Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Anwar: MARA dan UiTM tak tergugat bawah PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 16 MEI: Kepentingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terus dipelihara, di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan peruntukan, dalam Perlembagaan Persekutuan.

“MARA dan UiTM tak tergugat. Kita akan angkat martabatnya lebih baik tapi profesor kangkung tak bolehlah.

“Keistimewaan Melayu akan terus dipertahankan,” katanya pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, di sini, hari ini.

Anwar berkata, rakyat tidak boleh meneruskan sikap pemimpin kerajaan terdahulu yang prejudis terhadap parti politik bukan Melayu.

Katanya, sedangkan golongan itu tidak mengambil kisah terhadap pemimpin Melayu merompak khazanah negara berbilion ringgit.

“Apa yang kamu takut sangat dengan DAP? Marah DAP tetapi Melayu yang samun berbilion ringgit, kamu tak marah,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Sultan Muhammad V dimasyhur Tuanku Canselor UiTM ke-5

SHAH ALAM 15 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-5, di sini, hari ini.

Baginda dimasyurkan dalam Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM ke-5 sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-86 di UiTM Shah Alam.

Dalam titah Tuanku Canselor, Sultan Muhammad V menzahirkan kegembiraan dapat bersama warga UiTM ketika universiti itu sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadi institusi pendidikan unggul dan bertaraf dunia.

“Beta yakin UiTM peneraju utama kepada sumber modal insan Bumiputera yang menjadi momentum kepada perubahan taraf sosial dan ekonomi di Malaysia.

“Suka beta ingatkan ketika kita berasa bersyukur dengan kejayaan lampau masyarakat terus menuntut dan berharap UiTM berusaha untuk kekal menjadi institusi utama, dalam menjaga kepentingan golongan Bumiputera,” titah Seri Paduka.

=EZY=

Categories
SELANGOR

UiTM di Selangor cuti esok

SHAH ALAM 13 DIS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengisytiharkan esok (14 Disember) sebagai cuti peristiwa berikutan kemenangan pasukan bola sepak Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Bagaimanapun, cuti peristiwa itu hanya tertakluk kepada kampus cawangan UiTM di Selangor sahaja.

Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar juga mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Selangor kerana berjaya membawa pulang piala diidamkan selama ini.

Piala Malaysia“Tahniah kepada skuad Selangor kerana akhirnya Misi 33 mereka tercapai,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sahol berkata, pengumuman cuti peristiwa itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selain kampus Shah Alam, UITM turut mempunyai kampus di Puncak Alam; Puncak Perdana; Jalan Othman, Petaling Jaya; Selayang; Sungai Buloh dan di Seksyen 17, Shah Alam.

Malam semalam, Selangor berjaya menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam.

Kemenangan itu sekaligus menamatkan penantian selama 10 tahun, selepas kali terakhir Selangor menjuarai Piala Malaysia adalah pada tahun 2005.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Caj selenggara UiTM mengikut konsesi penswastaan dua kali ganda

Oleh: Rafizi Ramli

Saya menyambut baik kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh dua orang pemimpin Barisan Nasional baru-baru ini yang turut sama menyarankan supaya perjanjian konsesi UiTM didedahkan kepada umum untuk meyakinkan rakyat bahawa penswastaan UiTM itu menguntungkan rakyat.

Kenyataan-kenyataan Datuk Paul Low dan Datuk Nur Jazlan Mohamad yang kedua-duanya diberi amanah meningkatkan ketelusan urusan kerajaan membayangkan mereka sendiri bersetuju bahawa kaedah menswastakan kampus-kampus UiTM pada harga yang cukup tinggi ini boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang, seperti yang telah berlaku dengan konsesi penswastaan penjana bebas (IPP) dan lebuhraya misalnya.

uitm-puncak-alam-1Saya mendapat beberapa maklumat yang menimbulkan syak wasangka bahawa perjanjian-perjanjian konsesi penswastaan UiTM ini memberi kelebihan kepada pemegang konsesi yang akan merugikan rakyat seperti berikut:

