Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat tiga lagi kluster babit tempat kerja, pusat jagaan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu di Selangor dengan dua merupakan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan kluster Industri Jalan Utas melibatkan pekerja kilang di Seksyen 15, manakala kluster Resort Sepang membabitkan pekerja sebuah syarikat di Sepang.

Sementara itu, kluster Bayam Tiga di Kuala Langat merupakan kluster golongan berisiko tinggi yang menjangkiti warga sebuah pusat jagaan di Taman Desa Jarom, Jenjarom.

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semua kluster itu menyumbang 57 kes positif Covid-19 sekitar Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang selepas 405 individu menjalani saringan.

Hari ini KKM turut mengesan 13 lagi kluster lain melibatkan kategori komuniti, tempat kerja dan kumpulan berisiko dengan Kelantan (empat) dan Terengganu (dua).

Enam lagi kluster masing-masing dilaporkan di Sarawak, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Perak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat jagaan warga emas digalak daftar program suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Hanya satu daripada dua puluh rumah orang tua di Malaysia yang telah melakukan prapendaftaran bagi program vaksinasi Covid-19 sekali gus menyaksikan penghuni serta kakitangan di pusat jagaan warga emas lain berdepan risiko tidak mendapat suntikan atau menerimanya dalam keadaan agak terlewat, demikian menurut pegawai yang terlibat dalam pelan vaksinasi untuk golongan itu.

Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia di Universiti Putra Malaysia (MyAgeing) menganggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 1,000 rumah orang tua di Malaysia, dengan separuh daripadanya tidak diketahui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), justeru tidak dapat dihubungi.

Setakat ini, hanya 50 pusat jagaan warga emas yang melakukan prapendaftaran bagi program vaksinasi, menurut MyAgeing dan KKM.

Sesetengah daripadanya tidak memiliki lesen manakala yang lain memperoleh lesen daripada pelbagai pihak berkuasa seperti kerajaan tempatan.

Dr Noraliza Noordin Merican daripada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM memberitahu Bernama bahawa adalah penting untuk semua pusat jagaan warga emas membuat prapendaftaran itu supaya mereka dapat memperuntuk sumber dengan betul bagi memvaksinkan kakitangan dan penghuni yang mungkin hanya mampu terbaring, di lokasi.

“Kalau boleh, kami lebih suka memberikan vaksin itu di pusat jagaan mereka kerana kami agak keberatan untuk membawa mereka keluar kerana warga emas berdepan risiko lebih tinggi.

“Jika kami boleh memberikan vaksin itu kepada mereka di pusat jagaan, itu adalah lebih mudah dan selamat berbanding membawa mereka keluar ke tempat awam,” katanya.

Bagaimanapun, sesetengah pengusaha rumah orang tua agak keberatan untuk melakukan prapendaftaran bagi program vaksinasi itu kerana bimbang akan kesannya.

Beberapa wakil Persatuan Pengusaha Rumah Orang Tua Malaysia (AGECOPE) berkata kebanyakan ahlinya bimbang mereka akan dikenakan denda kerana mengendali pusat jagaan itu tanpa lesen atau menggaji pekerja asing bagi menampung kekurangan tenaga kerja yang semakin memburuk akibat pandemik Covid-19.

Dr Noraliza memberi jaminan bahawa KKM tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit kerana keutamaan mereka ialah memastikan sebanyak mungkin golongan warga emas mendapat vaksinasi secepat mungkin, bukan status pendaftaran pusat jagaan terbabit atau kakitangannya.

“Apa yang paling penting ketika ini ialah untuk kami mengetahui jumlah penghuni di pusat jagaan terbabit, berapa ramai yang sanggup disuntik dengan vaksin itu dan adakah mereka mempunyai sebarang alergi?” katanya.

Beliau berkata pengusaha dan kakitangan pusat jagaan terbabit boleh menggantikan maklumat dalam seksyen berkaitan nombor kad pengenalan atau pasport dengan nombor telefon bimbit atau membiarkannya kosong.

Bernama sempat menghubungi beberapa pusat jagaan warga emas termasuk rumah kebajikan dan bertanya sama ada mereka tahu mengenai proses prapendaftaran bagi vaksinasi itu.

Beberapa pusat jagaan memaklumkan bahawa mereka sudah menyerahkan borang prapendaftran manakala yang lain menyangka pendaftaran hanya bermula pada April.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM kenal pasti bantuan warga emas di pusat jagaan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengenal pasti bantuan kepada warga emas yang tinggal di institusi jagaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham berkata pihaknya prihatin terhadap kesihatan warga emas yang berada di pusat jagaan terutama bagi institusi mempunyai ramai penghuni dan mengalami kesukaran mengamalkan jarak sosial selamat.

“Susulan itu, kementerian bekerjasama rapat dengan KPWKM dengan membangunkan garis panduan untuk pusat jagaan rumah orang tua, awam dan swasta mengenai pandemik Covid-19.

“Pengurusan kesihatan berhubung pencegahan Covid-19 di Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan turut dipantau bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, beliau berkata warga emas digalakkan menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Katanya bekalan ubat bagi penyakit berkaitan boleh dihantar terus ke rumah warga emas berkenaan tanpa memerlukan mereka mengunjungi hospital berdekatan.