Categories
SELANGOR

KUIS berjaya kutip RM7.8 juta tunggakan yuran pelajar

kuissBANGI 23 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya mengutip semula hutang yuran pelajar berjumlah RM7.8 juta sehingga bulan ini.

Usaha itu berjaya dilakukan dalam tempoh dua bulan selepas penubuhan Jawatankuasa Kawalan Kredit yang dipengerusikan Timbalan Rektor Pengurusan Korporat, Pembangunan dan Pengantarabangsaan, Dr Zulkifli Abd Hamid.

abd halimRektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata hutang yuran pelajar yang dilaporkan Ketua Audit Negara adalah hutang tertunggak sejak tahun 2006, yang mana baki membabitkan pelajar tempatan sebanyak RM8.5 juta dan pelajar luar negara adalah RM1.6 juta.

“Kebanyakan pelajar yang tidak membayar hutang adalah mereka yang menanggung kos pengajian secara persendirian. Mereka datang enam minggu (satu semester) selepas minggu ketujuh mereka lari. Itu dikira hutang sebab mereka sudah menggunakan kemudahan kolej,” katanya pada sidang media pada Majlis KUIS bersama media, di sini, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyentuh aspek yuran yang tinggi berdasarkan semakan audit terhadap baki hutang pelajar sehingga 31 Disember 2012 yang mendapati jumlah baki tertunggak sebanyak RM24.17 juta.

Dianggarkan 3,400 orang bekas pelajar tempatan belum melunaskan hutang sejak tahun 2006 dan kebanyakan mereka berhutang pada semester pertama dengan jumlah yuran bernilai RM5,000.

Ab Halim berkata, pihak KUIS akan cuba menjejaki pelajar luar negara yang masih berhutang dengan berbincang bersama kedutaan negara masing-masing.

“Mulai tahun ini, kita cadangkan pelajar yang belum menjelaskan bayaran tetapi mendapat biasiswa diberikan pengecualian iaitu mereka boleh menduduki peperiksaan tetapi perlu ada penjamin. Pelajar yang melangsaikan hutang secara tunai bakal diberikan potongan bayaran berjumlah 20 peratus.

“Kita sudah bertemu Jabatan Audit Negara untuk menerangkan kedudukan sebenar dan KUIS mengambil positif terhadap semua teguran yang diberikan untuk penambahbaikan,” katanya.

-NFN-