Categories
NASIONAL

Kajian PBB, Pricewaterhouse buktikan TPPA tak bawa untung

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kajian dibuat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan firma audit dan penasihat kewangan antarabangsa, PricewaterhouseCoopers membuktikan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak membawa keuntungan kepada negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perjanjian berat sebelah itu juga menghakis kedaulatan negara apabila syarikat gergasi asing menguasai sektor perdagangan strategik.

PC PAKATAN RAKYAT PARLIMENT (2 of 4)-4“Pakatan Harapan menyedari Malaysia yang ekonominya berteraskan eksport apabila perjanjian perdanganan penting tetapi TPPA ini perjanjian luar biasa,” kata Dr Wan Azizah pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen di sini, hari ini.

Kata beliau, TPPA juga mengakibatkan negara menanggung risiko besar apabila dikenakan tindakan undang-undang dan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar tinggi ganti rugi kepada syarikat asing.

Katanya, ini terbukti apabila kerajaan beberapa negara yang terlebih dahulu menandatangani perjanjian TPPA itu dikenakan saman dengan nilai tinggi.

TPPAKatanya lagi, keadaan itu menyebabkan kedaulatan negara terhakis apabila sektor perdagangan strategik utama negara dikuasai syarikat gergasi asing.

Dr Wan Azizah berkata, perjanjian TPPA tidak memberi jaminan syarikat kecil dan sederhana dapat bersaing di peringkat global apabila tidak menerima bantuan kewangan dan teknikal kerajaan.

“Keadaan itu menyumbang kepada rakyat kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat,” kata beliau lagi.

Justeru itu, Pakatan Harapan menggesa anggota kabinet menolak TPPA bagi memastikan negara tidak terperangkap dalam perjanjian menguntungkan sebelah pihak itu.

Selain Dr Wan Azizah, sidang media turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan lain.

Categories
NASIONAL

TPPA: Adakan referendum rakyat demi kedaulatan negara

KUALA LUMPUR 25 JAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengadakan referendum rakyat sebelum membuat keputusan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar tidak mengancam kedaulatan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau tidak mahu sejarah berulang dalam Perjanjian Pangkor 1874 yang membuka pintu kepada penjajahan di negara ini.

“Perjanjian Pangkor macam TPPA akan membenarkan kuasa asing tentukan perundangan seperti ISDS dan hanya tinggalkan urusan agama dan adat resam pada kita,” kata Wan Azizah dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, hari ini.

TPPAKatanya beliau tidak mahu ‘Pivot to Asia’ yang menjadi ‘Pivot to Trade and Investment not Democracy’ bertukar menjadi ‘Pivot to Security’ apabila terpaksa membenarkan pengkalan tentera asing dibina di negara ini.

“Janganlah pula perjanjian TTPA ini membuka luas pintu serta terbinanya pengkalan tentera asing di bumi tercinta kerana konon mahu melindungi TPPA.

“Jangan kita terjerat dengan bentuk penjajahan baru akibat penswastaan negara kepada syarikat multi nasional barat seperti mana Syarikat Hindia Timur menjadi alat menjajah dahulu,” kata Wan Azizah.

Katanya, beliau mengajak Ahli Dewan Rakyat menolak usul bagi menyeret negara dalam jebak TPPA yang lebih mementingkan pelabur asing.

“Justeru adalah baik jika satu referendum untuk semua rakyat diadakan agar sejarah Perjanjian Pangkor dan Malayan Union tidak berulang.

“Bayangkan rupa wajah sejarah negara sekarang jika ketika itu rakyat dapat membuat referendum ke atas perjanjian kuasa asing itu,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan Ketua Pembangkang bahas TPPA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad s.a.w pembawa rahmat bagi seluruh alam serta tauladan untuk disanjungi.

Tuan Yang DiPertua dan ahli-ahli Dewan yang dihormati,

Secara prinsipnya, bagi pihak pembangkang parlimen ini saya ingin mempertegaskan pendirian bahawa kami tidak menolak perdagangan dengan mana-mana negara sekalipun melainkan dengan negara Israel.

Malah kami menyokong Negara harus melebarkan jaringan perdagangannya keseluruh pelusuk dunia dalam konteks globalisasi dan pasaran terbuka.

Namun, kita tidak dapat menerima sebarang bentuk pemerasan, kerakusan, ketamakkan, penindasan dan kezaliman oleh mana-mana pihak dan negara sama ada dalam soal perdagangan baik domestik mahupun antarabangsa, dan juga perihal berkaitan soal pengurusan dana awam, urus tadbir, pengadilan hukum dan pengagihan kekayaan ekonomi negara dan bumi ini.

Allah berfirman :

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” ( Al Quran. Surah al-Maidah ayat 2)

Tuan Yang Dipertua,

Agar pertanyaan ini dirakam buat persaksian rakyat dan sejarah, maka saya ajukan tiga pertanyaan asas seperti berikut:

Pertama, adakah mesyuarat khas ini yang tajuknya tidak ada perkataan khusus ratifikasi bermaksud adakah usul yang dibahas dan kemudian diundi akan mengikat cabang esekutif atau ia hanya sekadar mendengar dan mengambil pandangan dewan ini sahaja yakni jika usul ditolak, kerajaan akan tetap menandatanganinya?

Walau dalam para ketiga Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul ada menyebut ratifikasi ‘Menyokong keputusan Kerajaan bagi Malaysia untuk menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi TPPA;’ tetapi ia adalah ‘ratifikasi melalui menandatangani perjanjian bukan ratifikasi oleh Parlimen.

Oleh itu mungkinkah lebih baik tajuk usul mesyuarat khas berbunyi Usul Meratifikasikan Bagi Malaysia Menyertai Perjanjian Trans-Pasifik. Hak meratifikasikan satu perjanjian antarabangsa yang sebelum ini tidak pernah diberikan kepada Parlimen adalah satu perkara yang boleh kita terus pinda dan tambahkan kepada Perlembagaan Persekutuan agar kaedah dan hak ratifikasi ini kekal dalam sistem demokrasi kita atau ini hanya satu usaha sementara khusus untuk perjanjian ini?

TPPAKandungan dan syarat-syarat perjanjian ini sudah pun ditentukan dan dipersetujui oleh cabang esekutif tanpa rujukan dan penglibatan dewan sebelum ini.

