Categories
NASIONAL SELANGOR

Hata Wahari : Sudah-Sudahlah Membuat Dosa Dan Sebar Fitnah

SHAH ALAM,5 MEI : Akhbar Utusan Malaysia semakin tidak bertamadun apabila mengutamakan berita seks dan fitnah sambil melindungi kerakusan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam liputannya.

Bekas Wartawan Utusan Malaysia Hata Wahari berkata demikian dalam surat terbuka beliau ekoran tindakan akhbar itu yang melemparkan berita fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat mutakhir ini.

“Rakan-rakanku sudah-sudahlah tu membuat dosa dengan menyebarkan fitnah, takkanlah kerana gaji RM4,000.00 hingga RM24,000.000 sebulan kita menggadaikan nasib kita di akhirat dengan membuat pelbagai fitnah,? kata Hata yang juga Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia NUJ.

Beliau berkata, selepas setahun dipecat dari Utusan Malaysia, rakan-rakan beliau dan juga Ketua Pengarang, Aziz Ishak masih lagi tidak berubah.

“Nampaknya Allah SWT tidak memabulkan doa saya kerana membiarkan rakan-rakan saya terus bergelumang dengan dosa.

“Terutama terus membuat fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada sesama manusia, ingatlah rakan-rakanku fitnah dunia termasuk bentuk fitnah yang sangat dahsyat,” ujar beliau.

Hata menambah, beliau menyeru rakan-rakannya di Utusan Malaysia akan bertaubat, dan mengingati Allah.

“Sudah-sudahlah tu membuat fitnah, berubahlah untuk nasib kita di akhirat nanti. Cuma harapan saya ingatlah siksa kubur dan siksa neraka, azabnya amat pedih sekali,” ujar Hata.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Selangor Sokong Azmin Saman Utusan RM100 Juta

SUBANG JAYA, 5 MEI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong usaha Azmin Ali dalam tindakan Timbalan Presiden PKR itu untuk menyaman Utusan Malaysia berhubung laporan yang mengfitnahkannya pada 2 Mei lepas.

“Saya setuju dengan tindakan saudara Azmin,” jawab Abdul Khalid dalam sidang media ketika diajukan soalan oleh pemberita selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Jejantas Pejalan Kaki di sini.

Sebelum ini, Azmin melalui peguamcaranya Tetuan Edwin Lim Suren & Soh telah mengeluarkan surat tuntutan RM100 juta kepada pemilik akhbar tersebut, Utusan Melayu Berhad serta editornya dan menuntut penarikan balik tuduhan dan permohonan maaf secara terbuka.

Akhbar milik Umno-BN itu telah menyiarkan beberapa gambar pada muka depannya pada 2 Mei dalam usaha memfitnah Azmin.

PKR Selangor juga sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Azmin dan menolak fitnah jahat yang dilemparkan Umno-BN.

Sokongan itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama antara Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Zuraida Kamaruddin.

 

Categories
NASIONAL

Guan Eng Tidak Akan Jemput Lagi Media Umno

 

SHAH ALAM 4 MEI : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak menjemput mana-mana media milik Umno/BN ke sebarang majlis anjuran kerajaan negeri.

Tindakan itu juga menurut beliau sebagai langkah mempertahankan diri daripada menjadi mangsa siri fitnah dan putar-belit Umno/BN yang semakin menggila akhir-akhir ini.

“Kita percaya dalam kebebasan akhbar namun keengganan media Umno/BN mematuhi etika kewartawanan, apatah lagi memberikan saya peluang untuk menjawab atau membetulkan berita palsu memaksa saya untuk menolak apa-apa liputan berita mereka.

“Memang kita mahukan liputan berita tetapi jika liputan berita yang diberikan penuh dengan penipuan dan putar belit, rasanya lebih baik tiada liputan berita langsung,” ulas Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempertikaikan keengganan media Umno/BN untuk memohon maaf terhadapnya atas kesilapan laporan berita mereka berhubung dakwaan Perkasa bahawa beliau bertemu dengan pimpian parti PAP dari Singapura.

