Categories
NASIONAL

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan rasmi Kongres Makanan Warisan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan merasmikan Kongres Makanan Warisan di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA Kampus Shah Alam (UiTM), pada 23 April lalu.

Program julung kali diadakan selama dua hari itu bertemakan “Definisi dan Identiti Makanan Warisan Malayu”, anjuran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Jabatan Warisan Negara.

Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Shah Alam, Profesor Dr Mohd Salehuddin Mohd Zahari berkata, ia bertujuan mewujudkan kesedaran dan keperihatinan terhadap makanan warisan Melayu.

“Semoga perkongsian ilmu dan pandangan dapat menjadi landasan terbaik untuk mewujudkan wacana berhubung makanan warisan kita supaya kelestariannya dapat dikekalkan hingga berzaman.

“Jutaan terima kasih kepada ahli jawatankuasa, pelajar, staf, penaja dan peserta menjayakan kongres Warisan ini,” tulisnya di Facebook.

Categories
NASIONAL

Sisa kimia: UiTM Pasir Gudang henti operasi kampus

SHAH ALAM, 14 MAC: Pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor memutuskan untuk menutup kampus Pasir Gudang dan menangguhkan semua operasi kampus termasuk kuliah selama lima hari bermula semalam susulan insiden pencemaran sisa kimia di daerah itu.

Rektor UiTM Cawangan Johor Prof Madya Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri UiTM Cawangan Johor semalam.

“Semua warga kampus dinasihatkan mengambil langkah keselamatan seperti memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti luar, menghindari kawasan tercemar, kerap minum air daripada sumber terawat dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom seperti pedih mata, kesukaran bernafas dan sakit dada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang di talian 07-3818000 atau Penyelaras Unit Komunikasi Korporat Kampus Pasir Gudang, Siti Mariam Mohammad Illiyas di talian 07-3818134 atau 016-3335364 atau e-mel kepada [email protected].

Kejadian pencemaran sisa toksik yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menyebabkan lebih 900 orang awam dan pelajar sekolah dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta. -BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Khairulnizam & Nurul Alyani dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Atlet perahu layar, Khairulnizam Mohd Afendy dan atlet boling padang wanita, Nurul Alyani Jamil, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2018.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, malam tadi.

Khairulnizam ketika ditemui media berterima kasih kepada UiTM kerana menobatkan dirinya selaku Olahragawan dan komited untuk meneruskan usaha lebih cemerlang, pada tahun depan.

“Terima kasih kepada UiTM, saya akan berusaha meneruskan kecemerlangan ini untuk berjaya sehingga ke persada dunia, sekali gus membawa nama universiti ke peringkat antarabangsa,” katanya yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Sementara itu, Nurul Alyani berkata, beliau tidak menduga kemenangan itu berpihak kepada dirinya memandangkan sukan terbabit kurang mendapat perhatian, terutama di negara ini.

“Saya berpuas hati dengan anugerah ini dan berharap sukan boling padang mampu membuka mata rakyat Malaysia bahawa ia adalah sukan bertaraf dunia.

“Kemenangan ini sekali gus mendorong saya untuk mencapai matlamat berjaya dalam Sea Games akan datag, selain Kejohanan Asia Pasifik yang akan diadakan di Gold Coast pada Jun nanti,” katanya yang juga penuntut Diploma Sains Sukan.

Terdahulu, Khairulnizam pernah muncul sebagai tiga pelayar terbaik Asia dalam acara Laser Standard lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016 dan layak untuk temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Manakala, Nurul Alyani mencipta kejutan apabila menewaskan pemain terkemuka Scotland, Dee Hoogan untuk mara ke final Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia 2018 di Sydney, Australia, pada 3 November lalu.

