Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

UiTM bakal perkenal e-sukan sebagai modul kokurikulum

SHAH ALAM, 29 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal perkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara modul kokurikulumnya pada sesi pengajian semester akan datang.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah itu adalah seiring dengan perkembangan industri e-sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kita sedia maklum, industri e-sukan sedang berkembang pesat terutamanya dalam kalangan generasi muda sekarang dan UiTM turut tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri itu seiring dengan perubahan landskap pendidikan masa kini.

“Modul baharu ini akan meningkatkan minat pelajar untuk menyertai bidang e-sukan serta ia boleh dijadikan satu ruang kerjaya baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan Kitamen Resources Sdn Bhd (Kitamen) di Bangunan Canselori UiTM, semalam.

Mohd Azraai mewakili UiTM manakala Kitamen diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hassan menandatangani MoU untuk membangunkan hab e-sukan di universiti berkenaan yang bertumpu kepada ‘Healthy Gaming’.

Menurut beliau, pengenalan modul baharu itu juga secara tidak langsung akan mendedahkan pelajar kepada bidang teknologi digital yang berkaitan dengan sukan, menerusi pendidikan dan penyelidikan.

Mohd Azraai berkata industri e-sukan turut dilihat sebagai platform terbaik yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti tersebut.

“Kerjasama ini juga dapat membantu UiTM untuk membangunkan modul mengikut standard e-sukan yang ditetapkan.

“Kitamen adalah platform terbaik kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang digital dan teknologi media, pembangunan aplikasi dan permainan e-sukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM sasar RM15 juta hasil bida nombor daftar khas kenderaan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan kutipan berjumlah RM15 juta daripada hasil bidaan nombor pendaftaran khas kenderaan siri ‘UITM’ yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata hasil kutipan itu akan disalurkan kepada Tabung Endowmen UiTM bagi membiayai pengajian pelajar yang berkaitan serta aktiviti pengajaran dan penyelidikan universiti.

Beliau berkata selain itu hasil kutipan juga akan menjadi sumber pendapatan tambahan kepada UiTM untuk memastikan kelangsungan dan pembangunan institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Universiti awam di Malaysia digalakkan untuk mengumpul dana tambahan sebagai sumber pendapatan bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembangunan infrastruktur masing-masing.

“Kita juga mempunyai rangkaian alumni yang besar melebihi 700,000 orang. Jadi, sudah tentu nombor pendaftaran khas kenderaan ini akan mendapat sambutan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Bidaan Dalam Talian ‘UiTMBida’ di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Hafiz Shamsani Othman.

Platform dalam talian ‘UiTMBida’ diwujudkan bagi memastikan proses bidaan dan transaksi penjualan serta pembelian nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut selamat kepada pembida.

Proses bidaan dan penjualan nombor pendaftaran khas ‘UITM’ yang bermula dengan angka 10 hingga 9999 itu akan berlangsung selama tiga tahun mulai hari ini di laman web https://uitmbida.uitm.edu.my/.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata pihaknya mendapat kelulusan JPJ untuk menjual nombor pendaftaran khas kenderaan siri ‘UITM’ pada Disember 2019 seperti yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri dua tahun lepas.

“UiTM tidak ketinggalan mengambil inisiatif ini sebagai antara usaha untuk mengurangkan kebergantungan pendapatan universiti kepada geran kerajaan.

“Setakat ini, kita sudah ada RM72 juta dalam Tabung Endowmen UiTM. Dengan tambahan RM15 juta melalui penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu, kita harap lebih ramai pelajar akan mendapat manfaatnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pada usia 83 tahun

SHAH ALAM, 16 OGOS: Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pagi tadi pada usia 83 tahun akibat sakit tua, di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang dekat sini.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.

Allahyarham dilantik sebagai Pro-Canselor UiTM pada 15 Dis 2002 dan meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Noor Hayati Mohamed.

Selain Abdul Rahman, lima lagi Pro-Canselor universiti itu ialah Tun Ahmadshah Abdullah, Tan Sri Dr Arshad Ayub, Tan Sri Dr Sallehuddin Mohamed, Tan Sri Safri Awang Zaidell dan Tan Sri Zarinah Anwar.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad, Pro-Canselor UiTM telah kembali ke rahmatullah pada 16 Ogos 2020.

