Categories
GLOBAL

Dewan Pewakilan AS lulus RUU henti bantuan perang di Yaman

WASHINGTON, 14 FEB: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), dengan majoriti besar, semalam meluluskan rang undang-undang yang mengkehendaki Presiden, Donald Trump menghentikan bantuan negara itu kepada gabungan tentera pimpinan Arab Saudi dalam peperangan di Yaman.

Rang undang-undang itu kini dibentang kepada Senat untuk pertimbangan susulan keputusan undian 248-177, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

“Hari ini adalah hari bersejarah. Ini adalah kemuncak usaha perundangan selama beberapa tahun bagi mengakhiri penglibatan kita dalam peperangan Arab Saudi di Yaman,” kata wakil Demokratik Ro Khanna, yang mempelopori rang undang-undang itu selepas undian.

Jika Resolusi Kuasa-Kuasa Perang, sebahagian daripada respons kepada pembunuhan wartawan Washington Post yang merupakan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi — mampu membersihkan Senat, ia akan dibawa ke meja Trump, di mana ia mungkin berdepan penggunaan kuasa veto.

Rumah Putih sebelum ini telah mengeluarkan ancaman berhubung langkah itu.

Walau apapun, jika ia membersihkan Senat, langkah itu menyaksikan buat julung kalinya, penggubal undang-undang persekutuan menyemak kuasa seorang presiden untuk menggunakan pasukan tentera di bawah rang undang-undang 1973 bagi membolehkan Kongres berbuat demikian jika seorang presiden melibatkan tentera tanpa satu perisytiharan perang yang rasmi.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ketua pemantau PBB gesa semua pihak hormati gencatan senjata Yaman

HODEIDA 25 DIS: Ketua pasukan pemantau gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hodeida di sini, dilaporkan mengadakan lawatan ke pelabuhan itu, semalam.

Ketika lawatan itu, timbalan pengarah pelabuhan Hodeida, Yehya Sharafeddin, berkata bekas pegawai kanan tentera Belanda, Jeneral Patrick Cammaert berkenaan meminta, tentera kerajaan yang mendapat sokongan Arab Saudi dan pemberontak Houthi supaya menghormati perjanjian damai terbabit.

“Pegawai PBB memberi kami jaminan bahawa perang ini akan berakhir.

“Beliau (Cammaert) berkata perang Yaman ini sudah dilupakan selama beberapa tahun, tetapi kini masyarakat antarabangsa berusaha keras untuk menamatkannya,” kata Sharafeddin kepada AFP menerusi telefon selepas lawatan Cammaert ke pelabuhan itu, yang mengendalikan sebahagian besar import dan bantuan kemanusiaan ke Yaman.

Selepas melawat pelabuhan berkenaan, Cammaert mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan tempatan di bandar Hodeida.

“Kami tidak mampu menyelesaikan masalah anda, sebaliknya kamu perlu berusaha mengatasinya.

“Oleh itu, amat penting untuk kedua-dua pihak mematuhi perjanjian gencatan senjata dan tidak menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Cammeart dilantik mengetuai jawatankuasa bersama, yang turut dianggotai wakil dari kerajaan dan pemberontak Houthi, selain bertanggungjawab memantau proses gencatan senjata di bandar di Laut Merah serta kawasan sekitarnya sejak 18 Disember lalu.

Beliau tiba di Hodeida pada Sanaa, selepas menghadiri mesyuarat dengan pegawai kerajaan di Aden.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

5 negara jumpa PBB bincang isu serangan bas

NEW YORK 11 OGOS: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bakal mengadakan perjumpaan tertutup atas permintaan lima negara untuk membincangkan serangan tentera pakatan Arab Saudi terhadap bas yang membawa kanak-kanak di Yaman, kata jurucakap diplomat.

Perjumpaan itu diminta oleh negara bukan anggota tetap majlis iaitu Bolivia, Belanda, Peru, Poland dan Sweden.

