Categories
AGAMA SELANGOR

Nuzul al-Quran: Jahiliyah berjaya diganti norma baharu – MB

SHAH ALAM, 10 MEI: Norma zaman jahiliyah seperti menanam anak perempuan, pewarisan isteri kepada anak lelaki, dan lain-lain praktis zalim terus diganggu atau mendapat gangguan kesan daripada mukjizat Al-Quran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata norma jahiliyah itu diganti dengan persaudaraan sesama manusia, menaikkan martabat wanita dan anjakan kepada bibit pembebasan hamba.

Beliau berkata ia berkait rapat dengan keadaan masa kini iaitu apabila virus Covid-19 melanda dunia sekali gus terciptanya norma baharu dalam kehidupan harian setiap individu.

“Diseru kepada umat Islam untuk mengambil kesempatan bagi tingkatkan lagi kefahaman mengenai al-Quran sekali gus menjadi panduan di dalam kehidupan harian.

“Pesanan al-Quran berguna dan masih terpakai untuk kita pada saat pandemik ini menular. Anjuran untuk sentiasa berfikir mampu membuat kita untuk terus merenung dan mengkaji ayat-ayatnya, yakni petanda Tuhan kepada manusia,” kata Dato’ Menteri Besar dalam Perutusan Nuzul al-Quran, hari ini.

Amirudin berkata kitab suci itu turut mengingatkan manusia untuk peduli terhadap anak yatim, orang miskin dan golongan lemah; menghormati orang tua dan wanita.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Memaknai Nuzul Al-Quran, hikmah di sebalik Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Sambutan Nuzul Al-Quran 1441 Hijrah menyaksikan suasana normal baharu umat Islam dengan penghayatannya dirasai lebih mendalam dan penuh keinsafan berikutan ujian akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak akhir Disember lepas.

Tanpa perhimpunan serta perkumpulan di masjid dan surau untuk bersama-sama bertadarus dan menghadiri majlis khatam Al-Quran sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan, umat Islam di Malaysia kali ini melakukannya bersama keluarga di rumah masing-masing, selain secara dalam talian bersama-sama ustaz dan ustazah pengajian kalam Allah.

Meriah atau tidak sambutannya seharusnya bukan indikasi bahawa umat Islam tidak boleh mengambil pelbagai ibrah atau pengajaran yang terdapat daripada peristiwa bersejarah Al-Quran, yang diturunkan kepada Rasul terakhir umat manusia iaitu Nabi Muhamad SAW, pada 17 Ramadan.

Al-Quran bukan sekadar memberi pedoman ibadah tetapi kompas petunjuk pelbagai bidang kehidupan seharian manusia, merentasi zaman dan memandu manusia mentadbir urus kehidupan makhluk dan alam semesta.

Memasuki fasa akhir Ramadan bulan suci umat Islam, apakah cukup sekadar memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran tanpa memahami isi kandungannya?

Mengupas hal berkenaan, Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni berkata yang paling penting adalah bagaimana umat Islam dapat terus menghayati kepentingan dan signifikan peristiwa itu melalui cara sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran dan mentadabbur (mempelajari) ilmu kitab suci itu.

“Cara terbaik menghayati Nuzul Quran ini ialah dengan kita menjadikannya sebagai titik-tolak untuk kita mengubah cara dan sikap kita terhadap Al-Quran terutama dari segi pembacaan dan pengamalannya. Jika sebelum ini, kita mungkin agak jauh dari Al-Quran maka inilah waktu terbaik untuk mendampinginya.

“Apa yang paling penting adalah usaha kita untuk belajar memahami isi kandungannya dan mengamalkan setiap perintah dan larangan Allah yang disampaikan melalui Al-Quran,” katanya kepada Bernama.

Dalam era teknologi maklumat, kemudahan Internet dan aplikasi telefon pintar mampu mempermudahkan penghayatan Al-Quran serta membolehkan muslimin dan muslimat mengikuti kelas pengajian Al-Quran dalam talian.

Mengupas lanjut kepentingan mentadabbur isi kandungan Al-Quran dengan kesannya terhadap kehidupan seharian manusia, Ehsan, 48, berkata banyak ayat Al-Quran menegaskan pentingnya umat manusia mematuhi setiap arahan Allah, Rasul dan pemimpin mereka.

“Kita ambil contoh isu yang paling dekat sekarang ialah pandemik Covid-19 yang pada akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa melaksanakan PKP dan kini PKPB bagi menjaga kemaslahatan (kebaikan) rakyat, jika tidak dilaksana PKP akan mengancam nyawa rakyat namun jika dilaksana, ekonomi negara pula terancam.

