Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perutusan Tahun Baru 2019 – MB

Saya berdoa semoga tahun 2019 nanti akan lebih membahagiakan dan lebih bermanfaat, khususnya buat rakyat Negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia am-nya.

Sudah pasti ada yang tertanya-tanya selepas perubahan kerajaan pada 9hb Mei 2018 lalu, adakah negara akan bertambah baik atau kita semua akan melalui saat yang sukar.

Saban hari pula kita disajikan dengan pelbagai khabar berkaitan keadaan ekonomi negara. Ada yang meresahkan kita dan ada juga yang menggembirakan kita.

Sudah pasti saya tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional. Acapkali juga saya dengar dan membaca luahan kemarahan rakyat agar Kerajaan Harapan tidak lagi menyalahkan UMNO-Barisan Nasional.

Mereka mahukan pentadbiran yang diterajui Kerajaan Harapan baik di peringkat negeri mahupun pusat untuk mengotakan janji dan melaksanakan segala perubahan yang dijanjikan. Segala gesaan tersebut menurut saya merupakan suatu gesaan yang wajar.

Rakyat Malaysia memilih untuk menukar sebuah kerajaan yang korup, rasuah dan tidak cekap, agar mereka ditadbir oleh kerajaan yang berwibawa, berintegriti dan efisien.

Justeru aspirasi murni itu merupakan suatu tanggungjawab moral yang besar dan suatu kewajipan untuk dilunaskan. Pimpinan Pakatan Harapan terutamanya di Selangor tidak punya waktu untuk dibazirkan. Kami harus bekerja kuat demi rakyat.

Oleh itu, menerusi perutusan ini, saya cuba merumuskan kembali apa yang telah dirangka yang telah dirancang serta dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kemaslahatan rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.

Pada 23 November yang lalu, saya telah membentangkan belanjawan yang mengangkat agenda merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri.

Cabaran kali ini adalah untuk menetapkan suatu keseimbangan di antara mencipta aliran pendapatan baharu dan memastikan program-program kebajikan terutamanya buat golongan B40 dapat diteruskan.

Bagi mencapai matlamat merancakkan ekonomi negeri, pentadbiran Selangor telah mengenalpasti potensi-potensi di 9 buah daerah tersebut. Makanya Agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi telah dilancarkan bertujuan untuk mencetuskan kesan limpahan atau “spillover effect” kepada setiap pelusuk Negeri Selangor.

Kami yakin dasar ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan domestik serta antarabangsa dan sekaligus memastikan aliran pendapatan baharu buat kerajaan negeri.

Manakala itu, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berpaksikan pesan Al-Quran, Surah Al-Nahl ayat 97: “Hayaatun Toyyibatun”, memberikan suatu kehidupan yang baik kepada rakyatnya, pentadbiran ini kekal istiqamah menjayakan inisiatif-inisiatif peduli rakyat (IPR).

Justeru pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut kini berlandaskan prinsip “gift to empowerment” bertujuan meningkatkan daya saing penerima-penerima IPR serta membantu mereka menaiki tangga mobiliti sosial.

Sementara itu juga program-program kebajikan tersebut hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Oleh itu suatu penambahbaikan kepada pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat adalah perlu bagi memastikan kesinambungan dan kewangan negeri yang mampan.

Saya berikrar akan berusaha keras untuk memastikan setiap rakyat Negeri Selangor mendapat manfaat dari kemakmuran negeri ini.

Saya memohon agar mereka yang lebih bernasib baik memahami dasar Inisiatif Peduli Rakyat yang mengutamakan kebajikan dan keperluan golongan B40.

Kebanyakan daripada mereka ini hidup sebagaimana yang dinukilkan James C. Scott di dalam bukunya The Moral Economy of The Peasant, “is that of a man standing permanently up to the neck in water, so that even a ripple is sufficient to drown him.”

Akhirul kalam, Negeri Selangor hanya akan mampu mengorak langkah ke depan sekiranya setiap rakyatnya “Maju Bersama” serta memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negeri ini kekal aman dan sentosa.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita menjaga keharmonian, mengamalkan toleransi dan bersatu-padu demi kesejahteraan Negeri Selangor Darul Ehsan yang dinaungi Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

Selamat Tahun Baru 2019.

Dato’ Menteri Besar
Amirudin Shari

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Perutusan Sambutan Thaipusam oleh Dato’ Menteri Besar

OLEH: DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat Hindu. En Iniya Thaipusa Nalvalthukkal.

Dalam misi kita mengalas mandat yang diberikan, Kerajaan Negeri Selangor membawa satu tekad untuk memastikan masyarakat India maju bersama dengan kaum lain di Selangor.

Baik program pemberdayaan ekonomi seperti mikrokredit HIJRAH Selangor dan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor, mahupun program pembangunan sosial seperti Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, Bas Percuma Smart Selangor, Kasih Ibu Smart Selangor dan Peduli Sihat, kita membangun bangsa atas prinsip keadilan sosial agar tiada yang ketinggalan.

Sesungguhnya misi ini memerlukan azam yang kuat serta usaha yang gigih bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh rakyat.

Semoga sambutan Thaipusam ini terus menjalin perpaduan utuh di kalangan pelbagai kaum untuk maju bersama dan menolak kezaliman.

Selamat Hari Thaipusam!

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Anwar: Pakatan akan bersatu & lebih kuat

Oleh: FAHMI FADZIL

Datuk Seri Anwar Ibrahim tmenyampaikan perutusan berikut melalui peguam beliau hari ini:

“Saya mulai dengan mengucapkan Ramadhan Kareem buat semua.

Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat Pembangkang dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia dari kepincangan tatakelola dan autoritarianisme Barisan Nasional, terus utuh.

Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik.

Pada masa yang sama, walau apa pun, Pembangkang masih berfungsi dan teguh di peringkat Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Parlimen.

Tekanan dan ketegangan seperti yang kita saksikan ini adalah fitrah sebuah gabungan politik yang telus dan demokratik seperti Pakatan Rakyat; ianya tidak bermakna kita tidak boleh menyelesaikan dan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi.

Saya percaya bahawa Pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.

Dari sebalik tirai besi ini, saya menggesa teman-teman seperjuangan di dalam parti-parti Pembangkang dan juga rakyat Malaysia untuk terus bergerak dalam perjuangan ini hinggalah kemenangan dikecapi dan Malaysia diselamatkan.

Yakinlah, saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan.”

# Fahmi Fadzil adalah  Pengarah Komunikasi PKR

Categories
NASIONAL

Siaran langsung Perutusan Khas Untuk Rakyat Malaysia

PETALING JAYA 26 JAN: TV Selangor hari ini akan mengadakan siaran langsung ucapan ‘Perutusan Khas Untuk Rakyat Malaysia’ daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

meetUcapan itu dijadual berlangsung jam 3 petang di Cayman 1, 2 & 3, Level 10, Sunway Resort Hotel & Spa, Persiaran Lagoon, Bandar Sunway di sini.

Perutusan Ketua Pembangkang itu dibuat dalam program Dialog Anak Muda Selangor Bersama Anwar Ibrahim anjuran Kelab Anwar Ibrahim dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Untuk mengikuti siaran langsung itu, layari tv.selangorku.com manakala rakamannya dijangka dimuat naik sekitar jam 8 malam ini.

Bagaimanapun, siaran langsung itu tertakluk kepada perubahan waktu dan pancaran isyarat.