“Seluruh warga UiTM merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Idaman Tea, inovasi si cilik Malaysia rangkul pingat emas antarabangsa

Oleh Oleh Muhammad Zulhaziq Ismail

PELABUHAN KLANG, 25 JUN: Mencipta suatu produk inovasi  bukannya mudah, kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak dan daya kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, produk berkenaan berkaitan kesihatan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menggunakan 100 peratus sumber asli tempatan.

Namun, cabaran inilah berjaya direalisasikan tiga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, bersama-sama tiga orang guru pembimbing yang menghasilkan Idaman Tea, iaitu inovasi produk minuman berasaskan serbuk daun pucuk jambu batu dan daun pudina dalam uncang serat daun nanas.

Menariknya, uncang teh daripada serat nanas ini boleh diguna berulang kali sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Lebih manis, inovasi hasil idea kreatif bakal ahli sains muda ini berjaya merangkul pingat emas bagi kategori sekolah dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020), yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2020 lalu di Thailand.

Pelajar berkenaan ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya dibimbing oleh guru mereka iaitu Danial Heryanto Zainal Abidin, 42, selaku ketua pasukan, Mohd Norhizal Ramlee, 40 dan Shahrizal Mohd Azain, 37.

Apa yang membanggakan, mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi anugerah khas iaitu I New Gen Award IPITEx 2020 pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu.

Malaysia diwakili 300 pasukan ke IPITEx 2020 yang menghimpunan lebih 2,000 pasukan pelbagai peringkat sekolah seluruh dunia, antaranya dari Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Kanada, Filipina, China, Arab Saudi dan United Kingdom.

Ini merupakan penyertaan kali kedua sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas turut memenangi pingat emas pada pertandingan Indonesia International Young Inventor Award (IYIA) 2019.

Komersialkan Idaman Tea

Menurut Danial Heryanto, kini pihak sekolah sedang dalam proses mendaftarkan Idaman Tea dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan cap dagangan logo produk dalam masa terdekat bagi melindungi idea asal produk ini.

“Harapan kami agar produk ini (Idaman Tea) dapat dipasarkan dan dikomersialkan tahun ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah ketika ini guru sekolah berkenaan yang mengusahakan produk berkenaan secara tradisional tanpa penggunaan mesin termasuk dalam aspek pembungkusan.

Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di MAEPS, Serdang, Selangor banyak membantu dari segi idea pemasaran Idaman Tea, kata Danial Heryanto.

Khasiat Idaman Tea antara lain mengandungi agen antioksida likopena mengandungi Vitamin C, dapat melegakan cirit-birit, mengurangkan kolesterol, dapat mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser prostat, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal pengaliran darah ke otak.

Cetusan Idea

Mengimbau bagaimana serbuk teh herba Idaman Tea itu berjaya dihasilkan, Danial Heryanto berkata idea asal dicetuskan oleh guru Mohd Norhizal yang mencadangkan kepada pasukan berkenaan agar ‘mendalami’ petua perubatan orang tua-tua dahulu yang menggunakan sumber alam sekeliling untuk mengubati penyakit.

Melihatkan idea itu berpotensi untuk dikaji memandangkan generasi muda kini lebih gemar menggunakan produk berasaskan herba dan sumber alam semulajadi, beliau dan pasukannya menggembleng usaha melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan ke atas dedaun herba yang boleh diinovasikan untuk merawat penyakit.

“Kita perlu melakukan pelbagai proses bagi melihat keserasian gabungan dedaun herba terdiri daripada pucuk daun batu dan daun pudina yang dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari,” katanya.

Menurut Danial Heryanto, pada mulanya, hanya daun pucuk jambu digunakan untuk produk minuman herba, tapi ia didapati tidak cukup untuk mencapai tahap inovasi yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pasukan kami terus membuat penyelidikan dan akhirnya mendapat gabungan serasi iaitu memasukkan khasiat daun pudina selain menggunakan serat daun nanas sebagai uncang teh untuk mengubati penyakit cirit-birit,” katanya menambah mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan produk berkenaan.

