Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M buat kejutan hadir di Konvensyen Reformasi, gesa tolak Najib

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 FEB: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad secara mengejut mencetus suasana riuh serta sorakan reaksi kepada kemunculan bekas Perdana Menteri itu di Majlis Konvensyen Reformasi Malaysia 2017 di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, pagi tadi.

Keadaan itu sedikit hingar apabila ada sorakan negatif terhadap beliau kerana kehadirannya tidak dimaklumkan penganjur.

Walaubagimanapun bekas perdana menteri itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika menyampaikan ucapan beliau berkaitan pandangannya terhadap reformasi.

Mahathir berkata, beliau juga adalah hasil daripada reformasi dan pentingnya reformasi dalam kehidupan manusia bertamadun bagi menentang dan mengubah kezaliman kerajaan terhadap rakyat.

“Hari ini kita lihat keadaan negara amat buruk termasuk pemimpin lama seperti saya.

“Tetapi hari ini bukan sahaja buruk tetapi kita mempunyai penyagak dan pencuri yang menjadi perdana menteri kita,” katanya ketika berucap.

Tun Mahathir berkata, motif utama perjuangan dan reformasi adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau lebih tepat adalah untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tahu saya bukanlah orang yang disukai kerana masih ramai lagi yang tak suka, tetapi kalau kita berperang sesama sendiri sekarang maka reformasi kita akan gagal.

“Sebab itu saya tekankan disini kita lupakan yang lama dan kita perlu bersatu terlebih dahulu jatuhkan Najib,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Aksi lucu Tun Mahathir dan isteri uji cabaran ‘Mannequin Challenge’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak membataskan dirinya sebagai negarawan ulung sebaliknya mengambil pendirian ‘mesra rakyat’ dalam berbagai kaedah dan cara.

Kredibiliti negarawan itu terserlah selepas tampil mengambil cabaran ‘Mannequin Challenge’ bersama beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disiarkan menerusi laman Facebook, Siakap Keli, petang ini.

Ia sekali gus mengundang lucu dan respon positif pengguna media sosial memuji keterbukaan yang dibuat Presiden PPBM itu.

Antaranya, Shaari Alor Setar yang terus menyanjung prinsip keterbukaan dan ketokohan yang ditunjukkan Tun Mahathir itu.

Untitled“Tun M, salah seorang negarawan yang aku suka.. Semasa dia jadi PM, dia mampu mengubah pemikiran rakyat lebih berpandangan jauh ke hadapan,” tulisnya.

Sementara itu, Hazrin Mahadi pula berharap kesihatan bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu terus berada dalam keadaan dan kesejahteraan baik.

“Semoga Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah terus diberikan kesihatan yang baik.. Aminnn..,” tulisnya.

Menerusi klip video berdurasi 33 saat itu, Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah menguji cabaran dengan tidak melakukan sebarang pergerakan ketika lensa kamera tepat merakamkan aksi mereka.

Turut kelihatan dalam aksi cabaran itu, Presiden (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sehingga berita ini ditulis, video berkenaan mendapat lebih 304,000 tontonan, 21,000 like dan 5,891 perkongsian.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Negara ini jadi ‘pariah’ di bawah Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Pelbagai skandal mega yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja memalukan, malah turut menyebabkan Malaysia tidak lagi dihormati negara dunia lain.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu menjadikan Malaysia seolah-olah sebuah negara ‘pariah’ apabila dipandang hina negara lain.

“Hari ini disedari bahawa negara yang dahulu dihormati kerana kejayaan pembangunannya, ketelusan pentadbirannya dan sikap keterbukaannya sudah tidak ada lagi.

BERSATU (9)“Hari ini negara di bawah pemimpin yang bergelumang dengan rasuah, jenayah pencurian duit rakyat, penipuan dan penindasan sudah menjadi negara ‘pariah’ iaitu negara yang dihina dunia serta dipimpin orang yang terhina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rasmi PPBM hadapan lebih 1,000 hadirin di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini dikenali sebagai negara yang mengamalkan rasuah disebabkan pemimpin tertingginya perasuah terbesar dalam negara.

Katanya, seluruh dunia mengetahui pemimpin itu mewujudkan 1MDB dan meminjam wang berbilion ringgit sebelum melesapkannya.

“Kita tahu Perdana Menteri tidak mungkin jadi ‘bilionaire’ kerana gajinya walaupun mencukupi tetapi tidak sebegitu besar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan Najib kononnya kekayaan diperolehi itu daripada warisan keluarga juga satu pembohongan yang nyata.

