankan dengan lebih lancar, BSN melanjutkan waktu operasi perbankan pada hari Sabtu dan Ahad (18 serta 19 April 2020) di cawangan BSN terpilih di seluruh negara,” kata bank tersebut.

Tambahnya lagi, langkah keselamatan semasa berada di premis cawangan BSN, amat dipandang berat seperti penjarakan sosial, pemakaian topeng selain melakukan pemantauan suhu badan sebelum memasuki cawangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPN: Individu tercicir nama boleh buat permohonan baharu

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Orang ramai yang layak untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi nama tiada dalam rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), boleh membuat permohonan baharu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka yang berkenaan boleh berbuat demikian dengan mengisi borang secara dalam talian di laman sesawang www.hasil.gov.my.

“Isi maklumat yang diminta dengan jujur, tekan butang hantar dan tunggu bayaran dimasukkan dalam akaun anda.

“Bagi warga emas yang mungkin tak berapa cekap menggunakan handphone, mintalah bantuan anak atau cucu untuk isi maklumat yang diperlukan,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Seramai 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang menerima bantuan bagi fasa pertama BPN melibatkan pembayaran berjumlah RM5.63 billion bermula hari ini.

Pada 27 Mac lalu, perdana menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 billion bagi manfaat rakyat semasa menghadapi cabaran wabak Covid-19.

Menerusi pakej berkenaan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sebanyak RM2 bilion pula untuk memperkukuh ekonomi negara dan RM20 bilion seperti telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN: Muflis, senarai hitam layak mohon BPN mulai esok

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Pemohon yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi berstatus muflis atau disenarai hitam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mulai esok (6 April).

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat secara dalam talian di www.hasil.gov.my atau pautan pantas https://bpn.hasil.gov.my/.

“Permohonan mereka akan diproses sewajarnya berdasarkan syarat kelayakan ditetapkan.

“Bagi permohonan yang lulus, bayaran BPN akan dibuat secara tunai di Bank Simpanan Nasional,” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata kerajaan berharap bantuan tersebut benar-benar dapat membantu semua golongan rakyat yang memerlukan dan dibelanjakan secara berhemah.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan permohonan BPM boleh diajukan kepada Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau media sosial rasmi LHDN iaitu: Facebook – https://www.facebook.com/LHDNM atau Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPN diberi berperingkat bermula 6 April

SHAH ALAM, 4 APRIL: Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mula disalurkan kepada penerima mulai 6 April (Isnin) ini secara berperingkat, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata fasa pertama membabitkan peruntukan RM5.63 bilion itu memanfaatkan 8.3 juta isi rumah.

“Pembayaran dapat dilakukan lebih cepat hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu rakyat.

“Rakyat diminta berhati-hati dengan penipu yang mengambil peluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul permohonan baharu serta rayuan BPN boleh dilakukan sepanjang April.

“Proses semakan terhadap pemohon baru dan perayu diteliti dan bantuan kepada layak diserahkan Mei nanti,” katanya.