1. Kelengkapan di beberapa kampus yang telah dibina adalah tidak mencukupi dan tidak dibina mengikut keperluan pengajaran UiTM. Ini menyebabkan UiTM terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk melengkapkan kampus ini bagi membolehkan kampus ini digunakan.
Contohnya, ada dakwaan bahawa beberapa bangunan kampus UiTM cawangan Jasin tidak mempunyai soket elektrik yang secukupnya kerana tidak termasuk di dalam spesifikasi perjanjian konsesi sehingga menyukarkan ia digunakan sepenuhnya oleh tenaga pengajar UiTM;

2. Klausa perjanjian konsesi penswastaan UiTM turut memperuntukan Pembayaran Tetap (atau dipanggil Availability Charges) seperti mana yang pernah menimbulkan kontroversi di dalam perjanjian konsesi penjana bebas (IPP);

3. Bayaran khidmat penyenggaraan (atau maintenance charge) yang dikenakan oleh pemegang konsesi adalah dua kali ganda lebih mahal dari anggaran kos biasa yang sepatutnya ditanggung oleh UiTM.

Saya dimaklumkan bahawa perjanjian konsesi penswastaan UiTM menetapkan bayaran khidmat penyenggaraan sebanyak RM1.05 setiap kaki persegi berbanding anggaran kos biasa yang dinilai/kini dibayar oleh UiTM iaitu di antara 50 sen hingga 60 sen kaki persegi.

Ini bermakna, UiTM terpaksa membayar dua kali ganda lebih mahal bagi khidmat penyenggaraan di bawah penswastaan kepada syarikat pemegang konsesi berbanding dengan kos yang ditanggung sedia ada.

Ini adalah maklumat dalam UiTM yang diberikan kepada saya oleh pengurusan dalam UiTM dan tidak dapat saya sahkan tanpa melihat sendiri perjanjian konsesi penswastaan UiTM. Perkara ini menjadi buah mulut di kalangan tenaga pengajar UiTM dan sering disampaikan kepada saya.

Oleh yang demikian, untuk membuktikan bahawa perkara ini tidak benar dan perjanjian konsesi tidaklah merugikan UiTM seperti yang disebut-sebut oleh Timbalan Perdana Menteri, saya sarankan kabinet mengambil nasihat yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low agar perjanjian konsesi penswastaan UiTM didedahkan kepada umum secepat mungkin.

Keengganan kabinet mendedahkan perjanjian konsesi penswastaan UiTM hanya mengesahkan bahawa dakwaan-dakwaan mengenai kadar bayaran yang dua kali ganda lebih tinggi itu adalah benar belaka.

* RAFIZI RAMLI adalah Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

PKR dedah Timbalan Menteri dapat untung penswastaan UiTM

SHAH ALAM 24 JUN: PKR hari ini mendedahkan seorang lagi individu Umno yang menerima keuntungan daripada penswastaan UiTM.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa seorang timbalan menteri merupakan antara individu yang memperoleh keuntungan dari penyerahan pembinaan kampus UiTM kepada sebuah pemegang konsesi swasta.

umno uitmRafizi mendakwa timbalan menteri itu memegang saham minoriti dalam sebuah syarikat pemegang konsesi, yang didaftarkan di Kuala Lumpur.

Ini merupakan pendedahan kelima yang menjadi sasaran Rafizi, selepas mendedahkan kaitan pemimpin Umno dengan dengan konsesi empat kampus UiTM sebelum ini.

Pendedahannya yang terakhir adalah berhubung kampus UiTM Kota Samarahan, yang akan didedahkannya esok.

Pendedahan skandal penswastaan UiTM itu melalui sistem konsesi yang menguntungkan kroni, dilihat merukan satu masalah yang akan merugikan rakyat khususnya Bumiputera.

Meskipun kos pembinaan 6 kampus UiTM yang telibat di dalam skim ini sekitar RM1.8 bilion, tetapi rakyat menerusi Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar RM8.6 bilion sebagai sewa untuk tempoh 23 tahun.

Categories
NASIONAL

Jangan beban pelajar, Najib perlu kaji konsesi berat sebelah UiTM

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 23 JUN: Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak perlu telus dalam isu pembinaan 10 kampus baru Universiti Teknologi MARA (UITM) seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, berkata pembinaan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) itu akan menyebabkan UITM dan pelajar terbeban dengan kos sewaan itu.