Katanya, hingga kini belum ada ‘bilionaire’ berbangsa Melayu terutama masyarakat Melayu generasi sebelum Najib.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir tuntut reformasi dilaksanakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANTING, 31 DIS : Bukan menjadi kelazimannya buat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengungkapkan kata keramat ‘Reformasi’ ketika bekas seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dipenjarakan atas sabitan politik terhadapnya.

Mengenepikan perselisihan itu, Tun Mahathir tampil atas matlamat sama menuntut Reformasi pentadbiran Kerajaan Malaysia yang bersih, berintegriti dan telus demi pembinaan negara yang lebih baik.

“Kerajaan yang ada sekarang ini rosak dari semua dari aspek. Mereka cetus isu perkauman untuk melaga-lagakan dan takutkan orang Melayu dan Cina. Apa jenis kerajaan ini?

“Diharap rakyat sedar tentang masalah yang berlaku dalam negara ini. Kalau kita sayangkan negara ini, jangan kita benarkan perompak ini mentadbir negara.

“Sebab itulah saya bersedia untuk berkawan dan bekerjasama dengan orang yang (pernah) bermusuh dengan saya kerana mereka juga mempunyai tujuan yang sama.

“Mereka mahukan Reformasi dengan membersihkan pentadbiran Kerajaan ini dan saya bersetuju untuk menyokong (agenda) itu dan saya harap rakyat dan semua parti akan bersatu ke arah itu,” katanya.

Kenyataan tersebut diungkapkan Mahathir ketika berucap pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Pantai Morib di sini, malam tadi.

Reformasi adalah ungkapan merujuk kepada tuntutan nilai perubahan yang diungkap Anwar ketika berlakunya krisis kepercayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998.

Krisis 1998 itu akhirnya membentuk kepada penubuhan Parti KEADILAN Nasional yang ditunjangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, umum mengetahui Tun Mahathir pernah memecat Anwar sebagai Timbalannya lantas mencetuskan perselisihan kedua-dua pemimpin itu dan akhirnya mencetuskan gelombang Reformasi 1998.

Bagaimanapun perselisihan itu berakhir selepas Tun Mahathir muncul buat pertama kalinya hadir ke Mahkamah dan bersalaman dengan Anwar, September lalu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tun M: Sedia ke mahkamah buktikan salah laku Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANTING, 31 DIS : Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia didakwa di mahkamah untuk membuktikan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Raza berhubung dana kewangan milik Kerajaan.

Namun katanya beliau percaya, pendakwaan terhadapnya tidak akan dibuat walaupun dirinya sebelum ini dipanggil polis untuk memberikan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

“Saya sudah tiga kali disoal dan dipanggil polis. Saya minta kalau mahu tanya, tanyalah di mahkamah dan dakwa saya di mahkamah.

“Saya ada cukup bukti mengatakan bahawa Najib itu pencuri duit,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib di sini, malam tadi.

Mahathir sebelum ini dipanggil untuk diambil kenyataannya berhubung tulisan yang didakwa menghasut di blognya, “chedet.cc” kerana mengkritik pentadbiran Najib Razak.

Beliau juga pernah diambil keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa menyamakan Perdana Menteri dengan pemimpin diktator Uganda Idi Amin, ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Jun lalu.

Bagaimanapun Tun Mahathir mendakwa, segala kritikan dan dakwaannya terhadap Perdana Menteri tidak akan berlanjutan ke mahkamah.

“Biasanya kalau kita dakwa seseorang itu mencuri di hadapan orang ramai, tentunya dia ambil saman malu kepada orang buat dakwaan itu kalau dia tak mencuri.

“Tapi beratus orang kata Najib curi duit, dia tak saman sesiapa pun sebab dia memang mencurilah dia tak berani saman,” kaya Tun Mahathir.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tun M: Banyak beza antara Najib dan Tun Razak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANTING, 31 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah individu yang tepat untuk terus menerajui kepimpinan negara, dakwa Tun Mahathir Mohamad.

Membandingkan Najib dan bapanya Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri itu berkata Najib didakwa tidak mempunyai sifat kepimpinan tinggi dan bertentangan dengan kredibiliti yang dimiliki bapanya ketika menggalas jawatan sama sebelum ini.

“Saya akui saya antara individu yang menaikkan Najib. Saya fikir Najib anak Tun Razak, dan Tun Razak telah memberikan khidmat yang baik kepada negara.