TPPA adalah perjanjian yang sudah diukir atas batu tidak boleh diubah. Ini adalah satu perjanjian ‘fait accompli’. Apakah Dewan hanya perlu membahas usul dan tanpa ketetapan hak ratifikasi maka rakyat boleh menjangka ia tetap akan ditandatangani walaupun jika dewan menolak usul ini pada Februari 2016.

Oleh itu perbahasan hanya untuk menerima atau menolak usul dan tidak melibatkan cadangan-cadangan atau kajian lebih terperinci isi kandungan yang ada 30 bab, berjumlah 6,880 lampiran yang hanya diberikan kepada rakyat pada 5 November 2015, dua setengah bulan yang lalu.

Laporan Kos Benefit pula hanya diserahkan setelah dijanjikan selama 2 tahun hanya pada 3 Disember 2015, baru lebih kurang 1 ½ bulan lalu.

Dan siapa tidak memerlukan kamus atau penterjemahan perjanjian dalam Bahasa Malaysia? Untuk makluman dewan permohonan agar ia diterjemahkan terlebih dahulu ke dalam Bahasa Kebangsaan masih belum diputuskan walhal kita sudah diminta membahaskan usul ini.

Perjanjian ini diterjemah dalam bahasa Peranchis dan Sepanyol tapi tidak dalam bahasa ibunda. Belum lagi ditandatangani Bahasa Kebangsaan kita sudah dijajah dan perjanjian ini sudah bising dijaja ke seluruh pelusuk negara.
Ketiga, kenapa TTPA begitu pantas hendak ditandatangani dan dilaksanakan walhal Perjanjian Malaysia 1963 mengambil masa lebih 50 tahun baru nak bincang tajuk-tajuk pelaksanaan sekarang sebelum pilihanraya negeri Sarawak? Mana silap tatacaranya dan mana silap matanya dalam dua pendekataan berbeza antara dua perjanjian ini?

Oleh demikian, saya mencabar Ketua Whip Barisan Nasional mengeluarkan arahan bahawa wakil-wakil rakyat mereka dibenarkan mengundi mengikut suara hati nurani ‘conscience’ dan undi dibuat secara rahsia.

Jika perjanjian TPPA dirunding secara rahsia selama ini sudah tentu undi usul ini juga boleh dibuat dengan berahsia juga bukan?

Tuan Yang Dipertua,

Apakah tiga hujah utama untuk MENOLAK usul ini?

Pertama, Perjanjian ini sebenarnya bukan perjanjian antara dua buah negara berdaulat yang sepatutnya duduk sama rendah berdiri sama tinggi tetapi adalah perjanjian membuat kita melutut lagi menunduk menyerah bunga emas nanti kepada golongan pemodal syarikat gergasi multinasional atau MNC (Multi National Corporation) yang menjadi kuasa sebenar dibalik kuasa asing. Adakah kita kabur sejarah dengan peranan Syarkat Hindia Timur sebuah MNC beratus tahun dahulu?

Perjanjian ini sepatutnya lebih jelas serta tepat tajuknya. Kenapa di benua Asia yang pernah merasa di jajah ia di beri tajuk samar silap mata kesaksamaan iaitu Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) manakala di benua Eropah yang pernah merasa menjajah pula di beri tajuk Trans-Atlantic Trade and Investment Partnership (TTIP)?m

Seperti antara dua darajat nampaknya. Apa salahnya kalau kita minta yang lebih maju tandatangan dulu baru kita ikut itu pun kalau menguntungkan?
Hanya 6 daripada 30 Bab perjanjian TTPA bersangkut dengan perdagangan (trade) dan selebihnya berkaitan dengan hak dan perlindungan ‘pelabur’ (investor rights and protection) dan bab-bab ‘bukan perdagangan’ kerana itu saya mengatakan tajuk perjanjian samar TPPA berbeza untuk benua Eropah, Trans-Atlantic Trade and Investment Partnership (TTIP) yang lebih tepat maksudnya.

Perkara ISDS, Investor-State Dispute Settlement, bila ada perselisihan faham antara pelabur asing MNC akan boleh menyaman sakan kerajaan kita.

Jika kerajaan salah langgar akad perjanjian memang patut diadili tetapi kita perlu melepaskan hak negara berdaulat untuk menentukan penggunaan sistem perundangan di tangan kita akan di swastakan kepada satu tribunal persendirian, private tribunal.

Ini ibarat pengadil bola sepak dari pihak mereka menggunakan peraturan mereka, malah mungkin akan mengubah tiang gol ikut sesuka hati nanti.

Dan mengikut pengalaman negara-negara yang ada FTA, Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Amerika Syarikat seperti Bolivia dan Ecuador nyata ISDS memihak kepada MNC gergasi.

Malah perdebatan kuasa MNCs mengatasi kepentingan kedaulatan negara di Amerika Syarikat dan negara-negara maju di Eropah tentang percukaian, perlindungan monopoli serta oligopoly masih hangat.

Tuan Yang Dipertua,

Sudahlah 26 atau lebih undang-undang kita perlu diseragamkan supaya selaras dengan penswastaan TPPA ini.

Hak harta intelek, Intellectual Property pula diberikan tambahan lebih masa, lebih syarat seperti untuk kegunaan baru IP yang asal dan bermacam lagi yang akan dihuraikan wakil-wakil rakyat sebelah sini nanti.

Macam GST kata ‘harga barang akan turun’ dan untuk TPPA lagu sama didendang ‘harga ubat tidak akan naik pula’. Sekali kita sudah diGSTkan jangan pula kita menghulur leher untuk diTPPAkan.

Kalau itu alasan kenapa kita kena seragamkan undang-undang agar selaras dengan TPPA boleh diterima oleh BN, maka sepatutnya jika pernah dijanjikan ‘Rakyat DiDahulukan’, kita wajib seragamkan semua undang-undang kita dan amalan demokrasi tulen selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 dengan alasan sama dan dengan kadar lagi segera daripada kepantasan seperti kilat usul TPPA ini.

Tuan Yang Dipertua,

Oleh demikian jika kita MENYOKONG usul ini bermaksud kita menyokong kedaulatan negara di SWASTAKAN kepada golongan MNCs yang bertopengkan negara mereka untuk perjanjian TPPA.