Kerjasama Mardi, Uitm & LPNM

Sementara itu, Mohd Norhizal berkata penjanaan idea inovasi minuman herba itu dimulakan sejak Februari 2019 dan tiga pelajar dalam pasukan berkenaan banyak dilibatkan dengan proses tersebut supaya mereka belajar serta faham kaedah untuk menyumbangkan buah fikiran bagi sesuatu projek.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan UiTM dan beberapa agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi merealisasikan idea inovasi kami itu kepada produk sebenar,” katanya.

Menurut beliau, MARDI membantu dari segi melakukan ujian pada kandungan produk, sementara UiTM melalui Fakulti Kejuruteraan Awam cawangan Shah Alam banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam ujian menentukan nisbah minuman dan penyediaan makmal kepada pasukannya.

“LPNM pula memberi bantuan bekalan daun nanas dan khidmat nasihat mengenai serat nanas,” kata Danial Heryanto sambil menambah Idaman Tea tidak mengandungi campuran bahan kimia malah kandungannya 95 peratus daun pucuk jambu batu dan lima peratus daun pudina.

Pelajar Aktif Jana Idea

Menceritakan kegigihan pelajarnya dalam menjayakan projek berkenaan, Mohd Norhizal berkata beliau berasa bangga apabila melihat anak muridnya yang berumur 11 tahun mampu mengembangkan idea inovasi secara kreatif berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.

“Ada dalam kalangan pelajar melontarkan idea serta cadangan untuk menggabungkan daun pandan bersama pucuk daun jambu batu bagi menghasilkan teh herba dan ada juga mengambil daun jagung atau tebu dijadikan kotak,” katanya.

Beliau berkata, selain menjana idea, pelajar berkenaan juga perlu mempersembahkan hasil kerja mereka dari awal proses pembuatan sehingga produk akhir dengan tunjuk ajar guru pembimbing. Masing-masing ada kebolehan tersendiri dan cepat memahami serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain aktif dalam penjanaan idea, Mohd Norhizal berkata pelajarnya iaitu Mohd Khairy Faris, Nidal Eiman dan Muhammad Aqil turut didedahkan dengan penggunaan pelbagai peralatan makmal di UiTM.

Pada masa sama, Shahrizal turut memuji kebolehan tiga pelajarnya dalam mempersembahkan produk berkenaan kepada juri dan tetamu pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu walaupun mereka baru pertama kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Biarpun ketiga-tiga pelajar itu dipilih menyertai pasukan berkenaan menerusi satu uji bakat di sekolah, namun keyakinan mereka memperkenalkan produk inovasi itu dalam bahasa Inggeris menunjukkan mereka mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang reka cipta dan sains,” katanya.

Sementara itu, bagi Nidal Eiman yang mewakili dua rakannya, berkata pengalaman dapat mewakili sekolahnya ke peringkat antarabangsa amat membanggakan diri mereka kerana ia peluang keemasan yang tidak semua pelajar peroleh.

Menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman dalam merealisasikan inovasi serbuk teh itu, Nidal Eiman berkata disebabkan produk inovasi itu harus mencapai standard tinggi pertandingan, pelbagai kajian dilakukan bersama guru dan proses itulah banyak mendedahkan mereka dalam bidang sains serta reka cipta.

Menurutnya, pengalaman melihat dan mencuba sendiri peralatan makmal yang canggih untuk menguji produk inovasi minuman mereka di agensi kerajaan yang terlibat akan sentiasa tersemat dalam sanubari dan dijadikan pembakar semangat untuk terus meneroka bidang inovasi pada masa depan.

“Apa pun, saya memang tak jangka pasukan kami mampu meraih pingat emas kerana pertandingan itu turut disertai pelajar sekolah menengah dan sekolah elit dari pelbagai negara yang mengetengahkan produk inovasi yang jauh lebih hebat,” katanya mengakhiri perbualan sambil berharap Idaman Tea dapat dikomersialkan.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ-UiTM kerjasama jahit sut khas bantu petugas hadapan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 131 pakaian perlindungan diri (PPE) fasa pertama dihasilkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 8 April lalu.

