Categories
AGENDA NASIONAL

Art Harun, dari mahkamah dan SPR ke parlimen

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Datuk Azhar Azizan Harun, 58, yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, merupakan seorang yang arif tentang undang-undang.

Lebih dikenali dengan panggilan Art Harun, anak jati Kedah yang dilahirkan pada 26 Oktober 1962 ini merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London.

Mempratikkan kerjaya dalam bidang guaman sejak 1987, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di beberapa firma guaman antaranya Allen & Gledhil, Khaw & Hussain, Tetuan TH Su & Rakan, Tetuan Lamin & Co, Tetuan Hisham Sobri & Kadir, Tetuan Shafee & Co, dan terakhir di Messrs KH Koh, Azhar & Koh sejak 1992.

Azhar Azizan yang dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 21 September 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, telah meletak jawatan sebagai pengerusi SPR pada 29 Jun lepas.

Pada 9 September 2019, beliau dianugerah Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”, daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Azhar Azizan dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sesi Parlimen hari ini dicadangkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nama kedua-dua mereka diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Yang diPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat.

Sepanjang berkhidmat sebagai pengerusi SPR, Azhar Azizan telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara antaranya pendaftaran pengundi secara dalam talian yang telah mula dilaksanakan tahun ini.

Pembaharuan lain adalah memperkenal kad mengundi, menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengundi-pengundi kurang upaya dan warga emas.

Memanjangkan tempoh mengundi, menetapkan hari penamaan calon dan pengundian pada hari cuti umum, membuat siaran “live feed” proses penjalanan pilihan raya dari penamaan calon sehinggalah pengisytiharan keputusan juga antara pembaharuan yang dibuat.

Paling signifikan adalah pembabitan Azhar Azizan sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Chini di Pekan Pahang 4 Julai lepas yang diadakan dalam situasi normal dan peraturan baharu berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mohamad Ariff ikrar amanah laksana tugas tanpa pengaruh luar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berikrar melaksanakan tugas sebaik mungkin dan bebas dari pengaruh luar sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Ketika menyampaikan ucapan buat kali pertama selepas mengangkat sumpah beliau menyifatkan tanggungjawab itu cukup besar dan akan sedaya upaya memenuhi amanah itu.

“Sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru dilantik, saya akan berusaha melaksanakan tugas dengan sepenuh hati dan bebas dari pengaruh luar untuk memelihara martabat dan maruah dewan yang mulia ini.

“Saya akan bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan yang berhormat sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi Parlimen negara kita supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita akan bertambah berkesan, adil dan saksama,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut meminta semua Ahli Parlimen berbahas dengan matang berasaskan kejujuran dan tanggungjawab serta mengamalkan budaya menghormati ketika berdebat bagi memastikan matlamat tinggi Dewan Rakyat mampu dicapai.

“Persidangan Dewan Rakyat kali ini menempa sejarah kerana ia merupakan kali pertama sejak PRU-14 dengan peralihan kuasa yang berlaku dalam keadaan penuh aman.

“Malaysia menongkah arus politik global apabila warganegara bertindak terus memperkasakan dan mempercayai sistem demokrasi sebagai wadah perubahan serta menjadi inspirasi ramai serata dunia.

“Kini perhatian dunia tertumpu kepada Dewan Rakyat ini sebagai ruang untuk menguris kepelbagaian yang wujud di dalam negara kita dengan cara tertib dan mengekalkan keamanan,” katanya.

Mohamad Ariff Md Yusof yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini selepas mengangkat sumpah pada jam 10.15 pagi.

Pelantikan beliau dicadangkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mohamad Ariff Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Nama beliau dicadangkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah berkata, hanya satu nama dikemukan Perdana Menteri menerusi surat bertarikh, pada 2 Julai lalu.

Beliau secara rasmi mengangkat sumpah sekitar jam 10.15 pagi di Dewan Rakyat, sekali gus akan memimpin persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas 2018.