Lembu punya susu, MNC yang merasa. Rakyat sudah jelas dan sudah tahu apa keburukan dan akibat PENSWASTAAN itu. Ini adalah Trans-Pacific ‘Privatisation’ Agreement (TPPA) sebenarnya.

Keduanya ialah, manfaat ekonomi lebih guruh dari kilat. Tidak kira jika jumlah manfaat pelaburan dan perdagangan dalam masa 10 tahun adalah US100 bilion atau US300 bilion atau apa saja model ekonomi mana yang digunakan untuk membuat analisa pun, ia adalah harga yang terlalu mahal untuk kedaulatan negara. Malah apa yang perlu disebut adalah setinggi gunung pun manfaat siapa yang akan dapat merasakannya? Rakyat? Kroni?

Hujah bahawa TPPA yang piawaian cukup tinggi bertaraf dunia akan memaksa kita seragamkan undang-undang, membuka persaingan yang menguntungkan kita, memelihara serta meningkatkan hak pekerja, memelihara alam sekitar, mencegah rasuah dan lain lagi adalah semata-mata untuk TPPA memberi jaminan memperluaskan perdagangan dan menarik pelaburan asing masuk.

Kita digula-gulakan dengan seruan dengan izin “Malaysia needs to be more aggressive in attracting foreign direct investments (FDI) this year owing to the difficult global economic scenario.”

Termasuk kenyataan YB Jeli bahawa pelaburan kita di luar negara adalah RM600 bilion berbanding RM500 bilion dari pelabur asing mesti dilihat sebagai penanda kita mampu tingkatkan lagi FDI, gagal menjelaskan bahawa semua ini juga adalah andaian yang seperti perancangan ekonomi bergantung kepada faktor ekonomi global yang kita juga gagal mengambil kira hasilnya.

Kemudian setelah kita digula-gulakan, kita pula diugut dengan izin, “Malaysians without TPPA we will not attain the status of a “high-income nation”.

Takkan kita nak tunggu TPPA baru nak meningkatkan keupayaan kita menjadi negara berpendapatan tinggi, ‘High Income Nation’, menjadi negara yang berdaya saing, ‘Competitive Nation’dan negara agresif menarik pelabur asing “Foreign Investment Favored Nation’ dengan ‘merubah dasar-dasar serta undang-undang kita hanya untuk memberi JAMINAN dan MENARIK PELABUR ASING datang ke negara kita.

Ada pertubuhan perniagaan dan persatuan-persatuan masyarakat yang merasa bersedia mengorbankan 30% IKS atau SME beserta beratus ribu pekerjaan untuk meningkatkan daya saing antarabangsa kita.

Mungkin kerana anak-anak mereka tidak akan dibuang kerja mereka boleh senang saja berkata begitu.

Ada yang menunggu TPPA memaksa Agenda Bumiputera diubah. Disini kita harus jujur bukan Agenda Bumiputera tetapi Umnoputera yang terancam.
Sebaliknya Umno pula mencanangkan kita satu-satunya antara 11 negara berjaya melindungi Agenda Bumiputera dengan pengecualiaan atau ‘carve out’ beberapa aras nilai projek-projek untuk Umnoputera bukan bumiputera tetapi yang ada tarikh luput bukan kekal selagi bintang, bulan dan matahari ada.

Tanpa menunggu TPPA, kita sudah boleh reformasikan ekonomi dan politik negara seperti yang sudah saya huraikan dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke 11 dan perbahasan Bajet 2016 lalu di dewan mulia ini dengan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia atau MEA.

Jika ada pendidikan berkualiti tinggi, penyelidikan dan pembangunan bertumpu kepada kekuatan bidang industri sedia ada termasuk menggubal satu akta pelesenan dan patent khazanah biodiversiti kita untuk dikomersilkan, meningkatkan otomasi IKS, meningkatkan hak pekerja, memelihara alam sekitar kita dan memberikan peluang perniagaan telus tanpa monopoli ramai rakyat semua bangsa dapat bergaji tinggi dan menjadi usahawan berjaya tanpa menunggu TPPA.

Jika ada penambahbaikan perjalanan parlimen, memperkukuhkan kebebasan badan kehakiman, mengadakan pilihan raya bebas, media bebas, mencegah rasuah dan memansuhkan undang-undang drakonian, pendek kata memperluaskan ruang demokrasi yang akan menyuburkan tanah air untuk bersaing, ini akan bukan sahaja memperlihatkan ramai rakyat yang merantau yang berkelayakan tinggi dan memiliki modal yang besar untuk pulang tetapi akan meyakinkan dengan lebih lagi jaminan kepada Pelabur Asing tanpa ragu-ragu lagi.

Semua ini boleh dilakukan TANPA TPPA sudah pasti akan memberikan JAMINAN dan TARIKAN yang lebih teguh, lebih telus dan lebih adil kepada PELABUR ASING dan RAKYAT.

Apakah ‘Pemodal asing disusukan, anak bangsa sendiri mati kelaparan dirumah’ akan menjadi slogan untuk menyeru usul ini diterima begitu sahaja?

Tuan Yang Dipertua,

Yang Ketiga ialah, perjanjian TPPA ini akan mencemarkan tradisi dan menggugat reputasi kita sebagai negara berkecuali yang sepatutnya mendukung pendekatan Multilateralisma dan bukan Plurilateralisma seperti TPPA.

Kita mesti ingat bagaimana Perdana Menteri pertama telah membawa kita bergabung dalam Pergerakan Negara-negara berkecuali (NAM) dan menerajui pergerakan antarabangsa menentang Apartheid Afrika Selatan.

Perdana Menteri kedua pula membuka jalan diplomasi dengan negara komunis Cina ketika negara-negara lain menjauhkan diri dan mendukung ASEAN dengan ZOPFAN, Zone of Peace, Freedom and Neutrality semenjak 1971 untuk ‘menjaga Asia Tenggara bebas dari segala bentuk campur tangan dari kuasa luar dan meluaskan lagi bidang kerjasama’.

Hanya pendekatan Multilateralisma akan memelihara kepentingan kita bersama.

