Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Galak kanak-kanak vaksin sempena cuti sekolah, 412 PPV tanpa janji temu dibuka

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebanyak 412 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk pelaksanaan program itu secara jumpa terus (walk-in).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan di sini hari ini berkata kesemua PPV tambahan itu diwujudkan dengan mengambil peluang sempena cuti sekolah yang bermula sejak 26 Feb lepas.

“Semasa cuti sekolah ini, ibu bapa yang belum mempunyai janji temu vaksinasi untuk anak-anak berusia lima hingga bawah 12 tahun digalakkan membawa anak ke PPV berdekatan secara walk-in untuk menerima vaksinasi.

“Sekiranya kuota vaksinasi untuk kanak-kanak pada hari tersebut telah habis di PPV yang dihadiri, ibu bapa boleh memilih untuk datang semula ke PPV tersebut pada keesokan hari atau boleh mendaftarkan anak untuk dapatkan slot vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa atau penjaga yang mendaftarkan anak untuk menerima vaksin pula akan menerima pautan tempahan janji temu dengan tarikh dan lokasi vaksinasi boleh dipilih mengikut kesesuaian waktu mereka.

Pelaksanaan PICKids secara jumpa terus telah bermula pada 1 Mac lepas di beberapa PPV di Lembah Klang iaitu PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PPV Axiata, PPV IDCC dan PPV Soka Gakkai.

Setakat semalam, sebanyak 929,733 individu atau 26.2 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids yang dimulakan sejak 3 Feb lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pulau Pinang mula beri vaksin individu 18 tahun ke atas tanpa janji temu

KEPALA BATAS, 8 SEPT: Pulau Pinang memulakan pemberian vaksin Covid-19 secara “walk-in” atau secara jumpa terus kepada penduduk warganegara yang berusia 18 tahun ke atas hari ini.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium dekat sini mendapati rata-rata penerima vaksin menunggu giliran masing-masing seawal 10 pagi.

Pek Jin Wei, 18, berkata dia sedia mendapatkan suntikan vaksin kerana mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat kolej.

“Saya dapat tawaran belajar di Kolej Two Studio Multimedia Academy (Bukit Mertajam), jadi saya harus divaksinasi bagi mengurangkan risiko (penularan Covid-19) sebelum melaporkan diri nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jin Wei yang ditemani bapanya Pek Kok Lim, 45, berkata, individu yang belum divaksin perlu mengambil peluang sebaiknya kerana ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu ada dalam setiap rakyat negara ini.

Selain itu, Mohd Razman Ramli, 23, seorang pembantu kedai makan berkata inisiatif untuk divaksinasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab memandangkan dirinya terlibat dalam sektor makanan dan minuman.

“Saya dapat tahu mengenai pemberian vaksin secara walk-in selepas ia ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp. Sebab itu datang sini (PPV Dewan Millenium) untuk divaksin, sebab kerja kedai makan pun ada risikonya jika belum cucuk (vaksin),” katanya.

Razman yang bekerja di kedai makan di Kampung Datuk berkata semua rakyat Malaysia perlu divaksin bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan menjaga kesihatan semua.

Sebanyak 10 PPV di Pulau Pinang menawarkan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus termasuk PPV SPICE CC, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong, PPV Kompleks Sukan Balik Pulau, PPV Pusat Konvensyen Perda, PPV Dewan Millenium, PPV SP Arena, PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya, PPV Vangohh Eminent, PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan beberapa syarat ditetapkan bagi mereka yang mahu mendapat vaksin antaranya menunjukkan MyKad bagi tujuan pengesahan warganegara, mereka yang belum berdaftar atau belum menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin tanpa janji temu di sembilan PPV mulai esok

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) dipilih untuk memberi suntikan tanpa janji temu kepada penduduk Lembang Klang bermula esok.

PPV berkenaan termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (HCO F, G dan H), Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hotel Wyndham Klang dan Dewan Tun Razak Sabak Bernam.

Turut dibenarkan ialah Dewan Komuniti Serendah, Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA Sepang dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, individu berusia 40 tahun ke atas atau golongan komorbid boleh mendapat suntikan antara 2 hingga 4 Ogos.

Sementara giliran bagi individu berusia 18 tahun ke atas antara 5 hingga 22 Ogos.

Bagi bukan warganegara berusia 40 tahun ke atas, mereka boleh mendapat suntikan antara 9 hingga 11 Ogos, manakala 18 tahun ke atas antara 12 hingga 22 Ogos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penerima perlu menunjukkan bukti menetap di Lembah Klang selain membawa surat doktor untuk pengesahan kesihatan bagi golongan komorbid.

Semalam, Menteri Sains Khairy Jamaluddin berkata pemberian vaksin tanpa janji temu mengikut konsep ‘datang awal dilayani dahulu’ bergantung kepada kapasiti PPV.