“Jika dilihat dari segi kaedah perundangan Islam, ini disebut sebagai ‘urus tadbir pemimpin (kerajaan) adalah berdasarkan kemaslahatan rakyat’. Kita sebagai rakyat haruslah mematuhi perintah kerajaan kerana pastinya mereka telah membuat keputusan yang terbaik untuk semua,” jelasnya.

Ehsan berkata, umat Islam khususnya perlulah sentiasa memperbaiki akhlak dan peribadi diri, selaras dengan apa yang dituntut dalam Al-Quran dan menjelmakan pengamalan akhlak Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Contohnya, dalam Al-Quran banyak sebut tentang pentingnya berakhlak mulia dan berbicara dengan kata-kata yang mulia. Kita lihat pada zaman sekarang dalam media sosial, terlalu mudah kita mengeji dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain, ini sesuatu yang perlu kita perbaiki dan wajib kita mencontohi akhlak mulia disarankan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW,” tegasnya.

Bagi pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata dalam menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran, umat Islam perlulah sentiasa menginsafi kelemahan diri sebagai makhluk dan sentiasa mengesakan tuhan lebih-lebih lagi ketika menghadapi ujian seperti wabak Covid-19, ancaman virus makhluk kecil biarpun manusia dilengkapi dengan sistem perubatan moden.

“Kita lihat sekarang Allah uji kita dengan wabak Covid-19 yang juga adalah siri-siri wabak yang pernah berlaku kepada umat terdahulu, hendaklah kita menginsafi akan kelemahan kita terutama sekiranya kita melanggar kehendak dan hukum Allah SWT.

“Hendaklah kita teruskan berdoa dan memperbaiki sifat dan hubungan kita (dengan tuhan, manusia dan alam). Mudah-mudahan dengan kebaikanNya kita dirahmati oleh Allah dan dihindarkan dari segala bencana,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Nuzul al-Quran pedoman hidup, tempuhi Ramadan dengan sabar

 

Kita telah melalui hampir separuh daripada perjalanan kita di bulan Ramadan pada tahun ini. Di hadapan kita ada lagi baki perjalanan perlu dilalui dengan penuh khusyuk dan sepenuh hati agar kita tidak mensia-siakan nikmat Ramadan yang hanya datang setahun sekali ini.

Ramadan pada kali ini juga mencabar dengan wabak Covid-19 yang harus kita lalui dengan kesabaran tinggi. Ini adalah pengalaman yang akan menjadi peristiwa penting dalam sejarah hidup kita. Saya secara peribadi juga turut merasai kesukaran petugas barisan hadapan bekerja berjam-jam untuk memastikan penularan wabak ini dapat dikawal.

Saya bertuah kerana mempunyai pasukan mantap terdiri daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan penjawat awam negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor, Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang sentiasa bersedia memastikan rakyat selamat dan sihat.

Begitu juga dengan komitmen tinggi ditunjukkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah yang menjayakan banyak usaha telah dirancang. Tidak lupa juga anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan juga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut aktif menjalankan program-program CSR mereka dan juga inisiatif-inisiatif yang responsif kepada keperluan masyarakat.

Saya percaya dengan sinergi yang ada di peringkat Kerajaan Negeri dan juga kerjasama yang baik daripada masyarakat akan dapat membolehkan kita menghadapi ujian ini. Wabak ini tidak akan berakhir sepenuhnya sehinggalah vaksin ditemui. Walaupun kita boleh keluar bekerja dan melaksanakan aktiviti harian itu tidak bermaksud kita boleh melakukannya seperti waktu sebelum wabak ini.

Ini kerana virus masih wujud dan boleh menjangkiti kita jika kita tidak mengamalkan kaedah pencegahan baik seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan betul dan juga mengamalkan penjarakan sosial. Kita tidak ada pilihan lain kerana inilah kebiasaan baharu yang perlu kita terima dan amalkan.

Bulan Ramadan juga adalah bulan di mana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW yang mewariskan kepada kita dua pusaka yang besar iaitu al-Quran dan Sunnahnya. Untuk kita umatnya yang tidak hidup di zaman baginda, pusaka inilah yang akan menjadi panduan di dalam kehidupan kita.

Sempena Nuzul Quran ini marilah kita bersama mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi kefahaman kita tentang al-Quran. Kita digalakkan untuk bertadabbur dan memahami ayat-ayat suci al-Quran. Apatah lagi dengan janji pahala berlipat ganda oleh Allah SWT bagi mereka beribadah di bulan Ramadan ini.

Lapis makna

Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin menyebutkan bahawa terdapat banyak lapis makna dan ilmu di dalam al-Quran untuk mereka yang mengkajinya. Bahkan kata al-Ghazali seorang alim pernah menyebutkan bahawa al-Quran mempunyai 77, 200 bentuk ilmu, dan setiap satu kalimah adalah cabang ilmu yang dapat bercambah empat kali ganda.

Begitu juga seperti yang diungkapkan oleh Saiyidina Ali R.A yang mengatakan bahawa jika beliau mahu beliau boleh mengisi di belakang tujuh puluh ekor unta tafsir surah al-Fatihah dan maknanya.

Pesan-pesan al-Quran berguna dan masih terpakai untuk kita pada saat wabak ini menular. Anjuran untuk sentiasa berfikir, penghujatan kepada yang malas berfikir dengan sindiran “afala ta’qilun” (tidakkah mereka berakal) serta pengiktirafan berulang kepada martabat orang berilmu dengan panggilan yang baik seperti ‘Ulil Albab’ misalnya, mampu membuat kita untuk terus merenung dan mengkaji ayat-ayatnya, yakni petanda-petanda Tuhan kepada manusia.

Dan hanya dengan terus mengkaji dan mengkaji akan kita jumpakan jalan keluar kepada masalah ini, mengingatkan janji Rasulullah SAW tentang penawar untuk setiap penyakit.

Dalam keberanian untuk berfikir sebegitu pun, kitab al-Majid ini tidak pernah mengajar kita untuk menjadi orang yang angkuh seraya mendabik dada bahawa hampir seluruh dunia serta isinya sudah mampu dirungkai oleh akal insani dan sentiasa mengutamakan kerendahan hati.

Lain-lain pesan yang malar segar seperti kepedulian kepada anak yatim, orang miskin dan golongan yang lemah; menghormati orang tua dan wanita; kepentingan untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit sentiasa mengetuk hati kecil kita untuk terus menekuninya dari kecil hingga dewasa.

Dengan itu, ia sentiasa menjadi kekaguman kepada mereka yang ingin tahu seperti mana Thomas Jefferson, bapa kemerdekaan Amerika yang pernah menekuninya. Paling tidak, ia menjadi panduan spiritual buat umat manusia.

Gugah status quo

Tidak hairanlah waktu ia diturunkan, ayat-ayat suci keluar dari bibir junjungan kita yang mulia begitu revolusioner dan menggugah status quo masyarakat Arab waktu itu. Beberapa amalan normal zaman jahiliah seperti penanaman hidup-hidup anak perempuan, pewarisan isteri kepada anak lelaki, dan lain-lain praktis zalim terus diganggu atau mendapat ‘disruption’ kesan daripada mukjizat al-Quran.

Hasilnya, norma jahiliah itu berjaya dihapuskan dan diganti dengan ‘new normal’ ataupun norma baharu seperti persaudaraan sesama manusia, pemartabatan wanita secara keseluruhannya dan anjakan kepada bibit-bibit pembebasan hamba.

Betapa mendalamnya al-Quran, kitab yang akan sentiasa relevan sepanjang zaman seperti mana firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 89 bermaksud bahawa al-Quran adalah kitab yang menjadi penjelas kepada setiap sesuatu, petunjuk dan juga rahmat dan berita gembira kepada umat Islam.

Perutusan Nuzul al-Quran oleh Dato’ Menteri Besar

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Jadikan al-Quran pedoman mula kebiasaan baharu

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam menghayati peristiwa Nuzul al-Quran sebagai pedoman memulakan kebiasaan baharu susulan penularan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata umat Islam perlu mengamalkan segala kandungan al-Quran yang menjadi petunjuk kehidupan di dunia sehingga perjalanan ke akhirat.

“Dahulu al-Quran diturunkan pada era masyarakat jahiliah yang membunuh anak perempuan, menyembah berhala, menghambakan orang dan pelbagai amalan tidak elok.

“Kebiasaan baharu yang dibawa al-Quran yang melarang perbuatan masyarakat jahiliah ditentang, tetapi lama-kelamaan ia diterima menjadi perkara rutin masyarakat Islam sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran Wakaf Yayasan Restu kepada Petugas Barisan Hadapan dan Pusat Kuarantin Covid-19 di kediaman rasminya hari ini.