Dan kita tidak mahu ‘Pivot to Asia’ yang nampaknya menjadi ‘Pivot to Trade and Investment NOT Democracy’ bertukar menjadi ‘Pivot to Security’ bila kita dipaksa membenarkan pengkalan tentera di bina di tanah air kita.

Tuan Yang Dipertua,

Akhir sekali, rakyat sudah tahu sejarah dan faham erti akibat durjana perjanjian yang indah dari khabar. Kerana satu Perjanjian Pangkor 1874 telah membuka pintu kepada penjajahan.

Perjanjian Pangkor macam TPPA akan membenarkan kuasa asing tentukan perundangan seperti ISDS dan hanya tinggalkan urusan agama dan adat resam pada kita.

Janganlah pula perjanjian TTPA ini membuka luas pintu serta terbinanya pengkalan tentera asing di bumi tercinta kerana konon mahu melindungi TPPA.

Jangan kita terjerat dengan bentuk penjajahan baru akibat Penswastaan negara kepada MNC barat seperti mana Syarikat Hindia Timur menjadi alat menjajah dahulu.

Justeru adalah baik jika satu referendum untuk semua rakyat diadakan agar sejarah Perjanjian Pangkor dan Malayan Union tidak berulang. Bayangkan rupa wajah sejarah negara sekarang jika ketika itu rakyat dapat membuat referendum ke atas perjanjian kuasa asing itu?

Lagipun saya yakin pihak kerajaan bersetuju untuk referendum diadakan, kerana BN kata TPPA akan menguntungkan dan BN telah berjaya dengan pengecualian ‘carve out’ agenda bumiputera yang sebenar hanya mengekalkan habuan pada golongan sama yang tidak terasa beban GST dan kehilangan pekerjaan. ‘The Wolf of TPPA’ mesti dihalang dari difilemkan dalam negara kita.

Tuan Yang Dipertua,

Oleh demikian, Saya mengajak ahli-ahli dewan bersama kita menolak usul bagi menyeret Malaysia dalam jebak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang lebih mementingkan pelabur asing yang merakus daripada kepentingan rakyat yang sewajarnya dibela.

Sekian, wassalam.

RAKAMAN : Pembentangan Usul Bagi Malaysia Menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)

Pembentangan Usul telah dilakukan oleh Dato’ Mustapha Mohamad . Seterusnya, perbahasan telah dimulai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail | 10 pagi, 26 Januari 2016 – Ihsan Parlimen dan RTM

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mengapa rakyat tak boleh percaya Kerajaan BN tandatangani TPPA

OLEH : NURUL IZZAH ANWAR

Dalam saat dan waktu getir ketika kerajaan Malaysia dihujani persoalan dan kritik berkenaan skandal hutang negara dan #1MDB yang mencecah RM2.6 billion derma, Kerajaan BN meluangkan masa untuk sibuk berunding Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA).

Hakikatnya, Malaysia secara komited terlibat secara langsung selama 5 tahun untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian perdagangan terbesar di abad ke-21 ini.

TPPAMalangnya, sikap kerajaan yang menyembunyikan butiran penting dalam perjanjian besar ini serta merahsiakan proses rundingan sepanjang lebih 4 tahun lamanya boleh dikategorikan hanya bertaraf proses perundingan era lampau abad ke-12.

Adapun teks penuh perjanjian TPPA kini boleh diakses orang awam, namun rakyat hanya diberikan kurang 60 hari untuk menghadam hampir 6,350 muka surat penjelasan tentang undang-undang perdagangan antarabangsa.
Kemuncak debaran dan persoalan rakyat akan tiba di penghujungnya pada 26 dan 27 januari ini apabila sidang khas Dewan Rakyat di parlimen dan sesi ‘perbahasan’ akan dijalankan.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk memuji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed usaha murni melibatkan ahli parlimen pembangkang dalam beberapa perbincangan meskipun tidak mempunyai perubahan kepada isi rundingan yang dijalankan.

Pada tahun 2013, saya mengalami kesukaran dalam tugasan meyakinkan pengamal perundangan UMNO untuk bersetuju mewujudkan Kaukus Parlimen, walau berhasil akhirnya.

Sehingga hari ini, kami ahli-ahli parlimen pembangkang yang turut serta sebagai Kaukus parlimen YB Wong Chen, YB Dato Takiyuddin, YB Dr. Jeyakumar dan YB Dr. Charles Santiago telah menghadiri 15 sesi mesyuarat bersama menteri juga beberapa siri bersama Michael Froman walaupun pendedahan Michael Froman jauh lebih bermakna berbanding dengan rakan sejawatnya di Malaysia.

Bila tiba saat Dato’ Seri Mustapa Mohamed mengumumkan pembubaran barisan Kaukus Parlimen TPPA, kami masih ditinggalkan dengan seribu satu persoalan tentang apakah niat sebenar menubuhkan dan melibatkan ahli parlimen pembangkang pada awalnya.

Kami di pihak ahli parlimen pembangkang yang terlibat sebagai ahli Kaukus, mendesak agar teks penuh TPPA diterbitkan dalam bahasa Malaysia. Hal ini kerana bahasa rasmi di negara ini adalah Bahasa Malaysia dan adalah penting agar rundingan yang dilaksanakan perlu diaih bahasa ke Bahasa Malaysia sebelum diteruskan.

Tambahan pula, saya menyeru agar Peguam Negara tidak hanya menutup mata dan seharusnya memberikan penerangan lanjut berkenaan undang-undang serta penggubalan perlembagaan yang terjejas dengan menandatangani TPPA.

Malangnya, kami hanya dimaklumkan tentang penggubalan 26 undang-undang yang perlu dilakukan untuk tandatangan TPPA melalui pendedahan media, dan itu juga dilakukan setelah pembubaran Kaukus TPP oleh menteri.

Sesi perbahasan TPP di Parlimen adalah satu langkah yang tepat walaupun hakikatnya perjanjian perdagangan bebas tidak perlu diluluskan oleh parlimen, hanya kelulusan kabinet diperlukan. Namun, kecacatan sistem ini mendesak ke arah proses reformasi parlimen yang berterusan.

Keperluan ini bertambah penting dalam suasana politik kini di mana kerajaan, iaitu Perdana Menteri kita mengalami krisis kepercayaan rakyat dan urus tadbir negara yang bobrok.

