Categories
BERITA UTAMA

Subky Latif: Yayasan ISA, syabas buat Selangor

Oleh: SUBKY LATIF

Tindakan terbaru kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajar dialu-alukan apabila ia menubuhkan Yayasan ISA walaupun ISA yang menggerunkan sudah diganti dengan yang baru.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ADUN baru Kajang telah menjadi pengerusinya yang pertama dan ia diperuntukkan RM500 ribu bagi melancarkan Yayasan itu.

Wan AzizahYayasan ISA adalah demi membela mangsa ISA yang mangsanya begitu ramai dan boleh dikira keluarga mangsa lazimnya menanggung penderitaan dan terbiar.

Sekalipun mangsa ISA terjamin rezeki selama dalam tahanan, risiko kebuluran adalah kurang, tetapi keluarga mereka – isteri dan anak-anak – walaupun belum ada laporan mereka terpaksa makan ubi gadung, tetapi mereka kesempitan hidup. Persekolahan, sara hidup, kebajikan dan lain-lain bergantung kepada ihsan orang yang belas.

Memanglah kerajaan tidak mengambil tanggungjawab atas keluarga penjenayah baik yang dipenjara mahu pun yang terbunuh. Keluarga penjenayah itu dipercayai tidak berdosa atas jenayah suami atau bapa mereka, tetapi itulah balasan yang terpaksa menimpa keluarga penjenayah. Gara-gara kejahatannya keluarga terpaksa menanggung derita.

Tetapi mangsa ISA bukan penjenayah. Mereka tidak pernah dibicarakan oleh mahkamah. Jika penjenayah dicampak ke penjara oleh mahkamah, mereka tidak pernah dibawa ke mahkamah.

Tahniah buat kerajaan Selangor kerana telah mengambil tanggungjawab yang selama ini tiada terbela. Hanya kumpulan sukarela yang memberi bantuan ala kadar bagi meringankan beban dan keupayaan penyumbang adalah terhad.

Isa 1-2Kita tahu beban yang dihadapi oleh isteri Dr Burhanuddin al-Hilmy, Presiden PAS yang pernah menjadi mangsa. Dengan pencennya yang terhad menanggung anak bersekolah.

Bagaimana pun keluarga Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Mohamad Sabu dan lain-lain justeru mereka pemimpin besar dan terkenal, ramai pula pengikut dan peminat, mungkin kesempitan mereka tidak seberat yang dialami oleh mangsa yang tidak terkenal.

Jelaslah mereka adalah mangsa kerajaan, terbiar dan menderita kezaliman.

Sekalipun mangsa ISA tidak seramai bilangan rakyat awam yang tertindas dan juga kurang pembelaan, yang ramai itu adalah dalam bidang tanggungjawab kerajaan. Ada kerajaan yang mengaku bertanggungjawab membela mereka.

Apakah pembelaan itu ditunaikan, ia sampai atau tidak kepada mereka, bergantung kepada keberkesanan kerajaan. Baik ia ditunaikan atau tidak ditunaikan, telah ada pihak yang bertanggungjawab.

Tetapi mangsa ISA tiada yang bertanggungjawab. Kerajaan berlepas tangan atas persekolahan dan kebajikan mereka. Dengan tindakan kerajaan Selangor itu nasib mereka akan dibela.

Keluarga bekas tahanan seperti Anwar Ibrahim, Mahfuz Omar, Tan Sri Abdullah Ahmad, Zahid Hamidi, Ibrahim Ali dan lain-lain tidak memerlukan perhatian lagi pada masa ini kerana ada sumber pendapatan yang cukup, tetapi keluarga mangsa yang tidak terkenal termasuk dari Sabah dan Sarawak, mereka masih memerlukan pembelaan.

Walaupun antara anak-anak mereka sudah jadi orang dewasa, tetapi bagaimana kehidpan seharian dan pekerjaan mereka?

Tentu adalah masih memerlukan pembelaan.

Yayasan itu tentu memerlukan dana yang lebih besar. Sumbangan permulaan kerajaan Selangor tentu belum boleh membuat rancangan yang lebih besar. Tetapi dipercayai orang yang bersimpati dengan mangsa ISA adalah ramai.

Maka dengan adanya Yayasan itu masing-masing dapat menyumbang. Kerajaan PR yang lain seperti Pulau Pinang dan Kelantan boleh mnyambut tindakan itu sama ada menubuhkan yayasan yang sama di negeri masing-masing atau memadai menambah tabung yang ada di Selangor itu.

Dipetik: Harakah Daily

JURNAL BERITA-MB: ’10 minit pandangan Anwar ibarat 10 tahun pengalaman’

1. MB: Beza keuntungan Pembangunan Canal City RM1 bilion

2. MB: ’10 minit pandangan Anwar ibarat 10 tahun pengalaman’

3. Selangor tetap tubuh Yayasan ISA, Wan Azizah dilantik pengerusi

4. ADUN BN ‘blur’, gagal faham isu MoU tanah Tropicana Corporation

5. Kerajaan Negeri perlu wujud tabung khas L’Ceria untuk naik taraf lif

6. ADUN DAP minta elaun guru KAFA dinaikkan

7. Penduduk Damansara Damai bantah projek 33 tingkat, mahu akses ke-2 dibina

8. Usahawan asnaf terima motor roda tiga sumbangan Lembaga Zakat Selangor

9. Usahawan asnaf terharu terima sumbangan LZS untuk perniagaan

10.TAWAS serah penyata simpanan kepada peserta DUN Sabak

Categories
SELANGOR

Selangor tetap tubuh Yayasan ISA, Wan Azizah dilantik pengerusi

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 APRIL: Yayasan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan tetap ditubuhkan walaupun akta terbabit sudah dimansuhkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata inisiatif terbabit dilakukan bagi membela keluarga tahanan sebelum ini untuk menjalani kehidupan.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Geran Selangorku memperuntukkan RM500,000 sebagai pusingan awal.

05“Saya sudah menghadiri satu perjumpaan bersama Datin Seri Wan Azizah dan Exco bagi membincangkan perkara ini, walaupun ia sudah dibubarkan tetapi kita berpendapat keluarga mereka perlu dibantu.

“Hal ini kerana saya berpendapat mereka mencuba untuk membawa keadilan kepada negara dan negeri daripada segi tahanan yang tidak mendapat keputusan mahkamah, jadi terdapat ahli keluaga yang suami atau isteri dalam tahanan ISA mengalami masalah kewangan dan pendidikan.

“Jadi, usaha kita tubuhkan yayasan ini dapat kumpulkan dana yang akan disalurkan untuk pembangunan keluarga mereka,” katanya ketika ditemui di Lobi bangunan Annexe, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, yayasan terbabit akan dipengerusikan oleh Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

“Beliau juga akan bekerja dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan,” katanya.

-NFN-