Categories
SUKANKINI

UCL: Basel calar rekod kemaraan Man City

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTEE, 8 MAC: Manchester City menempah tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi agreget 5-2 ke atas FC Basel walaupun tewas 1-2 di gelanggang sendiri awal pagi tadi.

FC Basel yang turun untuk memadam defisit empat gol City tiga minggu lalu dikejutkan dengan gol Gabriel Jesus pada minit kelapan dan merupakan gol ke-100 kelab dalam kancah Eropah.

Mohamed Elyounoussi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-17 apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Claudio Bravo selepas menerima hantaran Blas Riveros.

Michael Lang menjadikan kedudukan 1-2 pada minit ke-71 apabila berjaya melepaskan rembatan kencang untuk sekali lagi menewaskan Bravo hasil lorongan Elyounoussi.

City cuba untuk menyamakan kedudukan di lewat permainan tetapi tidak menemui sentuhan jaringan bagi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Kebangkitan Juventus singkir Spurs

OLEH AFIX REDZUAN

WEMBLEY, 8 MAC: Dua gol dalam tempoh empat minit sudah cukup menceritakan kebangkitan bermakna Juventus menyingkirkan Tottenham Hotspur menerusi agreget 3-4 bagi melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dalam aksi di Wembley awal pagi tadi, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala memastikan kelab gergasi Itali itu menang 1-2 sekaligus memusnahkan impian Spurs.

Spurs yang turun dengan kelebihan dua gol di tempat lawan terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Heung-Min Son pada minit ke-39.

Masuk minit ke-64, Higuain memadam kelebihan Spurs apabila menampan tandukan Sami Khedira bagi kedudukan 1-1.

Selang empat minit kemudian, Higuain melorongkan bola buat Dybala yang melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Hugo Illoris.

Harry Kane hampir menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan tetapi percubaannya berjaya diselamatkan Gianlugi Buffon.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Impian PSG ranap ditangan Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 7 MAC: Cristiano Ronaldo memastikan Real Madrid melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya apabila menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-2 dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Real Madrid yang berkunjung ke gelanggang lawan dengan kelebihan gol 3-1 pada perlawanan pertama hanya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-51 hasil tandukan Ronaldo.

Malang buat PSG yang turun tanpa kelibat Neymar Jr akibat kecederaan apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Marco Verrati diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Edinson Cavani akhirnya menyamakan kedudukan buat PSG pada minit ke-71 selepas menola bola masuk hasil percubaan awal Javier Pastore.

Casemiro mematikan segala kebangkitan yang ingin dilakukan PSG menerusi gol pada penghujung permainan bagi kemenangan 1-2 memihak Real Madrid.

Anak buah Zinedine Zidane yang juga juara bertahan mara ke suku akhir dengan agreget 5-2.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Seri memadai Liverpool ke suku akhir

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 7 MAC: Liverpool dan FC Porto sekadar seri tanpa jaringan pada perlawanan timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

The Reds turun dengan kelebihan 5-0 yang dicatatkan pada perlawanan pertama merehatkan beberapa tonggak pada aksi di Anfield.

Tuan rumah mempunyai beberapa peluang terbaik menerusi Sadio Mane pada babak pertama tetapi gagal disempurnakan.

Peluang terbaik Liverpool hadir pada babak kedua menerusi tampanan Danny Ings tetapi Iker Casillas lebih bersedia menolak bola keluar.

Tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan dan Liverpool mara ke suku akhir dengan kelebihan agreget 5-0.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UEL: Pertembungan AC Milan-Arsenal bakal curi tumpuan

OLEH AFIX REDZUAN

EROPAH, 24 FEB: Undian peringkat kalah mati 16 pasukan terbaik Liga Europa (UEL) menyaksikan pertembungan epik dua gergasi Eropah, AC Milan dan Arsenal yang akan berentap mencari tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu kali terakhir pada 2012 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) yang memihak kepada Arsenal, 3-0.

Berdasarkan rekod enam pertemuan dalam perlawanan sejak Februari 1995, kedua-dua pasukan menang dua perlawanan sementara dua perlawanan lagi berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

AC Milan merekodkan kemenangan terbesar 4-0 terhadap The Gunners pada Februari 2012 manakala Arsenal membalasnya dengan keputusan 3-0 di laman sendiri menentang Rossoneri sebulan kemudian.

Lyon yang bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan akhir UEL musim ini dalam landasan terbaik untuk menjadi pasukan kedua memenangi kejuaraan di gelanggang sendiri apabila diundi bertemu CSKA Moskva.

Sebelum ini, Feyenoord pernah melakar sejarah menang di gelanggang sendiri pada 2002 selepas menewaskan Borussia Dortmund di Rotterdam tetapi sebaliknya berlaku kepada Sporting CP apabila tewas kepada CSKA Moskva di Lisbon tiga tahun kemudian.