Katanya, melalui jawapan Perdana Menteri di Parlimen, kos sebenar pembinaan UITM Pasir Gudang antara RM280 juta sehingga RM315 juta.

uitm-puncak-alam-1Namun, keputusan Barisan Nasional (BN) akan mengakitbatkan satu projek terikat dengan sewa sekitar RM56 hingga RM69 juta selama 23 tahun.

“Secara tidak langsung, kosnya sekitar empat kali ganda lebih besar dan dikhuatiri membebankan UITM,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Afif berkata, beliau menggesa Najib mengkaji semula konsesi berat sebelah demi kelangsungan UITM.

“Dengan perbelanjaan menggunakan dana awam, kami mahu satu reformasi akademik dan pentadbiran dilakukan. Rasuah dan amalan korup ini tidak membantu warga UITM untuk maju, bahkan menghancurkan masa depan universiti berkenaan,” katanya.

yb-amiruddin-saaricroplg2Sementara itu, ADUN Batu Caves, Amiruddin Shaari, berkata isu terbabit akan berlaku seperti pembinaan institut pengajian di Selangor dan akhirnya pelajar terbeban dengan kos sewaan asrama daripada tindakan terbabit.

“Oleh itu, apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran. Kita tidak mahu pelajar dibebankan,” katanya.

Bekas calon Ahli Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya pula menyifatkan tindakan itu satu pengkhianatan kepada golongan Bumiputera.

“Umno sering kali melaungkan diri mereka sebagai pejuang melayu tetapi hakikatnya hanya sandiwara.

“Kami selaku alumni UITM berasa sedih dan kecewa serta gusar dengan masa depan UITM kerana dengan bentuk penswastaan ini bakal merugikan kerajaan, bahkan kos penyelenggaraan terpaksa ditanggung universiti itu seterusnya kos lebihan pula membabitkan pelajar,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Konsesi UiTM Seremban III kepada syarikat kongsi milik adik Shahrizat Jalil

Oleh: RAFIZI RAMLI

Konsesi penswastaan kampus UiTM yang kedua yang akan didedahkan adalah pembinaan, operasi dan penyenggaraan UiTM Cawangan Seremban III di Negeri Sembilan.

Jawapan Perdana Menteri pada 10 April 2014 menunjukkan bahawa konsesi selama 23 tahun yang dianggarkan mencecah RM1.5 bilion sepanjang tempoh konsesi ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Inovatif Mewah Sdn Bhd.

Semakan menunjukkan bahawa pegangan saham di dalam Inovatif Mewah Sdn Bhd adalah seperti berikut (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang disertakan bersama):

1. Menang Development (M) Sdn Bhd dengan pegangan 51% saham
2. Menang Industries (M) Sdn Bhd dengan pegangan 20% saham
3. Tentu Selesa Sdn Bhd dengan pegangan 29% saham

Menang Development (M) Sdn Bhd dan Menang Industries (M) Sdn Bhd adalah syarikat-syarikat yang dikawal dan/atau dimiliki sepenuhnya oleh Menang Corporation (M) Berhad, iaitu sebuah kumpulan pembangunan hartanah yang dikawal oleh keluarga Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad.

Manakala Tentu Selesa Sdn Bhd pula adalah syarikat yang dikuasai oleh dua tokoh yang rapat dengan Umno. Semakan SSM menunjukkan bahawa pengarah-pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah seperti berikut:

1. Dato’ Shahrir Abdul Jalil
2. Dato’ Aidit Ghazali

Tentu Selesa Sdn Bhd adalah sebuah syarikat dengan saham terbitan hanya RM2 sahaja dan dipegang oleh dua individu iaitu Saharudin Abdullah dan Sumami Kiman. Siasatan saya menunjukkan bahawa Saharudin Abdullah dan Sumami Kiman juga adalah pemegang saham kepada banyak syarikat RM2 yang digunakan di dalam pelbagai urusniaga kontroversi termasuklah cadangan pengambilalihan KFC dan PLUS. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua individu ini menjalankan perniagaan menubuhkan syarikat bermodal RM2 untuk dijual kepada pihak-pihak ketiga yang seterusnya menggunakan syarikat ini bagi tujuan urusniaga yang lain.