Datuk-Bandar MBPJ Dato’ Mohd Sayuthi Bakar melihat proses jahitan PPE untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan. Foto Facebook MBPJ

MBPJ dalam kenyataan di Facebook memaklumkan PPE tersebut diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang bagi membantu mengurangkan risiko petugas barisan hadapan yang merawat kes Covid-19.

“Usaha murni ini diteruskan lagi untuk fasa kedua bermula 14 April lalu untuk disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh.

“Buat masa ini proses menjahit sedang giat dilaksanakan oleh 10 peserta di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dari Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar MBPJ di Lembah Subang 1 dan Flat PKNS Taman Dato Harun,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan peserta yang terlibat dalam proses tersebut diberi upah RM5 bagi sehelai pakaian yang dijahit.

Pada masa sama, kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ turut menghasilkan kira-kira 1,000 unit pelindung muka untuk diserahkan kepada agensi terlibat menangani Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar UiTM positif Covid-19

SHAH ALAM, 22 MAC: Seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) disahkan positif Covid-19 selepas dijangkiti melalui bapanya pada Jumaat lalu.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata pelajar pengajian jarak jauh tersebut dirawat di Hospital Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.

“Bapanya mendapat jangkitan daripada saudaranya yang menyertai perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari lalu.

“Pelajar berkenaan pula menghadiri kuliah pada 15 Mac dan apabila mendapati dirinya disahkan positif Covid-19, dia maklumkan kepada pensyarah,” katanya.

Susulan itu, Dr Mohd Azraai berkata pihaknya melalui Pusat Gerakan Covid-19 dan Pusat Kesihatan UiTM memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kami sudah mengenal pasti kontak rapat mangsa dan mereka sudah menjalankan saringan di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

“UiTM juga sudah melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di kelas dan kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Istiadat konvokesyen UiTM di seluruh negara ditangguhkan

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 12 MAC: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 yang dijadualkan 24 Mac ini hingga April depan di semua kampus seluruh negara ditangguhkan berikutan wabak Covid-19.

Naib Canselornya Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataan hari ini berkata keputusan berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu bagi menjamin keselamatan warga UiTM serta orang awam.

“Mengambil kira nasihat KKM yang dikeluarkan semalam, Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM pada hari ini memutuskan ia ditangguhkan kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Majlis konvokesyen dijadualkan bermula 24 Mac ini di UiTM Shah Alam dan berakhir pada 16 April di UiTM Seri Iskandar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga teras UiTM sasar universiti terkemuka dunia 2025

SHAH ALAM, 7 FEB: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan pelan strategik bergelar institusi pengajian tinggi terkemuka dunia menjelang 2025.

Pelan yang dilancarkan di sini, semalam menggariskan tiga teras utama iaitu pendidikan berkualiti, kecemerlangan global dan prestasi berasaskan nilai, lapor Sinar Harian.

Naib canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata bagi mencapai pendidikan berkualiti, warga universiti perlu mendukung tema utama iaitu Pendidikan 5.0 UiTM, graduan holistik dan berteraskan keusahawanan serta aksesibiliti lebih meluas.

“Bagi teras kecemerlangan global, warga (universiti) perlu komited menjalankan penyelidikan transnasional, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan serta kerjasama pintar dengan industri, komuniti dan alumni.

“Teras ketiga pula prestasi berasaskan nilai warga UiTM yang perlu mencapai kecemerlangan bakat, tadbir urus tangkas, kampus pintar dan kewangan lestari,” kata Dr Mohd Azraai.

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM: Siasatan dalaman isu pelajar terbabit bahas kontroversi

SHAH ALAM, 16 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh susulan dua penuntutnya dikaitkan dengan debat kontroversi di sebuah sekolah.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata, Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 itu mencetuskan kemarahan beberapa pihak ekoran tajuk diberikan menghina Islam dan tidak sensitif kepada hukum agama.

Katanya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UiTM memandang serius terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat di Malaysia.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga yang cuba untuk mengganggu atau memperlekehkan perkara itu.

“Pihak pengurusan akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh, jika didapati pelajar itu melakukan kesalahan bertentangan dengan mana-mana undang-undang UiTM dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam dilaporkan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak yang berlangsung di Sekolah Dato’ Abdul Razak Negeri Sembilan menjadi kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk debat dipercayai memesongkan akidah umat Islam sehingga tular di media sosial.

