Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tangguh Undi 18 bukti kerajaan tiada iltizam politik lihat perubahan

SHAH ALAM, 30 MAC: Penangguhan Undi 18 membuktikan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tiada iltizam politik untuk melihat perubahan ke arah lebih baik.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan kerana ia bukan isu terburu-buru dan sudah dibincangkan sejak 2018 sebelum diluluskan pada Julai 2019.

“Sebab itu saya amat menitikberatkan iltizam politik. Kalau pemerintah mempunyai keinginan tersebut, sudah pasti mereka akan menggerakkan badan seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk melaksanakannya.

“Tetapi jika tiada, itu yang jadi tertangguh (Undi 18). Kalau mahu buat, boleh dengan pelbagai alasan dan begitu sebaliknya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Tabung Infaq Ramadan sempena Di Ambang Ramadan di sebuah restoran di Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Amirudin menjelaskan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 sewajarnya dijayakan bersesuaian dengan semangat demokrasi dan SPR pasti mempunyai perancangan bila serta bagaimana untuk melaksanakannya.

Sebelum ini, suruhanjaya tersebut mengumumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tak wajar nafi hak pengundi 18 tahun – ADN Tanjung Sepat

HULU LANGAT, 29 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menyifatkan penangguhan kelayakan pengundi berusia 18 tahun (Undi 18) tidak wajar.

Kata Borhan Aman Shah, hak pengundi golongan itu tidak boleh dinafikan kerana mereka sudah matang dan meningkat dewasa.

“Alasan bahawa kita tidak boleh buat pendaftaran secara dalam talian, perlukan kajian tidak seharusnya berlaku.

“Kita sudah didedahkan dengan teknologi baru dan bukan manual. Tak perlu untuk tangguh lagi,” katanya mengulas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Undi 18 baru-baru ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Borhan menyampaikan manfaat bantuan khairat kematian kepada waris ketua kampung di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang di sini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ADN sifatkan tangguh Undi 18 kerana gentar suara anak muda

SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) muda Selangor menganggap penangguhan kelayakan pengundi berusia 18 tahun (Undi 18) kerana gentar dengan suara anak muda.

ADN Kota Anggerik berkata isu Undi 18 sepatutnya tidak timbul tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih gemar bermain politik dan sengaja menafikan hak anak muda.

Mohd Najwan Halimi

“Sememangnya mereka gusar dengan sokongan anak muda, justeru pelbagai muslihat digunakan termasuk menggunakan kuasa untuk melengahkan proses Undi 18.

“Cukuplah, sekarang bukan masa berpolitik, ini zaman digital, tidak lagi sama seperti dahulu. Anak-anak muda juga matang membuat keputusan, kerajaan perlu terus mendengar suara rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ADN Balakong menyifatkan tindakan itu tidak matang dan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah takut kepada suara pelapis negara.

“Kerajaan yang matang adalah kerajaan yang mengalu-alukan pandangan dan kritikan daripada sesiapa sahaja termasuk anak muda, tambah-tambah lagi mereka ini adalah masa hadapan untuk negara kita.

Wong Siew Ki

“Jadi jelas di sini, tindakan mereka cuba melambat-lambatkan proses Undi 18 hanya disebabkan takut,” kata Wong Siew Ki.

Manakala ADN Meru berkata tindakan PN dianggap ‘mencabul’ hak orang muda malah tidak menghormati Parlimen yang meluluskan Undi 18 pada Julai 2019.

“Namun secara tiba-tiba kerajaan kononnya mengumumkan proses itu terpaksa ditangguhkan kerana situasi Covid-19, ia tidak masuk akal dan secara jelas ‘mencabul’ hak suara anak muda.

“Mungkin mereka bimbang anak muda akan bersuara dan menentang kerajaan mereka satu hari nanti,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker kesal alasan remeh diguna lengahkan Undi 18

SHAH ALAM, 28 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) meminta alasan remeh tidak digunakan bagi menangguh kebenaran individu berusia 18 tahun (Undi 18) mengundi.

Ng Suee Lim berkata penangguhan kerana negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin blok kerajaan.

“Keputusan menangguhkan Undi 18 bercanggah dengan perlembagaan kerana perkara ini diluluskan oleh 211 daripada 222 ahli parlimen di Dewan Rakyat pada 2019.

“Persoalannya kenapa PN takut dengan undi anak muda, jangan gunakan macam-macam alasan untuk kekal berkuasa,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis perundingan pelajar bantah SPR tangguh Undi 18

SHAH ALAM, 28 MAC: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menolak alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangguhkan kelayakan pengundi berusia 18 tahun (Undi 18).

