Categories
SELANGOR

Pembangunan belia jadi keutamaan, keusahawanan diberi perhatian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa menitik beratkan aspek pembangunan belia di Selangor dengan memfokuskan dan memberi keutamaan kepada dua aspek penting iaitu pekerjaan dan pendapatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain daripada memastikan belia mendapat pekerjaan, usaha perlu juga diberikan kepada pembabitan belia dalam bidang keusahawanan.

“Dalam banyak ketikanya, belia lebih menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan pekerjaan sebagai sumber mata pencarian untuk menampung keperluan hidup.

“Mungkin juga disebabkan kurang pendedahan, kesedaran dan pengetahuan, belia tidak menganggap keusahawanan sebagai alternatif sumber pendapatan yang jauh lebih baik daripada pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Dana Usahawan Mikro bagi membuka peluang kepada usahawan mikro di Negeri Selangor untuk mempelbagaikan dan mengkomersialkan produk.

Katanya, untuk mengukuhkan perniagaan dan perusahaan mikro di Negeri Selangor melalui peningkatan produktiviti (pengeluaran jualan dan pendapatan).

“Program ini memberi ruang kepada 55 usahawan belia di Selangor. Selain itu, generasi muda di Selangor juga berpeluang untuk menyertai program-program dijalankan oleh Kerajaan Negeri antaranya program Hijrah Selangor yang berteraskan konsep Pinjaman Asas Simpanan.

“Hijrah Selangor mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, penerima blue print, asnaf, belia, orang kelainan upaya dan khariah masjid.

“Melalui program ini, seramai 23,260 orang usahawan belia ditawarkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 143,919,000,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor juga melaksanakan program mentor usahawan (mentoring system) iaitu Zero to Hero.

“Melalui program ini usahawan dilatih dan dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) dalam jangka masa enam bulan untuk memastikan kejayaan mereka,” katanya.

Manakala, bagi generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang digital dan teknologi, mereka boleh menyertai program yang dijalankan oleh SITEC di bawah kelolaan Invest Selangor.

“SITEC juga melancarkan Selangor Digital Creative Centre, sebuah pusat inkubator yang menawarkan kolaborasi dan persekitaran inovatif untuk generasi muda melahirkan start-up dan produk teknologi yang kreatif,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Lima produk usahawan Selangor sedia tembusi pasaran global

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 23 FEB: Lima usahawan muda Selangor bertekad tidak mensia-siakan peluang membawa hasil inovasi mereka menembusi pasaran antarabangsa apabila produk masing-masing terpilih dalam program SAY ASPIRE.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif pengeluar produk yang dinamakan Tanimac, Ridzuan Othman berkata, kejayaannya hari ini membolehkan beliau mendapat bantuan kewangan juga bimbingan teknikal yang betul untuk mengorak langkah ke tahap global.

“Peluang ini bukan senang dapat dan kami percaya mereka ada sistem pembelajaran yang lebih kukuh dan kita perlukan bantuan teknikal juga kewangan daripada agensi seperti MATRADE untuk mengeksport produk.

“Sesungguhnya dengan bantuan sebegini, syarikat bumiputra yang masih baru seperti kami boleh menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih efisien dan membuktikan anak tempatan Malaysia boleh menghasilkan produk inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘SAY ASPIRE 2018 – Pitching Session’ Bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Sunway Resort Hotel & SPA, di sini, semalam.

Tanimac adalah alat pertanian inovatif berupa alat penyemai benih pelbagai jenis tanaman yang pertama di dunia dan mampu meningkatkan tahap kecekapan pertanian serta mengurangkan kos buruh dengan drastik.

Ridzuan berkata, antara pasaran global yang menjadi sasaran beliau adalah sekitar Eropah ekoran kos buruh yang tinggi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar produk aiskrim Pops Malaya, Rose Yasmin Abd Karim pula berkata, program yang diilhamkan Tengku Amir Shah itu bakal merealisasikan cita-cita beliau untuk memasarkan produknya ke pasaran global.

