Categories
KENYATAAN MEDIA

Parlimen mesti menolak TPPA demi memelihara institusi negara

BERSIH 2.0 menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira spektrum politik untuk menolak Perjanjian TPPA serta memberi isyarat jelas untuk mempertahankan kedaulatan institusi-institusi di Malaysia.

Pada 29 dan 30 Ogos 2015, ratusan ribu rakyat Malaysia telah menuntut penambahbaikan institusi demi mengukuhkan demokrasi berparlimen serta menyelamatkan ekonomi.

Pun begitu, kurang enam bulan kemudian, kerajaan Malaysia nampaknya akan menandatangani sebuah perjanjian yang akan menjejaskan ekonomi setempat sementara memberi kesan buruk terhadap kemampuan institusi awam dalam melaksanakan tuntutan rakyat.

1. Menjejaskan hak demokratik rakyat untuk menentukan polisi awam

Hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik ialah keterlibatan langsung mereka dalam pembuatan dasar melalui pilihanraya dan interaksi dengan wakil-wakil rakyat.

TPPADemokrasi bergantung kepada kebolehan pengundi untuk menuntut kebertanggungjawaban kerajaan dan supaya kerajaan yang dilantik melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat.

Mekanisme Investor-State Dispute Settlement dalam TPPA bakal mencabar tunjang utama proses demokratik ini.

Risiko diambil tindakan undang-undang oleh syarikat multinasional telah pun dirasai di Malaysia apabila kerajaan memilih untuk menunggu keputusan kes Philip Morris vs Australia sebelum membuat keputusan melaksanakan plain-packaging.

Pasca TPPA, kerajaan Malaysia akan takut-takut untuk mewujudkan undang-undang yang berkepentingan rakyat dan ini akan mengakibatkan hak-hak demokratik rakyat Malaysia dikurangkan.

BERSIH 2.0 terkejut bahawa Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia telah mendapati bahawa hampir 30% syarikat IKS mungkin tutup kedai akibat daripada TPPA manakala kehilangan pekerjaan di negara-negara anggota TPPA boleh mencecah sehingga 771,000.

Sekiranya kerajaan Malaysia melaksanakan dasar-dasar yang membetulkan kesan-kesan ini, rakyat berkemungkinan menanggung kos tindakan undang-undang sekiranya kerajaan disaman oleh syarikat asing.

Rakyat Malaysia mempunyai hak demokratik untuk menentukan hala tuju Malaysia, melalui peti undi, Parlimen dan mahkamah. TPPA mengubah hak demokratik ini.

2. Melemahkan kedaulatan negara

TPPA melemahkan Parlimen dan mengehadkan kemampuannya menggubal undang-undang. Dengan cara yang sama, ia mengehadkan badan-badan eksekutif, termasuk negeri-negeri daripada melaksanakan dasar-dasarnya.
TPPA juga memenjara mahkamah, dan membenarkan keputusan yang telah dibuat mahkamah tertinggi negara dicabar oleh syarikat-syarikat asing. Rakyat biasa tidak mempunyai akses kepada hak ini.

Ini mencabul hak kesetaraan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadikan rakyat Malaysia warga kelas kedua berbanding entiti asing.

Bukan saja TPPA membuang kuasa membuat dasar daripada kerajaan, ia memindahkan kuasa badan-badan negara untuk menjadi pengantara pertikaian antara syarikat asing dan negara ke mahkamah arbitrasi antarabangsa, yang tidak memiliki sistem semak imbang terhadap salahguna sistem.

Daripada mengambil jalan mudah, BERSIH 2.0 menuntut kerajaan untuk memperbaiki sistem mahkamah serta menangani dakwaan rasuah dan berat sebelah dalam sistem undang-undang negara.

Akses keadilan adalah sangat penting bagi menarik pelabur tempatan dan antarabangsa, justeru badan kehakiman negara mesti diperkasa demi menyokong keperluan ini.

BERSIH 2.0 mengulangi gesaan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Alfred-Maurice de Zayas untuk memansuhkan mekanisme ISDS dalam perjanjian-perjanjian dagang, dan sebaliknya meletakkan pertikaian dagang di dalam bidang kuasa setempat.

3. Kurangnya ketelusan

Rundingan TPPA telah gagal menepati standard ketelusan. Teksnya didedahkan kepada awam pada 5 November 2015 manakala perjanjian tersebut dijangka diundi di Parlimen pada 26 Januari 2016, justeru memberikan orang ramai hanya tiga bulan untuk menghadam 6,000 muka surat yang mengandungi lebih dua juta jargon undang-undang yang rumit.
Ini sekali lagi bertentangan dengan cadangan De Zayas, yang berhujah bahawa negara-negara mesti memastikan parlimen, institusi hak asasi manusia dan para ombudsman dilibatkan pada setiap tahap perjanjian dagang.