Malangnya bagi kami, 26 dan 27 januari adalah sesi Parlimen yang hanya memperlihatkan bahawa apa yang diinginkan oleh Perdana Menteri dan ahli-ahli parlimen kerajaan adalah undi yang tidak berasaskan kemahuan individu, tetapi berasaskan arahan parti. Yang pasti, akan wujud tentangan hebat dari pengamal undang-undang BN yang ingin menandatangani TPPA.

Justeru, Sidang parlimen akan menjadi satu langkah yang sia-sia berbanding peluang bermakna yang sewajarnya digarap untuk membaiki kelemahan struktur ekonomi negara.

Yang mana sistem yang membela golongan atasan, pemisahan industri secara tidak sihat, praktis yang hanya menguntungkan kroni dan ketidak efektif siasatan kepada dakwaan rasuah yang dilaporkan.

Siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kira-kira, PAC dengan mudah dihentikan separuh jalan dan ini semua menjadi lebih mudah dengan kuasa yang dipegang oleh Perdana Menteri.

Percayalah, perjanjian TPP di bawah kelolaan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak tidak akan menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara kini.

Isu berkaitan kesenjangan ekonomi, kos sara hidup, inflasi, pengangguran, peralihan teknologi dan isu utama yang membabitkan Malaysia – budaya rasuah yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh pengawai – pengawai tinggi di Malaysia.

Pada tahun 2014, Malaysia di tangga ke 50 daripada 170 negara dalam indeks rasuah, jatuh 14 negara berbanding 2001. (Transparency International’s Corruption Index )

Pada 2010, UNDP melaksanakan kajian tentang impak TPP kepada Malaysia. Penemuan mereka menunjukkan Malaysia akan mendapat faedah dari TPP. Kesimpulannya, antara kelebihan yang diperoleh adalah melalui pemansuhan tariff.

Empat tahun kemudian, Rashmi Banga, ahli ekonomi di UNCTAD menjalankan kajian bahawa wujud penurunan dalam imbalan perdagangan. Hampir RM 5 bilion kerugian setiap tahun setelah TPPA ditandatangani.

PWC, badan ekonomi antarabangsa yang dipertanggungjawabkan oleh MITI untuk mengeluarkan analisa kos dan faedah TPPA yang akhirnya menunjukkan jawapan yang hampir sama. PWC menganggarkan perolehan minimum adalah 0.13% GDP daripada pemotongan tariff.

Anggaran bahawa 50% bukan-tarif potongan akan mencapai jumlah 1.15% GDP dalam 9 tahun. Namun, imbalan perdagangan akan jatuh merudum secara ketara pada kadar 30% iaitu USD42 billion ke USD29.7billion

Dalam pada itu, jika dilihat dengan pandangan kasar, TPPA memberikan gambaran kononnya kiraan bukan-tarif boleh memberi manfaat 25% ke 50% kepada negara.

Namun hakikatnya, ia adalah dengan bersyarat tergantung kepada terma yang dipersetujui oleh ahli-ahli negara lain yang menandatangani TPPA.

Namun begitu, kajian ini masih belum menunjukkan apa-apa keuntungan yang mapan dalam pertumbuhan pembangunan negara ini. Tambahan pula, kajian yang wujud dengan pelbagai andaian dan menunjukkan keperluan serius kepada usaha memahami kesan TPPA kepada Malaysia.

Dua badan yang diarahkan untuk mengemukakan analisa kos dan benefit masih belum menyediakan laporan secukupnya tentang hakikat impak TPPA terhadap kemungkinan tindakan undang-undang korporat melalaui ISDS: kurang akses kepada ubat-ubatan generik dan kesan membuka perolehan kerajaan yang mungkin dalam masa mengekalkan status quo terpilih.

Justeru, ketidaktelusan yang terhasil melalui laporan CBA menunjukkan yang analisa ini hanya boleh digunakan untuk tujuan melindungi MITI. Dan MITI yang dipertanggungjawabkan untuk membela pemimpin politik mereka yang juga merupakan Penasihat #1MDB, Datuk Seri Najib Razak.

Antara kebimbangan yang disuarakan oleh ahli ekonomi, Joseph Stiglitz dan Prof Jomo Kwame Sundaram yang telah diatur bertemu oleh sekutu-sekutu MITI, daripada dibawa berbincang secara serius dan mendalam berkenaan hal ini.

Prof Jomo menekankan tentang penurunan kos sara hidup dan kebajikan rakyat serta kesenjangan ekonomi pasca implementasi TPPA apabila Putrajaya meletakkan TPP sebagai kambing hitam negara.

Masih kita ingat keputusan yang dipilih ketika keluar dari perjanjian FTA Amerika Syarikat pada tahun 2008 adalah disebabkan 58 garis merah yang dikenalpasti sebagai faktor untuk tidak tandatangan. Namun apa yang berlaku selepas itu? Masihkah wujud sesi rundingan dan perbincangan yang tidak didedahkan?

Liberasi perolehan kerajaan diberikan penangguhan bagi perolehan pembinaan selama 20 tahun manakala perolehan barangan dan perkhidmatan hanya dilindungi selama 7 hingga 9 tahun. Jelas sekali, terdapat pendekatan terpilih berdasarkan kepentingan dan saiz perolehan.

Selain itu, sektor awam tidak dikategorikan di bawah pengurusan perolehan kerajaan setelah tandatangan TPPA. Adakah kita akan terus menerusi menyaksikan gejala pemilikan projek secara runding terus untuk berterusan? Atau TPP mungkin mungkin akan berjaya merencatkan reformasi sistem daripada menggalakkan proses ini.

Atas dasar prinsip ini, saya dan rakan-rakan ahli parlimen pembangkang tidak akan mengundi perjanjian TPP yang dibawa oleh kerajaan BN. Kami mendesak agar lebih banyak masa diperuntukkan supaya perjanjian perundingan abad ke-21 ini dapat diterokai sepenuhnya.

Kami tidak yakin bahawa rakyat akan menerima lebih banyak faedah berbanding impak negatif yang perlu ditanggung. Kerajaan hari ini mengalami krisis kepercayaan dan sewajarnya tidak diberikan mandat dalam menandatangani TPPA.
* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai

Categories
NASIONAL

Pemimpin Umno dan PERKASA turut tolak TPPA

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pentas himpunan anti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Padang Merbuk, di sini, hari ini, menarik perhatian hadirin apabila ia turut dikongsi pemimpin Umno.

Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM), Kamarulazman Habibur Rahman, berkata tindakan tampil ke hadapan bagi menyatakan bantahan terhadap segala dilakukan Kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya adalah satu-satunya orang Umno yang berani naik atas pentas ini kerana saya berani cakap perkara yang benar.

TPPA“Kalau anda menentang dari luar tetapi saya dan GKCM menentang kemungkaran Umno dari dalam,” katanya.

Beliau mendakwa keputusan berhubung perjanjian TPPA itu dibuat sendiri Najib tanpa perbincangan dengan menteri kabinet.

Katanya, daripada dahulu kebanyakan perjanjian dijalankan adalah demi kepentingan pihak luar seperti perjanjian Bangkok satu masa dahulu.

“GKCM menyatakan sokongan kepada bantahan TPPA.

“Hari ini bersejarah kerana kita ketepikan fahaman politik untuk menyatakan pendapat sama kerana kita sayangkan negara ini,” katanya.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata NGO itu menolak TPPA kerana hasil perbincangan dengan kumpulan pakar ekonomi menjelaskan ia mendatangkan lebih banyak keburukan kepada negara.

Katanya, ini terbukti apabila daripada 60 negara ditawarkan menyertai TPPA hanya 12 sahaja menyatakan persetujuan.

Tindak tanduk Najib bermain golf di Hawaii dan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ke negara ini juga menimbulkan kecurigaan.

“Begitulah seterusnya saya terperanjat AS membuat keputusan rakyat Malaysia boleh melawat negara itu tanpa menggunakan visa lagi,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Semua Ahli Parlimen digesa undi tolak TPPA

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Ahli Parlimen perlu mengundi bagi menolak pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia bakal menjejaskan ekonomi negara dan hak rakyat.

Sehubungan itu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen yang bersidang untuk membuat keputusan demi kebaikan rakyat dan semua pihak di negara ini.

TPPA“Diseru kepada Ahli Parlimen menolak TPPA pada 26 Januari ini.

“TPPA menjejaskan hak rakyat di negara ini dan ia juga tidak menentukan polisi awam,” katanya dalam himpunan anti TPPA di Padang Merbuk di sini, hari ini.

Maria Chin berkata, pertubuhan itu juga menuntut Kerajaan Persekutuan membaiki mekanisme dan institusi undang-undang dalam merangka polisi ekonomi termasuk menentukan sebarang keputusan dibuat seperti TPPA.

Katanya, langkah itu penting supaya ekonomi negara tidak terjejas kerana faktor multi nasional terutama di sektor pertanian, perubatan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kita juga membantah TPPA kerana ia melemahkan dan menghadkan (kuasa) Parlimen untuk menggubal undang-undang.

“Apa yang penting kerajaan perlu menyelesaikan isu tempatan seperti menyalahgunakan kuasa oleh institusi kerajaan, salah guna wang untuk 1MDB dan sebagainya. Semua isu ini mesti diselesaikan sebelum kita membincangkan TPPA,” katanya.

Beliau turut berkata, rundingan berhubung TPPA juga dijalankan kurang ketelusan dan gagal menepati piawaian berkenaan.

EZY

Categories
NASIONAL

TPPA tambah beban rakyat, kos perubatan meningkat

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diwujudkan kuasa besar diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi memulihkan ekonomi negara terbabit yang jatuh dan terjejas pada masa ini.

Wakil Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Badlishah Sham Baharin, berkata ia juga sebagai langkah bagi mengekang kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi baru dunia.

TPPA“Barrack Obama (Presiden AS) pernah mengatakan alasan bagi mengadakan TPPA untuk membantu syarikat gergasi negara itu kerana ekonomi mereka sudah hampir hancur maka untuk bangkit kembali adalah menerusi TPPA.

“TPPA ini adalah imperialisme untuk mengawal dunia dan maka dengan itu kita harus menolak dan membantahnya,” katanya dalam himpunan anti TPPA di Padang Merbuk di sini, hari ini.

Beliau berkata, kajian IKRAM dan ahli akademik mendapati keburukan TPPA adalah lebih banyak berbanding kebaikan antaranya kos perubatan, sara hidup dan mendapatkan akses maklumat semuanya meningkat tinggi.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata TPPA adalah perjanjian yang bakal menambahkan beban rakyat marhaen di negara ini.

Katanya, pihak yang mengaut keuntungan daripada perjanjian itu adalah kalangan pelabur dan pedagang luar.

“Dalam banyak negara di dunia hanya 12 negara terbabit dan menyatakan minat menyertainya dengan Malaysia salah satu daripadanya.

“TPPA dibincangkan kira-kira lima tahun lalu dan ia dijalankan secara rahsia di kalangan perunding daripada 12 negara ini iaitu kandungannya tidak didedahkan kepada umum selama lebih kurang lima tahun.

“Atas desakan rakyat dan tindakan memfailkannya di mahkamah barulah ianya didedahkan itu pun oleh Kerajaan New Zealand,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Hak rakyat tergadai jika TPPA ditandatangani

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kerajaan Persekutuan bakal menggadaikan hak rakyat menentukan masa depan sendiri apabila menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata TPPA adalah bentuk penjajahan baru yang perlu ditolak rakyat negara ini supaya tidak menjadi mangsa kuasa besar dunia.

TPPA“Bila kita menandatangani TPPA, kita menggadaikan hak rakyat untuk membuat keputusan untung nasib di negara kita,” katanya dalam ucapan di himpunan anti TPPA di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada apa mampu dilakukan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia menggadaikan maruah negara ini.

Katanya, rakyat perlu menyatakan pendirian tegas bagi tujuan itu demi mengelak menjadi mangsa kuasa asing.

“Itulah isu pokoknya supaya kita mahu rakyat bangkit bagi mempertahankan hak dan demokrasi rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Katanya, ia adalah gambaran sebenar yang perlu difahami rakyat dan tidak seperti mana diuar-uarkan TPPA membawa kebaikan dengan peningkatan pelaburan asing, pertumbuhan ekonomi mampan dan sebagainya.

