Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada sambutan tahun baharu 2021 kebanyakan negeri

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketibaan tahun baharu 2021 tidak seperti kelaziman yang menampilkan sambutan ambang tahun baharu dengan acara besar-besaran penuh meriah, berikutan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kecuali Sarawak, negeri-negeri lain tidak mengadakan majlis rasmi sambutan tahun baharu, namun orang ramai tetap mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan tidak berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang menganjur acara tradisi kiraan detik-detik terakhir penghabisan tahun dan ketibaan tahun baharu malam tadi.

Walaupun setakat ini ia dilihat berjaya melandaikan lengkungan kes Covid-19, tatacara operasi piawai (SOP) tetap dipatuhi di sepanjang acara sambutan.

Pematuhan SOP itu tidak menghalang kemeriahan acara penuh berwarna-warni yang menampilkan pelbagai pertunjukkan tradisional, dan persembahan pentas penuh bertenaga artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Bob dan Hafiz, di Stadium Perpaduan.

Di TERENGGANU, kerajaan negeri memilih menganjurkan acara Pentas Online: Ambang Tahun Baharu 2021 yang penuh dengan pengisian program keagamaan secara maya.

Acara yang bermula 9 malam itu diisi dengan pelbagai acara termasuk persembahan ‘buskers’, program ‘talkshow’ yang bersifat keagamaan dan laungan takbir, alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan Asmaul Husna apabila menjelang tengah malam.

Di KUALA LUMPUR, keadaan di sekitar Bukit Bintang sesak dengan kenderaan tetapi berbeza di Dataran Merdeka yang lengang dan ditutup daripada dihadiri orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan sedang menjaga kawasan berkenaan.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di taman tema i-City, Seksyen 7 Shah Alam mendapati pengunjung memenuhi ‘taman lampu digital’ itu bagi mengisi masa terluang sempena menjelang tahun baharu dengan pengunjung dilihat mengenakan pelitup muka serta mengimbas suhu badan ketika memasuki taman tema itu.

Di MELAKA, pusat tumpuan pelancong, Bandar Hilir sesak dengan kenderaan walaupun tiada sambungan ambang tahun baharu seperti tahun sebelum ini dengan kebanyakan kenderaan yang memasuki pusat bandar adalah kenderaan dari luar dan aliran trafik bergerak sangat perlahan.

Di KELANTAN, lain pula caranya apabila seramai 250 peserta berkayuh basikal sejauh sembilan kilometer pada Kejohanan Kayuhan Malam Tahun Baru TM Fly Over di Tanah Merah anjuran Kelab Berbasikal Mahsari.

Di PERLIS pula, walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu, orang ramai tetap berkunjung ke persisiran pantai Kuala Perlis bagi menikmati pemandangan tepi laut pada waktu malam bersama ahli keluarga dan tidak kurang juga hadir menikmati sajian ikan bakar.

Di SABAH, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif bersama orang ramai menyertai program keagamaan Munajat Mahabbah dan doa selamat di Masjid Negeri yang dipimpin Imam Besar Suhaidi Kuanting dan Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan tepi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun antaranya Taman Awam Teluk Likas dan Taman Awam Tanjung Aru mendapati hanya segelintir pengunjung berada di kawasan itu akibat hujan selain larangan berkumpul di tempat awam.

Di NEGERI SEMBILAN, terdapat sambutan malam tahun baharu yang disambut berbeza dan unik apabila Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson melepaskan tujuh ekor anak penyu Agar di Pantai Tanjung Gemok sebagai simbolik sempena memasuki tahun baharu.

Di PULAU PINANG, orang ramai masih keluar berkumpul untuk menyambut tahun baharu 2021 walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu dianjurkan kerajaan negeri mahupun pihak swasta dengan tumpuan antaranya di Persiaran Gurney, pusat membeli belah Gurney Paragon, Persiaran Karpal Singh dan Straits Quay.

Di PERAK, tinjauan di taman tema Lost World Of Tambun, Ipoh yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan pengunjung juga mendapati tiada sambutan ambang tahun baharu pada kali ini berbanding tahun sebelum ini terdapat pertunjukan bunga api dan beroperasi hanya sehingga 11 malam ini.

Di PAHANG pula, hujan renyai tidak menghalang orang ramai berkumpul di Teluk Cempedak, Kuantan bagi menyambut sambutan tahun baharu bersama ahli keluarga dan kenalan mereka di tempat tumpuan pelancong itu.

