Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 tiket balik kampung terjual di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 2,000 individu pulang ke kampung halaman menerusi Terminal 17 di sini sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu.

Jurucakap Terminal 17, Mohd Hafidz Othman berkata jumlah itu merangkumi jualan tiket secara dalam talian dan sebahagian lagi menerusi jualan di kaunter.

Mohd Hafidz Othman

“Sebahagian besar destinasi yang dituju adalah Pantai Timur di mana permintaannya agak tinggi hingga beberapa syarikat bas perlu menyediakan bas tambahan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata sebanyak 300 individu menaiki bas bagi setiap sejam untuk lapan platform yang disediakan bagi memastikan kelancaran di terminal berkenaan.

“Dari segi pemantauan SOP (tatacara operasi piawai) kita memastikan hanya penumpang lengkap dua dos sahaja dibenarkan menaiki bas dengan mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi ketika membeli.

“Sebelum bas bertolak pihak berkuasa akan memeriksa sijil vaksinasi setiap individu di dalam bas bagi mengelak berlaku penipuan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 600 pulang ke kampung di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 600 individu mengambil peluang cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki bas di Terminal 17 di sini, malam tadi.

Tinjauan SelangorKini di terminal itu mendapati walaupun suasana sesak dengan kehadiran orang ramai, namun tiada pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) membabitkan penumpang.

Malah terdapat bunyi dentuman mercun di kawasan berdekatan seolah-olah mengiringi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Noor Hafizati Mohd Hariri dan keluarga teruja untuk pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu susulan kebenaran rentas negeri ketika tinjauan di Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang penumpang, Noor Hafizati Mohd Hariri mengakui teruja untuk pulang ke kampung halaman suaminya, Mohd Nadzi Nasir di Kemaman, Terengganu untuk memperkenalkan anak bongsunya yang berusia setahun.

“Ini anak PKP (perintah kawalan pergerakan) atok dan nenek di kampung tidak pernah berjumpa lagi jadi ini kali pertama dia akan berjumpa mereka,” katanya yang turut membawa bersama dua lagi anak bersama.

Sementara itu, jurutera, Anieza Arimi berkata ibu bapanya di Pasir Mas, Kelantan tidak mengetahui dia akan pulang pada malam tadi kerana ingin membuat kejutan kepada mereka.

Anieza Arimi

“Dah lebih setahun saya tidak pulang jadi teringin nak tengok reaksi mereka ketika saya bila sampai di rumah nanti,” katanya.

Bagi Muhammad Zulapis Sanusi pula, dia pulang ke Ketereh, Kelantan untuk membincangkan urusan perkahwinan selepas tertangguh akibat pandemik.

“Saya tidak pulang ke kampung hampir dua tahun, selain untuk berjumpa ibu bapa, saya juga ingin bertemu tunang untuk membincangkan urusan perkahwinan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
SELANGOR

Terminal 17 bagai ‘mini airport’, jadi tumpuan musim perayaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Berbaki lima hari sebelum sambutan Aidilfitri, suasana Terminal 17 yang baharu sebulan beroperasi sudah sesak dengan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan SelangorKini mendapati, hentian bas berkenaan juga kembali menjadi tumpuan warga Shah Alam dan sekitarnya selepas empat tahun ditutup bagi kerja pengubahsuaian.

Sehingga tengah malam tadi, keadaan di terminal itu masih terkawal walaupun orang awam khususnya penuntut universiti yang dilihat sebagai majoriti pengguna, memenuhi ruang kaunter pembelian tiket dan menunggu masa perjalanan.

Pekerja swasta, Muhammad Azin Mohd Kamal, 23, berkata ini kali pertama dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres di terminal berkenaan untuk pulang ke desa tercinta, sejak ia dibuka awal Mei lalu.

Katanya, banyak pembaharuan yang boleh dianggap setaraf dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dilaksanakan di terminal berkenaan.

“Ia dikira sebagai ‘mini airport’ untuk bas kerana kelengkapan dan fasiliti diberikan di sini sangat baik, malahan sistemnya juga boleh dikatakan agak teratur walaupun masih dalam tempoh percubaan.

“Sebelum ini sudah dua kali saya menggunakan Terminal 17, tetapi bukan dalam suasana raya, manakala untuk penggunaan kali ketiga ini saya berasa sangat gembira kerana memudahkan saya naik bas dan perjalanan akan jadi lebih baik,” katanya yang akan pulang ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Muhammad Azin berkata, terdapat beberapa aspek perlu dipertimbangkan pihak pengurusan terminal seperti kaedah penjualan tiket secara dalam talian yang dirasakan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna kerana memerlukan bayaran caj RM1 untuk setiap cetakan.

“Mereka (pengurusan) tidak sewajarnya mengenakan caj kepada pengguna yang sudah menggunakan kaedah itu selama bertahun-tahun, sedangkan ia hanya sekeping kertas.

“Penambahbaikan daripada segi itu harus dikuatkuasakan dalam masa segera sebelum orang lain membuat aduan,” katanya.

Senada dengannya, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Fatin Nabila Rahmat, 23, menyifatkan Terminal 17 memiliki fasiliti lebih selesa berbanding hentian bas sementara sebelum ini.