“Memang rezeki kami kerana pada peringkat ini semua peserta menawarkan produk terbaik dan kami akan mengambil peluang ini untuk mempelajari bagaimana untuk mengembangkan pasaran.

“Ini adalah peluang untuk usahawan muda di Selangor, bahkan dengan adanya pelan ini kita berpeluang membawa produk buatan Selangor ke pasaran global kerana jika kita bersendirian mungkin boleh capai tetapi sedikit perlahan berbanding jika bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti ini,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan produk sama di pasaran, Pops Malaya adalah aiskrim atau snek sihat yang diperbuat daripada bahan semula jadi tanpa bahan tiruan yang sesuai untuk semua golongan khususnya kanak-kanak.

Selain itu, aiskrim berkenaan juga dipasarkan pada harga lebih murah berbanding kebanyakan aiskrim jenama terkenal.

“Dengan produk kami, ibu bapa boleh beri anak makan tanpa rasa bersalah kerana tidak menjejaskan kesihatan mereka. Kita galakkan pengguna buat pilihan lebih sihat,” katanya.

Selain dua syarikat itu, antara usahawan lain yang terpilih adalah produk Dapo iaitu perabut, barangan hiasan dan koleksi peralatan dapur buatan Malaysia dengan konsep jenama gaya hidup hijau.

Sementara dua lagi produk yang terpilih adalah produk tuala wanita, Athena Empowers dan Medicat produk semburan anti kulat juga anti bakteria khusus untuk haiwan peliharaan yang diperbuat daripada minyak masak terpakai.

Categories
EKONOMI SELANGOR

RM8.35 juta tingkat pembangunan usahawan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM8.35 juta bagi tahun 2018 yang menyaksikan kenaikan sebanyak RM3.85 juta berbanding tahun 2017 bagi tujuan pembangunan usahawan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan berkenaan meliputi program pembangunan usahawan iaitu Dana Usahawan Mikro Selangor untuk membantu pengusaha Industri Kecil Sederhana.

Mohamed Azmin berkata, ia sebagai menghargai komitmen golongan itu sebagai nadi penggerak ekonomi negeri untuk mengembangkang perniagaan usahawan mikro.

“Melalui peruntukan di atas, Kerajaan Negeri akan menyalurkan RM2.25 juta kepada sembilan daerah untuk Dana Usahawan Mikro.

“Pada tahun ini, seramai 128 usahawan mikro telah berjaya menerima dana ini untuk pembelian peralatan, menaiktaraf premis sedia ada atau lain-lain keperluan untuk memberi nilai tambah dan melonjakkan pembangunan usahawan mikro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, program pembangunan usahawan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk tujuan promosi.

 

=EZY=

Categories
SELANGOR

Program Pembangunan Usahawan PKNS lahir usahawan berjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Program pembangunan usahawan dijalankan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah melahirkan ramai usahawan berjaya di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata melalui pelbagai program dilaksanakan, anak syarikat Kerajaan Negeri itu membuka ruang besar kepada golongan usahawan di negeri itu bagi memajukan diri dalam perniagaan diceburi.

“Di bawah PKNS, program pembangunan usahawan telah digerakkan sejak puluhan tahun lalu dengan berjaya menghimpunkan lebih 6,000 alumni dan mereka bergerak di seluruh Selangor dalam pelbagai bidang perniagaan diceburi.

“Ini diteruskan lagi PKNS melalui Bahagian Pembangunan Usahawannya dengan mengetengahkan usahawan berjaya bagi memberi bimbingan dalam prorgram keusahawanan dirancang,” katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Pinjaman HIJRAH Selangor di Kompleks PKND di sini, hari ini.

IMG_20170916_115634Beliau berkata, PKNS turut mengorak langkah melalui program bantuan khususnya untuk usahawan bumiputera dengan memberikan bantuan khidmat nasihat serta ruang niaga dengan potongan harga di Seksyen 7 Shah Alam, kepada kumpulan usahawan muda yang baru memulakan perniagaan.