Sementara juara sulung Piala Europa selepas penjenamaan semula dari Piala UEFA pada 2009, Atletico Madrid diundi bertemu satu lagi wakil dari Rusia, Lokomotiv Moskva.

Kesemua perlawanan peringkat pertama dijadualkan berlangsung 8 Mac dan pusingan kedua pada 15 Mac.

Kredit Foto: UEFA.com

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Shakhtar Donetsk bangkit tewaskan Roma 2-1

OLEH AFIX REDZUAN

DONETSK, 22 FEB: Shakhtar Donetsk membawa kelebihan satu jaringan bagi menghadapi perlawanan kedua peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan Roma 2-1, awal pagi tadi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Cengiz Under, pada penghujung babak pertama apabila berjaya melepasi pertahanan Shakhtar sebelum mudah menolak hantaran Edin Dzeko bagi gol pembukaan.

Facundo Ferreyra memulakan kebangkitan Shakhtar, pada babak kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan, pada minit ke-52 hasil gerakan solo sebelum mudah memperdaya pertahanan dan penjaga gol Roma, Alisson Becker.

Masuk minit ke-71, Fred menggandakan jaringan buat Shaktar apabila sepakan percumanya terkena palang dan masuk menggegar jaring bagi memastikan tuan rumah di hadapan 2-1.

Tiada tambahan jaringan disaksikan sehingga penghujung perlawanan dan kedua pasukan akan bertemu sekali lagi, pada 14 Mac ini.

Foto Kredit: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Sevilla-Manchester United buntu tanpa jaringan

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANYOL, 22 FEB: Ketangkasan penjaga gol, David De Gea menyelamatkan maruah Manchester United apabila berjaya mengikat Sevilla tanpa jaringan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Sevilla terlebih dahulu melakukan percubaan menerusi rembatan Jesus Navas tetapi tidak menepati sasaran.

Peluang terbaik United hadir menerusi Romelu Lukaku, malangnya penyerang Belgium itu merembat tinggi.

Bersambung babak kedua, De Gea berjaya melakukan beberapa aksi mengagumkam untuk menafikan peluang pasukan tuan rumah yang menguasai 52 peratus perlawanan mencari gol pembukaan.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua pasukan akan bertemu, pada perlawanan kedua di Old Trafford bulan hadapan.

Foto Kredit: SI.com

Categories
SUKANKINI

UCL: Bayern Munich berpesta gol atasi Besiktas 5 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

MUNICH, 21 FEB: Dua gol Thomas Muller dan Robert Lewandowsk memastikan Bayern Munich berpesta jaringan mengatasi Besiktas 5 – 0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Allianz Arena, di sini.

Dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan itu, tuan rumah mengambil kesempatan atas kekurangan skuad dari Turki apabila pemainnya, Domagoj Vida diperintahkan keluar padang akibat kekasaran terhadap Robert Lewandowski.

Skuad Jupp Heynckes memulakan jaringan melalui Thomas Muller pada dua minit terakhir babak pertama berpunca daripada larian dari sebelah kanan pintu gol Besiktas dengan percubaan melepasi penjaga gol, Fabricio.

Memasuki babak kedua, Bayern Munich terus rancak melancarkan serangan mengucar kacirkan pertahanan skuad pelawat dan Kingsley Coman (m53) mencipta jaringan kedua hasil hantaran lintang Lewandowski.

Muller (m66) menambah gol kedua dan ketiga untuk Bayern melalui hantaran Joshua Kimmich, Thomas Muller yang gagal disekat pertahanan Besiktas.

Lewandowski mengambil giliran menjaringkan dua gol pada minit ke79 dan 88 bagi memastikan Bayern mencatat kemenangan selesa di laman sendiri.

Pasukan Jerman itu akan bertandang ke Vodafone Arena, untuk perlawanan kedua menentang skuad Senol Gunes, 15 Mac ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

UCL: Chelsea, Barcelona terikat di Stamford Bridge

OLEH HAFIZAN TAIB

LONDON 21 FEB: Chelsea dan Barcelona terikat 1 – 1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stamford Bridge, di sini.

Dalam perlawanan berlangsung sengit itu menyaksikan kedua pasukan melancarkan gerakan mengasak ke kubu lama masing-masing bagi mencari gol.

Namun kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, Thibaut Courtois dan pelawat, Marc-Andre ter Stegen, memastikan keputusan tidak berubah pada separuh masa pertama.

Pemain Brazil, Willian, mengubah suasana dengan jaringan gol pada minit ke-62 buat skuad Antonio Conte mendahului Barcelona, hasil percubaan dari luar kotak penalti.

Namun kelebihan itu tidak kekal lama apabila barisan serangan skuad Ernesto Valverde menghukum kealpaan pertahahan Chelsea untuk gol penyamaan.

Penyerang Argentina, Lionel Messi (m75) menyempurnakannya selepas menerima hantaran Andres Iniesta selepas bola gagal dikawal kemas Andreas Christensen.

