Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan lawat kilang Khind

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke kilang barangan elektrik Khind, di sini, petang ini.

Baginda tiba bersama rombongan istana di kilang membekal elektrik terbesar di Malaysia itu pada jam 3 petang seusai merasai keenakan kuih bahulu tersohor di Sekinchan iaitu Wisma Masri.

Mengiringi ketibaan baginda adalah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dan kakitangan Khind.

Sebelum memasuki kilang yang mula dibina sejak 1961 itu, baginda berkesempatan merakam foto kenangan berhadapan replika kipas ‘gergasi’ di perkarangan kilang berkenaan.

Baginda diberi taklimat berkenaan latar belakang syarikat Khind sambil berpeluang menyaksikan dan merasai pengalaman menggunakan ketuhar ‘multi air fryer’ termasuk barangan elektrik Khind lain yang dilengkapi ciri-ciri teknologi terkini.

Dalam kunjungan terbabit, baginda juga diberi penerangan ringkas berkaitan kepentingan mengendalikan barangan elektrik dengan cara yang betul dan selamat.

Lebih menggamit perhatian, sebelum berangkat ke lawatan seterusnya, baginda berkenan membeli ketuhar bagi menyokong produk elektrik jenama berkenaan.

Dijangka pada sebelah malam, baginda akan menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan iaitu Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Kuih kapit turun temurun resepi nenek terkenal di Ah Ma House

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Masih menggunakan cara masakan tradisional dapur arang, kuih kapit yang cukup popular di Ah Ma House bukan sahaja terkenal di Sekinchan tetapi turut dikenali di negara luar.

Pemilik Ah Ma House, Kwi Ai Fang, 41, berkata, pihaknya turut memasarkan kuih kapit itu ke Pulau Pinang dan mengeksport sehingga ke Singapura.

Katanya, beliau masih mengekalkan resepi kuih kapit itu secara turun temurun sejak daripada zaman neneknya dengan hanya menggunakan santan pekat, gula, tepung dan telur ditambah keistimewaannya apabila membakar menggunakan dapur arang.

“Sebelum ini kita beroperasi di rumah sahaja selama 10 tahun dan kini meluaskan perniagaan di Ah Ma House yang kini sudah tahun keempat serta turut memasarkan sehingga ke negara luar.

“Sambutan amat menggalakkan memandangkan jika dilihat sekarang sudah jarang orang menggunakan dapur arang namun kita masih mengekalkannya kerana itulah antara rahsia keenakannya,” katanya ketika ditemui SelangorKini di sini, hari ini.

Mengulas sama ada sukar untuk membuat kuih kapit, katanya, ia tidak susah namun memerlukam pemerhatian lebih teliti kerana dikhuatiri mudah hangus apabila ia hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja untuk membakar.

Terdahulu, Ah Ma House sesuai untuk mereka yang ingin mengimbau kenangan zaman kanak-kanak apabila pelbagai barangan antik dijual dan dipamerkan di sini.

Bukan hanya terkenal dengan kuih kapit namun ia sinonim menjual pelbagai barangan antik dan makanan, gula-gula serta snek zaman kanak-kanak sekitar 80-90an.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Ah Ma House dalam Lawatan Mesra DYMM Tengku Permaisuri Selangor ke Sekinchan bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah itu.

Difahamkan, itu adalah lawatan kedua baginda selepas yang pertama secara rasmi pada 2017 bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berbasikal nikmati keindahan sawah padi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengayuh basikal sambil menikmati keindahan sawah padi dalam Lawatan Mesra baginda ke Sekinchan, hari ini.

Baginda berbasikal dalam perjalanan berangkat ke kilang memproses padi yang terbesar di Sekinchan, PLS Marketing Sdn Bhd.

Baginda tiba sekitar jam 10.30 pagi bersama rombongan Istana kira-kira sejauh 500 meter dari Ah Ma House, sebuah kedai pembuatan kuih tradisional terkenal di kawasan itu.

Turut mengiringi keberangkatan baginda adalah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Negeri (DNS) Selangor, Ng Suee Lim.

