Categories
EKONOMI SELANGOR

GM Klang lancar kempen sokong beli barangan tempatan

KLANG, 17 SEPT: Pusat Pemborong GM Klang melancarkan kempen #KasiSupportBaranganTempatanLah sebagai inisiatif dalam membantu usaha meningkatkan ekonomi negara yang sedang berdepan dengan ancaman penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan & Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata kempen itu merupakan antara usaha pusat berkenaan untuk memupuk usaha membeli barangan dan jenama tempatan di samping menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan pembeli secara tidak langsung.

Katanya ia juga sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Seiring dengan kempen ini, ia adalah usaha kami untuk mempromosikan peniaga-peniaga tempatan di sini khususnya, kerana kami turut wujudkan slot peniaga tempatan di sini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, semalam.

Norsuhaida berkata kempen bermula 31 Ogos sehingga 30 September depan itu turut menawarkan peluang memenangi insentif membeli belah RM300 tiap seorang, di mana pengunjung hanya perlu berswafoto di lokasi menarik sekitar GM Klang bersama topi eksklusif berharga RM5 yang boleh dibeli di pusat khidmat kompleks itu, dan memuat naik gambar di laman sosial mereka, dengan ‘tag’ GM Klang beserta #supportbarangantempatan.

“Sepuluh pemenang bertuah akan diumumkan pihak kami pada bulan Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu, Norshuhaida turut menyampai hadiah cabutan bertuah kepada lima orang pengunjung GM Klang bulan Ogos lepas yang menyaksikan setiap pemenang membawa pulang baucar membeli-belah di kompleks itu bernilai RM1,000.

Katanya program cabutan bertuah akan diteruskan sehingga Disember ini dan pengunjung yang ingin menyertai cabutan itu hanya perlu berbelanja RM100 di mana-mana kedai di kompleks berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

300 topi keledar diedar terap pengguna utamakan keselamatan jalan raya

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan program ‘Kempen Selamat Balik Kampung’ dengan memberikan topi keledar secara percuma sebagai simbolik agar pengguna mengutamakan keselamatan jalan raya.

Sebanyak 300 unit topi keledar dewasa, 20 unit topi keledar kanak-kanak diberikan secara percuma kepada penunggang motosikal.

10500431_674010312668606_1610573980822976871_nIa adalah sumbangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKR) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd khususnya kepada penduduk Shah Alam yang diadakan di Jalan Kuala Selangor, Paya Jaras, Seksyen U20, Shah Alam.

Topi Keledar yang disediakan menepati ciri-ciri keselamatan yang telah diluluskan SIRIM QAS Internasional Sdn. Bhd.

Pengarah JKR, Norlaily Zakariah bersama Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan turut serta menyerahkan topi keledar kepada penunggang motosikal menjayakan lagi program ini.

Selain topi keledar, MBSA juga mengedarkan buah kurma kepada orang ramai sempena bulan Ramadan al-Mubarak.

EZY