Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pegawai APMM mati akibat virus Zika

KUANTAN, 19 OKT: Pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang meninggal dunia semalam akibat dijangkiti virus Zika, sedang mengikuti kursus latihan pasukan khas agensi itu ketika jatuh sakit.

Pegawai Penguatkuasaan dan Eksesais APMM Negeri Pahang, Komander Maritim Razali Kasim berkata, Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim, 30, sedang dalam fasa akhir latihan bagi menyertai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat APMM, yang dijangka tamat pertengahan bulan hadapan.

“Ketika dimasukkan ke hospital, Mohamad Ikmal sedang dalam latihan di laut iaitu fasa terakhir latihan bersama pasukan khas pasukan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) di Lumut, Perak.

“Ia adalah satu berita yang mendukacitakan bagi kami semua di APMM,” katanya ketika majlis pengebumian Mohd Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Razali turut menyampaikan lipatan bendera kepada balu Mohamad Ikmal, Siti Salbiah Roslie yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja, dalam suasana sayu sambil disaksikan keluarga dan rakan-rakan yang hadir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 7.15 pagi selepas tiba di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap, di sini dari Perak, pada jam 5.45 pagi dan disolatkan selepas solat subuh.

Mohamad Ikmal yang bertugas di KM Nusa Maritim Terengganu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak, akibat virus Zika, pada jam 4.45 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Ikmal, Ibrahim Abdul, 60, berkata, meskipun berasa sedih dengan kematian anak ketiganya itu, beliau berbangga, kerana anaknya berani mengikut jejak langkahnya dengan menyertai pasukan khas APMM.

“Saya berasa bangga dengan Allahyarham, kerana saya sendiri adalah seorang anggota komando Tentera Darat. Beliau juga anak yang cekal dan kuat pegangan agama,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, kes jangkitan Allahyarham adalah kes jangkitan virus Zika kesembilan di negara ini sejak 2016.

Seperti yang telah diketahui, virus zika adalah virus demam ringan yang ditularkan melalui nyamuk. Virus zika sendiri adalah flavivirus yang pertama kali ditemukan di hutan Zika, Afrika.

Wanita hamil yang terkena virus ini berisiko melahirkan anak cacat.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Virus Zika: Sekolah di Selangor diarah batal rombongan ke Singapura, Filipina

SHAH ALAM 10 SEPT: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan semua rombongan sekolah ke Singapura dan Filipina dibatalkan berikutan penularan virus Zika.

Pengarahnya Mohd Salleh Mohd Kassim berkata arahan berkenaan dikeluarkan kepada semua ketua Pejabat Pendidikan Daerah.

“Arahan pembatalan ini adalah untuk rombongan yang akan ke sana semasa tempoh cuti sekolah ini dan dalam masa terdekat.

“Bagi rombongan yang akan ke kedua-dua negara berkenaan pada hujung atau awal tahun ini dinasihatkan menangguhkan program berkenaan sehingga virus ini dapat dikawal atau dibasmi,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Jabatan Pendidikan Negeri bagi mengekang penularan virus Zika di sekolah.

Salleh berkata pihaknya juga mengarahkan sekolah dicuci sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada 19 September nanti.

Katanya, cuti sekolah seminggu yang bakal bermula Isnin ini memberi masa yang cukup untuk nyamuk membiak.

Sehingga hari ini, terdapat tiga kes jangkitan virus Zika direkodkan di seluruh negara.

Kes pertama yang dilaporkan merupakan kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang manakala kes kedua ialah jangkitan tempatan di Sabah dan kes ketiga melibatkan wanita mengandung di Johor Bahru.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Virus Zika: Ibu hamil jangan panik

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 9 SEPT: Wanita hamil digesa mengambil langkah berjaga-jaga dengan penularan virus Zika ketika ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tiga kes dikesan yang salah satunya membabitkan seorang wanita mengandung baru-baru ini cukup membimbangkan.

“Ibu hamil adalah golongan paling berisiko dengan penularan virus Zika di negara ini.

“Malah, kes Zika dikesan dalam negara cukup untuk mewujudkan kebimbangan dalam kalangan mereka terutamanya terhadap bayi dalam kandungan,” katanya kepada SelangorKini.

YB DaroyahDr Daroyah mahu semua ibu hamil mengurangkan aktiviti diluar rumah dan memakai pakaian sesuai bagi mengelakkan diri dari gigitan nyamuk.

Beliau berharap ibu hamil agar tidak panik dalam berhadapan masalah melibatkan jangkitan virus terbabit.

