Categories
GLOBAL

Angka korban tsunami meningkat 62 orang

CARITA, Indonesia 23 DIS: Sekurang-kurangnya 62 orang meninggal dunia dan 584 yang lain cedera apabila tsunami susulan letusan gunung berapi, tanpa amaran melanda kawasan pantai pelancongan dan perairan di Selat Sunda, kata pegawai agensi bencana tempatan.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, ratusan bangunan musnah disebabkan ombak yang melanda kawasan perairan selatan Sumatera dan barat Pulau Jawa, kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.

Keadaan itu menyebabkan pelancong dan penduduk yang berada di tempat kejadian lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

Pasukan pencari dan penyelamat berusaha mencari 584 orang lagi mangsa yang cedera di bawah runtuhan. Setakat ini 20 orang dilaporkan hilang daripada tiga wilayah.

Gambar yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan gelombang kuat itu memusnahkan atap besi, kayu, serpihan dan sisa runtuh dari kawasan pedalaman di pantai Carita, sebuah kawasan pelancongan terkenal di pantai barat Jawa.

Menurut pihak berkuasa, tsunami yang berlaku mungkin tercetus oleh gelombang pasang surut yang tidak normal akibat bulan penuh dan tanah runtuh di dasar laut susulan letusan gunung berapi Anak Krakatoa.

“Gabungan ini menyebabkan tsunami tiba-tiba melanda pantai,” kata Sutopo sambil menambah agensi geologi Indonesia sedang berusaha menentukan punca ia berlaku dan angka kematian dijangka meningkat.

Rakaman video yang disiarkan di Sutopo di media sosial menunjukkan penduduk panik dan masing-masing melarikan diri ke kawasan lebih tinggi.

Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia mendakwa gelombang itu bukan tsumai tetapi gelombang pasang surut dan meminta agar masyarakat tidak panik.

Sutopo kemudian meminta maaf berikutan berlakunya kesilapan itu di Twitter. Tidak berlakunya gempa bumi menyukarkan untuk menentukan punca awal kejadian itu.

“Sekiranya terdapat kesilapan awal, kami minta maaf,” tulisnya.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

Tiada laporan rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian tsunami

JAKARTA, 23 DIS: Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian tsunami yang berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda, setakat ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam satu kenyataan berkata Kedutaan kini memantau kejadian itu dan rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pegawai bertugas di talian ‭+62 813 80813036‬.

“Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia terlibat dengan kejadian ini,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan pendataan sementara pihak berkuasa Indonesia sehingga pukul 7.00 pagi ini, sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dan hampir 500 mangsa cedera dalam kejadian tsunami yang berlaku 9.27 malam tadi.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho, faktor utama penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG).

“Tsunami itu bukan disebabkan gempa bumi, kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gelombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba,” katanya.

Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BPBD, tentera, polis dan agensi agensi berkaitan sedang menangani situasi itu, dengan jumlah kematian dikhuatiri terus meningkat.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Korban tsunami Selat Sunda meningkat 43 orang, 584 cedera

JAKARTA 23 DIS: Agensi bencana Indonesia mengesahkan angka kematian bencana tsunami yang melanda kawasan pantai sekitar Selat Sunda di antara kepulauan Sumatera dan Jawa meningkat kepada 43 orang serta mencederakan 584 orang.

“Kami merumuskan laporan tsunami di Selat Sunda, melanda kawasan Serang, Pandeglang dan Lampung Selatan,” kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho kepada Metro TV, hari ini.

Menurut Sutopo, gelombang tsunami itu dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan awal gunung berapi Anak Krakatau.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku malam semalam, beratus-ratus rumah rosak dan dua orang dilaporkan hilang.

SUMBER: REUTERS

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

‘Gunung berapi tsunami’ melanda Indonesia selepas letusan Krakatoa

INDONESIA 23 DIS: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas tsunami melanda pantai Selat Sunda di Indonesia, kata pegawai kerajaan.

Agensi pengurusan bencana negara mengatakan 165 orang cedera, dan puluhan bangunan telah rosak, lapor Agensi Berita Antararabangsa BBC NEWS.

Ia mengatakan punca tsunami yang mungkin menyebabkan tanah runtuh di bawah tanah selepas gunung berapi Krakatoa meletus.

Selat Sunda di antara pulau-pulau Jawa dan Sumatera menghubungkan Laut Jawa ke Lautan Hindi.

Imej video yang disiarkan oleh ketua agensi penanggulangan bencana menunjukkan tsunami, dengan jalan-jalan banjir dan kenderaan terbalik.