Dr Mohd Azraai berkata, kedua-dua pelajar berkenaan juga tidak memaklumkan kepada universiti berhubung pembabitan mereka sebagai ketua juri dan panel pemilih usul.

Katanya, pihak penganjur pertandingan menghubungi kedua-dua individu berkenaan untuk menjadi ketua juri bagi pertandingan berkenaan secara terus.

“Oleh yang demikian penyertaan mereka dalam pertandingan debat itu berlaku tanpa pengetahuan pihak UiTM,” katanya.

Sementara itu siasatan Kementerian Pendidikan mendapati Prosedur Operasi Standard dalam pemilihan usul debat berkenaan tidak dipatuhi.

Categories
AGENSI SELANGOR

UiTM-ITB jayakan Pameran seni Dua Nusa Merombak Batas

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pameran seni Dua Nusa Merombak Batas bermula 17 Ogos ini bakal menampilkan himpunan karya pensyarah seni halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Malaysia dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

Menggabungkan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Kelantan serta Fakulti Seni Rupa Desain ITB, antara karya yang akan dipamerkan adalah catan, arca, logam halus (barang kemas), fesyen serta seramik.

UiTM dalam kenyataan berkata, program itu bertujuan menjadikan sistem pendidikan berevolusi di universiti terbabit dengan kerjasama antara universiti tersohor di Indonesia melalui perbincangan penanda aras Galeri Seni FSSR bersama Dr.Kiki Rizky Soetisna Putri, M.Sn.

“Pameran ini akan diselitkan dengan program Sesi Bual Bicara Santai Seni dan Bengkel Seni yang akan berlangsung di Rumah Seni Selangor (RUsSEL).

“Selain itu, ia adalah salah satu inisiatif memperkenalkan UiTM Cawangan Kelantan ke persada global, di samping dapat mengumpul pelbagai bahan ilmiah dari negara luar yang boleh dijadikan inspirasi dalam penghasilan karya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesta Sukan Antarabangsa mampu lonjak nama UiTM

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pesta Sukan Antarabangsa (ISF) kali ke-14 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Julai sehingga 4 Ogos ini dijangka dapat melonjakkan nama universiti berkenaan di persada antarabangsa.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, dalam penganjuran pada tahun ini kejohanan sukan berkenaan disertai seramai 850 atlet dan pegawai dari 26 universiti tempatan dan luar negara.

“Penganjuran yang bermula pada tahun 2006 ini telah memberi banyak peluang kepada semua universiti untuk menjalinkan kerjasama dengan UiTM bukan hanya dalam bidang sukan bahkan juga dalam bidang akademik.

“Saya juga berharap dengan penganjuran acara ini turut melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara untuk dilawati dan menjadi tempat untuk menganjurkan program sukan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian UISF di Stadium Hoki UiTM Shah Alam, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Nazip Suratman.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari itu di UiTM Shah Alam menyaksikan penyertaan universiti dari luar negara antaranya dari Indonesia, Singapura, Brunei, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan.

Universiti dari China dan Australia yang menyertai kejohanan itu buat julung kalinya dijangka akan bersaing sengit dalam acara bola keranjang dan tenpin boling.

Antara acara lain yang dipertandingkan di fiesta sukan berkenaan adalah futsal, badminton, tenis, ping pong dan ragbi 7 sebelah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis sahkan rangka dalam tangki air penuntut UiTM

JEMPOL, 3 JULAI: Rangka yang ditemukan dalam tangki air di Felda Palong 12 di sini pada 25 Mac lalu disahkan milik penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang, Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim dalam kenyataan hari ini berkata ia berdasarkan ujian asid deosiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap rangka berkenaan.

“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa. Ujian DNA memerlukan masa berikutan rangka yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna selain dipercayai sudah berada lama dalam tangki air,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada 25 Mac lalu, rangka manusia ditemukan terapung dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di Felda Palong 12 di sini, pada 11.30 pagi.

Muhammad Aiman Hakim merupakan penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Raub yang dilaporkan hilang pada 9 Julai tahun lalu.

-BERNAMA