Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Lima kluster tempat kerja dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sebanyak lima lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempat kerja dikesan di Selangor.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan memaklumkan kluster terbabit dikesan di Hulu Langat, Sepang, Klang dan Petaling.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebanyak 208 kes positif dicatatkan selepas 1,366 individu disaring di semua lokasi terbabit.

Perincian kluster seperti berikut:

1-Tapak Bina Jalan Langat (dua kes baharu)

2-Industri Jalan Jati Kiri (tiga kes baharu)

3-Industri Anggerik Mokara 47 (14 kes baharu)

4-Industri Sungai Kayu Ara 32 (lima kes baharu)

5-Industri Merangai Utama Satu (dua kes baharu)

Selain lima kluster berkenaan, 25 kluster baharu turut dikesan membabitkan Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Perak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat tiga lagi kluster babit tempat kerja, pusat jagaan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu di Selangor dengan dua merupakan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan kluster Industri Jalan Utas melibatkan pekerja kilang di Seksyen 15, manakala kluster Resort Sepang membabitkan pekerja sebuah syarikat di Sepang.

Sementara itu, kluster Bayam Tiga di Kuala Langat merupakan kluster golongan berisiko tinggi yang menjangkiti warga sebuah pusat jagaan di Taman Desa Jarom, Jenjarom.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semua kluster itu menyumbang 57 kes positif Covid-19 sekitar Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang selepas 405 individu menjalani saringan.

Hari ini KKM turut mengesan 13 lagi kluster lain melibatkan kategori komuniti, tempat kerja dan kumpulan berisiko dengan Kelantan (empat) dan Terengganu (dua).

Enam lagi kluster masing-masing dilaporkan di Sarawak, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

527 kluster libatkan tempat kerja dikesan sejak September

KULAI, 13 FEB: Sebanyak 527 kluster dikenal pasti melibatkan tempat kerja daripada keseluruhan 852 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik Covid-19 di dalam negara sejak 20 Sept lepas hingga semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 78,906 orang didapati positif Covid-19 daripada seramai 315,100 orang dalam kluster tempat kerja yang disaring.

“Daripada jumlah kes positif di tempat kerja tersebut, seramai 58,318 orang daripadanya adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia manakala 20,588 orang lagi adalah warganegara,” katanya kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor di tiga asrama pekerja asing di Jalan Seelong, Senai, hari ini.

Kategori pembuatan mencatatkan kluster tertinggi dengan sebanyak 194 kluster, perkhidmatan (175), pembinaan (97), pentadbiran awam (39), pertanian (14) manakala perlombongan/kuari (lapan).

Sementara itu, Dr Adham berkata pemeriksaan di tiga asrama di Jalan Seelong itu dilakukan susulan terdapat 327 pekerja asing di asrama terbabit didapati positif Covid-19 daripada keseluruhan 568 pekerja yang disaring, dari 5 hingga 11 Feb lepas.

Pemeriksaan mendapati tiada pengamalan 3S, iaitu elak tempat sempit, tempat sesak dan sembang dekat di tempat penginapan pekerja asing yang melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor diarahkan untuk melakukan siasatan terhadap tempat penginapan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 naik mendadak di Lembah Klang berkait tempat kerja

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri di Lembah Klang sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja, termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru pihak majikan memainkan peranan lebih besar untuk bersama menangani penularan Covid-19 dalam negara.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri, dan juga persekitaran di tempat tinggal, serta tempat kerja. Isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, antara tindakan yang boleh diambil pihak majikan adalah memberi pendidikan kepada pekerja tentang amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal, serta langkah pencegahan.

“Tindakan lain adalah menyediakan penginapan kondusif untuk memastikan penjarakan fizikal diamalkan serta memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka,” katanya.

-BERNAMA