Sementara itu, di kilang terbabit, baginda mencemar duli mendengar taklimat berkaitan pemprosesan padi sambil menonton tayangan padi dihasilkan sehingga menjadi beras.

Baginda turut mencemar duli melawat dan merasai aneka makanan di kilang itu antaranya keropok beras, mangga king, cendol santan kelapa sawit, air kedondong asam boi dan aneka kerepek.

Selain itu, baginda juga mencemar duli bergambar secara tidak rasmi di kawasan sawah padi di luar kilang terbabit.

Lawatan Mesra DYMM Tengku Permaisuri ke Sekinchan itu seterusnya ke Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, bagi menikmati santapan tengah hari.

Baginda dan rombongan dijangka meneruskan mencemar duli lawatan selama hampir satu hari antaranya ke Kilang Khind, Wisma Masri, Pantai Redang dan garisan penamatnya di Sky Mirror.

 

 

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan buat kuih kapit

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan membuat demonstrasi kuih kapit di Ah Ma House.

Baginda bersama rombongan Istana tiba di kedai barangan antik itu sekitar jam 10 pagi seusai bersarapan di Hotel A+ Sekinchan.

Baginda meluangkan masa hampir 10 minit untuk membuat kuih tradisional itu yang sememangnya cukup terkenal di Sekinchan kerana masih menggunakan dapur arang.

Seusai membuat kuih kapit, baginda meluangkan masa setengah jam melawat ke sekitar Ah Ma House bagi melihat keunikan kedai terbabit yang dipenuhi pelbagai barangan antik.

Baginda turut mencemar duli bergambar bersama pengunjung yang hadir ke kedai terbabit.

 

Difahamkan, Ah Ma House atau Rumah Nenek adalah salah satu tarikan pelancong di Sekinchan.

Ia sebenarnya kedai roti yang menjual kuih kapit dan makanan tradisional tempatan, biskut, pencuci mulut dan barangan vintaj yang cukup terkenal pada zaman dahulu.

Selain itu, Ah Ma House turut menjadi daya penarik sesiapa sahaja berkunjung ke sini kerana suasanyanya seakan mengimbau kenangan zaman dahulu.

Lawatan Mesra DYMM Permaisuri ke Sekinchan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Kedatangan baginda disambut dan ditemani Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

 

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan nikmati santapan eksotik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini, hari ini, bagi menikmati santapan tengah hari.

Baginda tiba bersama rombongan di restoran popular dengan makanan eksotik itu kira-kira 12.10 tengah hari.

Turut mengiringi keberangkatan tiba baginda ialah Ahli Dewan Negeri Sekinchan merangkap Speaker Dewan Negeri (DNS) Selangor, Ng Suee Lim.

Baginda dihidangkan menu eksotik istimewa iaitu belangkas masak lemak dan belangkas masak sambal.

Selain itu, baginda turut menikmati santapan kampung lain seperti udang galah masak sambal, ikan sepat masin, ikan keli masak lemak, ayam kampung goreng dan pelbagai aneka ulam-ulaman kampung yang segar.

Seusai menikmati santapan tengah hari, baginda berkenan menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Pekan Sekinchan sebelum mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan dijangka meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan lawat Sekinchan

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengadakan lawatan mesra ke Sekinchan, di sini, hari ini.

Lawatan selama hampir satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawati beberapa tempat menarik di sini.

Baginda memulakan lawatan pertama mencemar duli ke Hotel A+ Sekinchan dengan bersarapan bersama rakyat sambil mendengar taklimat berkaitan sejarah asal usul Sekinchan.

Kedatangan baginda disambut Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

 

Seusai bersarapan, baginda mencemar duli melawat kedai barangan antik, Ah Ma House yang cukup sinonim dan terkenal bukan sahaja di Sekinchan, namun di Selangor khususnya.

Baginda turut mencemar duli mengayuh basikal sejauh 500 meter bersama rombongan Istana dan tetamu jemputan menuju ke kilang padi terbesar di daerah ini, PLS Marketing Sdn Bhd.