Kedua-dua pemenang masing-masing berusia 26 tahun itu berjaya membawa pulang sijil, trofi, televisyen dan hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Konsisten pastikan prestasi akademik dan sukan atlet seimbang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sentiasa konsisten dalam memastikan prestasi dan pencapaian atletnya melalui akademik serta pembangunan sukan tercapai.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, program pembangunan disediakan bukan sekadar fizikal semata-mata, namun ia turut membentuk ‘Thinking Athlete’ supaya mereka bijak mengurus diri.

Katanya, atlet universiti kebiasaannya bijak mengurus diri secara profesional, pada sebelum, semasa dan selepas pertandingan.

“Atlet yang bijak biasanya lebih tenang mengawal emosi dan cekap merancang strategi ketika menghadapi lawan dalam pertandingan.

“Selain itu, mereka juga tahu merancang gaya hidup bersesuaian dengan peranan sebagai pelajar dan atlet terutama apabila perlu menghadiri ke kelas, latihan sukan dan pertandingan.

“Pembahagian masa perlu dibuat dengan penuh disiplin supaya atlet pelajar ini boleh berjaya dalam kedua-dua lapangan akademik dan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan UiTM 2018, di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau percaya keupayaan pensyarah UiTM yang dilihat lebih fleksibel menangani situasi pelajar, sekali gus mendorong kepada kejayaan atlet universiti terbabit dalam persada sukan negara.

Beliau juga optimis UiTM akan sentiasa meneruskan momentum pencapaian cemerlang dalam persada sukan negara.

“Melalui jadual latihan dan pertandingan ketat, mustahil untuk seseorang atlet memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang akademik seperti pelajar sepenuh masa lain.

“Namun, dengan sistem pembelajaran fleksibel, sudah pasti ia mampu memberikan ruang kepada atlet untuk membahagikan masa sebaiknya,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM siasat dakwaan data peribadi pelajar bocor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi dalam talian membabitkan lebih sejuta pelajar dan alumni antara 2000 hingga 2018.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang salah laku dalam kakitangan UiTM.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia didapati berlaku di peringkat dalaman universiti.

“Tangkapan layar dipaparkan dalam sebuah laman portal hari ini menunjukkan format maklumat yang tidak diguna pakai atau dijana dari mana-mana sistem dalaman UiTM.

“Ini menunjukkan bahawa maklumat terbabit sudah diolah dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, seterusnya mengesahkan maklumat ini bukan dijana ekoran penggodaman sistem UiTM.

“UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook UiTM.

Terdahulu, beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap laporan portal Lowyat.net berhubung sejumlah 1,164,540 rekod data mahasiswa berdaftar dengan UiTM daripada pelbagai kursus antara 2000 dan 2018 dibocorkan dalam talian.

Portal berita teknologi itu melaporkan, pencerobohan data yang berlaku antara Februari dan Mac tahun lalu membabitkan pelajar dari kampus utama, iaitu di Shah Alam serta 13 lagi kampus seluruh negara.

Turut terjejas pelajar yang sudah berdaftar untuk kursus UiTM bertauliah di kolej luar seperti Kolej INPENS, Kolej Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej UNITI, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi dan Institut Teknologi Perak.

Laporan yang memetik sumber itu turut mendedahkan, data bocor termasuk nombor pengenalan pelajar, nama pelajar, nombor MyKad, alamat, alamat emel, kod kampus, nama kampus, kod program dan nombor telefon bimbit.

Dr Hassan berkata, pihaknya memandang serius keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi universiti memandangkan terdapat dasar keselamatan ICT yang merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia rasmi.

“Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad, pada 14 Januari 2019,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

ADIO18 medan tonjol hasil karya seni

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 JAN: Pameran Art, Design, Innovation and Opus (ADIO18) anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, menjadi medium tepat kepada mahasiswa untuk mengekpresi dan menonjolkan hasil karya masing-masing.

Berlangsung di Hab Media Kreatif dan Teknologi, di sini, ADIO18 turut menampilkan ilham daripada 37 penuntut tahun akhir dalam empat bidang pengkhususan iaitu Sejarah Seni & Pengurusan Budaya (AD701), Teknologi Seni Halus (AD702), Komunikasi Visual & Media Baharu (AD703) serta Rekaan Teknologi (AD704).