“Berjaga-jaga dan berhati-hati, tetapi jangan panik.Kalau mereka stress atau panik, ia akan beri kesan kepada kandungan,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kes baru jangkitan virus Zika melibatkan seorang wanita mengandung di Johor Bahru.

Ia menjadikan jumlah kes jangkitan virus Zika dalam negara setakat ini sebanyak tiga kes.

-nR-

Categories
NASIONAL

Kes ketiga virus Zika dikesan

PUTRAJAYA 7 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima satu laporan mengenai kes ketiga jangkitan Zika, yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun berbangsa Cina yang menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata wanita tersebut hamil anak pertama dengan usia kandungan sekitar tiga ke empat bulan lebih dengan pesakit mula mengalami gejala ruam, demam dan sakit badan pada 2 September.

Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital kerajaan pada 5 September dengan 6 September ujian pengesahan Zika adalah positif bagi wanita ini.

Hasil sisatan KKM mendapati kali terakhir pesakit melawat ke Singapura adalah pada enam bulan lalu.

Namun begitu, suami pesakit berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang, Singapura.

Suami pesakit juga menunjukkan tanda jangkitan mulai 2 September dan kini dimasukkan ke wad untuk siasatan lanjut.

“Pesakit yang hamil ini juga di bawah pengawasan Obstetrik dan Ginekologi untuk pemantauan berterusan terhadap ibu dan bayinya.

“Ibu beliau yang juga merupakan kontak kepada pesakit ini tidak menunjukkan sebarang simptom Zika, tetapi akan turut disaring,” katanya dalam kenyataan media.

ZIKAKatanya, kawalan vektor dibuat dengan serta-merta di rumah kediaman pesakit dan kontak terdekat pesakit, selain semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor.

Sehingga kini, 400 buah rumah telah diperiksa dan 450 premis disembur.

Pada masa ini, KKM menetapkan bahawa wanita hamil yang mempunyai tanda dan gejala jangkitan Zika serta disahkan positif dimasukkan ke dalam wad.

Selain itu, bagi wanita hamil yang tidak menunjukkan tanda dan gejala, tetapi mempunyai pasangan disahkan jangkitan Zika, ujian pengesahan Zika dijalankan terhadap wanita ini.

Pemantauan KKM mendapati bahawa sehingga 7 September, jumlah kes Zika disahkan di seluruh negara adalah sebanyak tiga kes.

Kes pertama dilaporkan adalah merupakan kes import dari Singapura manakala kes kedua dan ketiga merupakan kes jangkitan tempatan yang dilaporkan di Sabah dan Johor.

Selain itu, pemantauan KKM juga mendapati daripada 1 September sehingga 6 September, terdapat sebanyak 30 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika namun kesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif.

KKM menasihatkan bagi wanita disahkan positif ujian Zika, mereka diminta mengelakkan daripada mengandung dan mengamalkan seks selamat sekurang kurangnya lapan minggu dari tarikh didiagnosis.

Manakala bagi lelaki disahkan positif Zika juga diminta mengamalkan seks selamat atau mengelakkan dari melakukan hubungan seks untuk tempoh enam bulan.

Untuk mencegah perebakan jangkitan Zika di negara ini, KKM menyarankan agar semua pihak bekerjasama dan memainkan peranan menjalankan aktiviti menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.

Categories
SELANGOR

MB: PBT perlu waspada kekang virus Zika

OLEH NORHAYATI UMOR

IJOK, 3 SEPT: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta bersedia dan berwaspada penularan virus Zika yang dikenal pasti membabitkan seorang warga Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PBT perlu meneruskan usaha membasmi denggi dengan lebih berkesan.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah berbincang dan pastinya Exco Kesihatan akan lakukan yang terbaik.

“Kita mengambil tindakan sepertimana kita lakukan bagi mengurangkan wabak denggi.

“Oleh itu, kita teruskan semua usaha-usaha ini dengan lebih berkesan.

“Saya mahu semua PBT bersedia dan berwaspada dalam isu ini,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Azmin berkata selain kawasan perumahan, PBT perlu mengambil tindakan tegas kepada pemaju yang cuai di tapak pembinaan yang dikhuatiri menjadi punca penyebaran denggi.

Semalam, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif dalam usaha memerangi denggi sekali gus mengawal penularan virus Zika di kawasan pentadbirannya.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, pihaknya mula menjalankan pemeriksaan dan pembersihan tempat pembiakan virus di rumah pesakit Zika juga sekitar kediaman pesakit.

EZY

Categories
SELANGOR

Pesakit pertama virus Zika beransur pulih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Pesakit pertama dijangkiti virus Zika di negara ini dilaporkan semakin beransur pulih di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) HSB, Datuk Dr Christopher Lee berkata, simptom jangkitan terbabit yang dialami wanita berusia 58 tahun itu termasuk ruam sudah hilang.