Program HIJRAH dijalankan di Kompleks PKNS, katanya, adalah sebahagian daripada program pembangunan usahawan dilaksanakan PKNS.

“Melaluinya ia menempatkan usahawan HIJRAH termasuk kalangan asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor atau Majlis Agama Islam Selangor di sini sekali gus memberi ruang bagi mempromosikan produk juga perkhidmatan ditawarkan mereka,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketuaa Pegawai Eksekutif HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Mohd Hilmi Muda dan Pengurus Pembangunan Usahawan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Fasihah Mat Radzi dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor terbesar sedia modal bantu usahawan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai lebih 41,000 usahawan di bawah program HIJRAH Selangor membabitkan peruntukan RM261 juta, sehingga September ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata melalui program itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan supaya masyarakat berpendapatan rendah dapat dibantu bagi memajukan diri dengan menyertai bidang perniagaan.

“Sehingga September ini, seramai 41,437 usahawan telah dibantu di bawah program HIJRAH dengan nilai RM261 juta.

“Selangor adalah negeri terbesar memberikan peruntukan kepada usahawan dalam bentuk bantuan modal,” katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Pinjaman HIJRAH Selangor di Kompleks PKNS di sini, hari ini.

HIJRAH SELANGOR (NEW)Beliau berkata, Kerajaan Negeri mempunyai program menyeluruh iaitu daripada bantuan program ‘bluepint’ untuk golongan kurang berkemampuan hingga kepada mereka telah menjalankan perniagaan seterusnya mampu mencapai taraf Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, SkimSel dan MiMBAR dijalankan sebelumnya telah ditambah baik menerusi HIJRAH iaitu program bersepadu dicetuskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, bagi mengangkat masyarakat dari golongan berpendapatan rendah menjalankan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi.

“Pada hari ini, seramai 103 usahawan diraikan bagi menerima bantuan RM886,000 daripada Kerajaan Negeri dimana mereka akan menerima dari RM5,000 hingga RM50,000 seorang.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan HIJRAH Selangor akan meneruskan program pembangunan usahawan telah dirancang untuk golongan usahawan di Selangor,” katanya.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PKNS, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Pegawai Eksekutif HIJRAH Selangor, Roslim Md Akhir; Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Mohd Hilmi Muda dan Pengurus Pembangunan Usahawan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Fasihah Mat Radzi dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
SELANGOR

HIJRAH optimis capai sasaran bantu 56,000 usahawan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 OGOS: Program Mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) mampu mencapai sasaran membantu 56,000 penggiat usahawan industri kecil dan sederhana, bagi tempoh berakhir Disember 2017.

Pengerusi Ekseuktif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman berkata, seramai 38,000 peserta sudah dibantu dalam tempoh sehingga suku tahun kedua pelaksnaan program itu, tahun ini.

Beliau berkata, baki penggal kedua lebih memberi tumpuan kepada peserta dalam kalangan warga luar bandar sebagai inisiatif meningkatkan jaringan pendapatan golongan itu.

“Skim pinjaman mikrokredit ini berjaya dilaksanakan bagi memenuhi visi Kerajaan Negeri Selangor di bawah dasar pembaharuan Dato’ Menteri Besar.

“Sudah tentu sepanjang pelaksanaannya, sudah banyak kejayaan diraih dan perkembangan ini adalah landasan terbaik untuk melebarkan pendapatan kelas menengah.

“Pelaksanaan skim ini juga dilihat berupaya bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menangani isu kemiskinan, di Selangor.

“Untuk tempoh berakhir suku tahun sahaja, kita sudah berjaya menyalurkan bantuan kepada 38,000 peserta dengan sasaran sesl 56,000 dijangka mampu kita capai,” katanya kepada SelangorKini.