Timbalan Dekan FSSR, Dr Rusmadiah Anwar berkata, pameran bertemakan ‘Interactivity Design Humanity IR4.0’ itu dilihat penting dalam melahirkan mahasiswa yang berteraskan kehendak dan memenuhi keperluan industri kreatif, pada masa kini.

“Dengan adanya pameran ini, ia akan membolehkan orang ramai menghayati hasil karya seni generasi muda, sekali gus memberi banyak manfaat kepada pelajar, di fakulti ini.

“Ia juga sebagai persediaan menempuh era revolusi industri 4.0 yang semakin meluas dan mencabar yang memerlukan mahasiswa berkreativiti tinggi, dalam bidang ini,” katanya ketika berucap merasmikan ADIO18, hari ini.

Terdahulu, forum berkenaan turut menampilkan barisan panelis terkenal dan berpengalaman iaitu Pensyarah Rekaan dan Inovasi Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abdul Rahman; Pop Artis Malaysia, Haron Mokhtar serta Pengarah VFX, Art Tech.

Hadir sama, Ketua Program Siswazah UiTM, Dr Mumtaz Mokhtar; Koordinator Kerja Kursus, Dr Mohamed Razeef Abdul Razak termasuk beberapa pensyarah.

Sementara itu, Presiden ADIO18, Syafidatul Najihah Suhaimi berkata, program itu diharapkan dapat mempromosikan secara lebih meluas peranan seni reka selari dengan fungsi teknologi yang ada.

“Ini juga permulaan bagi kami untuk terus maju ke hadapan dalam meneroka bidang kreatif dengan menampilkan hasil karya berkualiti,” katanya.

Categories
SELANGOR

Mahasiswa UiTM jaya khidmat masyarakat bersama kanak-kanak Syria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 26 DIS: Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melalui Pusat Ko Kurikulum menjalankan program khidmat masyarakat bersama lebih 40 kanak-kanak Syria, di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Program kemasyarakatan ‘A Day With Syrian Kids’ yang mendapat kerjasama badan kemanusiaan Suspended Meal itu dianjurkan sempena Hari Kesukarelawan Dunia 2018.

Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab berkata, program terbabit bertujuan mendekatkan belia, khususnya mahasiswa dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran bahawa inisatif membantu masyarakat tidak seharusnya tertumpu kepada komuniti setempat sahaja.

“Dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, ia harus melangkaui semua kaum, bangsa dan tumpuan tidak hanya kepada golongan penduduk tempatan sahaja.

“Kami melaksanakan tanggungjawab sosial ini tidak hanya tertakluk kepada rakyat di negara ini sahaja, sebaliknya melangkaui pelbagai komuniti memerlukan termasuk anak Syria ini yang disifatkan sebagai asnaf,” katanya.

Shafezah yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM berkata, program itu memberi pendidikan dan peralatan muzik, penyediaan makanan serta sumbangan kewangan untuk pembangunan sekolah.

Katanya, ia diusahakan sukarelawan terdiri daripada pelajar ko kurikulum Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Fakulti Muzik dan Fakulti Sukan & Rekreasi, selain turut mendapat sumbangan juga tajaan orang ramai.

Categories
SELANGOR

1T1K 3.0 rapat jurang digital komuniti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 NOV: Bagi mendedahkan ilmu perniagaan terkini membabitkan elektronik dagang, seramai 80 mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, menjayakan program ‘1 Telecenter 1 Komuniti (1T1K 3.0)’, bersama komuniti Seksyen 24, di sini, semalam.

Memasuki siri ketiga penganjuran, program berbentuk khidmat masyarakat itu diperhebat menerusi kerjasama Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (ICAN) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Timbalan Dekan HEP FSKM, Dr Shaharudin Cik Soh berkata, program kesinambungan daripada 1T1K 2.0 itu sebagai inisiatif membantu menambah pendapatan penduduk, khususnya komuniti Seksyen 24, untuk memperkenal produk mereka kepada masyarakat luar dengan rangkaian elektronik dagang.