“Mereka sudah mengeluarkan kenyataan maaf kepada Datuk Seri Kalimullah dan Datuk Azman yang didakwa bersama saya berjumpa PAP namun tidak melakukan perkara yang sama terhadap saya walaupun atas permintaan peguam saya.

“Oleh itu, saya saya akan meneruskan saman saya di Mahkamah Tinggi terhadap Perkasa, New Straits Times Press dan Utusan Melayu (Bhd) terhadap fitnah dilemparkan,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sehubungan itu juga, beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang bertegas untuk mengambil inisiatif menghalang media Umno/BN dari terus menyiarkan laporan palsu kepada rakyat.

“Saya tidak mempunyai sumber dan keupayaan untuk memfailkan tindakan mahkamah setiap kali media Umno/BN memfitnah dan memburukkan saya.

“Sehingga kini, sebagai contoh, News Straits Times masih terus memfitnah saya walau tidak dijemput membuat liputan, jadi bayangkan berapa banyak lagi tindakan mahkamah yang perlu difailkan jika saya menjemput mereka membuat liputan berita di majlis saya?” akhiri Guan Eng dalam kenyataan tersebut.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Semakin Bangkrap Dari Sudut Moral

PETALING JAYA, 4 MEI :PKR hari ini menyifatkan tindakan akhbar Utusan Malaysia yang menggunakan kaedah fitnah seks ke atas Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali baru-baru ini sebagai gambaran nyata terhadap kebangkarapan moral kerajaan Umno-BN.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhamad Nur Manuty berkata, keadaan itu sekaligus mengesahkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno-BN kini ketandusan golongan profesional sebagai penyambung kepimpinan dan perjuangannya.

Beliau berkata, tindakan tidak bermaruah itu adalah menjurus kepada budaya tahyul, liar dan lucah agensi terbabit (Utusan Malaysia) yang diamalkan sejak sekian lama melalui pelbagai penerbitannya.

“Taktik yang sama turut digunakan terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa seks fitnah sejak 1998 selepas gagal mencari isu lain untuk menjatuhkan beliau.

Bagaimanapun, usaha untuk memudarkan sinar tokoh ini tetap gagal kerana rakyat Malaysia ternyata lebih bijaksana dalam menilai hakikat dan kebenaran,” katanya.

Menurutnya, baik kerajaan Umno-BN mahupun media kawalannya tidak mempedulikan implikasi gambar fitnah tersebut kepada generasi muda yang masih bersih apabila ia disebarkan secara luas dan terbuka.

Ujarnya lagi, PKR berpendirian kegiatan tidak bermoral yang berleluasa sejak dua menjak ini akan memberi kesan buruk kepada masyarakat di negara ini.

“Hakikatnya Umno-BN telah melakukan satu jenayah besar kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan mereka perlu bertanggungjawab.

Tindakan ini adalah manifestasi dari desperado dan tekanan tidak terkawal Umno-BN melalui kebangkitan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

Azmin Ali Saman Utusan Malaysia RM100 juta

SHAH ALAM,3 MEI : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menuntut sejumlah RM 100 juta sebagai ganti rugi terhadap Utusan Malaysia berhubung penyiaran gambar berbaur lucah di muka hadapan akhbar tersebut semalam.

Azmin melalui peguamcaranya Tetuan Edwin Lim Suren & Soh telah mengeluarkan surat tuntutan kepada pemilik akhbar tersebut, Utusan Melayu Berhad yang memiliki akhbar Utusan Malaysia serta Editornya menuntut penarikan balik tuduhan dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Naib Presiden PKR,N Surendran dalam kenyataan media berkata dakwaan-dakwaan tersebut dan gambar-gambar yang direka adalah bermotifkan politik.

“Utusan Malaysia menerbitkan imej dengan cara yang tidak bermoral dan ganas. Imej yang disiarkan pula bersifat lucah yang mengaitkan Ahli Parlimen Gombak telah muncul pada muka hadapan Utusan Malaysia pada 2 Mei 2012,” katanya.

Tambah Surendran, beliau menegaskan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi bertanggungjawab untuk penyiaran gambar.

“Ia adalah mustahil bahawa pembunuhan watak skala ini boleh dijalankan oleh Utusan Malaysia tanpa kelulusan dan pengetahuan Najib, UMNO yang memerintah parti memiliki Utusan Malaysia,” katanya.

Menurut Surendran , Azmin Ali telah memulakan prosiding undang-undang ini untuk menjustifikasi nama dan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin negara dan ahli politik, dan untuk mempertahankan hak orang ramai kepada kewartawanan yang adil dan bersih.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelbagai Pihak Kecam Utusan Sebar Gambar Lucah

SHAH ALAM, 2 MEI : Umno begitu terdesak apabila dua akhbar yang dinaunginya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo, bertindak menyiarkan gambar lucah di muka hadapan hari ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan ini akan menjerumus generasi muda kepada keruntuhan akhlak danĀ  Umno sudah sangat terdesak.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya budaya pemberitaan seperti yang tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia pada hari ini.

“Apa yang mereka lakukan ini menjerumuskan generasi muda kepada keruntuhan akhlak dan budaya seks songsang.. Kenapa isu-isu seperti ini yang diangkat untuk mendapat keuntungan politik? soal Nik Aziz dalam kenyataan di Facebooknya.

Bagi pendakwah bebas, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tindakan penyiaran gambar berkenaan satu petanda kotor minda dan hati si pembuat keputusan menyiarkan gambar berkenaan.

“Saya sangat membantah siaran gambar-gambar lucah (tidak kiralah samada ia bermotif politik atau tidak, melibatkan wajah mirip pemimpin parti BN atau PR) yang disiarkan oleh mana-mana akhbar awam tempatan seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dan Kosmo 2 Mei.

“Ingatlah siaran media awam ibarat iklan, sekali ia memberi idea & gambaran, sekiranya ada yang menurutinya, keseluruhan individu yang meluluskan keputusan siaran itu bakal mendapat saham dosa sehingga hari kiamat,” tulisĀ  Dr Zaharuddin dalam Facebook.

Sementara itu, penyiaran gambar berkenaan turut mengundang pemegang akaun Facebook di negara ini, antaranya Murni Salleh tulisnya “Anak-anak saya yang masih kecil pernah komen; “Issyy..!! tak bagus la suratkhabar tunjuk gambar-gambar tak elok!”

“Saya tak minat berpolitik..tapi saya seorang ibu dan seorang pendidik..rasa sangat malu dan geram..budak-budak kecil pun boleh bezakan yang elok dan tak elok..akibatnya..saya terpaksa tapis dulu berita-berita dalam suratkhabar sebelum benarkan anak-anaknya membacanya,” katanya yang juga seorang pendidik.

“Hari ini saya disajikan paparan majalah lucah terbitan berlesen untuk hiburan masyarakat Malaysia

“Saya juga pengamal media, tetapi saya tahu batas-batas dan etika yang perlu dihormati.

“Bangga sangatkah kalian dapat merosakkan pemikiran masyarakat dengan menyajikan perkara mungkar,” kata pengamal Media, Ahmad Nadi Karusan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin: Umno Cipta Skrip Fitnah Untuk Lari Isu BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 1 MEI : Umno-BN kembali dengan fitnah seks melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan terbaru melibatkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

Sehubungan itu, Azmin Ali hari ini membidas kenyataan dikeluarkan oleh Utusan Malaysia memetik sumber blog pro Umno-BN yang menyebarkan beberapa keping gambar beliau bersama seorang wanita di tandas.

Sebelum ini, beliau dan ahli keluarganya difitnah berkaitan isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya disusuli dakwaan memiliki saham dan dituduh menghina Raja- Raja Melayu dan terbaru dituduh mencetuskan provokasi dalam Bersih 3.0.

” Skrip fitnah Umno-BN ini sudah berulang selama 14 tahun walaupun bukti sudah jelas nyata bahawa tuduhan mereka merupakan pembohongan semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan medianya hari ini.

Berhubung isu status ibu bapa kandung terhadap anaknya, Azmin berkata, dia dan isteri sudah melakukan ujian DNA sebanyak dua kali pada Julai 1998 dan mengesahkan perkara tersebut sekaligus memelihara maruah keluarganya.