Categories
GLOBAL

Palu ‘dipalu’ banjir lumpur

KOTA PALU 20 NOV: Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, kesan luka akibat bencana gempa bumi dan tsunami pada 28 September lepas masih belum sembuh, masyarakat Palu kini dilanda pula banjir lumpur melibatkan beberapa kawasan di pinggir bandar ini.

Antara perkampungan yang terjejas teruk ialah Desa Bangga di Sigi kira-kira 100 kilometer dari kota Palu.

Tinjauan Bernama mendapati banjir setinggi lebih dua meter itu turut menghakis tanah dan menyebabkan pokok tumbang sehingga mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

Ketua Kampung Desa Bangga, Jalil Mahawali berkata, banjir itu merupakan yang terburuk sepanjang 39 tahun dia menetap di perkampungan tersebut.

“Di Desa Bangga memang pernah berlaku banjir tetapi tidak seteruk ini hinggakan ada beberapa rumah turut dihan­yutkan banjir lumpur,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui di perkampungan itu di sini hari ini.

Jelasnya, kejadian gempa bumi tempoh hari menyebabkan sebahagian gunung di hulu sungai runtuh dan hujan lebat menyebabkan sisa tanah daripada runtuhan itu turut dibawa air hujan, sekali gus menyebabkan banjir besar tersebut.

Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilapor me­ngorbankan sekurang-kurang­nya 2,000 penduduk.

Jalil berkata, bencana banjir lumpur itu menjejaskan hampir 2,000 mangsa dan menenggelamkan lebih 300 buah rumah, namun kejadian tiada korban dilaporkan.

Sementara itu seorang mangsa, Abdurrahman Idrus, 56, berkata, dia tidak dapat melupakan kejadian melihat rumah yang dibina berhampiran sungai ditenggelami air hingga mencecah bumbung.

“Kejadian berlaku pada pukul 9 malam, Jumaat lalu. Hujan turun dengan lebat dan kurang sejam tiba-tiba air sungai naik dengan cepat.

“Pada mulanya ­ingat hanya air biasa tetapi sangkaan saya meleset apabila melihat rumah jiran yang diperbuat daripada kayu hanyut ditelan arus deras,” katanya sambil menunjukkan rumahnya yang dibina lima tahun lepas turut di­tenggelami banjir lumpur.

Prihatin dengan nasib penduduk, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang masih berada di sini, bertindak menghulurkan bantuan segera.

Timbalan Pengarah Jakim, Dr. Yamin Ismail berkata, pihaknya dan Mapim sedang mengumpul data terperinci berhubung kerosakan agar bantuan secara sistematik dapat diagihkan.

Jakim dan Mapim kini dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan bernilai RM2.3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

SUMBER: BERNAMA

 

 

Categories
GLOBAL

Fiji dilanda gempa bumi, tiada tsunami

SUVA: Luar pantai Fiji dilanda gempa bumi magnitud 6.7 hari ini, namun ia terlalu dalam untuk mencetuskan sebarang kerosakan.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berpusat pada kedalaman 534 kilometer dan sejauh 283 kilometer itu berlaku di timur ibu kota.

Penduduk tempatan berkata, mereka tidak merasai sebarang gegaran dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada ancaman tsunami susulan gempa itu yang berlaku jam 9.25 pagi waktu tempatan.

Kawasan itu sering mengalami gempa bumi jauh di dasar laut dan dilanda gempa magnitud 7.8 dua bulan lalu.

Fiji terletak dalam ‘Lingkaran Api Pasifik’, zon aktiviti tektonik di sekitar Pasifik yang kerap berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

-AFP

 

Categories
GLOBAL

Ribuan mangsa gempa dan tsunami belum ditemui di Sulawesi

PALU, Indonesia 6 OKT: Lebih 1,000 orang dipercayai masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda Indonesia, kata pihak berkuasa semalam sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang belum ditemui selepas seminggu bencana berlaku.

Bandar Palu di Pulau Sulawesi musnah setelah dilanda gempa bumi kuat dan tembok air yang mengakibatkan rumah-rumah ranap dan kenderaan terbalik, manakala angka korban yang disahkan meningkat kepada 1,558 orang.

Kebimbangan juga semakin meningkat bahawa ramai mangsa masih tertimbus di bawah kompleks perumahan kerajaan di Balaroa di mana gempa tersebut mengubah struktur tanah menjadi lembik dan berair.