Katanya, pelaksanaannya turut membuka ruang dan peluang terbaik menerusi penyediaan platform ideal sebagai latihan praktikal, sekali gus merapatkan jurang digital penduduk yang kurang pendedahan dalam aspek berkenaan.

“Pelajar adalah satu komuniti yang datang daripada masyarakat berbilang kaum, berbeza latar belakang dan etnik, jadi penerapan nilai positif dalam diri mereka diperlukan untuk disumbangkan kepada masyarakat lain.

“Program yang amat bermanfaat ini memang perlu dibuat pada setiap semester kerana kita mahu memberi peluang kepada pelajar baharu mendapat pengalaman seperti ini, selain mengeratkan silaturahim juga membawa nama baik UiTM di mata masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Pensyarah FSKM, Prof Dr Haryani Haron; Penasihat Program, Azhar Abd Aziz dan Nazir Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Badaruddin Dawam.

Difahamkan, program yang turut disertai seramai 13 komuniti itu lebih tertumpu kepada sesi ‘mini workshop’ berkaitan penggunaan Internet, Emel dan E-dagang

Sementara itu, Ketua Program 1T1K 3.0, Nur Iqmal Kamarudin berkata, pihaknya menampilkan sedikit kelainan berbanding penganjuran sebelum ini yang hanya memberikan kemudahan infrastruktur seperti komputer.

“Tetapi untuk kali ini, kami lebih memberikan mereka maklumat mengenai penggunaan komputer iaitu dengan mengajar menggunakan emel, internet, dan paling penting menggunakan e-dagang dalam talian.

“Modul yang diajar kepada mereka juga senang difahami, malahan mereka dapat melaksanakan tugas yang diberi seperti membuat email sendiri dan menggunakan e-dagang dalam talian,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

FKPM UiTM anjur Kolokium Media dan Negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 NOV: Kira-kira 50 siswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) jurusan kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, bakal menganjurkan kolokium bertajuk ‘Media dan Negara: Komunikasi, Kuasa dan Konflik’, di kampus itu, pada 17 November ini.

Ahli Jawatankuasa Program, Ahirin Ahirudin berkata, program itu bertujuan menarik minat pelajar tahun akhir untuk mengupas dan membincangkan cabaran media, pada masa hadapan.

Katanya, ia pada masa sama turut mengkomersialkan projek yang berjaya dihasilkan selama tempoh setahun.

“Kami mahu menambah baik dan memperkasakan hasil dapatan akademik projek tahun akhir pelajar Ijazah Sarjana Muda, di fakulti ini.

“Melalui usaha ini, pelajar dapat menambah pengetahuan dan berkongsi ilmu bersama pengamal media serta pensyarah projek tahun akhir mereka, terutama dalam aspek cabaran industri ini selain mendapat penilaian potensi pengkomersialan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kolokium itu turut memberi manfaat kepada pelajar fakulti, kampus dan UiTM secara keseluruhan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Paradoxx Festival 2.0 UiTM kutip dana RM7,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 OKT: ‘Paradoxx Festival 2.0’ anjuran pelajar semester lima jurusan Pengurusan Acara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berjaya mengumpul RM7,000 bagi melaksanakan projek tahun akhir.

Program yang lebih dikenali sebagai P-Fest 2.0 itu berlangsung di Padang Kawad kampus berkenaan, pada 11 hingga 12 Oktober lalu.

Unit Perhubungan Awam P-Fest 2.0, Muhd Nabil Ashraf Suhaimi berkata, ia adalah kesinambungan daripada penganjuran P-Fest 1.0, pada penghujung April lalu.