Oleh itu, Tentu Selesa Sdn Bhd adalah syarikat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Shahrir Abdul Jalil dan Dato’ Aidit Ghazali.

Semakan lanjut menunjukkan bahawa Dato’ Shahrir Abdul Jalil adalah adik kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno Malaysia. Dato’ Shahrir Abdul Jalil pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai yang kemudiannya digantung selama 3 tahun oleh Lembaga Disiplin Umno pada tahun 2005 kerana didapati bersalah dengan amalan politik wang.

Dato’ Shahri Abdul Jalil adalah pengarah kepada pemegang konsesi Inovatif Mewah Sdn Bhd, selain menjadi pengarah kepada Tentu Selesa Sdn Bhd.

Seorang lagi pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Dato’ Aidit Ghazali, iaitu Timbalan Presiden Jalur Tiga (JATI), sebuah NGO sayap kanan yang ditubuhkan oleh Dato’ Hassan Ali selepas beliau (Hassan Ali) dipecat dari PAS. JATI dilihat begitu kuat mendokong Umno dan banyak menyerang tokoh-tokoh Pakatan Rakyat.

Susun atur pemegang konsesi penswastaan UiTM Cawangan Seremban III menunjukkan bagaimana kroni kapitalisme digunakan di Malaysia untuk mengkayakan ahli-ahli politik yang rapat dengan Umno. Sebuah syarikat bermodal RM2 sahaja diberi pegangan sehingga 29% di dalam satu konsesi bernilai RM1.5 bilion hanya kerana ia dikuasai oleh tokoh-tokoh Umno atau yang rapat dengan Umno.

Model ini turut digunapakai di dalam beberapa konsesi yang lain, iaitu tokoh-tokoh Umno menjadi pemegang saham minoriti dan syarikat yang membina (selalunya syarikat yang memang terlibat di dalam sektor pembinaan) memegang saham selebihnya. Ia membayangkan seolah-olah syarikat yang dikawal ahli politik mendapat pegangan kerana membuka ruang “kabel politik” untuk dianugerahkan satu konsesi lumayan sedang syarikat pembinaan menjalankan kerja-kerja pembinaan sebenar.

Model ini yang menunjukkan penglibatan ahli politik dalam kroni kapitalisme adalah sarang rasuah yang akhirnya membebankan rakyat dengan konsesi-konsesi penswastaan seperti konsesi UiTM Cawangan Seremban III ini.
#Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan

* Kenyataan ini tidak menggambarkan pandangan Selangor Kini

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN beri konsesi 23 tahun UiTM kepada Adun Umno

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan Umno BN sekali lagi kantoi apabila menyerahkan perjanjian konsesi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Cawangan Pasir Gudang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa konsesi selama 23 tahun itu diberi kepada seorang Adun di Pulau Pinang dengan memegang saham majoriti di sebuah syarikat tempatan.

Beliau berkata, Adun  berkenaan dikatakan memegang satu juta saham syarikat sementara bakinya dipegang seorang rakan kongsi dengan 45 peratus pegangan saham.

“Saya menggesa Perdana Menteri menjawab sama ada perjanjian konsesi diberi kerana syarikat itu berkait rapat dengan seorang Adun Umno?

“Perjanjian yang membebankan UiTM membawa kesan kepada yuran dan perbelanjaan lain satu hari nanti seperti mana perjanjian tol dan IPP mengekang kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

rafizi-TI-01Pada 10 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab di Parlimen kepada Rafizi bahawa satu perjanjian konsesi ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi pembinaan UiTM Pasir Gudang yang akan dibina dan disewakan kembali kepada UiTM.

Dalam jawapan sama, Najib mengakui kosnya antara RM280 juta ke RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan perjanjian konsesi dengan bayaran sewa tahunan antara RM56 juta hingga RM69 juta.

SelangorKini berusaha mendapatkan respon daripada Adun terbabit berhubung isu berkenaan tetapi belum berjaya.

EZY FZL

Categories
NASIONAL

GST: Jangan paksa mahasiswa jadi pak turut

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MEI: Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) mengutuk dan mengecam tindakan disiplin yang dikenakan ke atas seorang pelajar ekoran tulisan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di laman sosial.

