Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: SPM dipinda kepada 16 November, UPSR kekal

SHAH ALAM 28 MAC: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipinda 16 November hingga 7 Disember ini, berikutan penularan wabak Covid-19.

Namun, tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kekal pada 1, 2, 3, 7 dan 8 September.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, penjadualan semula dibuat selepas meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum subjek berkaitan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, tarikh bagi Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA); Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) lisan dan bertulis; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester Tiga juga kekal seperti tarikh asal.

Peperiksaan SPM sepatutnya dijalankan bermula 5 hingga 14 Oktober bagi fasa satu dan bersambung 2 hingga 19 November bagi fasa dua.

Bagi Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), KPM menetapkan 28 dan 29 September bagi ujian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Categories
PENDIDIKAN

Keputusan PPSR, UPSR diumum 29 November ini

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 diumumkan pada 29 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, calon terlibat boleh mengambil keputusan tersebut di sekolah masing-masing bermula 10 pagi.

Katanya, tindakan sama boleh dilakukan menerusi perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2018 melalui mySMS 15888.

“Perkhidmatan talian tersebut diaktifkan bermula 10 pagi, 29 November dan ditamatkan pada 6 petang, 8 Disember.

“Waris dibenarkan mengambil dokumen pelaporan sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan keputusan UPSR dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di laman Ip.moe.gov.my.

PPSR merupakan dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan UPSR bagi murid aliran perdana atau PASR bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran.

-BERNAMA