“Inisiatif pelaksanaan program berbentuk ‘fundraising’ ini bertujuan memenuhi sukatan pembelajaran bagi keperluan kerja kursus, selain mengumpul dana menjayakan projek tahun akhir yang akan dijalankan hujung tahun ini.

“Sememangnya kami mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada pelajar, justeru program selama dua hari ini dirancang khas buat semua pelajar serta warga UiTM Puncak Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, P-Fest 2.0 dibarisi 11 ahli kumpulan ‘Paradoxx Ventures’.

Mengulas lanjut, katanya, lebih 50 peniaga mengambil bahagian dalam menjayakan program yang bermula seawal jam 5 petang hingga 11 malam itu.

Muhd Nabil berkata, sebanyak 38 kiosk dipamerkan khusus buat pengunjung untuk memberi galakan dan sokongan terhadap komitmen ‘Paradoxx Ventures’ itu.

“Walaupun dilanda hujan lebat pada hari pertama festival, namun pengurusan majlis tetap berusaha keras menjayakannya dan turut memastikan keselamatan peniaga serta pengunjung.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung, mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran program kami dan ia sudah tentu membantu kami membuat persiapan tugasan akhir nanti,” katanya.

P-Fest 2.0 turut digamatkan dengan pertandingan nyanyian daripada peserta UiTM Puncak Alam dan UiTM Shah Alam selain menyaksikan pembentangan teaser teater bertajuk ‘Bisikan’ daripada Fakulti Filem Teater dan Animasi (FITA).

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MB rasmi UISF2018 disertai 27 IPT antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 OGOS: Penganjuran Fiesta Sukan Antarabangsa UiTM Ke-13 (UISF2018) anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 27 buah institusi pengajian tinggi daripada lapan negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain mengeratkan hubungan antara IPT terbabit, acara melibatkan 850 kontinjen itu turut menjadi medan untuk para atlit menguji prestasi masing-masing dalam acara disertai.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada UiTM kerana menganjurkan fiesta sukan dan mempromosi Shah Alam kepada rakan luar negara kita.

“Saya yakin sukan ini dijalankan dengan penuh semangat kesukanan dan membina semangat sebenar sukan universiti,” katanya ketika merasmikan Fiesta Sukan Antarabangsa UiTM Ke-13 (UISF2018) di Stadium Mini Hoki UiTM di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, selain UiTM,11 IPT daripada Indonesia, tiga Filipina, dua Brunei, tujuh Sri Lanka, Singapura, Pakistan dan Nepal masing-masing diwakili sebuah IPT mengambil bahagian dalam temasya sukan yang berlangsung pada 1 hingga 5 Ogos itu.

Acara sukan dipertandingkan adalah ragbi tujuh sebelah, futsal, bola jaring, badminton, tennis, ping pong dan hoki sembilan sebelah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tingkat kerjasama negeri, MBSA dan UiTM anjur acara antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam penganjuran pelbagai acara antarabangsa mampu memberi manfaat kepada ketiga-tiga pihak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerjasama seumpama ini boleh diwujudkan dengan menjadikan Selangor sebagai tuan rumah acara yang bakal dijalankan.

“Saya ingin mengambil peluang mencadangkan kepada UiTM untuk menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan MBSA menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa seperti persidangan, seminar dan sudah tentu pertandingan sukan pada masa akan datang di Shah Alam dan tempat lain di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fiesta Sukan Antarabangsa UiTM Ke-13 (UISF2018) di Stadium Mini Hoki UiTM di sini, malam tadi.

Katanya, selain meningkat hubungan dengan pelbagai agensi negara luar, acara seperti ini membantu menaikkan nama Selangor, MBSA dan UiTM sendiri di mata dunia.

Ketika berucap di hadapan 850 kontinjen, Amirudin turut mengambil kesempatan untuk mempelawa para atlit melawat beberapa tempat menarik sekitar bandaraya Shah Alam seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muzium Selangor, Taman Tasik Shah Alam, Taman Tema seperti i-City dan Sunway Lagoon.