Categories
AGENDA EKONOMI

Internet dalam Revolusi Industri 4.0, PKP jadi asas kehidupan

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Internet sebagai evolusi telekomunikasi kini berkembang pesat dan menjadi keperluan asas dalam rutin kehidupan seharian kepada setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor ekonomi dan sosial di negara ini.

Perkembangan teknologi ini juga sebagai platform komunikasi yang semakin interaktif dan inovatif perlu dimanfaatkan oleh semua pihak terutama dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Tharek Abdul Rahman menyifatkan dalam situasi dunia kini berdepan dengan krisis pandemik Covid-19, internet dilihat sebagai keperluan asas penting bagi setiap lapisan masyarakat mahupun dalam sektor perniagaan dan sektor pendidikan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal, kehidupan seharian kita tidak lagi sama seperti kebiasaanya, tanpa akses internet ia akan menjejaskan aktiviti seharian kita sama ada secara individu, sektor ekonomi dan sosial.

“Dalam situasi Covid-19 ini kerajaan telah menyarankan rakyat agar ‘stay at home’ dan ‘work from home’. Justeru itu, kita dapat lihat internet adalah keperluan asas dalam kehidupan. Penggunaan internet melonjak sebab hampir seluruh orang bekerja dari rumah dan memerlukan capaian internet yang laju,” katanya kepada Bernama.

Tharek menyifatkan dalam mendepani cabaran normal baharu susulan Covid-19 ini, teknologi generasi keempat (4G) telah memberi kelajuan yang cukup tetapi kapasiti dan liputan internet di kawasan luar bandar masih rendah.

Beliau berkata kerajaan perlu membuat penambahbaikan kapasiti dan liputan internet di beberapa kawasan luar bandar agar penduduk sekitar tidak ketinggalan dalam capaian teknologi itu.

Bertepatan dengan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia hari ini, beliau berkata internet terbukti penting dalam kehidupan seharian bagi setiap lapisan masyarakat kerana ia berkait rapat dengan pelbagai bidang terutamanya membantu dalam pendidikan serta menjana pendapatan.

Tharek berkata, projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan kerajaan dalam teknologi 5G adalah bertepatan dalam meningkatkan kesalinghubungan digital negara, khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hasmah Zanuddin turut bersetuju bahawa internet adalah satu keperluan asas yang perlu diberi tumpuan agar setiap lapisan masyarakat dapat manfaat daripada teknologi itu.

“Signifikasi dalam telekomunikasi ini bergerak selaras dengan perkembangan teknologi dalam pelbagai cara sehinggalah kita boleh membuat ‘wireless communication’. Kalau kita lihat impak telekomunikasi ini memberikan kesan kepada negara.

“Malaysia antara negara yang ke hadapan dalam perkembangan teknologi komunikasi ini. Kalau kita lihat semasa tempoh PKP, telekomunikasi adalah satu keperluan… semuanya dalam talian. Masyarakat menggunakan teknologi ini secara meluas seperti memesan makanan, pembelajaran, peniaga dan pelbagai lagi,” katanya.

Hasmah berkata, dalam krisis Covid-19 ini juga, peranan pembekal perkhidmatan internet amat penting dalam menyediakan liputan yang lebih stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau mengambil contoh, pelajarnya di beberapa kawasan luar bandar berdepan dengan masalah internet yang tidak stabil telah menyukarkan pembelajaran secara dalam talian.

“Ekoran itu saya perlu membantu mereka dengan berhubung secara aplikasi WhatsApp dan e-mel. Sebagai pensyarah, kehidupan kami ibarat bekerja dari pagi hingga malam agar pelajar tidak ketinggalan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau merumuskan skop internet amat signifikan kepada masyarakat di seluruh dunia terutamanya dalam memenuhi keperluan harian meskipun pergerakan terbatas akibat krisis Covid-19 yang mendorong kita beralih kepada normal baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Status PKP Bersyarat dijangka diketahui hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perkembangan selanjutnya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui melalui perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual berlangsung hari ini.

Namun begitu apa jua keputusan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial, dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan sejak 18 Mac lepas sudah memasuki hari ke-54, tindakan yang diambil kerajaan itu sememangya membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal serta melandaikan keluk kes Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan PKPB yang dilaksanakan pada 4 Mei lepas bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula walaupun PKP keempat sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Ekoran pelaksanaan itu, pusat membeli-belah sudah boleh beroperasi, orang ramai boleh mengunjungi restoran untuk menjamu selera dan kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang, namun kesemua itu masih perlu mematuhi Tatacara Operasi Piawai (SOP).

Justeru itu, tiada istilah ‘merdeka’ dalam situasi ini kerana selagi vaksin merawat pandemik maut itu tidak ditemui, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita menang ‘peperangan’ virus ini.

Sedikit berbeza semalam, setelah hampir lima bulan bekerja tanpa henti memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 kepada rakyat, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga antara orang terpenting dalam menangani pandemik itu diberikan ‘cuti’ oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media.

Namun pihak KKM masih memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi kenyataan media dengan laporan jumlah kumulatif kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan telah dibenar pulang daripada wad mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes baharu direkodkan.

Sekali lagi diingatkan Covid-19 bukan perkara remeh, tanamlah normal baharu itu dalam diri ketika keluar dari rumah, orang ramai digalakkan memakai pelitup separuh muka ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19 walaupun ia tidak diwajibkan.

Amalkan kawalan kendiri dan elakkan bersesak-sesak dengan orang ramai, tidak kira di mana sahaja anda berada.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Nuzul al-Quran disambut dengan norma baharu

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena sambutan Nuzul al-Quran.

Pelbagai program termasuk ceramah agama biasanya diadakan di seluruh negara bagi mengenang kembali sejarah turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, tahun ini semuanya berbeza, dengan keadaan negara yang ‘dibadai’ Covid-19, pastinya perhimpunan ramai untuk menganjurkan kelaziman itu tidak boleh dilakukan Ahad ini berikutan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik maut itu daripada terus menular.

Namun situasi itu bukan alasan untuk umat Islam negara ini tidak meraikan sambutan itu, sebaliknya ia diraikan dengan normal baharu iaitu tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing sekali gus menghayati kemuliaan bulan Ramadan.

Beberapa negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang sambutan Nuzul al-Quran di negeri masing-masing, dengan umat Islam di Johor digalakkan untuk terus bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan untuk negeri Johor itu selaras titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, iaitu aktiviti di masjid, surau serta musolla di negeri itu ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengimarahkan Ramadan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyediakan tazkirah ihya Ramadan setiap hari untuk orang ramai yang boleh ditonton menerusi laman Facebook jabatan itu, katanya.

Keputusan yang sama juga dibuat di Pulau Pinang apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long mengalakkan umat Islam negeri itu melakukan amalan beribadah bersama ahli keluarga di rumah bagi meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan sempena dengan penghayatan peristiwa Nuzul al-Quran.

“Semua program perhimpunan keagamaan ditangguhkan selaras dengan arahan kerajaan. Orang ramai dimohon untuk sama-sama beribadah dengan ahli keluarga di rumah dengan melakukan solat fardhu berjemaah, melakukan tiga amalan iaitu Tarawih, Tadabbur dan Tahajjud (3T),” katanya.

Bagi Kedah pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata sambutan tetap bermakna apabila ibu bapa dapat membaca al-Quran bersama anak-anak sekali gus boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“PKPB ini ada hikmahnya apabila kita dapat menumpukan ibadah lain seperti solat Tarawih, bersedekah dan memperbaiki amalan-amalan sunat lain terutama 10 malam terakhir Ramadan nanti,” katanya.

Keadaan sedikit berbeza di Pahang, apabila sambutan Nuzul al-Quran pada Ahad akan dibuat secara siaran langsung menerusi stesen radio Pahang FM dan laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), bersesuaian dengan normal baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata pelbagai program disusun sepanjang hari termasuk ceramah dan soal jawab agama serta tadarus Al-Quran oleh individu yang dipilih oleh JAIP.

“Meskipun dengan penularan wabak Covid-19, urusan dakwah tidak akan tersekat atau terhalang, cuma ia akan dilakukan dengan pendekatan yang sedikit berbeza… tahun ini kita tidak dapat berkumpul beramai-ramai tetapi program pengisian yang biasanya kita anjurkan akan diteruskan,” katanya.

Program akan dimulakan dengan ucapan Syed Ibrahim diikut oleh ceramah bertema Nuzul al-Quran oleh Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Datuk Badli Shah Alauddin, selain ceramah Imam Masjid Daerah Bentong Fahizmi al-Hafiz dan diikuti siaran tadarus al-Quran serta tahlil.

-BERNAMA