“Tidak mungkinlah anak Tun Razak itu boleh jadi pencuri dan penyangak.

“Kemudian, ramai orang datang kepada saya, dan kata jangan pilih Najib ini kerana dia akan curi duit RM1 bilion.

“Saya balas, orang yang kata itu gila. Kita sangka dia akan jadi PM sama macam bapanya. Tetapi lihatlah apa yang (sudah) jadi sekarang ini?” kata Tun Mahathir.

Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia kedua yang digelar sebagai tokoh negarawan terulung dan Bapa Pembangunan Negara susulan kesungguhan Abdul Razak membangunkan negara ketika menerajui kepimpinan negara bermula 2 September 1970 hingga 14 Januari 1976.

Abdul Razak juga adalah individu yang menubuhkan agensi Lembaga Kemajuan Tanah Persektuan (FELDA) dan MARA (dahulunya RIDA) yang terus menggerakkan pembangunan ekonomi masyarakat Melayu luar bandar ketika itu.

Bagaimanapun, kegemilangan tersebut semakin lenyap di bawah pentadbiran Najib apabila saham FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGV) tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Lebih memburukkan kata Tun Mahathir, Najib hanyalah Perdana Menteri yang mengamalkan budaya korupsi dan politik wang untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, situasi tersebut jauh berbeza di era kepimpinan Tun Razak yang mengamalkan ketelusan dan komitmen tinggi untuk membantu meningkatkan jurang pembangunan ekonomi rakyat waktu itu.

“Prinsip luar biasa yang dipegang Najib itu cuma ‘Cash is King’ dan itulah yang ‘disembahnya’ setiap hari.

“Untuk dapatkan sokongan, Najib akan sogok wang sebanyak boleh kepada semua,” dakwanya.

Tun Mahathir berkata demikian pada Ceramah Perdana Sengsara Rakyat, di Dataran Morib di sini, malam tadi.

Antara pimpinan tertinggi hadir, Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kehadiran Tun M pakai lencana ‘Bebas Anwar’ tarik perhatian

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di Konvensyen Pakatan Harapan (Pakatan) dengan menyematkan lencana tertera tulisan ‘Bebas Anwar’ di samping gambar Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar menarik perhatian umum.

Ketibaan Dr Mahathir sebelum beliau menyampaikan ucapannya bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu disambut beberapa pemimpin utama Pakatan.

bebasSelain Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), konvensyen itu turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Konvensyen semalam dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin akar umbi seluruh negara parti Pakatan itu turut menampilkan pemimpin utama KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Konvensyen itu diakhiri dengan tayangan video klip perjalanan perjuangan Anwar dan laungan “bebas Anwar” oleh hadirin.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: “Tok Arab tak hulur sesen bina UIA tapi beri Najib RM2.6 bilion?”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 NOV: Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa wang RM2.6 bilion di dalam akaunnya merupakan wang derma seorang jutawan dari Arab dianggap tidak masuk akal.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamed, berkata hal ini berikutan tiada mana-mana pihak sanggup memberikan wang sebanyak itu begitu sahaja.

“Semasa saya jadi Perdana Menteri dahulu juga pernah minta bantuan Arab untuk bina Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Tahu berapa yang saya dapat? Kosong-kosong, tak dapat satu sen pun walaupun ini universiti Islam yang terbuka untuk orang Islam seluruh dunia tetapi saya tak dapat satu sen pun,” kata beliau pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC di sini, hari ini.

tun-mSelain gagal mendapatkan bantuan untuk pembinaan UIAM, Tun Mahathir juga pernah meminta sumbangan Organisasi Negara-negara Islam yang juga termasuk negara Arab bagi membina sebuah dewan di Oxford Islamic Centre.

Jelasnya, permohonan bagi membina dewan itu juga tidak mendapat jawapan positif negara-negara Islam terbabit.

Bagaimanapun, katanya beliau berjaya menyiapkan projek itu tanpa bantuan negara luar.

Jelasnya, disebabkan pemgalamannya itu, tiada sebab untuk beliau mempercayai Najib dengan mudah memperolehi RM2.6 bilion.

EZY

Categories
NASIONAL

Tak benar Muhyiddin tolak sertai Pakatan, Tun M harap Bersatu diterima

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamed berharap partinya diterima menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (Pakatan).

Beliau berkata, dakwaan segelintir pihak kononnya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang rancangan membawa parti itu menyertai Pakatan juga tidak benar.

