Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar awal di SELangkah bukti orang ramai kian sedar pentingnya saringan

KUALA LANGAT, 4 JUN: Dalam tempoh seminggu hampir 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menyertai Saringan Komuniti hari ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata pendaftaran awal itu membuktikan orang ramai semakin sedar kepentingan ujian Covid-19 sekali gus mengekang penularan pandemik.

“Kita harap peratusan kes disyaki positif rendah berbanding DUN lain,” katanya ketika ditemui di Dewan MPKL Banting Baru.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata pihaknya menyediakan 20 sukarelawan sebagai usaha melancarkan proses saringan.

Saringan percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang turut dijalankan di Kompleks Muhibbah bagi DUN Tanjong Sepat.

Sejak dilancarkan 8 Mei lalu hingga semalam, seramai 87,903 individu menyertai program saringan komuniti itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Sepang dan Kuala Langat.

Dari jumlah terbabit, 3.6 peratus iaitu 3,168 peserta disyaki positif wabak selepas disaring menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kumpulan Wak Jeng ceriakan sambutan ambang merdeka

TANJONG SEPAT, 23 OGOS: Sambutan ambang merdeka di sini bakal dimeriahkan dengan persembahan kumpulan pemuzik jalanan (buskers) Wak Jeng, kata Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat.

Borhan Aman Shah berkata semua masyarakat sekitar dijemput hadir menonton persembahan kumpulan penyanyi yang terdiri daripada enam ahli keluarga dari Batu Pahat, Johor itu.

Menurut Borhan kumpulan Wak Jeng popular di media sosial Facebook kerana menyanyikan lagu masyarakat berunsur nasihat serta irama 70-an.

“Oleh itu, saya menyeru supaya orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan Wak Jeng, selain persembahan muzik, kita juga menyediakan cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.

ADN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah (tengah) bersama penduduk mengibarkan Jalur Gemilang ketika Program Sambutan Kemerdekaan ke 63 Dun Tanjong Sepat ‘Setia Jiwa Harmoni Sekata’ di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut, Tanjung Sepat pada 23 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kesemua acara istimewa ini dianjurkan semata-mata untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan,” katanya ketika program Sambutan Kemerdekaan ke-63 anjuran Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat, di Dewan Kebudayaan Homestay Kampung Batu Laut, di sini hari ini.

Dalam pada itu Borhan berkata sambutan tersebut dilakukan tanpa mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) mencegah penularan wabak Covid-19.

“Pada masa sama penduduk tidak boleh mengabaikan SOP, kekal menjaga jarak dan buat pendaftaran sebelum masuk ke kawasan acara,” katanya kepada SelangorKini.

Categories
ADN EXCO SELANGOR

Terus patuh PKPB, kekalkan zon hijau di Tanjong Sepat

TANJONG SEPAT, 16 MEI: Penduduk dinasihatkan terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 sekaligus mengekalkan Tanjong Sepat sebagai zon hijau, kata ahli dewan negerinya.

Borhan Aman Shah berkata status hijau itu tidak boleh dipandang ringan kerana wabak ini masih mampu menyerang sesiapa sekiranya ada pihak yang gagal mematuhi amalan kebersihan.

“Kita jangan lalai dan ambil ringan. Jaga jarak sosial, selalu cuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Setakat ini kita belum ada kes. Kita bimbang jika orang luar masuk bawa kes ke sini atau penduduk kita sendiri terkena Covid-19 dan bawa balik ke sini (Tanjong Sepat),” katanya ketika majlis penyampaian sumbangan di Kampung Orang Asli Tanjong Sepat hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri terus memberikan perhatian kepada hak Orang Asal termasuk soal tanah, pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

Borhan turut mengingatkan penduduk setempat supaya tidak mudah menyebarkan berita palsu yang berlegar di laman sosial kerana boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Terdahulu berlangsung penyampaian sumbangan disempurnakan EXCO Hal Ehwal Orang Asal Hee Loy Sian kepada hampir 600 keluarga di dua kampung di sini.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM3.2 juta diperuntuk bangun pelancongan Tanjung Sepat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi pembangunan kawasan gerai makanan dan rekreasi untuk tarikan pelancongan di Kampung Batu Tanjung Sepat.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi menaiktaraf jeti kawasan itu.

“Projek dijangka bermula Jun ini dan siap Disember 2019.

“Antara pembangunan yang dirangka termasuk pembinaan enam gerai makanan, padang rekreasi, tempat riadah, lebih daripada 30 ruang tempat letak kereta dan pemulihan kuil Cina,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Katanya, kemudahan taman rekreasi itu dilihat amat diperlukan di setiap daerah dalam mewujudkan masyarakat yang sihat, di samping menjadi lokasi orang ramai untuk beriadah.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan kehendak semasa orang ramai disamping dapat menambah tempat-tempat tarikan pelancong untuk datang ke negeri ini.

=EZY=