Amirudin berkata peranan dan sumbangan al-Quran sangat besar kepada komuniti dunia dan masyarakat Islam khususnya.

“Jadi saya mengajak rakyat mempraktik kebiasaan baharu yang mungkin pada awalnya menjadi masalah besar, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa kepada kita.

“Mungkin tahun ini semuanya berbeza dengan keadaan negara yang berperang dengan Covid-19, namun yakinlah kebiasaan baharu ini akan membawa kebaikan kepada kita semua,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Nuzul al-Quran disambut dengan norma baharu

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena sambutan Nuzul al-Quran.

Pelbagai program termasuk ceramah agama biasanya diadakan di seluruh negara bagi mengenang kembali sejarah turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, tahun ini semuanya berbeza, dengan keadaan negara yang ‘dibadai’ Covid-19, pastinya perhimpunan ramai untuk menganjurkan kelaziman itu tidak boleh dilakukan Ahad ini berikutan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik maut itu daripada terus menular.

Namun situasi itu bukan alasan untuk umat Islam negara ini tidak meraikan sambutan itu, sebaliknya ia diraikan dengan normal baharu iaitu tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing sekali gus menghayati kemuliaan bulan Ramadan.

Beberapa negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang sambutan Nuzul al-Quran di negeri masing-masing, dengan umat Islam di Johor digalakkan untuk terus bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan untuk negeri Johor itu selaras titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, iaitu aktiviti di masjid, surau serta musolla di negeri itu ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengimarahkan Ramadan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyediakan tazkirah ihya Ramadan setiap hari untuk orang ramai yang boleh ditonton menerusi laman Facebook jabatan itu, katanya.

Keputusan yang sama juga dibuat di Pulau Pinang apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long mengalakkan umat Islam negeri itu melakukan amalan beribadah bersama ahli keluarga di rumah bagi meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan sempena dengan penghayatan peristiwa Nuzul al-Quran.

“Semua program perhimpunan keagamaan ditangguhkan selaras dengan arahan kerajaan. Orang ramai dimohon untuk sama-sama beribadah dengan ahli keluarga di rumah dengan melakukan solat fardhu berjemaah, melakukan tiga amalan iaitu Tarawih, Tadabbur dan Tahajjud (3T),” katanya.

Bagi Kedah pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata sambutan tetap bermakna apabila ibu bapa dapat membaca al-Quran bersama anak-anak sekali gus boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“PKPB ini ada hikmahnya apabila kita dapat menumpukan ibadah lain seperti solat Tarawih, bersedekah dan memperbaiki amalan-amalan sunat lain terutama 10 malam terakhir Ramadan nanti,” katanya.

Keadaan sedikit berbeza di Pahang, apabila sambutan Nuzul al-Quran pada Ahad akan dibuat secara siaran langsung menerusi stesen radio Pahang FM dan laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), bersesuaian dengan normal baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata pelbagai program disusun sepanjang hari termasuk ceramah dan soal jawab agama serta tadarus Al-Quran oleh individu yang dipilih oleh JAIP.

“Meskipun dengan penularan wabak Covid-19, urusan dakwah tidak akan tersekat atau terhalang, cuma ia akan dilakukan dengan pendekatan yang sedikit berbeza… tahun ini kita tidak dapat berkumpul beramai-ramai tetapi program pengisian yang biasanya kita anjurkan akan diteruskan,” katanya.

Program akan dimulakan dengan ucapan Syed Ibrahim diikut oleh ceramah bertema Nuzul al-Quran oleh Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Datuk Badli Shah Alauddin, selain ceramah Imam Masjid Daerah Bentong Fahizmi al-Hafiz dan diikuti siaran tadarus al-Quran serta tahlil.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Manfaat Ramadan dengan bacaan al-Quran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 MEI: Manfaatkan Ramadan dengan membaca dan menghayati al-Quran, itu pesan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena Sambutan Nuzul Al-Quran, hari ini.

Katanya, pada masa sama umat Islam perlu mengambil pengajaran dari perintah dan firman Allah SWT di dalam al-Quran.

“Bulan Ramadan yang mulia adalah di mana diturunkan al-Quran sebagai panduan kepada umat Islam.

“Peristiwa penurunan ayat al-Quran seperti dalam firman ALLAH SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 185 menjadi iktibar kepada kita semua agar sentiasa berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan sepanjang zaman,” tulisnya di laman twitter.

Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira, Mekah iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda.

Categories
AGAMA

Segerakan berbuka puasa


Segerakan berbuka puasa