“Tiada yang lebih mustajab untuk mengalahkan Barisan Nasional melainkan parti pembangkang bersatu,” kata beliau dalam ucapannya pada Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama pembangkang sahaja mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Katanya, menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya haruslah menjadi keutamaan semua pihak.

Jelasnya, membiarkan BN terus berkuasa menyebabkan negara ini terus dirosakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

EZY

Categories
NASIONAL

Tun M: Najib bentang belanjawan harapan palsu kelabui mata rakyat?

OLEH NAZLI IBRAHIM

MELAKA, 11 OKT: Demi mempertahankan kuasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melakukan apa sahaja termasuk membentangkan belanjawan harapan palsu bagi menggulakan rakyat dengan pelbagai sogokan ketika membentangkan Belanjawan 2017 nanti.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, bagaimanapun berkata, sebaliknya peruntukan berbilion ringgit kepada kementerian yang diumumkan dalam Belanjawan 2017 itu sebenarnya tidak wujud

“Ini tak lama lagi ada belanjawan, nak beri berbilion kepada kementerian tetapi kemudian hantar surat kepada kementerian, jangan belanja kerana duit itu tidak ada dan tidak akan datang kerana kerajaan tidak ada duit tetapi belanjawan nampak cantik.

“Inilah cara Najib. Dunia akui Najib curi duit tetapi pengikutnya masih berkata dia tak curi tetapi tok arab beri,” kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Siri Jelajah Penerangan 1MDB – 1 Malaysia Dalam Bahaya di Taman Paya Dalam di sini, malam tadi.

Jelas Dr Mahathir, beliau turut menjangkakan Najib bakal menaikkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dalam Belanjawan 2017 nanti bagi memancing undi rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Justeru, Dr Mahathir mengingatkan supaya rakyat negara ini tidak tertipu dengan janjivmanis ditaburkan dalam Belanjawan 2017 itu nanti.

EZY

Categories
NASIONAL

Tun M: Jadikan kejayaan Selangor model pentadbiran

OLEH NAZLI IBRAHIM

MUAR, 8 OKT: Kerajaan Selangor adalah model terbaik untuk dicontohi sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan selepas pilihan raya umum nanti.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kerajaan Pakatan negeri itu berjaya membuktikan kemampuan mentadbir kerajaan dengan urus tadbir baik dan memberi pelbagai faedah rakyat.

“Dulu saya ingat parti lawan ini apa yang dia tahu pasal pentadbiran? Dia habiskan duit rakyatlah tetapi sekarang apa yang sebaliknya bila dia dirikan.

“Mereka lakukan benda baik terutama kepada orang miskin,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata demikian pada program ceramah Bicara Rakyat Bersatu di Sungai Terap, Pagoh di sini, malam tadi.

Jelasnya, keadaan ini sekaligus menidakkan dakwaan kononnya hanya Umno yang mampu mengurus sesebuah kerajaan.

Katanya, antara program boleh dipertimbangkan sekiranya Pakatan berjaya merampas Putrajaya adalah pemberian air percuma, hadiah perkahwinan dan tabung kelahiran baru seperti mana Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) yang dilaksanakan Kerajaan Selangor.

“Tentukan kita dapat kerajaan baru di peringkat Persekutuan supaya kita boleh buat seperti Kerajaan Selangor.

“Saya tak mahu janji tapi kita timbangkan bagi air percuma, bagi sedikit duit kalau kahwin tapi yang pertama sahajalah,” katanya.

Ceramah umum itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

EZY

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Pertemuan Tun M dan Anwar permulaan perpaduan dan pengukuhan parti politik

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Saya dan rakyat Malaysia gembira menyaksikan Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir Mohamad bertemu kembali setelah 18 tahun terpisah.

Pada 5 September 2016, kedua tokoh besar ini bersalaman tepat pada jam 3.09 petang dalam Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa – Kuasa Khas, Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Apa yang disaksikan oleh dunia pada saat itu adalah bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbedaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke mahkamah bagi menfailkan injunksi bagi menghalang Perdana Menteri meneruskan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

IMG_2944Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

Seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Anwar di mahkamah, kehadiran Dr. Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi.

Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti – parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14.

Dr. Mahathir berpeluang bertemu dengan Anwar selama lebih 30 minit secara tertutup untuk membincangkan proses perundangan termasuk beberapa isu – isu lain. YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah dan saya turut hadir dalam perbincangan tersebut.

* DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI