Categories
NASIONAL

Bajet pendidikan kurang RM300 juta, peruntukan vernakular disorok?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Keputusan Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan sektor pendidikan dalam Belanjawan 2016 kepada RM500 juta berbanding RM800 juta pada 2015 tidak membantu pembangunan pendidikan negara.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V.Sivakumar, berkata lebih memburukan keadaan, kerajaan turut tidak memberikan pecahan peruntukan disalurkan kepada sekolah vernakular seperti yang dilakukan dalam Belanjawan 2015.

SIVAKUMAR“Terdapat pengurangan sebanyak RM300 juta untuk pembangunan sekolah dan kenapakah kerajaan tidak menunjukkan pecahan peruntukan untuk setiap jenis sekolah seperti Belanjawan 2015?

“Adakah kerajaan cuba menutup sesuatu? Saya khuatir kerana kerajaan pasti akan memberi keutamaan kepada sekolah kebangsaan dan menganaktirikan sekolah vernakular dengan sengaja menyembunyikan peruntukan khusus kepada sekolah ini,” kata Sivakumar pada sidang media di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sivakumar juga tidak dapat menerima jawapan Menteri Pendidikan semalam dengan menyatakan pihak kementerian masih belum membuat agihan pecahan lagi.

Sekolah vernakular merupakan sekolah menggunakan bahasa ibunda tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India sebagai pelaksanaan pendidikan dan pembangunan di sekolah.

-nR-

Categories
NASIONAL

Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Masuk PAS Dedah Konspirasi Rampasan Kuasa

SHAH ALAM 16 OGOS : Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong mendedahkan konspirasi berhubung rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009 lalu dalam wawancaranya yang dipetik melalui PerakDaily.

Wawancara dikendalikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir, Abdullah berkata beliau dipaksa mengeluarkan kenyataan atas arahan pihak ‘atasan’ mengatakan Speaker yang sah ketika itu, V Sivakumar sebagai tidak sah.

Katanya, tindakan itu adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan dan tidak berupaya untuk mengelak.

“Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

“Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontroversi itu.

“Daripada kenyataan itu juga, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan dihalang memasuki dewan,” katanya dalam wawancara itu.

Tambahnya, Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan.

“Dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau tidak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, jika mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

“Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihan raya semula diadakan,” katanya.

Ketika mengulas insiden Sivakumar diusung keluar ketika sedang menjalankan tugas sebagai Speaker, Abdullah berkata Umno-BN ketika itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya di dewan.

Bagaimanapun, Umno-BN tidak menghiraukannya malah mereka tidak ‘nampak’ ada satu lagi institusi ataupun jawatan Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

“Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan ketika itu masih Pakatan Rakyat jadi bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

“Malah semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN.

“Tetapi secara tiba-tiba Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengadakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik,” katanya.

Abdullah menjelaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan, tiada satu pasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku dan itu menunjukkan Peraturan Tetap Dewan dilanggar.

“Saya tidak pasti siapa yang mengusung Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ia bukan kakitangan dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

“Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain,” katanya.

Categories
NASIONAL

“Nambikai’ Masyarakat India telah Hilang Pada BN

IPOH, 8 MAC: “Nambikai’ bermaksud ‘Menaruh Kepercayaan’ yang pernah diucapkan Perdana Menteri semasa Thaipusam lalu membuktikan BN telah menyedari kehilangan sokongan masyarakat India terhadap komponen parti tersebut.

Timbalan Pengerusi DAP, Perak, V.Sivakumar berkata sebelum ini masyarakat India dianggap sebagai ‘Fixed deposite’ oleh MIC dan BN tetapi PRU 2008 menyaksikan tanggapan tersebut telah berubah.

“Lebih kurang 80% dari kalangan masyarakat India telah menyokong Barisan Nasional dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum PRU12.

“Walau bagaimanapun, dalam PRU 12 masyarakat India telah membuat satu perubahan besar dalam percaturan politik tanahair. Sebilangan besar pengundi-pengundi India telah menyokong DAP, PAS dan PKR dalam pilihanraya itu.” jelas beliau yang juga bekas Speaker Dun Perak ketika PR menguasai Perak.

Menurut beliau penolakan masyarakat India ini disebabkan kerajaan BN tidak serius menangani masalah yang dihadapi kaum India.

“Sering kali golongan ini tercicir dalam program-program pembangunan. Tambahan pula, kaum India menghadapi pelbagai tekanan hidup sosio-ekonomi. Nyata sekali, orang-orang India merasakan polisi diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Akhirnya kaum India telah mengambil keputusan untuk mengubah pola mengundi dalam pilihanraya yang lepas.” katanya yang juga Adun Tronoh.

Jelasnya tindakan sogokan dan membeli hati kaum India oleh pemimpin-pemimpin BN sudah terlewat setelah lebih 54 tahun nasib mereka dipinggir.

“BN hanya memberi hamper,  makan percuma, wang dan sebagainya. Semua ini adalah pemberian sagu hati dengan harapan orang-orang India mudah dibeli.

“Pemimpin-pemimpin BN cuba memperkecilkan masyarakat India dengan pemberian-pemberian kecil dan tidak seberapa itu.

“Masalah yang dihadapi oleh orang-orang India masih tidak dipedulikan oleh pimpinan BN. Mereka berlakon seolah-olah tidak nampak masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini.” ujar Sivakumar