HIJRAH BANTUPada masa sama, Dr Mansor berkata, yayasan berkenaan giat menjalankan pemantauan secara dekat bagi mengatasi isu kegagalan pembayaran semula skim pinjaman permodalan perniagaan itu.

“Untuk tahun ini, kita mengalami sedikit penurunan sekitar 80 peratus sahaja jumlah pembayaran balik khususnya di kawasan bandar seperti Ampang dan Pandan Indah.

“Justeru bagi mengatasi masalah ini, kita kerap turun padang dan mengadakan perbincangan secara dekat bersama pejabat zon seluruh negeri. Kita harap pemantauan secara dekat, di samping kajian menyeluruh ini dapat mengenalpasti sebarang kaedah dan punca bagi mengatasinya,” katanya.

Untuk rekod, daerah Sabak mencatatkan perolehan kutipan tertinggi pembayaran semula skim bantuan berkenaan untuk tempoh suku pertama, tahun ini.

Sebelum ini, HIJRAH adalah program mikrokredit bersepadu di bawah gagasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan menggabungkan SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang dilaksanakan, sejak 2008.

Program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu adalah Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) yang memberi tumpuan bagi meningkatkan pendapatan ekonomi golongan pertengahan.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Usahawan mesti lebih kreatif, contohi Uber dan Travel Log

OLEH NAZLI IBRAHIM

RAWANG, 18 DIS: Usahawan disaran mengambil peluang ke atas pelbagai teknologi canggih yang ada dengan idea kreatif bagi memperkukuh perniagaan yang mampu menjana keuntungan tinggi seperti mana dilakukan pengasas aplikasi Uber Car dan Travel Log.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, melalui idea kreatif masing-masing syarikat pengendali kedua-dua aplikasi itu menjadi terkenal di seluruh dunia dan mampu menjana keuntungan yang tinggi.

“Uber sendiri tidak mempunyai kereta untuk membawa pelanggan mereka dan begitu juga dengan Travel Log mereka tidak memiliki walau sebuah hotel pun tetapi dengan idea kreatif mereka mampu menyediakan perkhidmatan yang mendapat sambutan di seluruh dunia,” kata Amirudin.

usahawanBeliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mini ‘Mega Sales’ di kawasan meletak kenderaan di Pasaraya Tesco di sini, semalam.

Jelasnya, para peniaga juga perlu merebut peluang perniagaan dalam sumber ekonomi baru seperti industri kreatif dan e-dagang yang mempunyai potensi besar untuk diterokai di negara ini khususnya sebagai persediaan mengharungi suasana ekonomi yang suram pada 2017 nanti.

Selain itu Amirudin turut menyarankan supaya usahawan memandang jauh ke hadapan dengan tidak hanya memikirkan pasaran di Selangor sahaja tetapi bercita-cita mengembangkan pasaran di luar negeri dan juga serantau.

Ketika menyentuh usaha Kerajaan Negeri membantu usahawan di Selangor, Amirudin memberitahu, Kerajaan Negeri bukan sahaja menyediakan pinjaman kepada peniaga malah turut membekalkan ilmu perniagaan yang secukupnya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri turut menganjurkan kursus keusahawanan termasuk kursus penyediaan pembungkusan atau ‘packaging’ produk masing-masing.

=EZY=

Categories
SELANGOR

PKNS bimbing 40,000 usahawan babit kos RM230 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya melahirkan hampir 40,000 usahawan hasil pelbagai program keusahawanan yang dilaksanakan, sejak 20 tahun lalu.

Ia dilaksanakan anak syarikat Kerajaan Negeri itu melalui penubuhan Sekretariat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) pada 1995 serta dijenamakan semula kepada Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) pada 2010 dengan tumpuan terhadap aspek pembudayaan, pembangunan, pemantapan dan jaringan.