Melihat kepada perkara ini, BERSIH 2.0 menyokong protes Anti-TPPA pada 23 Januari dan mengajak kesemua penyokong perhimpunan Bersih 1,2,3 dan 4 untuk menyertai kami di Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Rakyat Malaysia mesti melawan sebarang usaha, dari dalam mahupun luar negara, yang mahu mencabar hak rakyat untuk menentukan masa depan negara.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Categories
NASIONAL

PAS: Adakan referendum rakyat sebelum setuju TPPA

SHAH ALAM 15 JAN: Kerajaan Persekutuan mesti mengadakan referendum rakyat sebelum membuat keputusan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dengan referendum itu, rakyat lebih jelas implikasi baik buruk keterlibatan negara dalam TPPA melalui siri penerangan dan penjelasan.

TPPAKatanya, pimpinan kerajaan UMNO BN tidak seharusnya meletakkan negara pada situasi yang terdedah kepada pengaruh berlebihan pihak asing terutamanya Amerika Syarikat.

“Perkara dibimbangi TPPA ialah kos perubatan dijangka melambung yang bakal merompak hak rakyat marhaen menikmati perubatan boleh tampung.

“Jangan kerana TPPA menyebabkan hanya rakyat kaya sahaja mampu menikmati perubatan,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan media.

Beliau berkata, TPPA memberi kelebihan syarikat asing untuk menembus pasaran negara TPP.

Katanya, negara tidak menikmati perkara itu malah membahayakan ekonomi syarikat tempatan.

“Ia bermakna Malaysia akan melepaskan kedaulatannya sebagai negara bebas yang tidak terikat dengan sebarang blok kuasa utama dunia.

“Apakah Malaysia masih bebas bersuara tatkala Amerika dan sekutunya Israel menindas negara Islam seperti Palestin tanpa sebarang risiko dikenakan sekatan ekonomi kerana TPPA selepas ditandatangani nanti?,” soalnya.

Beliau berkata Himpunan rakyat membantah TPPA pada 23 Januari ini adalah sebahagian daripada usaha dan kebimbangan rakyat terhadap sikap pihak kerajaan yang bersungguh-sungguh menyertai perjanjian itu.

Himpunan itu merupakan desakan kepada kerajaan agar mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat terhadap perjanjian TPPA.

EZY

Categories
NASIONAL

PAS sertai Himpunan Bantah TPPA 23 Januari

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 10 JAN: PAS akan menyertai perhimpunan Bantah Perjanjian Trans-Pasifik Asia (TPPA) yang bakal diadakan di Dataran Merdeka, pada 23 Januari ini .

IMG_0168Sokongan itu disuarakan pemimpin dan penyokong parti sambil mengangkat plakad ‘Bantah TPPA’ pada Ijtima’ Pilihan Raya PAS Selangor, di sini, hari ini.

Ikrar itu diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil diiringi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Islandar Abdul Samad.

Himpunan itu diadakan bagi membantah perjanjian berkenaan yang dilihat akan terus menekan rakyat yang kian dihimpit masalah ekonomi.

Selain PAS, beberapa badan bukan kerajaan juga dijangkan menyertai aktviti terbabit.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Penjualan EDRA tidak patriotik, Najib terus menikus depan kuasa asing

Oleh : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 27 NOV: KEADILAN menganggap langkah terdesak Perdana Menteri, Najib Abd Razak yang menjual keseluruhan aset startegik penjana kuasa Edra Global Energy (EDRA) kepada China sebagai tindakan tidak patriotik dalam menyelesaikan skandal hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional.

MB Azmin“Beliau telah melutut dan menagih kepada kuasa asing. Penjualan EDRA kepada China kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan dimana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang ‘Nine-Dash-Line’,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres AMK dan Wanita Keadilan 2015 di Dewan Sivik MPSJ, hari ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebelum ini menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin berkata, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang telah dipersetujui Putrajaya harus dibahas secara terbuka demi untuk melindungi kedaulatan negara.

TPPA“Putrajaya gagal menampilkan kepimpinan sebuah negara berdaulat, merdeka dan bermaruah.

“Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini juga gagal membentuk muafakat ASEAN berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

“Ini adalah suatu tragedi, ASEAN mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

TPPA : 30 peratus peniaga IKS bakal gulung tikar

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia meramalkan 30 peratus daripada 650,000 peniaga akan ‘gulung tikar’ dalam tempoh dua tahun selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dipraktikkan.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar berkata, TPPA jelas menyebabkan ekonomi tempatan merosot dan memberi kesan negatif kepada pengusaha IKS tempatan.

“Menerusi TPPA, pelabur asing diberi layanan sama dengan apa diberikan kepada pelabur tempatan dan menerima perlindungan lengkap dalam industri.Parlimen

“Mereka juga mendapat kebebasan penuh bagi menghantar keluar segala keuntungan diperoleh daripada perniagaan di Malaysia yang mana kerajaan tidak boleh mengenakan sebarang halangan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata TPPA akan menyebabkan peniaga IKS bersaing sama rata dengan pihak luar.

Beliau berkata, gambaran kerajaan terhadap TPPA adalah berbeza daripada realiti apabila pelabur dan peniaga akan terjejas apabila perjanjian itu dimeterai.

“Pemimpin kita berhujah mengenai TPPA seolah-olah ia perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Kita harus membezakan antara FTA dan TPPA kerana TPPA adalah mengenai kelulusan membenarkan pelaburan bebas di mana pihak luar mendapat hak sama rata dengan pelabur tempatan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

TPPA: Korporat diutamakan, hak pengguna internet dipinggirkan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Pendedahan teks penuh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jelas membuktikan perjanjian itu hanya mengutamakan kepentingan korporat dan manakala hak pengguna internet dipinggirkan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata berdasarkan bab hak milik intelektual TPPA (bab 18, perkara 18.82) menyebut pembekal perkhidmatan internet (PPI) akan berperanan sebagai ‘polis laman web’.

TPPA“Malaysia dikehendaki menyediakan insentif perundangan bagi menggalakkan PPI menyingkirkan kandungan laman web didakwa melanggar perundangan hak cipta walaupun tidak menerima notis aduan pihak pemegang hak cipta,” kata Mohd Hatta pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini.

Jelasnya, keadaan ini memberi lebih kuasa kepada PPI mengawal kandungan internet berbanding Akta Hak Cipta Malaysia yang hanya memerlukan PPI menyingkirkan kandungan laman web jika notis daripada pemegang hak cipta diterima seperti mana dinyatakan dalam Seksyen 43E, Akta Hak Cipta (pindaan) 2012.

Katanya, PPI juga tidak boleh didakwa jika didapati tersalah menyingkirkan sesuatu kandungan laman web yang sebenarnya tidak melanggar perundangan hak cipta.

“Ini bermaksud PPI boleh menyingkir kandungan internet secara tidak bertanggungjawab dan boleh membenarkan penapisan internet secara meluas,” katanya lagi.

Tambah Mohd Hatta, TPPA bakal mengubah syarat penggunaan internet apabila syarat itu diluluskan tanpa sebarang ketelusan dengan hanya menyebelahi pemilik hak cipta dan sektor korporat.

“TPPA tidak memberi manfaat atau menyokong keperluan industri kreatif atau pendidikan di Malaysia, sebaliknya membenarkan pemilik hak cipta mengaut keuntungan besar,” kata Dr Hatta.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri kelirukan rakyat berkenaan TPPA

Pada 7 November lepas, Datuk Seri Mustapha Mohamed memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang Perjanjian Perkongsian Trans-pasifik tidak akan memberikan kesan kepada kos ubat-ubatan di Malaysia.

Beliau juga menolak andaian dan kebimbangan yang perjanjian tersebut akan membenarkan sambungan kepada paten-paten bagi ubatan, melabelkannya sebagai “salah faham” semata-mata.

Ingin kami tegaskan, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tersebut amat tersasar sama sekali.

Kerajaan Malaysia, bersama-sama 11 negara lain dalam perjanjian yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah bersetuju untuk:

1. Memanjangkan tempoh paten.

2. Sebuah tempoh minimum 5 tahun untuk ubatan yang dikategorikan sebagai ‘biologics’.

Ini menunjukkan TPP merupakan sebuah perjanjian yang amat buruk sekali.

Amat buruk bagi ubat-ubatan dan mereka yang memerlukan ubatan yang mampu dimiliki.

Teks perjanjian tersebut memberikan dua pilihan: sama ada perlindungan data klinikal selama 8 tahun, atau; sekurang-kurangnya 5 tahun perlindungan data termasuk menghalang cara lain untuk menghasilkan hasil yang sama ke dalam pasaran.

