Categories
SELANGOR

Selangor jadi ‘trade mark’ PR urus bantuan pasca banjir jika tawan Putrajaya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA KANGSAR, 19 JAN: Kemampuan Selangor mengurus bantuan pasca banjir wajar dijadikan contoh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kemampuan Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, menguruskan bantuan pasca banjir di Kelantan dan Perak adalah ‘trade mark’ kemampuan Pakatan Rakyat (PR) jika berjaya menawan Putrajaya nanti.

“Ini adalah ‘trade mark’ PR. Maknanya, kita dah mulakan dengan bantuan Selangor kepada Kerajaan Negeri khususnya yang berat seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

2“Mereka tinggalkan mangsa pasca banjir, sedangkan ketika ini banyak bantuan dan sumbangan diperlukan kerana mereka mengalami kejutan serta bagaimana ingin membina semula kehidupan.

“Kehadiran Mohamed Azmin juga memberi mereka inspirasi untuk terus hidup,” katanya ketika menyambut kedatangan Dato’ Menteri Besar Selangor bersama sukarelawan di Kampung Senggang, di sini, semalam.

Mohammad Nizar turut menggesa masyarakat mengikis pemikiran kononnya hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu menguruskan isu berkenaan bencana banjir di negara ini.

Datuk Seri Mohammad Nizar“Jika berlaku bencana alam, kita ambil peduli penderitaan rakyat. Ini tidak, nak beri bantuan rakyat kena tunggu Najib balik main golf dulu, baru boleh bagi bantuan. Itupun ala kadar sahaja, tak begitu serius.

“Kebanyakan kepimpinan yang datang masa banjir hanya ambil gambar, masuk televisyen dan kemudian balik,” katanya.

Selangor turut menguruskan pasca banjir dengan bantuan barangan keperluan asas seperti alatan persekolahan, dapur, tong gas, peralatan kerja pembersihan dan tenaga kerja serta jentera Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri, selain menghulurkan bantuanĀ  RM1.5 juta kepada Kerajaan Kelantan, Terengganu, Pahang juga Perak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Masuk PAS Dedah Konspirasi Rampasan Kuasa

SHAH ALAM 16 OGOS : Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong mendedahkan konspirasi berhubung rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009 lalu dalam wawancaranya yang dipetik melalui PerakDaily.

Wawancara dikendalikan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir, Abdullah berkata beliau dipaksa mengeluarkan kenyataan atas arahan pihak ‘atasan’ mengatakan Speaker yang sah ketika itu, V Sivakumar sebagai tidak sah.

Katanya, tindakan itu adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan dan tidak berupaya untuk mengelak.

“Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

“Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontroversi itu.

“Daripada kenyataan itu juga, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan dihalang memasuki dewan,” katanya dalam wawancara itu.

Tambahnya, Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan.

“Dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau tidak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya,” katanya.

Jelasnya, jika mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

“Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihan raya semula diadakan,” katanya.

Ketika mengulas insiden Sivakumar diusung keluar ketika sedang menjalankan tugas sebagai Speaker, Abdullah berkata Umno-BN ketika itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya di dewan.

Bagaimanapun, Umno-BN tidak menghiraukannya malah mereka tidak ‘nampak’ ada satu lagi institusi ataupun jawatan Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

“Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan ketika itu masih Pakatan Rakyat jadi bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

“Malah semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN.

“Tetapi secara tiba-tiba Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengadakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik,” katanya.

Abdullah menjelaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan, tiada satu pasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku dan itu menunjukkan Peraturan Tetap Dewan dilanggar.

“Saya tidak pasti siapa yang mengusung Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ia bukan kakitangan dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

“Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kit Siang: Dasar Umno/BN Punca masalah Perkauman


SHAH ALAM, 12 MAC : Pucuk Pimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menjadi menyebabkan negara menghadapi masalah perkauman dan agama yang teruk.

Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang, walaupun negara telah lama merdeka serta pelbagai dasar perpaduan cuba diketengahkan namun masalah perpaduan antar kaum, bangsa dan agama tidak tercapai.

Katanya kegagalan tersebut berpunca dari fahaman politik sempit Umno-BN serta budaya perkauman yang sengaja dihidupkan untuk kepentingan politik.

Katanya, bukan sahaja kaum India dan Cina malah kaum melayu turut merasai perkara yang sama apabila banyak berlaku ketidakadilan terutamanya dalam pengagihan status ekonomi serta sosial.

” Bukan sahaja kaum India tetapi semua kaum termasuk melayu, mereka rasa dipinggirkan oleh Umno dan saya ingat dalam parlimen dua tahun dulu…saya ada menanyakan semua Menteri adakah mereka menyokong konsep 1Malaysia? tetapi apabila saya tanya, tiada siapa pun yang berani menentangnya.

” Adakah kerajaan pimpinan Najib melambangkan 1Malaysia? jika tidak mengapa semua kaum merasakan dipinggirkan oleh Najib,” ujarnya dalam ucapan di di Majlis Makan Malam sempena Sambutan empat tahun pentadbiran PR.

Justeru katanya, Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 akan datang rakyat mempunyai kuasa untuk menukar kuasa kerajaan seperti yang berlaku pada tahun 2008.

” Kita mahu mengamalkan negara yang demokrasi yang normal dalam masyarakat, sebagai rakyat kita mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan seperti tahun 2008 dan sebagai mengamalkan sistem dua parti, kita akan terus ke Putrajaya serta kita mesti memberi reformasi yang baru kepada Umno-BN.

” Biar Najib jadi Ketua Pembangkang pula dan biarlah Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri barulah Malaysia akan berubah,” katanya.

Tambahnya, satu cabaran bagi PR dan rakyat untuk memimpin negara akan datang kerana tanpa perubahan
besar dalam PRU 13, masalah dalaman negara yang dipimpin oleh Umno-BN tidak akan selesai.

” PR mahu berjuang untuk membina satu masyarakat di mana semua rakyat tidak kira kaum dan agama mendapat tempat yang sewajarnya dalam tanah air kita,” katanya.

Katanya lagi, Najib sepatutnya memohon maaf kepada PR atas kesilapan yang paling besar dilakukannya pada Kerajaan Negeri Perak dengan merampas kuasa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

” Baru-baru ini beliau memohon maaf atas kesalahan Umno-BN yang lalu, haruskah kita terimanya?
kalau dia ikhlas jujur kita patut terimalah..Tetapi adakah kita tahu beliau memohon maaf untuk apa? jadi dia tidak serius, jujur dan ikhlas,” katanya.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata perkara seumpanya sentiasa berlaku dalam Umno-BN seperti apa yang pernah diperkatakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ‘tiada pemimpin Umno yang tiada masalah’.

” Mungkin apa dia kata sebelum ini benar, mana ada pemimpin Umno yang tidak ada masalah, apabila sampai satu masa dia desak untuk letak jawatannya…kita pun berkata mana ada pemimpin umno yang tiada masalah dan itulah yang kita hadapi dinegara kita,” jelas beliau lagi.