Timbalan Pengurus Besarnya, Noraida Mohd Yusof berkata, dalam tempoh itu BPU sudah membimbing sekurang-kurangnya 39,000 usahawan dengan kos hampir RM230 juta daripada pelbagai bidang antaranya pengilang bahan binaan, sub kontraktor bumiputera dan usahawan mahasiswa.

img_20160928_225020_113“PKNS berharap akan dapat terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan usahawan di negari ini, sekali gus menyumbang kepada usaha kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

“Kita kena meneruskan program keusahawanan sedia ada dan sentiasa mengenalpasti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan supaya usaha pembangunan usahawan akan mencapai matlamatnya,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Anugerah Usahawan PKNS ’16, di sini, semalam.

Pada majlis yang pertama kali dianjurkan itu, PKNS meraikan 27 usahawan cemerlang dengan penganugerahan sebagai tanda pengiktirafan mengikut kategori seperti Anugerah Sub Kontraktor Bumiputera Terbaik PKNS, Anugerah Vendor Inkubator Payung Terbaik PKNS, Anugerah Usahawan Mahasiswa Cemerlang, Anugerah Usahawan GROW Cemerlang, Anugerah Inspirasi Usahawan Retail, Anugerah Inspirasi Usahawan Klinik Usahawan dan Anugerah Ikon PROTUNe.

Noraida berkata, strategi PKNS ialah menerapkan nilai keusahawanan menerusi program pendidikan dan pembudayaan keusahawanan, membangunkan sumber manusia usahawan melalui program latihan, rangkaian rakan niaga strategik serta penilaian berterusan.

Katanya, ia juga meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam sektor pembinaan melalui galakan perniagaan dan khidmat sokongan serta meningkatkan penyertaan kontraktor juga vendor bumiputera dalam pembangunan dilaksanakan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

RM992,500 diperuntuk jayakan Pembangunan Usahawan Komuniti Kampung

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sejumlah RM992,500 diperuntukkan bagi menjayakan Program Pembangunan Usahawan Industri Komuniti Kampung 2016, berbanding RM793,300 pada 2015.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia bertujuan membangunkan industri dan ekonomi luar bandar seterusnya meningkatkan pendapatan penduduk.

Katanya, program ini merupakan usahasama Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kulinari Anjung Utara (ITKAU).

“Kita mahu memberi peluang kepada rakyat berminat memulakan pernigaan tetapi tidak mempunyai kemahiran dan modal.

“Peluang juga terbuka kepada mereka yang berminat dan beriltizam menjadikan usahawan bidang kerjaya sepenuh masa,” katanya kepada SelangorKini.

Terdapat empat kursus ditawarkan iaitu Program Pembangunan Usahawan Gunting Rambut, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan Minumam, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Sebagai Juruterapi Komplimentari Berdaftar dan Program Pembangunan Usahawan Membaiki Kasut.

Seramai 170 menyertai temuduga dijalankan namun hanya 105 peserta layak menghadiri kursus berkenaan.

Untuk Program Pembangunan Usahawan Gunting Rambut, seramai 29 layak, Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan Minumam (98), Program Pembangunan Usahawan Penjaja Sebagai Juruterapi Komplimentari Berdaftar (34) dan Program Pembangunan Usahawan Membaiki Kasut (9).

EZY

Categories
SELANGOR

Bijak manfaat peluang, pasar produk jualan guna media sosial

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

HULU SELANGOR, 23 APR : Usahawan disaran supaya lebih kreatif menggunakan media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram untuk meningkatkan pemasaran produk jualan mereka.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata medium itu mampu menjana pulangan besar kepada usahawan dalam menangani ketidaktentuan ekonomi masa kini.

social-media-logos-600x337“Kita perlu lebih kreatif pasarkan produk jualan dengan pada masa sama, kita sepatutnya ada kemampuan untuk mencapai 600 juta komuniti melalui penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Aplikasi ini sebenarnya berupaya memasarkan produk jualan usahawan di peringkat lebih jauh melebihi gapaian kita,” katanya ketika berucap pada Karnival Smart Selangor (KASS) 2016 di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Mohd Zain A. Hamid, Pengarah Urusan Unilever Food Solution, Nusrat Perveen, dan Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Uyuni Ahamd Mohdi.