EZY

Categories
NASIONAL

Panas terik tak halang ribuan peserta hadiri demo anti TPPA

OLEH : HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Keadaan panas terik tidak menghalang ribuan peserta hadir dalam himpunan anti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Padang Merbuk, di sini, hari ini.

Ternyata penukaran tempat dari Dataran Merdeka ke padang berkenaan ekoran faktor permit tidak melunturkan semangat penganjur, Gerakan Anti TPPA dan NGO lain termasuk orang ramai bagi menjayakan himpunan berkenaan.

TPPAKalangan hadirin tidak sekadar dari pemimpin pembangkang tetapi dari pelbagai golongan dan peringkat usia termasuk mahasiswa, pemimpin masyarakat dan orang kebanyakan.

Ia diadakan bagi menyatakan bantahan TPPA yang didakwa akan ‘menjajah’ negara dari segi ekononi.

Harapan ramai bahawa himpunan terbabit mampu mempengaruhi kerajaan untuk membatalkan hasrat bagi menandatangani TPPA pada 24 Februari depan.

Beberapa pemimpin tampil memberi ucapan antaranya ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

TPPA: Permulaan penjajahan baru Nusantara

OLEH : Ahmad Hakimi Othman

Bumi melayu nusantara ini kaya dengan Sumber Alam dan Manusia manusia yang toleransi. Sehingga tersebut dalam karya bangsa yunani dengan dikenali sebagai the Golden Khersonese.

Menjadikan Selat Melaka dan Selat Sunda sebagai dua laluan perdagangan yang menghubungkan timur dan barat. Dahulunya, semua kekayaan ini dinikmati seluruhnya oleh penghuni rantau ini.

Kemudian bila datangnya Islam menggantikan Srivijays, Majapahit dan hagemoni Buddha Hindu, kemakmuran bertambah sehingga wujud tamadun Melayu Islam menggantikan kehidupan sosial yang ada.

TPPAKemuncaknya pada era pemerintahan Kesultanan Islam Melaka yang timbul tatkala jalan darat perdagangan antara timur barat yang dikenali jalan sutera berada dalam kancah pertembungan Monggol Tartar dan Perang Salib.

Namun, kemakmuran yang dinikmati mula menjadi rebutan barat yang mula naik dengan kemaraan Kristian Katolik dari Benua Eropah yang diwakili Portugis dan Sepanyol. Portugis menawan melaka 1511.

Namun, pertembungan agresif portugis dengan nusantara tidaklah mampu menggugat keseluruhan kerajaan nusantara di kedah, perak, acheh, riau, johor dan lain lain. Kerajaan kesultanan islam masih mengekalkan kedaulatan masing masing.

Suasana mula berbeza bila datangnya belanda. Belanda tidak datang dengan penjajahan Fizikal, sebaliknya bermula dengan Syarika Hindia Timur Belanda (VOC).

VOC adalah syarikat yg menghimpun modal modal pembesar belanda untuk mengkorporatkan aktiviti kententeraan ekonomi seberang laut eropah.

Maka mulanya, mereka melakukan perjanjian perjanjian ekonomi dengan Raja Raja Melayu dan menawarkan pula bantuan senjata dan kepakaran senjata dan strategi perang senjata api.

Mulalah perjanjian VOC Kedah, Johor, Riau, Mataram, Acheh dan lain lain. Sultan kedah terpaksa mengikat perjanjian untuk perlindungan dari ancaman Siam, Acheh dan lain-lain.

Seabad selepas itu, datang pula East India English Company. Datang menawarkan perjanjian oleh Francis Light di akhir abad 18 dengan Sultan Kedah.

Penjajahan baru ekonomi dan trading corporation oleh Belanda dan British ternyata berkembang sehingga era moden Tanah Melayu. Sehingga kekayaan dikaut oleh Pedagang Barat ini, kemudian diguna pula membeli kuasa dari Raja Raja Melayu yang bergaduh sesama mereka dalam cubaan bertahan di kemuncak kuasa.

Apa yang berlaku dulu, kini seolah olah mula dengan TPPA. Pemainnya dari syarikat syarikat besar di Amerika dan yang ada kepentingan politik dan penguasaan Dunia.

Mula mula, TPPA atas persetujuan ekonomi. Namun apa akan jadi jika ada kekacauan dalam negara negara ahli yang merugikan syarikat syarikat besar ini?

Maka, campurtangan undang-undang, tentera akan turut berlaku atas dasar melindungi kepentingan dan keuntungan yang terjejas.

Pemimpin pemimpin Malaysia perlu sedar risiko ini. Jangan hanya takut kuasa sendiri terjejas, mahu menggadai ekonomi dan tanah negara ini.

Tolak TPPA. Tolak penjajahan gaya baru tetapi semangat yang sama dengan VOC, EAST INDIA COMPANY.

* Ahmad Hakimi Othman adalah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor/Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Categories
BERITA UTAMA

TPPA: Petani bakal hilang pekerjaan

OLEH : ZAIDY ABDUL TALIB

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sebuah perjanjian perdagangan bebas multilateral yang merentas negara-negara Asia Pasifik sedang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Ada sebahagian yang menyokong manakala sebahagian besar yang lain pula menolaknya.

Perjanjian yang banyak membuat peraturan-peraturan bersifat “one-size-fits-all” ini dikatakan bakal menjadikan Malaysia menjadi sebahagian daripada blok Amerika Syarikat sekaligus menghilangkan sifat negara berkecuali dalam blok-blok dunia.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia seharusnya mengambil iktibar daripada negara lain yang pernah membuat perjanjian mirip seperti TPPA ini serta melihat kesan yang lebih besar apabila ianya dilaksanakan nanti.

Seperti contoh mengambil iktibar daripada negara Mexico yang dikatakan sepatutnya mencapai status negara maju jika Mexico tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) 20 tahun dahulu.

ZaidyIni adalah antara iktibar dan pengajaran yang boleh diambil dari Malaysia kesan daripada sesuatu perjanjian seperti NAFTA setelah puluhan tahun dilaksanakan.

NAFTA adalah satu perjanjian perdagangan trilateral yang membabitkan tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada yang boleh diukur serta dijadikan pengajaran untuk melihat realiti yang bakal berlaku serta impaknya terhadap rakyat Malaysia apabila TPPA ditandatangani nanti.