“Kami menganggarkan terdapat lebih 1,000 rumah tertimbus, jadi, mungkin lebih 1,000 orang masih hilang.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan angka tersebut kerana ada kemungkinan sebahagian mangsa mungkin berjaya menyelamatkan diri” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada agensi berita AFP.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan hanya sekitar 100 orang masih hilang.

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia, Acmad Ramadan sebagai berkata bahawa dianggarkan seramai 152,000 mangsa masih tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di bandar Palu, Sulawesi Tengah, Jumaat lepas. Pada masa yang sama katanya, sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas mengalami kelewatan selama beberapa hari, bantuan antarabangsa akhirnya mula tiba di zon bencana di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa hampir 200,000 orang amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Situasi di Palu tidak banyak berubah dengan penduduk terus menggeledah kedai dan lori bekalan bagi mendapatkan barangan keperluan asas. Aktiviti mencuri itu mendorong pasukan keselamatan menahan berpuluh-puluh orang dan memberi amaran bahawa mereka akan menembak pencuri.

Pihak berkuasa menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk mencari penduduk yang terperangkap walaupun peluang menemui mangsa yang terselamat hampir tiada.

SUMBER: AFP/ Bernama

Categories
NASIONAL

TBGBTS dilancar bantu mangsa tsunami Sulawesi

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 5 OKT: Kerajaan meluluskan penubuhan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) dalam menzahirkan inisiatif bantuan kemanusian dan bencana (HADR) untuk mangsa kejadian bencana alam, di Sulawesi, Indonesia.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata, pihaknya bertindak selaku penyelaras tabung itu yang menggunakan nombor akaun Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Ia mula diaktifkan semalam dan tempoh operasinya adalah selama sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada TBGBTS, boleh menyalurkannya melalui no akaun: 16010000882-71-8 (Bank Muamalat).

“Cek boleh ditulis atas nama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara dan untuk rekod, sila hantar bukti transaksi ke nombor 012-6519563/ 012-2344048,” katanya.

Pada 28 September lalu, dunia dikejutkan dengan siri gempa bumi melanda Sulawesi Tengah yang menyebabkan kerosakan bangunan dan kecederaan dalam kejadian dengan magnitud 7.4 Skala Richter.

Ia berpusat pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 27km di Timur Laut Donggala, pada jam 5.02 petang waktu tempatan mencetuskan tsunami membadai Pantai Talise, di Kota Palu.

Setakat ini, dilaporkan lebih 800 mangsa terkorban dan pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan menjalankan misi menyelamat dan mencari mangsa hilang serta cedera.

Categories
GLOBAL

Gempa Sulawesi: 800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami

KOTA PALU 4 OKT: Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami di sini, Jumaat lalu.

Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat maghrib ketika musibah melanda.

Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.

“Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.

“Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sultami berkata dalam kekalutan itu, beliau sempat menyelamatkan diri dengan naik ke bangunan kedai berhampiran.

Menurutnya, kawasan masjid itu turut menempatkan sekolah agama namun semua pelajarnya selamat kerana ketika kejadian waktu sekolah telah tamat.

“Jumlah mayat yang dijumpai di kawasan berhampiran masjid itu antara yang paling ramai, sekitar 300 orang,” katanya.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada lebih 1,424 orang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serantau Muslim lancar tabung gempa bumi & Tsunami Palu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 OKT: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengambil langkah drastik dengan melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Bumi dan Tsunami kepada mangsa bencana itu di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Pengurus Besarnya, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim melahirkan rasa sedih atas kejadian yang tidak diingini yang berlaku di negara tersebut.

Katanya, tabung bantuan kecemasan itu dibuka akibat pihaknya difahamkan kebanyakan penduduk di sana tidak mendapat bekalan makanan, air bersih dan lain-lain kemudahan harian kerana laluan darat, laut dan udara masih tergendala.

“Malah, kita difahamkan ramai penduduk terpaksa keluar dari kawasan tersebut ekoran kekurangan bekalan asas dan kemudahan awam jalan raya, sekolah serta bekalan elektrik juga tidak dapat diakses.

“Ia amat menyedihkan apabila melihat ratusan penduduk yang terselamat terpaksa tidur di landasan akibat kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan situasi di lapangan tersebut menjadi huru-hara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hakim berkata, keadaan itu menyebabkan penerbangan dari Lanud AU Makassar terpaksa dihentikan kerana orang ramai berebut-rebut ingin keluar dari Palu dan hanya bantuan kemanusiaan sahaja boleh beroperasi.

“Kami juga merasakan keadaan di Palu kini berada sangat parah kerana mayat mangsa terkorban dalam bencana alam itu ada di merata tempat, walaupun proses menyelamat masih diteruskan.

