Categories
SELANGOR

Projek CAR : TNB Harus Fikirkan Kepentingan Masyarakat Setempat


PETALING JAYA, 9 OGOS : Kerajaan Selangor telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif bagi Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan Kampong Sungai Terentang, Rawang.

Oleh itu, pemimpin Kerajaan Selangor mengharap agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil kira kepentingan penduduk kampung itu apabila melaksanakan CAR.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri tidak boleh mengenepikan kepentingan masyarakat tempatan dan faktor sosial di dalam melaksanakan projek.

“Ini kerana keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah fokus utama.

“Sebab itu, kita adakan banyak perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), wakil penduduk dan pemimpin masyarakat, ADUN dan Ahli Parlimen sebelum ini,” jelas beliau di dalam satu kenyataan media.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung Sungai Terentang.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras penduduk setempat kerana sebelum ini satu menara pencawang tersebut tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselematan penduduk.

Hari ini, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Manakala MP Selayang Willian Leong berkata tiga laluan alternatif itu dirangka oleh kerajaan negeri dan pakar perunding dari Australia.

?Kami menggesa TNB bekerjasama segera dengan kerajaan negeri untuk menyelesikan perkara ini. Keselamatan dan kesihatan penduduk tidak ada tolak ansur dalam keadaan ini.

“TNB mempunyai kepakaran sendiri dan diharapkan mereka tidak hanya memikirkan mengenai kos dan keuntungan semata-mata,” katanya.

 Tiga laluan alternatif itu adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Sementara itu, Adun Rawang, Gan Pei Nei mendesak agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin supaya turun sendiri melihat kawasan pembangunan dan memikirkan nasib penduduk di kawasan Rawang.

Jelasnya, kerajaan negeri menekankan kesan sosial, ekonomi dan teknikal demi memastikan pembangunan yang dibuat memberikan keselesaan kepada penduduk dan bukannya berkisar kepada keuntungan semata-mata.