Presidennya berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan pendaftaran Undi 18 secepat mungkin sekaligus memberi hak kepada lebih ramai rakyat memilih pada pilihan raya umum nanti.

“Usul Undi 18 mendapat sokongan 211 ahli parlimen sebelum ini yang membolehkan pelaksanaan dan pendaftaran Undi 18 dilakukan secara automatik.

“MPPK percaya golongan berusia 18 tahun sudah matang kerana sebahagian mereka bergelar mahasiswa dan sudah bekerja,” kata Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SPR mengumumkan Undi 18 yang sepatutnya bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat, aktivis bantah tunda Undi 18

SHAH ALAM, 27 MAC: Sekumpulan ahli politik dan aktivis hadir perhimpunan secara aman di hadapan parlimen bagi menuntut hak individu berusia 18 tahun mengundi.

Wakil rakyat Selangor turut hadir antaranya Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) turut menyertai acara itu termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, lapor Malaysiakini.

Selain menuntut usia mengundi diturunkan, kumpulan ini juga menuntut sistem pendaftaran pengundi automatik setelah mencapai usia 18 tahun.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini.

Bagaimanapun, timbul pertikaian apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mengumumkan pindaan berkenaan hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkenaan untuk melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan kematangan politik Malaysia.

“Ia menjadi satu mercu tanda politik negara dan harap berterusan pada masa hadapan. SPR selepas ini perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata, SPR juga akan berjumpa dengan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

“Satu kempen kesedaran juga perlu diadakan agar rakyat Malaysia tampil mengemas kini alamat terbaru mereka,” katanya.

Azizan berkata, kos pilihan raya juga akan meningkat berikutan jumlah pengundi yang dijangka menjangkau lebih 22 juta orang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 tahun lalu.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahlinya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Undi 18: Tenaga, akal fikiran anak muda perkuat demokrasi Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Demokrasi di Malaysia akan dikuatkan dengan tenaga dan akal fikiran anak muda yang bakal diberi peluang, ruang serta suara untuk bersama-sama berganding bahu mencorak negara melalui pilihan raya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun.

Katanya, secara umum kesedaran politik dalam kalangan belia meningkat, dengan pemikiran serta kematangan golongan berkenaan terlihat lebih ke hadapan, sesuai dengan kemajuan dinikmati negara.

“Mereka ini terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka golongan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat.

“Kerajaan kini percaya mereka mampu mengimbangi keperluan menuntut ilmu dan kemahiran dengan kesedaran politik serta tanggungjawab mencorakkan masa hadapan negara yang lebih cerah,” katanya
yang menambah ia selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan warganegara bertanggungjawab.

Selain menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu juga mencadangkan mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Mahathir berkata, jika pindaan berkenaan diluluskan, kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga 2023.

Katanya, kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Menarik perhatian, Perdana Menteri berkata, sejak peralihan kerajaan pada Mei tahun lalu, negara terus aman dan stabil membolehkan pindaan undang-undang dan pemansuhan undang-undang yang menindas, dilaksanakan.

“Saya menyeru supaya kita bersama memastikan kita lulus pindaan ini dengan memberikan sokongan majoriti lebih dua pertiga dan mencipta sejarah baharu Malaysia,” katanya yang memohon sokongan 222 Ahli Parlimen.

Dr Mahathir berkata, kerajaan mengalu-alukan cadangan blok pembangkang yang bersetuju belia berumur 18 bukan sahaja diberi hak mengundi tetapi juga menjadi calon pilihan raya dan komitmen blok pembangkang sebelum ini untuk menyokong pindaan berkenaan.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun pertama kali dibentangkan pada 4 Julai sebelum ditarik balik pada 10 Julai bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Perdana Menteri berkata bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat.

Selain itu, bagi membolehkan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri dilaksanakan, kerajaan negeri disaran untuk membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Dewan yang mulia ini menyeru dan berkeyakinan penuh bahawa kerajaan negeri akan menyokong pindaan ini dan akan turut mneminda peruntukan yang berkaitan.

“Justeru itu, saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini, supaya bersama merealisasikan hasrat kita semua untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara,” katanya.

Pada ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di ASEAN serta beberapa negara lain seperti Samoa, Tonga, Cameroon, Kuwait, Oman dan Lubnan yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun, manakala beberapa negara di Eropah telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun seperti Austria dan Scotland.

“Berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun,” katanya.

-BERNAMA