Pengerusi MPMS, Muhammad Nawawi Munir Shoib, berkata tindakan terbaru itu membuktikan dunia mahasiswa di Malaysia hari ini masih belum bebas untuk menyatakan pendapat dan pandangan.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan senario mahasiswa di luar negara yang bebas menyatakan pandangan serta berdebat dalam sesuatu isu.

demo_mahasiswa_PWTC-01“Ini satu lagi usaha jahat untuk menakutkan mahasiswa, tidak salah juga jika dikatakan ini adalah satu bentuk kezaliman untuk mahasiswa.

“Di mana hak kebebasan bersuara mahasiswa kita pada hari ini jika pihak universiti takut suara mereka dalam memberi pandangan. Jangan dipaksa mahasiswa menjadi pak turut sahaja,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Semalam, portal Malaysia Kini melaporkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdepan dengan tindakan disiplin kerana dikatakan menyiarkan tulisan membantah GST di Facebook.

Dalam surat bertarikh 28 April lalu, UiTM menyatakan bahawa Mohd Fathihie Gadius dari kampus UiTM Sabah didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan jika didapati bersalah boleh digantung universiti dan tidak dibenarkan masuk ke kampus.

FacebookDia didakwa membuat kenyataan awam dengan menggunakan laman sosial Facebook yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah.

Mengulas lanjut, Nawawi menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai satu usaha tidak sihat dan memberi kesan kepada pembentukan kepimpinan generasi akan datang.

“Kalau generasi yang jenis menunduk maka akan lahir pemimpin yang lemah, tidak mampu membuat keputusan dan pasti merugikan negara.

“Kalau generasi yang pantang dicabar, bebas bersuara, maka akan lahir pemimpin yang tidak mudah terpedaya dan akan lebih bijak serta berkaliber,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

ASB2: Strategi Baru, Pendekatan Lama

dr zul ahmad pic mzaSHAH ALAM, 15 SEPTEMBER – Permodalan Nasional Berhad (PNB) memerlukan perubahan struktur supaya ia menjadi lebih dinamik dan dapat bersaing secara agresif bagi menjana pendapatan tinggi.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefli Ahmad berpandangan pendekatan sedia-ada antara faktor hasil pulangan yang rendah seperti simpanan tetap 8 hingga 10 peratus sahaja.

Menurut beliau, PNB sebenarnya boleh mengerakkan Amanah Saham Berhad 2 (ASB2) tanpa perlu menunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbuat demikian.

“PNB 1 ini mengambil pendekatan jalan selamat. Mereka tidak agresif untuk membangunkan dan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI) berkapita orang Melayu kerana kaedah perlaksanaan kerja masih sama.  Mereka masih menggunakan pendekatan tidak mahu mengambil risiko, dengan kata lain tidak mahumemecah dan menembus pasaran rantaian pembekalan,” jelas Dr Dzulkefli.

PNB merupakan syarikat pengurusan modal terbesar di Malaysia dengan misi sebagai organisasi pelaburan untuk meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera. ASB2 diumum semalam oleh Najib Razak sebagai sebahagian dari inisiatif pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Menyifatkan pengumuman Najib itu sebagai melepaskan batuk di tangga, Dr Dzulkefli berpendapat program-program yang diumum tidak mengambil iktibar daripada kegagalan program-program terdahulu. Jelas beliau pendekatan lama hanya membantutkan matlamat mendapatkan pendapat lebih tinggi.

“Pada saya kalau mereka berfikir secara bersungguh, memikirkan dan menganalisa apa lompang serta kegagalan model yang lalu khususnya untuk mengangkat apa yang dikatakan pendapatan berkapita org melayu. Dalam hal ini, saya dapati mereka tidak menganalisa secara mendasar dan struktural.

“Mengambil contoh kalau kita katakan PNB2 mempunyai ‘terms of reference’ yang bukan sahaja mengambil pendekatan jalan selamat tetapi terlibat dalam membangunkan ‘upstream’, ‘down stream’ termasuklah terlibat dalam urusan pasaran.

“Tidak hanya mengambil ekuiti semata-mata tetapi mempunyai keprihatinan seluruh vendor. mereka terlibat dalam menjana nilai tambah dan mempunyai keprihatinan untuk membangunkan seluruh vendor dalam supply change itu,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Tabung Biasiswa PKNS RM1 Juta Untuk Kakitangan Dan Ahli Keluarga

PKNS pelajar cemerlang 02

SHAH ALAM, 18 MEI : Kakitangan dan keluarga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mahu melanjutkan pelajaran kini boleh memohon daripada Tabung Biasiswa PKNS.