Ini memberikan ruangan kepada Amerika Syarikat untuk terus menekan negara-negara untuk menggunakan penangguhan dengan kuasa undang-undang untuk menghalang ubat-ubatan yang murah daripada masuk ke pasaran dalam sebuah tempoh masa yang tertentu.

TPPAApa mekanisma yang digunakan sekalipun, hasilnya tetap sama, iaitu peningkatan kos dan tempoh menunggu yang lebih lama.
Pada masa ini Malaysia tidak membenarkan sebarang paten ke atas ‘biologics’.

Tetapi sekarang, kerajaan telah bersetuju bagi 8 tahun untuk ubatan seperti ini, dan bukannya 5 tahun seperti yang dibanggakan oleh Pak Menteri.

Ini juga diperakui oleh Timbalan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Robert Holleyman dalam ucapan beliau tidak lama dahulu.

Melihatkan keadaan pemanjangan tempoh paten ini telah dirundingkan, ianya akan membuatkan ubat-ubatan akan datang lebih mahal, oleh kerana rakyat marhaen tidak mampu untuk membeli ubatan generik yang lebih murah.

Tambahan, ubatan lama yang dimodifikasi juga boleh dipaten di bawah TPP.

Setiap permohonan penyambungan paten ini boleh meningkat ke sehingga 20 tahun, yang akan membuka ruang untuk ‘patent evergreening’, walaupun perkara ini dinafikan oleh Pak Menteri.

Pada ketika ini, rakyat Malaysia semakin lemas dengan peningkatan kos sara hidup. Kos ubat yang amat mahal sekali juga merupakan sebuah faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Pada ketika ini, harga ubatan yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia adalah kira-kira 148.28% lebih tinggi berbanding dengan ubatan yang sama yang dijual di Australia.

Ini adalah kerana Malaysia tidak mempunyai polisi kawalan harga ubatan, menyebabkan harga yang dijual di sektor swasta tidak terkawal sama sekali.

Walaupun kerajaan telah berkata TPP tidak membenarkan penyambungan paten, kenyataannya dengan membenarkan paten ke atas ‘biologics’ kerajaan langsung tidak mengambil peduli akan kepentingan perubatan yang mampu diakses oleh kesemua rakyat Malaysia.

Sehingga ke hari ini, kerajaan masih lagi gagal untuk membuat sebuah kajian impak harga ubatan yang tinggi ke atas rakyat Malaysia kelas pertengahan dan pekerja.

Lebih teruk lagi, kerajaan Malaysia pimpinan UMNO dengan jelas mengikut permintaan Amerikan Syarikat dengan membenarkan syarikat-syarikat farmaseutikal ruang untuk menyambung paten, dengan mengorbankan kehidupan rakyat Malaysia.

Sebagai ahli-ahli kokus TPP, kami menggesa Menteri untuk berterus-terang dan memberi penjelasan mengapa kerajaan bersetuju dengan penyambungan ini, supaya kesemua rakyat Malaysia boleh bersiap sedia menghadapi kematian sekiranya kita tidak mampu untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Kami juga menggesa kerajaan supaya kembali ke meja rundingan dan membatalkan persetujuan untuk membenarkan paten ke atas ‘biologic’ dan penyambungan paten ubatan, supaya harga ubatan dan ‘biologic’ kekal mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Oleh: Nurul Izzah Anwar, Datuk Takiyuddin Hassan & Dr Michael Jeyakumar Devaraj

 

Categories
SELANGOR

Butiran TPPA dikaji pastikan kedaulatan negara terpelihara

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 NOV: Kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik Asia (TPPA) dikaji butirannya oleh Kerajaan Negeri sebelum mengemukakan sebarang pendirian.

tppaExco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata Kerajaan Persekutuan perlu membentangkan isi kandungan perjanjian itu di Parlimen.

“Selepas kita mengkaji kandungan TPPA, kita mengambil langkah bagi memastikan segala kepentingan negeri dan negara terpelihara.

“Kita akan sampaikan pandangan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

EZY

Categories
NASIONAL

Najib umum ‘hampir pasti’ tandatangani Perjanjian TPP

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Malaysia ‘hampir pasti’ menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan secara prinsipnya Kerajaan Persekutuan sudah menerima perjanjian itu.

“Setakat hari ini, Malaysia menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu enam secara serantau melalui ASEAN dan tujuh secara dua hala.

Laksana TPPA 01“Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, apabila jumlah dagangan sekitar 150 peratus melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Kerajaan menerima secara prinsipnya Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPPA.