Usul pelantikan beliau bagaimanapun terganggu apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan bangun membangkitkan peraturan mesyuarat, namun tidak berjaya menarik perhatian Setiausaha Dewan Rakyat.

Keadaan itu menyaksikan ahli parlimen pembangkang bertindak keluar sebelum sempat Istiadat Angkat Sumpah Ahli Parlimen berlangsung.

Categories
NASIONAL

YDP Dewan Rakyat sedia hadapi kemungkinan blok kiri menang PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Seri Panglima Pandikar Amin Mulia bersedia berhadapan kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau berkata, beliau pasti tidak akan dipilih semula sebagai Yang Dipertuan Dewan Rakyat sekirnya pertukaran kerajaan berlaku.

“Saya sendiri juga sudah bersedia menghadapi kekecewaan sekiranya tidak dicalonkan sebagai Dipertua Dewan Rakyat selepas PRU-14 nanti.

“Manalah tahu, pihak yang menang nanti adalah pihak di sebelah kiri pula,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam, Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kata-katanya itu disambut dengan sorakan Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan terakhir itu.

Pandikar Amin turut menasihati supaya Ahli Parlimen lain juga jangan kecewa sekiranya tidak dicalonkan parti masing-masing pada PRU-14 nanti.

Jelasnya, sebagai ahli politik, mereka perlu menerima keputusan itu sebagai asam garam dalam politik.

Katanya, Persidangan Parlimen Ke-13 Malaysia yang bermula pada 24 Jun 2013 itu turut melalui pelbagai cabaran dan pengalaman pahit dan manis.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat kerana memberikan idea dan sumbangan sepanjang persidangan berlangsung,” katanya lagi.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini merupakan persidangan terakhir sebelum pembubaran parlimen yang dijangka berlaku esok.

Categories
NASIONAL

Kabinet lulus tiga cadangan reformasi Parlimen

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Tempoh masa lebih pendek daripada 14 hari bekerja kepada 10 hari untuk Ahli Parlimen mengemukakan soalan bagi sesi jawapan lisan merupakan antara bentuk pembaharuan memperkasa Parlimen Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata perkara itu bagi membolehkan Ahli Parlimen mengemukakan lebih banyak soalan bahkan beberapa cadangan fasa pertama sudah mendapat persetujuan Kabinet.

pandikar-amin mulia“Ia untuk mengelakkan cabaran daripada ahli dewan terhadap saya. Dalam usaha menambahbaik Parlimen, kita mempunyai beberapa cadangan untuk meminda undang-undang.

“Melalui sesi Parlimen, jawatankuasa saya akan bermesyuarat dan kita akan laksanakannya kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada empat cadangan fasa pertama reformasi Parlimen sudah diluluskan Kabinet sementara cadangan keempat untuk menubuhkan lebih banyak jawatankuasa sedang dikaji kerajaan.

Selain itu, sesi soal jawab bersama menteri mengenai isu semasa akan diadakan selama 30 minit setiap Selasa dan Khamis.

“Soalan perlu ditanya tidak melebihi satu minit sementara menteri perlu menjawab dalam tempoh dua minit.

“Ini bagi mengelakkan persepsi masyarakat bahawa Parlimen tidak membenarkan Ahli Parlimen bertanya mengenai isu semasa,” katanya.

ParlimenPandikar turut menjelaskan cadangan penubuhan Kamar Khas bagi membolehkan Ahli Parlimen mengemukakan isu yang tertakluk dibawah Peraturan Mesyuarat Perkara 18 untuk mengelakkan pembaziran masa dan persoalan itu dijawab.

“Dalam sesi Dewan Rakyat, jika terdapat isu yang dibangkitkan dibawah Perkara 18, Speaker dan Timbalan Speaker akan melihat sama ada ia boleh dibincangkan dibawah peraturan itu.

“Ia mengelakkan pembaziran masa sidang Parlimen utama memandangkan ia boleh dibincangkan dalam Kamar Khas,” katanya.

-nR-