PKNS pelajar cemerlang 01

Dengan peruntukan RM1 juta, tabung berkenaan bagi membantu anak anggota PKNS mengikuti ijazah sarjana muda sepenuh masa sementara bagi anggota pula, mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan dan kursus profesional sepenuh masa atau secara sambilan.

Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam menimba ilmu tambahan bagi memantapkan lagi kemahiran sedia ada.

“Melalui Tabung Pendidikan Anak-anak syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Negeri Selangor atau TPASBB pula, PKNS sendiri memperuntukkan sebanyak RM2 juta yang juga boleh dimohon oleh anggota mahupun anak mereka untuk melanjutkan pelajaran.

“Semoga ia dapat dijadikan pendorong untuk mereka mencapai kejayaan berterusan dalam pelajaran seterusnya mencapai cita-cita yang diidamkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang 2012 Anak Anggota PKNS di Dewan Kemajuan, Kompleks PKNS.

Sebelum itu, PKNS menerusi Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja (PKP) dan Badan Islam memperuntukkan sejumlah RM45,000 untuk hadiah saguhati kepada 123 orang anak-anak ahli termasuk dua ahli persatuan.

Kesemua mereka diraikan kerana memperolehi keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Agama (PSRA), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian di peringkat Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Noraida Mohd Yusof serta wakil PKP dan Badan Islam.

Pelajar cemerlang menerima wang saguhati antara RM50 hingga RM750 seorang.

Hadiah saguhati ini diberikan berdasarkan kategori peperiksaan yang diambil serta jumlah A yang diperolehi.

Antara pencapaian terbaik anak-anak ahli ialah 9A+ dalam SPM, 9A dalam PMR dan 5A dalam UPSR/PSRA.

Dalam pada itu, penerima anugerah cemerlang Ahmad Zahir Abu Bakar, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengingatkan anak muda yang masih menuntut ilmu agar menjaga hubungan dengan Allah dan ibu bapa agar memperolehi keberkatan dalam bidang yang diceburi.

Ahmad Zahir yang kini sedang mengikuti bidang perakaunan di peringkat ijazah pernah menerima Anugerah Naib Cancelor (Anugerah Dekan) di peringkat diploma dalam bidang sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SMM Dakwa UiTM Peralat Pelajar Melayu

safwan anang

SHAH ALAM, 17 APRIL : Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa memperalatkan pelajar Melayu dalam isu tayangan filem Tanda Putera bagi membangkitkan semangat perkauman di kalangan pelajar.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang mendakwa pihak tertentu menggunakan isu perkauman sebagai modal politik disebabkan filem tersebut hanya dikhususkan untuk ditayangkan kepada pelajar Melayu.

Beliau memberitahu, tayangan filem yang sama dibuat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada Mac lalu.

“Ia menggambarkan isu-isu membabitkan sensitiviti perkauman antara pencetus sebab berlaku 13 Mei 1969.

“Di akhir tayangan tersebut dibentangkan taklimat mengenai kaitan peristiwa 13 Mei yang berlarutan sehingga berlaku siri-siri demonstrasi yang didakwa dianjurkan pembangkang termasuk demonstrasi Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 .

“Bila masa pelajar bangun untuk bertanya soalan tetapi mereka dinafikan hak untuk itu,” dakwanya kepada TVSelangor hari ini.

Safwan selanjutnya berkata, SMM merasakan sentimen perkauman digunakan sebagai modal politik seolah-olah Malaysia akan jatuh ke tangan bangsa lain yang akan menyebabkan keadaan huru – hara selepas pilihan raya umum ini.

Tambahnya, SMM menolak sekeras-kerasnya politik kotor sebegini hingga meenyentuh sensitiviti perkauman yang kita andaikan sebagai taktik politik ugut.

“Universiti perlu jadi pentas perdebatan dan perbincangan forum untuk agenda manifesto masing-masing serta bukannya politik kotor dengan membangkitkan sentimen perkauman seperti ini,” ujarnya.