Beliau berkata usahawan juga perlu bijak mencuri peluang melibatkan diri dalam perniagaan atas talian yang dilihat berpontensi besar untuk dikomersialkan.

Katanya, ketetapan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menggalakan lebih ramai masyarakat khususnya golongan belia terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Konsep perniagaan ini mampu menjana kepada pertumbuhan ekonomi usahawan kerana penggunaan media sosial ini bukan hanya terhad untuk berkongsi makanan, tempat bercuti atau aktiviti seharian sahaja.

“Tetapi gunakanlah peluang ada sebaik mungkin kerana sembilan daripada sepuluh pintu rezeki itu adalah daripada bidang perniagaan,” katanya.

Ketika ini, perniagaan atas talian mula mendapat perhatian masyarakat menerusi produk jualan seperti pakaian, makanan, produk kecantikan, dan aksesori telefon.

EZY

Categories
SELANGOR

Bazar khas asnaf lahir usahawan berjaya

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUN: Bazar Ramadan khas yang diwujudkan untuk golongan asnaf berniaga mampu melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan mereka.

Imam Surau Haji Hassan Batu Lapan Sijangkang, Jailani Ahmad, berkata penganjuran dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu dapat menjadikan asnaf berdikari dan membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

photo(1)Katanya, permintaan asnaf untuk berniaga sangat tinggi selain pendapatan yang memberangsangkan.

“Apa yang saya lihat di bazar ini sejak lima tahun penganjurannya, alhamdulillah jualan mereka laris. Jualan kuih sahaja mencecah RM900 sehari.

“Mungkin salah satu faktor adalah lokasi yang strategik menyebabkan bazar ini diserbu orang ramai,” katanya kepada Selangor Kini.

asnaf 2Beliau berkata, 20 gerai disediakan dan majoriti golongan itu terdiri daripada ibu tunggal.

“Ramai yang berminat untuk menyertai bazar ini, namun masalah kita adalah kekurangan tapak. Jadi, kita terpaksa memilih yang betul-betul memerlukan.

“Kami sangat menghargai bantuan modal yang diberikan LZS. Mereka menerima bantuan RM500 hingga RM2000 yang sangat membantu golongan ini mencari pendapatan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Usahawan sukacita jika geran bantuan diperbesarkan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali diharap akan membuka peluang lebih luas untuk usahawan di Selangor.

Pengusaha seni ukiran inovasi, Azizah Selamat, 46 berharap agar pembentangan bajet pada kali ini akan meluluskan peruntukan geran lebih besar kepada golongan usahawan.

Katanya, bantuan Kerajaan Negeri itu pasti dapat membantu menyemarakkan lagi perkembangan ekonomi rakyat Selangor.

“Kalau boleh, seperti saya ini mahu kembangkan perniagaan sedia ada supaya saya boleh menggaji anak-anak yang berbakat dalam bidang seni ukir.

“Bukan sahaja manfaat dari segi ekonomi, malah kita dapat pelihara warisan budaya kita sejak zaman berzaman ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau merupakan antara peserta Karnival Usahawan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Kompleks PKNS yang akan berlangsung bermula 27 hingga 30 September ini.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Normalis Mahmud 42, pula berharap pihak Kerajaan Negeri dapat mewujudkan pusat sehenti bagi golongan usahawan kecil.

“Di situ dapatlah kami menempatkan produk jualan kami, jadi lebih mudah kerana semuanya di bawah satu bumbung.

“Harap kerajaan negeri juga dapat menguar-uarkan program-program bantuan kepada para usahawan.

“Ini kerana sehingga kini, maklumat itu tidak sampai walaupun saya sedar ada bantuan diberikan tetapi masih ramai lagi rakan-rakan yang tidak tahu,” katanya yang menjual pelbagai jenis biskut ‘homemade’.