Terdahulu, tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi mengumumkan siasatan terhadap serangan pada Khamis lalu yang mengorbankan 29 kanak-kanak dalam perjalanan di dalam sebuah bas sudah dikeluarkan.

“Kami sudah melihat gambar kanak-kanak yang terbunuh. Apa yang penting ketika ini adalah perkara ini disiasat secara bebas dan telus ,” kata Timbalan Duta Belanda, Lise Gregoire-van kepada wartawan.

Majlis belum jelas jika majlis bakal sepakat dan meminta agar tindakan diambil.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Khamis lalu meminta agar siasatan bebas dilakukan terhadap serangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 48 yang lain cedera dalam serbuan di kubu pemberontak Houthi, di Saada.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Krisis kemanusiaan di Yaman `mengejutkan’

SANAA 29 OKT: Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mark Lowcock, menyuarakan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan ‘mengejutkan’ di Yaman.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan beliau turut menggesa pihak bertelagah supaya menghormati undang-undang antarabangsa.

Merumuskan misi pertama beliau ke Yaman, Lowcock berkata, perang di negara Arab miskin itu perlu diakhiri menerusi proses politik.

“Saya mengunjungi Yaman untuk lebih memahami krisis kemanusiaan yang semakin teruk, termasuk penyebaran pantas wabak taun yang pernah dilihat dunia, masalah kekurangan bekalan makanan terbesar dunia dan ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

“Ia amat mengejutkan melihat kesan buruk konflik ciptaan manusia ini,” katanya kepada wartawan sebelum meninggalkan Sanaa.

Beliau berkata, PBB menyeru semua pihak supaya menghormati undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia yang dimiliki semua, termasuk tahanan dan wartawan.

Lowcock dijadualkan berucap pada mesyuarat peringkat tertinggi mengenai tindak balas kemanusiaan kepada krisis Yaman di Riyadh, hari ini.

Dalam lawatan lima harinya, beliau menggesa pegawai di Aden dan Sanaa memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua yang memerlukan.

Beliau turut mendesak pembukaan semula lapangan terbang di Sanaa bagi penerbangan komersial dan kemanusiaan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

ABIM: Selamatkan pelajar Malaysia di Yaman segera

SHAH ALAM 22 SEPT: Kementerian Luar patut mengambil tindakan segera untuk mengeluarkan pelajar Malaysia dari Yaman ekoran kekacauan meruncing di sana yang mengancam keselematan.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata pergolakan yang berlaku di sana kerana pertempuran antara kumpulan Houthis dan tentera kerajaan yang merebak sehingga ke ibu negara Yaman, Sana’a.

Yaman“Pertempuran ini membahayakan rakyat Malaysia di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Raimi berkata kenyataan Kementerian Luar, kira-kira 440 orang iaitu 357 lelaki, 45 wanita dan 33 kanak-kanak rakyat Malaysia telah ditempatkan di sebuah bangunan yang disediakan oleh kedutaan.

Namun, kata beliau pihaknya merasakan tindakan itu hanyalah sementara dan rakyat Malaysia masih lagi dalam keadaan bahaya.

Oleh itu, katanya Kementerian Luar perlu bertindak dengan menyediakan pesawat tentera khas untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Yaman pulang ke tanah air.

“Situasi ini sama seperti apa yang berlaku di Mesir tiga tahun lalu apabila berlaku berlaku pergolakan di negara tersebut,” katanya lagi.

Tambahnya, jumlah orang yang dipindahkan lebih ramai daripada rakyat Malaysia di Yaman dan misi tersebut berjaya dijalankan dengan lancar.

Oleh itu, kata beliau Abim melihat Kerajaan Malaysia sepatutnya tiada masalah dalam memindahkan seramai 440 orang rakyat Malaysia di Yaman.

Beliau juga berharap pergolakan di Yaman tidak berpanjangan dan gencatan senjata dapat dirundingkan dengan segera antara dua pihak yang bertelagah.

Justeru, katanya Abim berharap Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dapat menjadi fasilitator dalam perundingan tersebut.

EZY