Katanya, pesakit terbabit dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi jika ujian darah ke atasnya negatif.

“Kami akan melakukan ujian darah ke atasnya hari ini dan sekiranya keputusan itu negatif, dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya memetik laporan MStar.

Dr Lee berkata, ruam ringan dialaminya sudah hilang dalam masa dua atau tiga hari dan ujian darah terakhir didapati negatif.

ZIKANamun, hospital membuat keputusan untuk menahannya lebih lama bagi memastikan tiada jangkitan terhadap orang lain.

Katanya, ujian darah pada hari ini akan disahkan semula untuk memastikan dia bebas daripada virus Zika.

Dr Lee berkata tanda-tanda jangkitan Zika adalah demam, sakit badan, ruam dan mata kemerah-merahan akan hilang dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, jika seorang wanita yang dijangkiti virus Zika, cecair pada farajnya mungkin mengandungi virus itu sehingga dua bulan selepas dia pulih.

“Jadi, jika dia melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dalam tempoh dua bulan, lelaki itu boleh dijangkiti virus Zika.

“Virus itu juga boleh kekal dalam sperma lelaki sehingga enam bulan selepas pesakit pulih,” katanya.

Wanita itu bersama suaminya melawat anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos lalu dan pulang ke tanah air pada 21 Ogos.

Seminggu kemudian, wanita itu mengalami ruam dan demam serta mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klang.

Dia kemudiannya dirujuk ke HSB dan pada 31 Ogos lalu, sampel air kencingnya didapati positif virus Zika.

Anak perempuannya yang bekerja dan tinggal di Paya Lebar, Singapura turut dijangkiti virus itu.

Suami dan beberapa ahli keluarga lain wanita itu yang tinggal bersama di kediaman mereka di Ambang Botani masih belum menunjukkan sebarang tanda jangkitan.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Elak virus Zika, awasi aktiviti keluarga

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 1 SEPT: Masyarakat digesa menghadkan aktiviti keluarga di luar rumah terutamanya ketika waktu senja dan subuh khusus bagi penduduk Daerah Klang.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, arahan itu dikeluarkan setelah negara dikejutkan dengan kes pertama virus Zika apabila seorang wanita dari Taman Botanic, Klang disahkan positif virus tersebut selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

“Bagi tempoh seminggu ini, masyarakat sekitar Daerah Klang dinasihat tidak melakukan aktiviti pada waktu nyamuk Aedes paling aktif.

“Ini adalah kerana dikhuatiri nyamuk-nyamuk Aedes akan membawa virus Zika setelah ia menggigit mangsa yang telah dijangkiti merebak kepada yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ZIKAKatanya, jika terdapat simptom-simptom seperti demam, ruam, sakit otot dan sakit kepala, masyarakat dinasihatkan segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran.

“Kerajaan Negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK), telahpun mengambil langkah proaktif dengan mengenalpasti lokasi kawasan kediaman dan lokasi yang telah dilawati pesakit seterusnya melaksanakan aktiviti kawalan dengan memusnah tempat-tempat pembiakan Aedes dan semburan kabus.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan agensi berwajib untuk melaksanakan kempen kesedaran terutamanya kepada penduduk sekitar,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Ambil langkah pencegahan elak jadi mangsa Virus Zika

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi membendung jangkitan Virus Zika Khususnya bagi mereka kerap melancong ke luar negara.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr.S.Subramaniam, sebanyak 24 negara di rantau Amerika melaporkan jangkitan kes itu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit itu sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC).

Virus ZikaVirus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi dan keadaan di negara ini adalah sesuai untuk berlakunya jangkitan virus Zika.

“Oleh itu, sekiranya jangkitan Zika disebarkan ke negara ini, ia boleh menjadi wabak yang serius seperti wabak Demam Denggi,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya lagi, masyarakat perlu mengambil berat dan bersama-sama bertanggungjawab untuk mencegah penyakit itu membiak ke Malaysia.

“Rakyat disaran menangguh perjalanan ke negara terlibat khususnya wanita mengandung. Jika terpaksa, disaran memakai pakaian menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan mengelakkan digigit nyamuk Aedes.

“Kawasan persekitaran perlu bersih daripada tempat pembiakan nyamuk serta lindungi diri dan ahli keluarga seperti menggunakan repellent, memakai pakaian menutupi anggota badan, menggunakan kelambu dan menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa,” katanya

Selain itu, kerjasama daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan juga dinasihatkan melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu di premis masing-masing.

EZY