Categories
AGENDA NASIONAL

Penggulungan KKM dijangka jadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Penggulungan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi pihak Kementerian Kesihatan dijangka menjadi tumpuan sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian yang memainkan peranan penting dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini, disenarai sebagai kementerian pertama yang akan menggulung perbahasan pada hari kedua penggulungan oleh kementerian-kementerian.

Sejumlah 11 kementerian dijadual menggulung perbahasan membabitkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang empat hari perbahasan titah diraja oleh 91 wakil rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan.

Semalam, sejumlah 16 kementerian terlibat dalam hari pertama sesi penggulungan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat selain Kementerian Kesihatan, antara kementerian lain terlibat ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dan Kementerian Belia dan Sukan.

Persidangan hari ini dimulakan dengan Waktu Pertanyaan menteri diikuti sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara perkara yang akan dibangkitkan adalah isu capaian internet di kawasan luar bandar, pembelajaran secara maya bagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan pengutamaan golongan B40 memasuki asrama.

Soalan berkaitan capaian internet diajukan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah yang akan diambil untuk memastikan capaian internet kelajuan tinggi di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi, mengenai langkah menambah baik kaedah pembelajaran secara maya bagi pelajar institusi pengajian tinggi untuk mengurangkan tekanan ekoran bebanan tugasan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 17 hari dari 13 Sept hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya jadi tumpuan warga tidak balik ke kampung

PUTRAJAYA, 24 MEI: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, yang lazimnya lengang ketika cuti umum Aidilfitri, hari ini ceria dengan kehadiran orang ramai yang lengkap dengan pakaian hari raya.

Mereka yang kebanyakannya tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan Covid-19, datang untuk bersiar-siar dan bergambar di lokasi-lokasi menarik dan bangunan-bangunan ikonik di sini.

Seorang pengunjung, Abu Bakar Burhanuddin hadir bersama seorang rakannya dari Kuala Lumpur untuk bersiar-siar bagi menghilangkan kebosanan di rumah.

Katanya pada setiap tahun, beliau pulang ke rumah datuknya di Johor selepas solat sunat Aidilfitri, namun kali ini beliau terpaksa akur berhari raya di ibu kota bagi mematuhi PKPB.

“Saya tak kisah pun tak dapat balik kampung sebab kita mesti ikut norma baharu, jaga penjarakan sosial dan sebagainya.

“Suasana pun sangat berbeza, tiada solat hari raya di masjid dan selalunya Kuala Lumpur dan Putrajaya lengang, tetapi kali ini ramai orang dan kenderaan di jalan raya pun banyak,” katanya.

Bagi Siti Nabilah Zulkifli, 35, beliau bersama-sama keluarga mengambil kesempatan bersiar-siar dan bergambar di Putrajaya bagi menceriakan anak-anak kerana tidak pulang berhari raya di Kedah.

“Pada mulanya kami hanya ingin makan-makan dan berehat sahaja di rumah di Seri Kembangan, tetapi anak-anak nampak bosan, jadi kami ke sini untuk bersiar-siar,” katanya.

Amirul Adli Razali, 33, berkata ini kali pertama beliau bersama isteri dan anak-anak tidak pulang ke kampung halaman di Bachok, Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

“Disebabkan tak dapat ziarah rumah saudara-mara, jadi saya bawa anak-anak bersiar-siar ambil gambar,” kata petugas di Kementerian Pendidikan itu.

Dalam pada itu, beberapa kereta peronda polis kelihatan membuat pemantauan di sekitar Putrajaya bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dan mematuhi amalan penjarakan sosial.

-BERNAMA