Di KEDAH, orang ramai tetap mengunjungi beberapa lokasi sekitar bandaraya Alor Setar bagi meluangkan masa sempena ambang tahun baharu walaupun tiada sebarang sambutan diadakan.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti Menara Alor Setar dan Dataran Medan Bandar menjadi pilihan bagi penduduk setempat melakukan aktiviti sendiri bersama keluarga masing-masing tanpa mengabaikan pemakaian pelitup muka.

Di JOHOR, pertunjukan bunga api diadakan di daerah Mersing yang dihadiahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bagi penutup tirai tahun 2020 yang penuh cabaran.

Meskipun hujan lebat, orang ramai sanggup menunggu selama sejam setengah sebelum pertunjukan itu bermula kira-kira 11.20 malam.

Di PUTRAJAYA, orang ramai dilihat menjalankan aktiviti bersukan seperti berbasikal dan berjogging serta berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan tidak melebihi 10 orang di Dataran Putrajaya.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Nuzul al-Quran disambut dengan norma baharu

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena sambutan Nuzul al-Quran.

Pelbagai program termasuk ceramah agama biasanya diadakan di seluruh negara bagi mengenang kembali sejarah turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, tahun ini semuanya berbeza, dengan keadaan negara yang ‘dibadai’ Covid-19, pastinya perhimpunan ramai untuk menganjurkan kelaziman itu tidak boleh dilakukan Ahad ini berikutan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik maut itu daripada terus menular.

Namun situasi itu bukan alasan untuk umat Islam negara ini tidak meraikan sambutan itu, sebaliknya ia diraikan dengan normal baharu iaitu tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing sekali gus menghayati kemuliaan bulan Ramadan.

Beberapa negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang sambutan Nuzul al-Quran di negeri masing-masing, dengan umat Islam di Johor digalakkan untuk terus bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan untuk negeri Johor itu selaras titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, iaitu aktiviti di masjid, surau serta musolla di negeri itu ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengimarahkan Ramadan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyediakan tazkirah ihya Ramadan setiap hari untuk orang ramai yang boleh ditonton menerusi laman Facebook jabatan itu, katanya.

Keputusan yang sama juga dibuat di Pulau Pinang apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long mengalakkan umat Islam negeri itu melakukan amalan beribadah bersama ahli keluarga di rumah bagi meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan sempena dengan penghayatan peristiwa Nuzul al-Quran.

“Semua program perhimpunan keagamaan ditangguhkan selaras dengan arahan kerajaan. Orang ramai dimohon untuk sama-sama beribadah dengan ahli keluarga di rumah dengan melakukan solat fardhu berjemaah, melakukan tiga amalan iaitu Tarawih, Tadabbur dan Tahajjud (3T),” katanya.

Bagi Kedah pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata sambutan tetap bermakna apabila ibu bapa dapat membaca al-Quran bersama anak-anak sekali gus boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“PKPB ini ada hikmahnya apabila kita dapat menumpukan ibadah lain seperti solat Tarawih, bersedekah dan memperbaiki amalan-amalan sunat lain terutama 10 malam terakhir Ramadan nanti,” katanya.

Keadaan sedikit berbeza di Pahang, apabila sambutan Nuzul al-Quran pada Ahad akan dibuat secara siaran langsung menerusi stesen radio Pahang FM dan laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), bersesuaian dengan normal baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata pelbagai program disusun sepanjang hari termasuk ceramah dan soal jawab agama serta tadarus Al-Quran oleh individu yang dipilih oleh JAIP.

“Meskipun dengan penularan wabak Covid-19, urusan dakwah tidak akan tersekat atau terhalang, cuma ia akan dilakukan dengan pendekatan yang sedikit berbeza… tahun ini kita tidak dapat berkumpul beramai-ramai tetapi program pengisian yang biasanya kita anjurkan akan diteruskan,” katanya.

Program akan dimulakan dengan ucapan Syed Ibrahim diikut oleh ceramah bertema Nuzul al-Quran oleh Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Datuk Badli Shah Alauddin, selain ceramah Imam Masjid Daerah Bentong Fahizmi al-Hafiz dan diikuti siaran tadarus al-Quran serta tahlil.

-BERNAMA