Selain itu, Azmin menegaskan fitnah jahat ini tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman dilakukan oleh kerajaan Umno-BN.

Katanya, beliau mendesak supaya Umno-BN menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat.

” Munculnya fitnah ini bertujuan mengalihkan pandangan rakyat dari isu penipuan pilihanraya dan penyelewengan dana awam ini dimana Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas Bersih 3.0,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Terdahulu, Umno-BN melemparkan fitnah jahat dengan mengaibkan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, pemimpin kanan PKR, Badrul Amin Bahron.

Menurut Azmin lagi budaya fitnah jahat ini memperlihatkan sikap pemimpin-pemimpin Umno yang merendahkan akhlak orang-orang melayu dimata masyarakat lain.

Categories
NASIONAL

Keselamatan Lim Guan Eng Semakin Terancam

SHAH ALAM, 1 APRIL : Media kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia dan TV3 bertanggungjawab ke atas keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kerana berulang kali menyiarkan berita fitnah menyatakan beliau adalah penyebab kepada kehilangan tanah masjid di negeri tersebut.

Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam kenyataan akhbarnya berkata, berikutan laporan media itu, keselamatan Guan Eng secara peribadi kini terancam.

“Keselamatan awam Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh diambil ringan ekoran fitnah bahaya dan rasis yang dimainkan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia bahawa kononnya beliau telah menyebabkan kehilangan tanah masjid. Susulan daripada itu, Guan Eng sendiri telah diancam secara peribadi oleh Perkasa dan pemimpin UMNO yang mengugutnya dengan keganasan dan bahasa yang penuh kebencian.

“Fitnah ini telah disiarkan secara berulang kali di kaca televisyen serta media cetak kawalan Umno-BN untuk mencetuskan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu dan Islam khususnya kepada Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, fitnah dibuat Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin, bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh itu telah menjual atau melenyapkan tanah masjid tidak boleh diambil ringan seperti jenaka April Fool.

Katanya, walaupun Guan Eng membidas dakwaan itu sebagai fitnah terdesak Umno Pulau Pinang untuk memenangi kembali sokongan orang Melayu di negeri itu namun TV3 dan Utusan Malaysia masih lagi meneruskan usaha untuk menyiarkan fitnah bahaya tersebut.

Tambahnya, media kawalan Umno-BN bukan sahaja tidak menyiarkan kenyataan balas Ketua Menteri Pulau Pinang malah kenyataan penjelasan Datuk Seri Nazir Ariff selaku Timbalan Pengerusi pemaju yang telah memenangi tender terbuka untuk tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar juga tidak disiarkan.

“Ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Ramai di antara rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam berasa terganggu dengan fitnah yang dimainkan dan telah meminta penjelasan daripada Guan Eng. Mereka berasa amat terkejut apabila sedar bahawa dakwaan ini hanyalah fitnah jahat Umno.

“Tidakkah tindakan Umno, TV3 dan Utusan Malaysia untuk memainkan fitnah perkauman dan agama terhadap seorang pemimpin bukan Melayu dan Islam ini boleh dianggap sebagai tindakan yang berdosa? Yang lebih teruknya, ia juga boleh menjejaskan keselamatan Ketua Menteri. Ramai orang awam terutamanya yang beragama Islam sudah pun menasihati supaya Ketua Menteri lebih berhati-hati,” ujarnya.

Zairil berkata, Jumaat lalu, Perkasa melakukan demonstrasi terhadap Guan Eng atas dasar fitnah tersebut di Komtar dan dimaklumkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah berkelakuan secara tidak beradab dan ganas sampai mengugut untuk menentang Ketua Menteri secara peribadi seperti dilaporkan dalam New Straits Times semalam sekiranya Ahli Parlimen Bagan itu tidak menjawab dalam masa tujuh hari.

“Adakah Perkasa akan menganjurkan demonstrasi sama dan membuat ugutan sama terhadap Umno jika dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah dan pembohongan?,” soalnya.

Beliau berkata, ugutan ganas Perkasa inilah yang dibimbangkan penyokong Ketua Menteri yang beragama Islam maka untuk itu, Umno, TV3 dan Utusan Malaysia diberi amaran bahawa mereka akan bertanggungjawab sekiranya keselamatannya terjejas.