Menurut laporan daripada Carnegie Endowment for International Peace, sebuah pertubuhan penyelidikan antarabangsa yang membuat kaji selidik berkenaan perjanjian NAFTA terhadap Mexico bertajuk, NAFTA’s Promise and Reality mendapati bahawa kesan daripada perjanjian tersebut telah mengakibatkan 3/10 juta petani di Mexico terpaksa memberhentikan kegiatan pertanian mereka disebabkan persaingan yang terlalu tinggi berlaku.

Selain itu juga, NAFTA ternyata tidak memberikan kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi Mexico kerana sebelum NAFTA dilaksanakan, kadar pertumbuhan ekonomi Mexico adalah lebih tinggi.

Kesan lain pula diantaranya kadar pengangguran meningkat manakala kadar kemiskinan mencapai sehingga 52.3% pada tahun 2012 iaitu hampir menyamai kadar kemiskinan pada tahun 1994.

Jelas menunjukkan bahawa perjanjian NAFTA ini mengakibatkan kesan yang lebih buruk dari sebelumnya.

Tidak dinafikan terdapat kebaikan-kebaikan tertentu dalam TPPA terhadap manfaat ekonomi negara, namun masih banyak perkara yang meragukan dan membimbangkan, seperti yang pernah diutarakan oleh Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang menyebut bahawa konsensus perjanjian TPPA akan melebarkan lagi jurang ketidaksamaan dan meningkatkan jumlah kehilangan pekerjaan sepanjang 10 tahun di kalangan negara anggotanya.

TPPALihat sahaja selepas NAFTA dipersetujui dan ditandatangani, Amerika Syarikat mendapat manfaat yang paling besar sehinggakan jurang yang tinggi berlaku diantara Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Ini jelas bahawa perjanjian TPPA kelak bakal menguntungkan Amerika dan merugikan Negara Malaysia.

Menurut Datuk Mustapa Mohammed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebanyak 26 undang-undang dan akta akan dipinda bagi memenuhi keperluan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum ianya dilaksanakan.

Antara perkara yang dibimbangi adalah status Akta Buruh yang bakal melayakkan buruh asing menjawat jawatan tertinggi dalam kesatuan sekerja.

Lambakan pekerja asing yang bakal berlaku kesan daripada TPPA sudah cukup membimbangkan, apatah lagi akta tersebut membolehkan buruh asing memegang jawatan tertinggi yang bakal menutup peluang rakyat tempatan yang berkelayakan.

Ini belum lagi peningkatan dalam sektor pengeluaran berproduktiviti tinggi yang akan memberi kesan terhadap tenaga buruh kerana digantikan sepenuhnya dengan penggunaan mesin.

Semua ini akan mengakibatkan peluang pekerjaan rakyat tempatan terjejas sekaligus menjadikan kadar pengangguran semakin tinggi.

Rakyat yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri antara golongan yang paling menerima kesan sekiranya TPPA ditandatangani. Di antaranya adalah petani, nelayan, dan pekebun kecil.

Apabila melihat kesan NAFTA terhadap para petani di Mexico yang telah mengakibatkan sejumlah 4.9 juta buah keluarga petani kehilangan pekerjaan selepas 16 tahun pelaksanaannya, ternyata ianya adalah kebimbangan besar khususnya terhadap golongan petani di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa kebanyakan golongan petani, nelayan, dan pekebun kecil ini mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan. Realitinya mereka bakal berhadapan cabaran yang lebih getir daripada hari ini.

Yaakob MB petani buah 01Mungkin situasi yang lebih kurang sama seperti Mexico dimana mereka tidak mampu bersaing dan akhirnya mereka terpaksa memberhentikan perusahaan pertanian mereka.

Dengan pendapatan sebegitu rendah, bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan jika perusahaan yang mereka kerjakan selama ini tidak dapat menampung kehidupan seharian sekaligus membantutkan kelangsungan hidup mereka.

Selain itu, Malaysia telah menggunakan sistem tarif dan kuota untuk produk pertanian dan jika TPPA dikuatkuasakan tarif dan kuota ini bakal dikurangkan sekaligus memberi kesan kepada pendapatan para petani.

Begitu juga dengan tarif beras yang bakal dikurangkan selepas daripada TPPA ditandatangani sedangkan pada masa yang sama Amerika Syarikat yang mahukan beras dimasukkan dalam perjanjian ini tidak mahu mengurangkan subsidi yang diberikan kepada petani mereka.

Hal ini akan menyebabkan harga beras menjadi rendah daripada pasaran sekaligus pendapatan para pesawah dalam negara akan terjejas disamping kesukaran menembusi pasaran negara lain. Tindakan ini jelas menguntungkan Amerika serta merugikan para pesawah padi di Malaysia.

Kita harus menyedari bahawa rakyat belum lagi bersedia dengan persaingan terbuka ini walaupun dilihat persaingan yang bakal berlaku adalah persaingan secara sihat.

Namun ianya perlu dilihat secara meluas kerana kesan ketidaksediaan rakyat terhadap persaingan ini bakal mengakibatkan keburukan yang menimpa Negara dan rakyat.

PADIBegitu juga dengan kerajaan yang dilihat masih belum cukup bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya TPPA ditandatangani.

Justeru, adalah amat wajar sekiranya TPPA ini tidak dilaksanakan dan ditolak dalam persidangan Parlimen nanti.

Selaku rakyat yang memahami geopolitik yang memungkinkan Malaysia cenderung mengikut telunjuk Amerika Syarikat selepas perjanjian ini dipersetujui, seharusnya rakyat Malaysia menolak seratus peratus Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini kerana ianya bakal mengundang keburukan yang lebih besar daripada kebaikan.

Diharapkan para petani, nelayan dan pekebun kecil dapat bersama-sama turun pada 23 januari ini di Dataran Merdeka membantah perjanjian TPPA ini. Jangan sampai tindakan kita hari ini menggadaikan negara kepada anak cucu kita kelak.

Oleh itu, diharapkan pihak kerajaan dapat mendengar keluhan dan rintihan nasib para petani yang bakal terjejas sekiranya TPPA ini ditandatangani. Akhir kata, marilah kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih sejahtera dan harmoni.

ZAIDY ABDUL TALIB ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Bendahari PAS Selangor.