“Malah, keadaan ini mungkin mendedahkan penduduk terselamat dengan masalah kesihatan lain sekiranya mayat tersebut tidak diurus dengan cepat,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu boleh melayari laman sesawang berikut, https://www.billplz.com/TabungSulawesi atau menghubungi 010-8659407 untuk mendapat keterangan lanjut.

Terdahulu, penduduk di sana dikejutkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 skala richter dan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.

Kejadian alam yang berlaku pada Jumaat lalu itu telah menggoncangkan Sulawesi Tengah dan menyebabkan lebih 1,400 orang kehilangan nyawa.

Categories
GLOBAL

Angka korban 1,374, hampir 200,000 perlu bantuan segera

PALU 3 OKT: Hampir 1,400 penduduk terbunuh dalam bencana gempa bumi disusuli tsunami di pulau Sulawesi, dengan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mangsa terselamat dan pasukan penyelamat memerlukan bantuan besar-besaran.

Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pegawai kemanusiaan PBB, antara mereka ialah puluhan ribu kanak-kanak, dengan anggaran 66,000 rumah musnah atau rosak susulan gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami yang dicetuskan gegaran itu.

Mangsa terselamat bergelut dengan dahaga dan kelaparan, dengan kekurangan bekalan makanan dan air bersih, dan hospital tempatan dipenuhi penduduk yang cedera.

“Satu yang dirasakan pasukan yang bekerja di situ adalah amat kecewa.

“Penyelamat masih tidak dapat sampai ke kawasan besar yang teruk terjejas dan mereka terus berusaha, melakukan apa yang terdaya,” kata jurucakap pejabat kemanusiaan badan dunia itu, Jens Laerke, kepada wartawan di Geneva lewat semalam.

Di Palu yang paling teruk dilanda bencana itu, menyaksikan penduduk, kereta dan rumah dihanyutkan, polis melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata semalam untuk menghalang orang ramai menggeledah kedai.

Ketika mangsa terselamat diselamatkan daripada kawasan kejiranan yang musnah, mereka menemui lebih banyak mayat.

“Angka kematian kini 1,374, dengan 113 lagi hilang.

“Masih ada mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak.

“Keutamaan adalah mencari dan menyelamatkan penduduk,” kata ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Willem Rampangilei.

Pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat ketika penyelamat berjaya menghubungi kawasan yang terputus sebelum ini.

Pusat Penyelamatan Bantuan Kemanusiaan ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berkata, lebih banyak beg mayat diperlukan segera ketika kebimbangan memuncak mayat yang mula reput akan menjadi tempat merebak penyakit bahaya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Indonesia hanya terima bantuan bukan tunai

JAKARTA 3 OKT: Kementerian Luar Indonesia memaklumkan kepada wakil negara asing yang menawarkan bantuan susulan gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah Jumaat lalu, negaranya akan menerima bantuan dalam bentuk bekalan, kepakaran dan jentera namun mencadangkan sumbangan tunai disalurkan terus kepada Palang Merah Indonesia (PMI).

Petang kelmarin, duta dari kira-kira 20 negara dan perwakilan pertubuhan antarabangsa bertemu Timbalan Menteri Luar AM Fachir yang berkata, Indonesia bersedia menerima bantuan asing.

“Ada sekurang-kurangnya tiga bentuk bantuan, bekalan, kepakaran dan jentera, justeru kami mengenal pasti mereka dan jika mereka mahu membantu, mereka boleh maklumkan kami apa yang boleh ditawarkan,” kata Fachir kepada media selepas pertemuan itu menerui laman berita Jakarta Post.

Bantuan asing, sebaik dikumpulkan dalam inventori oleh pasukan yang melaporkan kepada Menteri Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Wiranto, akan diagihkan menerusi saluran relevan kementerian ke rantau itu, dengan sejumlah pegawai menegaskan perlunya menapis apa yang sebenarnya diperlukan.

Sementara itu, beliau berkata, PMI adalah pilihan terbaik untuk menyalurkan sumbangan langsung tunai.

“PMI boleh dipercayai dalam mengagihkan bantuan menurut keperluan,” katanya.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam satu penilaian diterbitkan Isnin lalu berkata, hampir 200,000 orang terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi magnitud 7.5 dan tsunami Jumaat lalu.

Menurut angka agensi bencana negara, gempa yang diikuti tsunami dan gegaran susulan serta pencecairan tanah, meratakan bangunan dan mengorbankan lebih 1,200 orang.

SUMBER: AGENSI