Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 98 peratus kes Covid-19 libatkan pesakit kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Sebanyak 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu Covid-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

“12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

“239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif Covid-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 252,002,

Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan Covid-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 95 peratus jangkitan Covid-19 babit kes tiada gejala

SHAH ALAM, 26 JULAI: Sebanyak 7,216 atau 95.6 peratus daripada 14,516 kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan pesakit kategori satu atau tidak bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 7,045 kes pula membabitkan kategori dua diikuti kategori tiga (83 kes), kategori empat (77 kes) dan kategori lima (95 kes).

“Ada antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan namun ada segelintir berubah status kesihatan sama ada bertambah baik atau merosot kepada kategori yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan 1.8 peratus kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga sehingga lima manakala 98.2 peratus kategori satu dan dua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 207 kes kematian hari ini yang mana tertinggi dalam negara sejak pandemik menular.

Kematian hari ini melibatkan 57 kes di Selangor diikuti Kuala Lumpur (52), Johor (24), Kedah (19), Melaka (18), Negeri Sembilan (14), Pahang (tujuh) Sabah (enam), Perak (lima), Pulau Pinang (tiga) dan Terengganu (dua).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit tanpa gejala kuarantin di rumah, lapor diri guna SELangkah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala menjalani kuarantin selama 10 hari di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata individu terbabit perlu melaporkan diri secara dalam talian menggunakan aplikasi MySejahtera atau Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ujian Covid-19 lebih mengutamakan individu bergejala (simptomatik).

“Bagaimanapun semua kes simptomatik masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian atau secara fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Komuniti kesan 80 peratus pesakit tanpa gejala

BANGI, 9 MEI: Sebanyak 80 peratus pesakit Covid-19 tidak bergejala berjaya dikesan melalui program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir berkata situasi itu boleh menyebabkan perebakan virus lebih cepat dalam kalangan masyarakat jika tidak dikawal.

“Sejak saringan kali pertama kita berjaya mengesan 80 peratus (pesakit) tidak mempunyai sebarang gejala manakala bakinya bergejala.

“Perkara ini yang kita takut kerana ada kemungkinan mereka tidak bergejala ini jika tidak disaring dan tanpa disedari sebenarnya positif Covid-19 serta menyebabkan lebih banyak jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung penularan wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tak wajib kuarantin individu pulang dari Sabah tanpa gejala, negatif Covid-19

PUTRAJAYA, 29 SEPT: Mereka yang pulang dari Sabah dan diuji negatif Covid-19, tidak bergejala serta tidak mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif, tidak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang berkenaan dinasihatkan menjalani kawalan kendiri termasuk berada di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari itu.

“Mereka juga dinasihatkan tampil ke Pusat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan untuk membuat ujian swab pada hari ke-13 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi individu pulang dari Sabah yang didapati positif akan dirawat di hospital manakala yang negatif tetapi bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan individu positif perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

Mereka juga dipakaikan dengan gelang merah jambu, katanya.

Penjelasan itu sekali gus melegakan kebimbangan orang awam berikutan laporan media berhubung mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu dikuarantin jika ujian swab mendapati mereka negatif.

Kerajaan mula mewajibkan individu yang pulang dari Sabah menjalani ujian saringan di KLIA dan klia2 sejak Ahad lepas berikutan peningkatan tinggi kes di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Menjawab cadangan supaya mereka yang pulang dari Sabah dikuarantin di pusat kuarantin agar tidak mengulangi kes kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata tindakan itu hanya dilaksanakan terhadap individu yang pulang dari luar negara sahaja.

“Pelaksanaan peraturan kuarantin di rumah juga terpakai bagi penduduk negeri lain sebelum ini termasuk mereka dari Kedah yang mencatat kes tinggi kerana kluster Sivagangga.

“Sebagai contoh penduduk dari Kota Setar, kita saring mereka dari zon merah tetapi kita tidak kuarantin (di pusat kuarantin) mereka, kita pastikan semua tindakan kita sama dengan negeri lain,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang mempunyai masalah untuk kuarantin di rumah dan ditolak oleh pengurusan mana-mana hotel, individu terlibat boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk dipertimbang menjalani kuarantin di institut latihan awam.

Mengulas mengenai permintaan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) yang mahu kru kapal disaring dan dikuarantin ekoran ada penumpang yang baharu pulang dari Sabah mempunyai gejala, Dr Noor Hisham berkata kru kapal pesawat diuji secara berkala.

“Kita tidak saring setiap hari, tetapi kru kabin dinasihati sentiasa mematuhi SOP, memakai pelitup muka dan pelindung mata setiap masa ketika bertugas dalam penerbangan.

“Jika ada yang bergejala, mereka perlu jalani kuarantin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Kuarantin MAEPS terima 12 pesakit Covid-19 tidak bergejala

SERDANG, 23 APRIL: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, menerima 12 pesakit kategori tidak bergejala sejak Selasa lepas.

Pengarahnya, Dr. Md Anuar Abd Samad@Mahmood berkata jumlah pesakit tertakluk kepada penerimaan maklumat mengenai pesakit daripada hospital Covid-19 di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata pihaknya turut menerima maklum balas daripada hospital Covid-19 lain antaranya Hospital Seremban dan Rembau di Negeri Sembilan yang pesakitnya memenuhi kriteria sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan untuk ditempatkan di sini.

“Untuk tujuan itu, dua buah dewan digunakan di sini, bagi penempatan pesakit Covid-19. Berkemungkinan petang ini kita akan menerima pesakit dari Hospital Sungai Buloh untuk ditempatkan di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS di sini, hari ini.

Dr Md Anuar berkata sebanyak 64 daripada 400 buah katil pesakit sudah boleh digunakan untuk pesakit di Dewan A.

“Manakala 202 buah katil di Dewan C dikhaskan buat petugas kesihatan bergejala dan tidak bergejala akan turut mula digunakan dalam masa terdekat,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit Covid-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menempatkan sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa dan ia diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

-BERNAMA