Selain itu, pada sebelah petang baginda dijadual meneruskan lawatan ke ke Ladang Tanaman Mangga King dan Jambu Madu di Site A Kitchen sebelum menikmati santapan tengah hari di Restoran Eksotik Lembah Bernam Parit 9, di sini.

Baginda turut mencemar duli melawat Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek dan pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasilkan barangan eletrik yang membekalkan ke seluruh Malaysia.

Selain itu, aktiviti petang baginda meneruskan lawatan mencemar duli ke Kampung Bagan dan Jeti Ah Hee bagi melihat aktiviti nelayan sebelum bersiar di Pantai Redang.

Manakala, pada sebelah malam, baginda menikmati santapan makanan laut yang amat terkenal di Sekinchan, Restoran Secret Garden 1960.

Sebelum berangkat pulang ke Istana, baginda dan rombongan mencemar duli menaiki bot untuk ke Jeti Sky Mirror bagi melihat keindahan dan meneroka keajaiban Blue Tears.

 

 

Categories
NASIONAL

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan rasmi Kongres Makanan Warisan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan merasmikan Kongres Makanan Warisan di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA Kampus Shah Alam (UiTM), pada 23 April lalu.

Program julung kali diadakan selama dua hari itu bertemakan “Definisi dan Identiti Makanan Warisan Malayu”, anjuran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Jabatan Warisan Negara.

Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Shah Alam, Profesor Dr Mohd Salehuddin Mohd Zahari berkata, ia bertujuan mewujudkan kesedaran dan keperihatinan terhadap makanan warisan Melayu.

“Semoga perkongsian ilmu dan pandangan dapat menjadi landasan terbaik untuk mewujudkan wacana berhubung makanan warisan kita supaya kelestariannya dapat dikekalkan hingga berzaman.

“Jutaan terima kasih kepada ahli jawatankuasa, pelajar, staf, penaja dan peserta menjayakan kongres Warisan ini,” tulisnya di Facebook.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin ceriakan sambutan CNY

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya, semalam.

Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama menyerikan sambutan yang dihadiri 3,000 rakyat sejak jam 7 malam.

Hujan lebat yang turun di sekitar Petaling Jaya sejak jam 6.45 petang sedikit sebanyak menjejaskan kehadiran pengunjung untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Tahun Baru Cina, Datuk Teng Chang Kim barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN) serta Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut sama hadir bersama-sama meraikan majlis.

Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Chang Kim selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Tahun Baru Cina dan disusuli ucaptama Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat ke pentas utama bersama-sama Amirudin, Chang Kim serta Suee Lim bagi memalu gendang sebagai simbolik perasmian pembukaan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor dengan diikuti acara menggaul ‘Yee Sang’ bersama-sama dif-dif kehormat.

Acara diteruskan dengan majlis makan malam dan kemudiannya disusuli pemberian ‘ang pow’ kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Invest Selangor Berhad bersama Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan bertindak selaku penganjur bersama bagi sambutan kali ini yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor Sdn Bhd serta Hijrah Selangor.

Pengisian program turut diserikan dengan persembahan Tarian Singa, Diaboli, Harmonica, Choir, Drum serta pemberian limau kepada orang awam selain penampilan selebriti, Angeline Tan selaku pengacara majlis bersama.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Norashikin lega pembunuh kucing dihukum penjara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan rasa lega dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang, yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap pesalah laku kekejaman kucing, pada 11 September tahun lalu.

Bagaimanapun, Tengku Permaisuri turut berasa amat dukacita dan sedih kerana masih berlaku beberapa insiden membabitkan kekejaman terhadap haiwan, termasuk anak kucing dipijak sehingga mati dan perbuatan meracun serta membakar anjing.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 jelas memperuntukkan hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan yang terbiar di jalanan ini yang tidak mampu mempertahankan diri mereka sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan dimuat naik di Instagram Selangor Royal Official.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan majlis perbandaran di seluruh negara supaya mengambil tindakan proaktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities’ melalui Pendidikan Perikemanusian bagi Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Berhemah dan Bertanggungjawab.