“Bagaimanapun pertimbangan secara muktamad dibuat di Parlimen kelak,” kata Najib menamatkan teka-teki pendirian sebenar Kerajaan Persekutuan dalam isu TPPA ketika membentangkan Belanjawan 2016 di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam laporan media berkata, Putrajaya tidak memerlukan kelulusan parlimen sebelum menandatangani TPPA walaupun perjanjian ini dibincangkan di parlimen.

Jelas beliau, perjanjian itu juga tidak boleh dipinda di parlimen kerana melibatkan 12 buah negara lain yang terlibat dengan perjanjian sama.

TPPA menerima penentangan daripada pelbagai pihak ekoran isi perjanjian itu yang bersifat rahsia dan mengundang ancaman terhadap kedaulatan negara.

EZY

Categories
NASIONAL

Kaji TPPA sebelum tandatangan elak kedaulatan negara terjejas

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Persekutuan patut melaksakan kajian mendalam kesan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terhadap negara sebelum menandatanganinya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, berkata antara isu penting yang perlu dikaji adalah kesan terhadap kedaulatan negara.

tppa“Kita beri perhatian serius kerana menyentuh kehidupan kita di segi ekonomi, sosial, poltik dan juga kedaulatan.

“Apakah kita mengizinkan orang lain campur tangan dalam soal apa yang kita nak tentukan sama ada soal polisi, undang-undang yang hendak menegakkan dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan.

“Kita boleh untung seringgit, dua hari ini tetapi apakah kesan kemudian hari segi kedaulatan kerana walaupun negara kita kecil tetapi kita negara merdeka,” kata veteran Umno itu di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ketika menyentuh isu kelembapan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, Tengku Razaleigh berkata Kerajaan Persekutuan perlu bertindak bagi memulihkan keyakinan pelabur asing dan rakyat.

Apabila ditanya skandal 1MDB, Tengku Razaleigh memberitahu beliau akan memberikan pandangan beliau selepas Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen.

EZY

Categories
NASIONAL

TPPA boleh lonjak harga ubatan 1,000 %, ubat sakit kepala RM40

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OKT: Selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kehidupan rakyat terus tertekan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, berkata ini berikutan TPPA mampu memberi kesan lebih buruk berbanding GST kerana menyebabkan harga barangan import seperti ubat-ubatan melonjak naik.

tppa“GST rakyat terkena secara langsung, tetapi TPPA ini lebih bahaya lagi perindustrian negara kita terkesan dengan perjanjian terutama kalau ubatan apabila kita mesti guna dia punya paten yang ada pada negara pengeluar.

“Ini boleh menyebabkan harga ubat bukan saja naik 100 peratus tetapi boleh mencapai 1,000 peratus, jangan terkejut kalau ubat paracetamol sakit kepala yang boleh di beli harga sepapan RM3 hingga RM5, mungkin meningkat hingga RM40,” kata Idris kepada Selangor Kini.

Perjanjian TPPA yang semakin hangat dibahaskan turut melibatkan hak harta intelek terhadap semua produk termasuk produk perubatan.

Sekiranya perkara ini dikuatkuasakan, syarikat pengeluar tempatan yang mengeluar ubat-ubatan menggunakan paten luar negara tidak lagi boleh mengeluarkan produk masing-masing.

Keadaan ini mendorong negara terpaksa mengimport produk terlibat daripada syarikat pemilik paten di luar negara sekaligus menaikkan harga pengguna dalam pasaran.

EZY

Categories
NASIONAL

MITI patut kemuka laporan analisis TPPA

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 OKT: Kegagalan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengemukakan laporan analisis kos dan faedah menjadi antara punca Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM) menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Bekas Eksekutif MTEM, Aliff Basri, berkata isu TPPA melangkaui aspek rakyat dan kaum meskipun badan itu merupakan antara NGO yang berperanan terhadap kepentingan usahawan kecil serta peniaga bumiputera khususnya orang Melayu.

TPPA“Kajian hasil kos faedah sudah dua tahun kita minta dan bertanya kepada MITI tetapi reaksinya lambat.

“Setelah kita desak akhirnya mereka bersetuju untuk membuat kajian berkenaan,” katanya selaku panelis dalam forum ‘TPPA: Malaysia Dijual?’ anjuran Gabungan Rakyat Merdeka.

Beliau menegaskan penolakan terhadap TPPA bukan disebabkan andaian semata-mata bahkan kenyataan yang meminta semua pihak menunggu butiran lengkap dibentangkan terlebih dahulu sebelum dipertikaikan disifatkannya tidak wajar.

Jelasnya, TPPA hanya mewujudkan cabaran persaingan sumber diantara negara membangun dan negara maju.

EZY