Katanya, polis juga harus mengambil berat tentang impak fitnah dibuat Umno itu.

“Ini bukan pertama Ketua Menteri diserang dengan fitnah. Malah, anaknya juga telah difitnah oleh Umno-Online yang mendakwa bahawa dia telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan dan juga kononnya Ketua Menteri telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal tersebut. Walaupun kejadian ini telah dibuktikan sebagai fitnah, sampai sekarang tidak ada tindakan diambil oleh polis.

“Tindakan ini juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak serasi dengan objektif untuk membangunkan masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan harmoni,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Guan Eng Akan Ambil Tindakan Mahkamah Tangani Fitnah Umno

PULAU PINANG, 30 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan mahkamah bagi menghentikan fitnah Umno negeri itu yang turut menghidupkan sentimen perkauman dan agama bagi melemahkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Mutiara tersebut.

Katanya, beliau telah berulang kali telah memberi penjelasan berhubung pelbagai isu berbangkit namun serangan bertali arus oleh Umno Pulau Pinang serta media milik parti tersebut semakin melampau.

“Saya telah cuba untuk sabar apabila UMNO menggunakan retorik perkauman dan agama untuk melemahkan kepimpinan saya dan juga Kerajaan Negeri PR. Tetapi, permainan yang bahaya ini sudah melintasi had dengan fitnah oleh Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin bahawa saya telah menjual tanah masjid.

“Utusan Malaysia telah menyiarkan kata-kata tidak beradab yang menyerang saya dengan fitnah bahawa saya telah menggadai tanah masjid. Ini bukan kali pertama UMNO membuat dakwaan fitnah terhadap saya.” jelas beliau di dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, Shaik Hussein dengan pemimpin-pemimpin UMNO mendakwa kerajaan negeri tidak menjual tanah 102.6 ekar Bayan Mutiara melalui tender terbuka.

Lim kemudiannya telah mengemukakan bukti bahawa tanah tersebut telah dijual melalui tender terbuka.

“Shaik telah meneruskan fitnahnya dengan menuduh saya menyatakan tidak perlu sokongan kaum India. Apabila fitnahnya dibuktikan salah, Shaik bukan sahaja enggan memohon maaf seperti yang dijanjikan tetapi beralih kepada fitnah lain bahawa saya telah melenyapkan tanah masjid.

“Fitnah kali ini sangat bahaya kerana ia menyentuh sentimen agama dan bertujuan untuk menimbulkan kebencian orang Islam terhadap saya sebagai seorang pemimpin bukan Islam.

“Apabila tanah 102.6 ekar Bayan Mutiara telah dijual melalui tender terbuka, geran tanah tidak dipecah sempadan tetapi dijual secara menyeluruh. Pihak pemaju hanya akan memecah sempadan geran selepas pelan baru diserahkan kepada MPPP untuk kelulusan.

“Apabila pelan baru dan pemecahan sempadan geran belum lagi dibuat, bagaimana Umno boleh mendakwa bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan?

“Umno mesti ingat bahawa syarat-syarat biasa untuk sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti surau atau masjid yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan semestinya akan termasuk dalam apa-apa projek pembangunan.

“Umno hanya boleh mengatakan bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan jika pelan baru oleh pemaju telah diluluskan oleh MPPP tanpa ada tanah masjid atau sekolah.

“Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, PR Pulau Pinang selalu memegang kepada prinsip asas untuk tidak membenarkan tanah yang diperuntukkan untuk sekolah, tempat-tempat beribadat, masjid, surau, gereja, kuil Cina, Hindu atau Buddhist untuk hilang begitu sahaja.” jelas beliau yang juga MP Bagan.

Katanya, tujuan Umno mengapi-api sentimen perkauman dan agama bertujuan menimbulkan kebencian terhadap negeri pakatan Rakyat.

“Fitnah yang berasaskan kepalsuan ini terhadap seorang bukan Melayu dan bukan Islam menunjukkan bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong yang bertujuan untuk menipu rakyat untuk mengundi parti-parti perkauman ekstrim BN dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.” ujar beliau.