“Di sini senang sebab ada tempat lebih selesa untuk tunggu bas, kalau hujan sekurang-kurangnya boleh berteduh dan tunggu lama sekali tak kisah sangat.

“Tandas pun mencukupi berbanding tempat sebelum ini yang hanya ada satu sahaja,” katanya yang akan pulang ke Ipoh, Perak.

 

Categories
SELANGOR

Caj RM1 cetak tiket jamin kelancaran operasi terminal bas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Caj RM1 yang dikenakan terhadap pengguna bagi setiap cetakan tiket bas melalui pembelian dalam talian di Terminal Bas Seksyen 17 bertujuan memastikan pengurusan dan operasi terminal berjalan lancar serta sistematik.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, pihaknya menggunakan sistem pengurusan terminal (TMS) bagi mengawal keluar dan masuk bas di terminal berkenaan.

“Ini adalah sebahagian satu kawalan supaya kita tahu siapa yang menaiki bas dan berapa penumpang yang naik bas serta jika ada berlaku apa-apa kemalangan atau insiden di luar dugaan, kita tahu berapa penumpang yang naik di terminal ini.

“Kalau diikutkan sistem ini diguna pakai di semua terminal di Malaysia, tetapi Majlis Bandaraya Shah Alam adalah satu-satunya pihak berkuasa tempatan yang memberikan kemudahan itu sendiri.

“Di tempat lain misalnya Terminal Bersepadu Selatan, ia diuruskan syarikat dilantik kerajaan, tetapi di sini kita uruskan dengan mengguna pakai kos sendiri,” katanya pada program Kempen Pulang Ke Kampung Dengan Selamat dan Sumbangan Kuih Raya, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini malam tadi.

Sebelum ini, kecoh apabila kebanyakan penumpang yang membeli tiket secara dalam talian ditahan di balai pelepasan terminal berkenaan ekoran terpaksa ke kaunter terlebih dahulu untuk mencetak pas dan perlu membayar RM1.

Malah, pemeriksaan sebanyak dua kali sebelum penumpang menaiki bas disifatkan tidak praktikal dan tindakan itu bagi sesetengah individu hanya melewatkan lagi perjalanan.

Mengulas sama ada caj dikutip itu bagi menampung kos keseluruhan penambahbaikan terminal berkenaan, Mohd Rashidi berkata, pihaknya perlu menanggung sejumlah RM87,000 setiap bulan selepas menolak hasil yang diterima daripada kos operasi terbabit.

“Kalau diikutkan daripada segi kos operasi terminal ini dan hasil diterima tidak juga dapat menampung, malahan kita memerlukan kos tambahan yang lebih. Kita rasa mampu dan berharap pengguna bersabar kerana kita mahu meningkatkan kemudahan yang ada.

“Operasi (terminal) ini adalah di tanah milik MBSA berbanding terminal lain yang mana tanahnya daripada pesuruhjaya tanah persekutuan tetapi operasi syarikat itu berbeza dengan keadaan kita di sini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bangunan parkir bertingkat tampung kenderaan di Terminal 17

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

FOTO ASRI SAPFIE

SHAH ALAM, 31 MEI: Sebuah bangunan parkir bertingkat yang bakal memuatkan 300 kenderaan bakal dibina berhampiran Terminal Seksyen 17, pada penghujung tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, penambahbaikan itu sebagai langkah jangka masa panjang yang diyakini mampu mengatasi masalah kekurangan parkir di terminal berkenaan.

Malah katanya, beberapa penambahbaikan lain perlu dijalankan di terminal yang diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa pemaju projek di peringkat MBSA sudah diluluskan kompleks parkir bertingkat yang akan menyelesaikan masalah parkir untuk jangka masa panjang dan ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Untuk jangka masa pendek, kita menyediakan kemudahan RELA bagi mengawal laluan trafik termasuk anggota penguat kuasa MBSA yang bertugas di terminal ini.

“Kita juga akan menambah 30 gerai kerana saya dimaklumkan ada 400 permohonan gerai dan ini bermakna orang ramai yakin dengan kemampuan di terminal ini,” katanya pada sidang media pada Kempen Pulang Ke Kampung Dengan Selamat dan sumbangan kuih raya, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan, ahli majlis dan pengarah jabatan MBSA.

Sze Han berkata, terminal itu mempunyai sejarah lampau yang agak panjang memandangkan ia sepatutnya dibuka kepada umum sejak empat tahun lalu.

“Ada banyak isu yang tidak dapat dielakkan MBSA, maka terminal ini hanya berjaya dibuka pada tahun ini dengan kos keseluruhan RM8.4 juta, manakala MBSA memberi suntikan dana tambahan sebanyak RM800,000 untuk menyiapkannya.

“Kita mengakui kelemahan itu tetapi ia dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek,” katanya.

Terminal 17 yang beroperasi sejak 1 Mei lalu dibina bagi menggantikan terminal sementara di Seksyen 13 yang sudah ditutup sepenuhnya.

Menjadi terminal moden dan selesa kerana dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, Terminal 17 memberi fokus kepada perkhidmatan bas ekspres untuk destinasi ke utara, selatan dan pantai timur.

Menariknya, Terminal 17 yang beroperasi selama 24 jam turut diintegrasikan dengan perkhidmatan bas Smart Selangor dan teksi.