“Ia termasuk menyebar luaskan inisiatif mengkasi atau pemandulan serta membina pusat perlindungan bagi menjaga haiwan terbiar yang masih sihat dan tidak agresif ini.

“Sebagai Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya mengalu-alukan usaha yang dijalankan di bawah kempen Stray Free Selangor ini.

“Saya menggesa pihak berkuasa terbabit supaya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan,” titah baginda.

Terdahulu, seorang pemandu teksi tular dalam rakaman kamera litar tertutup ekoran menangkap dan memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering sehingga mati.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap A Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, pada 14 September tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 16 September tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor rasmi ekspo barang kemas eksklusif

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Pameran Barang Kemas Eksklusif Malaysia (MIJF) di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn Bhd, Johnson Lim dan Pengarah Bahagian Gaya Hidup Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof.

Acara yang dianjurkan Elite Expo Sdn Bhd bermula hari ini hingga Ahad depan dengan membawa 100 jenama barangan kemas dari Malaysia, Kemboja, Dubai, Hong Kong, India, Jepun, Belgium dan Itali.

Tengku Permaisuri turut berkenan melawat tapak pameran yang menempatkan 100,000 koleksi barangan kemas eksklusif.

Sementara itu, Johnson berkata, MIJF adalah syurga barangan kemas bertaraf dunia yang tidak patut dilepaskan peminatnya.

“Terdapat banyak aktiviti menarik sepanjang acara berlangsung termasuk cabutan bertuah ‘spend and win’ yang mana pengunjung berpeluang memenangi subang bernilai RM10,000,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin serikan Larian Menjunjung Kasih 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 DIS: Larian Menjunjung Kasih 2018 bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-73 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 7,000 peserta bagi penganjuran edisi keempat.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin yang tiba sekitar jam 7.15 pagi berkenan mencemar duli untuk melakukan ‘flag-off’ larian bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 7.30 pagi bagi kategori Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka 15KM.

Disusuli Kategori Pelajar Lelaki dan Wanita 10KM, Baginda kemudiannya menyertai larian Family Fun Run 5KM dengan ditemani Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad bersama-sama Kategori Pelajar Lelaki dan Wanita 5KM yang dilepaskan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada jam 7.45 pagi.

Para peserta turut mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama Tengku Permaisuri Norashikin yang selesai menamatkan larian pada jam 8.30 pagi dan Masdiana kemudiannya mengalungkan pingat kepada Baginda.

Penganjuran program ini bertujuan memupuk masyarakat untuk mengamalkan cara hidup sihat serta semangat perpaduan dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian.

Selain itu, penganjuran program sebegini turut memberi peluang kepada penduduk tempatan terutamanya remaja dan belia di Negeri Selangor untuk menceburi sukan ini serterusnya secara tidak langsung menghidupkan rasa kasih dan peduli kepada Institusi Kesultanan Negeri Selangor

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi yang ditemui berpuas hati dengan penganjuran kali ini yang terus mendapat sambutan dan menjunjung kasih atas keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin ke Larian Menjunjung Kasih 2018.

“Kita sudah menilai dan menjangka segala masalah dari tahun ke tahun bentuk masalah yang timbul dan cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa.

“Paling penting keselamatan para peserta supaya mereka tidak mengalami kemalangan atau kecederaan selain memastikan semua kemudahan memenuhi kehenda mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, penganjuran kali pertama Kategori Terbuka 15KM menyaksikan penyertaan menggalakkan dan menjangkakan pernyertaan lebih ramai tahun hadapan.

Categories
SELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor terima darjah kebesaran Kelantan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dikurniakan darjah kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) Al-Muhammadi 1, bersempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke-49.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Kelantan Kehadapan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berlangsung pada 26 November lalu, di Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat Pengurniaan disempurnakan Yang Maha Mulia (YMM) Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Upcara itu turut disaksikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan rombongan dari Istana Kelantan serta Orang-orang Besar Istana Selangor.