Jaringan Messi itu adalah yang pertama dalam sembilan penampilannya menentang Chelsea dan keempat dalam kejohanan itu.

Kedudukan 1-1 memberi kelebihan buat Barcelona dengan gol di tempat lawan, dengan kedua pasukan akan bertemu semula dalam perlawanan kedua di Nou Camp, 15 Mac ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

UCL: Ronaldo ajar PSG di Bernabeu

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 15 FEB: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo mempamerkan aksi cemerlang dengan menyumbang dua gol bagi membantu Real Madrid bangkit menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 3-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

PSG terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Adrien Rabiot yang berjaya melepaskan rembatan rendah pada minit ke-33 sekaligus menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.

Real Madrid kembali mengatur gerak dan akhirnya berjaya memperoleh sepakan penalti apabila pertahanan PSG menarik Toni Kross pada penghujung babak pertama.

Cristiano Ronaldo tidak berdepan masalah meletakkan bola di jaring bagi gol penyamaan pasukan tuan rumah bagi kedudukan pada babak pertama terikat 1-1.

Masuk babak kedua, PSG lebih banyak menguasai permainan menerusi gandingan Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe tetapi gagal menyudahkan peluang.

Percaturan Zinedine Zidane memasukkan Marco Acensio bagi menggantikan Isco pada minit ke-79 membuahkan hasil apabila pemain muda itu berjaya menjadi tonggak kebangkitan Real Madrid pada 10 minit terakhir permainan.

Ronaldo berjaya menampan bola hantaran lintang Acensio pada minit ke-83 bagi meletakkan kembali Real Madrid di hadapan mendahului 2-1.

Selang tiga minit kemudian, giliran Marcelo menceriakan penyokong tuan rumah menerusi gol ketiga selepas tenang menampan hantaran Acensio untuk menewaskan penjaga gol PSG, Alphonse Areola.

Dengan kelebihan dua gol, Real Madrid akan bertandang ke Perancis 7 Mac ini bagi aksi kedua dalam usaha merekodkan kejuaraan buat kali ke-13.

Foto Kredit: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Liverpool ratah FC Porto 5 gol tanpa bolos

OLEH AFIX REDZUAN

PORTUGAL, 15 FEB: Liverpool tidak berdepan masalah mencipta kelebihan gol di tempat lawan apabila membelasah FC Porto 0-5 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Sadio Mane mencatat hatrik pertama bersama Liverpool dalam saingan eropah sementara Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing menyumbang satu gol.

Mane meletakkan The Reds 0-1 di hadapan seawal minit ke-25 apabila berjaya merembat masuk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol Porto, Jose Sa.

Selang empat minit kemudian, Mohamed Salah menjadikan kedudukan 0-2 apabila berjaya menyambut bola muntah yang singgah ke tiang gol hasil percubaan awal James Milner sebelum tenang memperdaya pertahanan dan menolak masuk bola ke gawang.

Belum sempat Porto mengatur gerakan Mane melebarkan kedudukan kepada 0-3 pada awal babak kedua apabila berjaya merembat bola yang gagal ditampan kemas Jose Sa hasil percubaan Roberto Firmino.

Masuk minit ke-69, Firmino menambah derita pasukan tuan rumah apabila tenang menampan hantaran ke tengah Milner bagi kedudukan 0-4.

Selepas sekian lama menanti, Mane akhirnya berjaya melengkapkan hatrik menerusi rembatan luar kotak penalti bagi memastikan anak buah Jurgen Klopp pulang ke Anfield dengan kelebihan besar 0-5.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu pada aksi kedua di Anfiled pada 7 Mac depan.

Foto Kredit: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Spurs bangkit ikat Juventus 2-2

OLEH AFIX REDZUAN

ITALY, 14 FEB: Tottenham Hotspur bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama untuk mengikat Juventus 2-2 pada aksi peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Juventus turun dengan rekod 22 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Eropah membuka tirai jaringan Gonzalo Higuain seawal minit kedua menerusi rembatan ke sebelah kiri gawang Spurs.

Higuain melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit kesembilan menerusi sepakan penati selepas pemain Spurs, Ben Davies menjatuhkan Federico Bernardeschi.

Harry Kane berjaya merapatkan jurang kepada 2-1 apabila meledak jaringan pada minit ke-35 selepas melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan Gianlugi Buffon.

Menuju waktu rehat, pasukan tuan rumah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti tetapi Higuain gagal meledak hatrik selepas sepakannya terkena palang gol.

Ketika Juventus ghairah untuk menambah jaringan, Christian Eriksen muncul wira Spurs apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 hasil sepakan percuma rendah yang berjaya mengelirukan Buffon.

Spurs yang pulang dengan kelebihan dua gol di gelanggang lawan akan bertemu Juventus di Wembley bagi aksi kedua pada 8 Mac ini.

Foto Kredit: UEFA Champions League